Friday, July 28, 2006

Genap Sebulan Hari Ini

Alhamdulilah,
Genap sebulan hari ini blog ini dimulakan dan saya masih terus menulis. Terima kasih yang sudi berkunjung dan memberikan komen dan sokongan!

Nostalgia Zaman Sekolah Rendah (Permainan)

Rabu,26 Julai - Usai kelas jam 12, saya bergerak bersama-sama dua rakan sekerja ke Batu Pahat atas urusan rasmi. Lawatan yang paling mengimbau kenangan ialah ketika ke SRK Temenggong Ibrahim (lebih dikenali sebagai TIPS) dan SRK Tengku Mariam (TMS).

Di TIPS,dahulunya kawasan sekolah ini adalah sekolah agama. Tapi yang ingin saya ceritakan di sini adalah pengalaman yang terbayang apabila memasuki perkarangan sekolah ini,iaitu, perlawanan bola jaring peringkat daerah Batu Pahat dan ketika itu saya mewakili TMS sebagai 'wing attack'. Masih segar di ingatan bermain dalam keadaan hujan tanpa kasut. Perlawanan akhir yang amat sengit, kami hanya berjaya sebagai Naib Johan,berderet mengambil piala individu sambil esakan kesedihan kerana gagal menjadi juara. Saya Darjah 6 waktu itu.

Destinasi selepas TIPS,ialah TMS.
Tengku Mariam sekolah tercinta tempat ilmuku terima
(Antara baris lagu sekolah yang masih kekal di ingatan)

Untuk catatan seterusnya,saya mengubah sedikit suara 'saya' kepada 'aku/ku'.

Beginilah kisahnya...

Kawasan yang dahulunya hijau dengan pokok dan semak samunnya kini bertukar ke bangunan apartmen. Tidak pula kuteliti bangunan itu kerana pandanganku lebih tertumpu ke arah Jalan Bunga Kertas di sebelah kiri, aku tak mahu biarkan waktu itu berlalu kerana ingin mengutip kembali bayangan silam di zaman kanak-kanak,kira-kira 27 tahun dahulu. Aneh sungguh melihat rumah yang pernah kuhuni kini entah menjadi milik siapa. Tetapi lebih aneh lagi perasaanku membandingkan keadaan dahulu dan sekarang. Bukan perbandingan baru dan lama tetapi lebih kepada besar kecilnya. Deretan rumah teres di sepanjang jalan itu kelihatan sungguh kerdil. Seakan mengecil 5 kali ganda. Hakikatnya usiaku yang bertambah 5 kali ganda. Kesan tapak kakiku sudah tentunya tidak lagi kelihatan tapi kupasti bumi sekitarnya dapat menjadi saksi jejak-jejakku pernah melewati tanah yang diliputi tar itu. Di hadapan rumah yang keenam ,walaupun tanahnya hanya sekangkang kera, cukuplah sekadar untuk melukis tapak untuk bermain teng-teng di bawah pohon jambu batu. Tapak teng-teng dilukis dengan ranting kayu. Lebih kurang 4 petak menegak,petak terakhir ditambah 2 petak lagi di kiri dan kanan dan bersambungan dengan 3 petak terakhir ini separa bulatan dilukis. Dengan sebelah kaki, setiap petak perlu dipijak kecuali yang terletak batu milikku atau milik pemain yang lain. Terlupa pula bagaimana pula sudahnya permainan ini. ( Sesiapa ingat boleh ingatkan?)

Letih bermain teng-teng, berganti dengan cakar ayam. Bukan cakar ayam makanan tetapi cakar ayam permainan. Sedikit tanah akan dicungkil untuk diadakan lubang agar ranting kayu dapat diletakkan di tengah lubang itu. Ranting kayu yang satu lagi dijadikan penyungkil untuk mengangkat pergi kayu yang tadi. Apabila jatuhnya kayu yang terbang, kayu yang satu lagi masih di tangan,lalu ia dibuat sebagai pengukur jarak antara lubang dengan jatuhnya kayu tersebut. Siapa yang paling jauh kiraan jaraknya, maka dialah pemenangnya.

Di tepi pagar rumah itu,ada sebuah longkang yang agak dalam. Ada ikan keli berenang. Seingatku kadangkala ada yang datang menangkapnya. Bertentangan pagar rumah,terdiri satu bangsal yang gunanya meletakkan kenderaan. Kadangkala dipenuhi dengan deretan basikal pelajar Sekolah Menengah Datuk Bentara Luar. Dengan pakaian seragam mereka, kadangkala beredar sebelum waktunya. Tidak kusedari saat itu mereka melanggar peraturan sekolah.

Sekolah pertamaku juga tidak jauh dari situ. Dengan pakaian seragam biru tua paras hanya sedikit bawah lutut berkemeja putih di dalamnya, berkasut dan berstokin putih,ku melangkah ke Sekolah Rendah Tengku Mariam bersama beg segiempat tepat, keras, kotak-kotak merah dan hitam. Pemegangnya seakan pemegang pintu. Sebelum melangkah keluar, tangan emak ,atuk dan sesiapa yang lebih tua dicium dahulu diikuti dengan bacaan doa penerang hati. Begitulah kebiasaanku sehari-hari. Kadangkala ku melangkah bersama-sama sepupu-sepupu yang lain ke sekolah melepasi Sekolah Rendah Kebangsaan Limpoon dan seterusnya diikuti dengan bangunan klinik gigi. Di penghujungnya, di situlah sekolah pertamaku dan tempat bermain. Bekalan ke sekolah sekadar 10 sen atau 20 sen. Dapatlah menjamah ais krim Malaysia perasa asam kecut.

Sesampai di sekolah,andai masih ada waktu,permainan seterusnya cop tiang atau galah panjang dan kalau dibenarkan ke padang ,cakar ayam. Tiang sekolahku tidak tegak berdiri, agak condong sedikit. Di tiang-tiang itulah jari jemariku ,kiri dan kanan bersilih ganti, bertukar kedudukan dengan rakan sambil cepat melangkah supaya tetap dapat mencapai tiang sebelum teman-teman. Mulut pula sambil menghitung ,mengira kekerapan bertukarnya tangan.. Menyebut soal menghitung,teringat pula. Di gelanggang badminton , berhadapan dengan tandas murid, permainan galah panjang sering diadakan. Permainan galah panjang terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan di barisan pertama dan kedua cuba menghalang kumpulan kedua yang cuba melepasi halangan itu. Sesiapa yang dicuit barisan pertahanan tidak dapat meneruskan permainan.

Selain itu, permainan batu seremban juga menjadi pilihan ,terutama sekali apabila cuaca panas dan tidak mendapat kebenaran bermain di luar. Tidak juga dilupakan permainan 'Nama,Negara,Objek, Buah-buahan dan Binatang'. Tidak pula kuingat nama ringkas permainan ini. Satu abjad akan dipilih dan pemain perlu menulis setiap ruangan. Setiap ruangan yang berbeza dengan pemain yang lain akan mendapat 10 markah tetapi sekiranya ada persamaan dengan pemain yang lain akan dipotong 5 markah. Sekiranya tiada perkataan yang ditulis, maka tiada sebarang markah. Permainan menggunakan atlas juga menjadi kegemaran. Bersama-sama sepupuku, salah seorang akan bergilir membaca nama tempat sementara seorang lagi mencari tempat tersebut di dalam atlas.

Begitulah permainan zaman sekolah rendahku dan mungkin juga zaman anak yang lahir di awal 70-an.

Kelihatan seimbas lalu, hidup zaman sekolah rendahku penuh dengan kegembiraan dan permainan. Namun hakikatnya, di sebaliknya ada juga warna-warninya. Di usia ku telah mengenali baik buruknya sesuatu, sudah tentunya ada pertentangan antara yang ideal dan realiti. Realiti yang selalu dipaparkan di kaca TV atau novel keluarga, pernah berlaku di depan mataku. Tak pernah kukesali. Semuanya mematangkanku. Menjadikanku lebih memahami ranjau liku hidup manusia yang berbagai gelagat. Tidak perlulah kupaparkan di sini untuk menjaga nama baik mereka yang terlibat.

Sebelum kuakhiri catatan ini, terlintas di fikiran. Adakah Afiqah dan Arif mengetahui setiap permainan yang kucatatkan ini? Akan kupastikan mereka tahu.

Sunday, July 23, 2006

Imbasan sebelum Ibu pulang

Sepanjang minggu mencari ruang untuk menulis. Terbukti di luar kemampuan. Keutamaan perlu didahulukan. Hanya sekadar menulis komen di blog sendiri dan rakan. Pelik juga ya. Kenapa pula saya seakan rasa bersalah bila tidak menulis? Seakan seperti satu tanggungjawab yang tak terlaksana, seperti janji yang tak tertunai, seperti harapan yang perlu dikecewakan.

Imbasan…
5.30pm ,23 Julai
Baru selesai latihan Modul 2, Program Pembangunan Pelajar.
Seramai lebih kurang 541orang pelajar Bahagian 2 dan 28 fasilitator terlibat dalam sesi Modul 2 yang membawa pengisian tentang Perkembangan Diri. Sesi yang bermula sejak jam 8 pagi semalam dirasmikan Pemangku Pengarah. Saya bertindak sebagai pengacara majlis diikuti dengan penyampaian taklimat kepada pelajar. Ada 3 sesi latihan dalam kumpulan (LDK) semalam dan saya juga menyampaikan ceramah Komunikasi Berkesan dan Kemahiran Sosial di sebelah malamnya. Memandangkan saya telah beberapa kali menyampaikan ceramah ini, persediaan hanyalah sekadar memperbaiki persembahan ‘slide’ dengan menambah beberapa grafik dan kata-kata yuang sesuai. Pagi ini bersambung dengan LDK dan tamatlah sudah program ini sebentar tadi.

20 & 21 Julai

Sempat juga menulis beberapa ayat untuk blog Bahasa Inggeris saya, http://www.nazhatulshimanolan.blogspot.com/ Jemputlah ke sana.

Khamis, kelas 8 jam,8 pagi hingga 6 petang. Jumaat pula ,4 jam. Untuk kelas peringkat ijazah, saya telah mulakan e-group memandangkan saya hanya bertemu mereka 2 jam seminggu dan menggunakan cara ini untuk ‘bertemu’ lebih kerap dengan mereka. Oh silapnya, beratus emel yang saya terima. Sampai tak larat nak baca.

19 Julai
Pagi kelas seperti biasa. Petang saya memberi taklimat kepada fasilitator kerana sedikit perubahan dalam pelaksanaan modul kali ini. Malangnya ada juga yang tidak dapat hadir kerana ada mesyuarat yang lain.

18 Julai
Siang kelas, malamnya pula ada perjumpaan PPP (Pegawai Pembangunan Pelajar) dengan seluruh penghuni Kolej Baiduri. Saya pun mengambil peluang ini dengan memberi ucapan untuk menghidupkan kembali projek ‘bayi’ saya,iaitu, English Speaking College.

Sampai di sini dulu imbasan saya.

Terasa rindu pula dengan putera puteri saya.

Afiqah & Arif,
Sebentar lagi ibu pulang
Sebentar lagi kita sembang
Bercerita tentang apa yang dibuat
Bercerita tentang apa yang perlu dibuat
Melakukan apa yang jadi rinduan
Yang pastinya ciuman ibu akan singgah di pipi
Yang pastinya pelukan ibu akan menghangatkan
Tapi kakak dan adik memang tak kisah
kakak dan adik memang dah faham
Kakak dan adik memang dah tahu
kakak dan adik memang dah tunggu
kerana
Begitulah selalunya yang berlaku
Setiap kali ibu pulang.

Tuesday, July 18, 2006

Kisah 5 hari Tak Menulis

Diam tak diam dah 5 hari saya tak menulis. Terfikir semula apa yang saya lakukan sepanjang waktu ini sehingga tidak meluangkan masa untuk blog saya. Waktu saya banyak dipenuhi dengan kelas, mesyuarat,kertas kerja ,kemaskini bajet,persediaan mengajar dan persediaan Modul 2.

Rabu, 12 Julai
Jadual terkini menunjukkan Amahah Tugas Akademik(ATA) mencecah 24 jam seminggu. Jumlah keseluruhan 7 kelas akan diajar. 5 kelas pelajar bahagian 1 ,Diploma yang kesemuanya berjumlah antara 35 ke 39 orang sekelas. Kursus yang diajar BEL100 (Introductory English). 2 kelas lagi kelas Ijazah Pemasaran, kursus BEL 490 (Speech Communication). Subjek yang sama diajar semester lepas. Alhamdulilah,persediaan mengajar lebih kepada penambahbaikan. Kandungan kursus BEL100 sudah lekat di kepala sehingga halaman topik tertentu dalam buku Grammar telah terhafal. Memang kegemaran saya mengajar Tatabahasa Bahasa Inggeris. Hanya timbul kebimbangan bagaimana harus saya susun strategi menyemak esei untuk 7 kelas. Kebiasaannya saya akan memberi tugasan berkumpulan dan mereka diajar teknik menilai dan pemberian markah dan cara memberi komen. Penilaian akan dibuat selepas setiap kumpulan membuat pembentangan. Mereka mungkin akan mahir memberi markah dan komen tetapi sewaktu peperiksaan masih lagi perlu menjawab secara individu. Adakah teknik ini terbukti berkesan,masih perlu dibuat kajian. Setakat ini ianya hanya andaian berdasarkan pengalaman dan teori pembelajaran.

2 ptg, Mesyuarat Kelab Penulisan Kreatif. Ada rakan yang telah membaca blog ini dan memberi komen. Terima kasih. Semuanya menyuntik semangat saya untuk terus menulis. Perbincangan mesyuarat berkisar aktiviti Bengkel Penulisan Kreatif yang diadakan di Hotel UiTM Dungun.

3ptg, Mesyuarat Akademik UiTM Johor pula. Ucapan oleh Pemangku Pengarah, Pro Madya Dr Omar Samat. Dewan kuliah agak riuh dek kata-kata Dr Omar yang penuh dengan kiasan dan analoginya.

9mlm, Mesyuarat JPK Kolej Baiduri bersama Pegawai Pembangunan Pelajar. Perbincangan meliputi aktiviti kolej. Saya mengingatkan JPK supaya hidupkan semula program ‘English Speaking College’ yang telah dilancarkan 2 tahun sebelum ini. Di entri yang lain akan saya ceritakan projek ‘bayi’ saya ini.

Khamis,13 Julai
Kelas pagi, 8- 10 dan 10-12, BEL100 dan seterusnya 2-4pm BEL 490. Selepas 6 jam kelas, ke bilik semula untuk membuat persediaan mengajar kelas hari Jumaat.

10 mlm,sempat menjengah seketika aktiviti Kelab Debat & Pidato UiTM Johor membuat ‘mock debate’ dan ‘public speaking’ yang diadakan berhampiran Kolej Baiduri. Niatnya hanya ingin meninjau, tapi dijemput oleh Fatmah, Presiden Kelab untuk memberi sepatah dua kata. Oh ya,saya juga menjadi penasihat kepada kelab ini.

Jumaat,14 Julai
Kelas sejak 8 pagi hingga 12. Kemudian mesyuarat seketika dengan 2 penasihat debat yang lain,diikuti mesyuarat bersama Ati, juga penyelaras Modul 2, membincangkan persiapan yang perlu dilakukan. Niat untuk pulang awal tidak dapat juga ditunaikan. Hampir jam 6 petang baru beredar dari pejabat dan balik ke Kolej Baiduri. Kalau nak dikira tugas masih belum selesai, tapi saya tinggalkan seketika. Kini masa bersama keluarga. Makan malam di Pernu, Melaka. Pertama kali menjejak kaki ke sana dan menjamah ikan bakar serta hidangan masakan laut yang lain. Teringat seperti di Muara,Kelang yang selalu dikunjungi ketika menetap di Shah Alam dulu. Makan malam ini sempena menyambut hari ulang tahun Adib pada 6 Julai yang lalu tapi kami terlalu sibuk pada hari tersebut. Susah juga nak belanja dia makan kerana dia mengutamakan jemputan bermain golf dari jemputan isteri nak meraikan majlis harijadi. Alhamdulilah,akhirnya pergi juga.

Sabtu,15 Julai
Tak habis-habis dengan mesyuarat. 10 pagi mesyuarat bersama Ati,Modul 2 lagi. 11 pagi dengan AJK Kelab Debat dan Pidato. Berbincang tentang aktviti sepanjang semester. Jam 1 selesai mesyuarat ,sambung buat persediaan untuk kelas hari Isnin. Jam 3 baru balik ke rumah. Adib sudah pun bergerak ke Shah Alam menghadiri kelas ePJJnya jam 11pagi.

Niatnya untuk memulakan perjalanan ke Batu Pahat jam 4 petang. Terpaksa ditangguhkan kerana saya kurang senang berjalan dengan keadaan rumah tidak berkemas. Pinggan mangkuk dicuci, baju diangkat,buku-buku bertempiaran ,yang kebanyakannya kerja Arif Nukman semuanya diselesaikan dahulu.

Akhirnya jam 6 petang memandulah saya ke Batu Pahat bersama –sama Afiqah, Arif dan Minea,anak angkat saya dari Finland yang sudah 6 bulan di sini.Perjalanan selama lebih kurang 1 jam setengah ini memang sentiasa ditunggu oleh anak-anak saya kerana inilah masanya mereka dapat berinteraksi bersama ibunya. Minea terutamanya amat menyenangi waktu Afiqah dan Arif terlena kerana dia dapat berbual panjang dengan saya.

Sebulan lebih tak menjenguk mak dan abah. Kalau tak pergi juga minggu ini, entah bilalah lagi. Setiap hujung minggu saya bermula 22 Julai akan diisi dengan berbagai aktiviti sehingga September nanti.

Ahad,16 Julai
Abah berikan beberapa helaian fotostat kisah atuk dari buku sejarah Pejuang Terbilang Johor. Sungguh tak sangka Atuk Sor,(emak abah) atau Hajah Zaharah Abdullah merupakan wanita pertama yang sama-sama menentang Malayan Union bersama-sama Dato’ Onn pada 1946 dan menjadi jurucakap kepada ahli parlimen Inggeris. Pada 26 Februari 2006 , abah mewakili Atuk untuk menerima watikah pengiktirafan. Semangat untuk mengkaji kisah Atuk berkobar-kobar pula. Selama ini dengar cerita Atuk secara lisan sahaja. Beliau pula meninggal dunia semasa saya berumur 5 tahun. Memori bersama Atuk yang paling segar di ingatan ialah perjalanan ke Pulau Pinang. Tak sangka penglibatan Atuk agak penting. Beranganlah pulak nak buat novel sejarah ni. Setakat ini sayalah satu-satunya cucu yang terlibat dalam bidang pendidikan seperti Atuk. Politik??? Em…mungkin tidak. Atuk Ayah pulak banyak terlibat dalam bidang kesenian. Masih terbayang semasa kecil,kumpulan ghazal selalu berkunjung ke rumah atuk buat persembahan. Atuk Ayah juga telah meninggal dunia pada tahun yang sama ,1977 malah lebih dulu 44 hari dari Atuk Sor. Kata orang, sehidup sematilah ni.

Isnin,17 Julai
Kelas 6 jam lagi hari ni. 10-12, 2-4 & 4-6ptg. Malam,9-10 perjumpaan dengan pelajar diploma bahagian 1 yang menetap di Kolej Baiduri.

Beginilah kehidupan saya sebagai seorang pensyarah,8 pagi hingga 6 petang menghadap kelas dan tugasan lain. 6 petang hingga 8 pagi pula bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Pelajar di samping sebagai ibu dan isteri ketika di rumah.

Mungkin kedengaran memenatkan tetapi saya rasa gembira dan sebaik mungkin mengawal perasaan saya supaya terus gembira dan bersemangat kerana saya rasa perasaan gembira dan bersemangat amat penting . Kalau hati tak gembira dengan keadaan begini saya rasa tenaga akan dihabiskan dengan memikirkan keadaan yang melemahkan kita. Saya percaya akal boleh mempengaruhi kita untuk menjalankan sesuatu di luar jangkaan. Dengan izin Allah juga dikurniakan kesihatan dan kudrat untuk melakukannya.

Akhir sekali,azam saya ialah agar penulisan blog saya ini tidak terhenti.

Bila dibaca semula entri ini seakan tidak lancar pula bahasa saya kali ini. Apa komen rakan-rakan sekalian?

Wednesday, July 12, 2006

Maka terbongkarlah rahsia...

Akhirnya lewat petang semalam setelah menyiapkan bajet Modul 2 dan buat persediaan mengajar , saya maklumkan alamat weblog saya kepada ahli Kelab Penulisan Kreatif UiTM Johor dan juga beberapa rakan yang lain. Setelah lebih kurang 2 minggu mengambil sikap ‘biarlah rahsia’, maka semalam terbongkarlah rahsia.

Hari ini, dalam perjalanan ke bilik ( pejabat), hati saya bertanya, mungkinkah rakan-rakan saya telah melawat blog dan seterusnya memberi pandangan masing-masing.

Terima kasih atas ucapan tahniah sekalian. Ianya sungguh bermakna sekali kerana bagi saya untuk memulakannya memang sesuatu yang sukar. Saya juga berharap penulisan saya ini bukanlah sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Pada 6 dan 7 Julai yang lalu, sama seperti semester yang lepas, saya berkhidmat sebagai fasilitator untuk pelajar diploma Bahagian 1 yang baru mendaftar. Seronok berinteraksi dengan pelajar baru , penuh dengan impian dan harapan. Tidak kurang juga yang kecewa kerana tidak berjaya mendapat kursus yang diharapkan. Apapun keadaannya, mereka semua perlukan bimbingan.

Sesuatu yang menarik dan kebiasaan pelajar baru ini adalah berkaitan dengan gelaran mereka kepada pensyarah. Selalunya mereka akan memanggil ‘Cikgu’ atau ‘Teacher’ kepada saya dan juga rakan-rakan lain. Sebenarnya saya tak kisah , apatah lagi memang saya pernah menjadi cikgu satu masa dulu dan dalam diam masih berbangga dengan gelaran tersebut walau telah menjadi pensyarah kini. Pada saya ,’sekali menjadi guru, selamanya menjadi guru’, walau berlainan kumpulan sasaran yang diajarnya. Walaupun begitu, secara amnya ada juga saya terdengar pensyarah yang kurang senang dengan panggilan tersebut dan cuba membetulkannya. Tapi selalunya lambat laun mereka akan tahu juga bagaimana nak memanggil pensyarah. Maklumlah mereka baru sahaja tamat sekolah, jadi masih tersasul lagi.

Setelah 4 hari bertugas dari pagi hingga ke malam berturut-turut, hari kelima kesihatan agak terganggu kerana kekurangan tidur. Maka, pada 8 Julai saya hanya bersama-sama pelajar pada sesi penutup untuk Kursus bersama JPK( Jawatankuasa Perwakilan Kolej). Rancangan awal ingin menjengah mak dan abah serta menghadiri kenduri arwah pakcik di Batu Pahat terpaksa juga dibatalkan. Saya perlu berehat secukupnya supaya kelas pertama pada hari Isnin, saya akan cergas dan ceria menemui pelajar baru saya.

Alhamdulilah,bertemulah saya dengan pelajar baru pada 10 Julai. Mereka mengambil Diploma Sains Komputer. Lazimnya,dalam pertemuan yang pertama, saya peruntukkan waktu untuk mengenali mereka. Selalunya di akhir kelas yang pertama, saya dapat menghafal semua nama timangan pelajar saya. Ya,untuk kelas pertama ni ada 37 orang semuanya. Saya percaya sesi ini amat penting kerana bila kita dapat ingat nama seseorang, dia akan dapat rasakan dia adalah orang penting. Kalau dia rasa dia dikenali , dia akan rasa seronok dan seterusnya bila dia rasa seronok, keadaan dalam kelas pun akan ceria, dan bila semua ceria, maka mudahlah sedikit penyampaian ilmu berlangsung. Kelas saya pada pagi Selasa juga pelajar jurusan yang sama dan berjumlah 36 orang semuanya.

Selesai kelas, sebagai Penyelaras Modul 2 , Program Kepimpinan Pelajar ,saya teruskan tugas dengan menyiapkan bajet untuk program yang akan berlangsung 2 minggu lagi. Selesai hantar emel kepada mereka yang berkenaan, rakan saya, Ati, iaitu penyelaras bersama, memaklumkan terpaksa buat sedikit perubahan.

Namun saya tinggalkan dulu kerana sedang buat persiapan untuk kelas.

Malamnya, balik ke rumah/kolej kediaman,dapatlah berinteraksi seketika dengan anak dan menguruskan rumah serba sedikit. Maklumlah saya tiada pembantu rumah. tapi ada juga tugasan tertentu telah diagihkan kepada kedua-dua anak saya sebagai 'latihan'. Jam 9 malam turun semula untuk menghadiri mesyuarat bersama JPK Kolej Baiduri. Saya juga menjadi Pegawai Pembangunan Pelajar) Perbincangan berkisar aktiviti dan perkara penting yang akan dijalankan sepanjang semester. Adalah beberapa idea yang saya utarakan. Insya Allah di entri seterusnya akan saya ceritakan. Jam 11 malam barulah sampai ke rumah semula, kini masa saya bersama suami pula.

Begitulah seharian rutin saya kalau semester bermula, dari pagi hingga ke malam,ada sahaja aktivitinya.

Alhamdulilah, suami saya , Adib, amat memahami kerjaya dan minat saya dan mengizinkannya.

Thursday, July 06, 2006

Mungkin hampir sama tetapi pengajarannya masih ada

Minggu lalu dan minggu ini ,waktu kerja saya dipenuhi dengan sesi seminar. Mungkin ada orang yang tidak berapa gemar mengikuti seminar atau kursus apatah lagi kalau diarahkan. Namun saya di dalam kategori mereka yang sangat suka mengikutinya walaupun kadangkala terpaksa mengeluarkan wang ringgit atau berjalan jauh. Seseorang yang amat rapat telah bersuara, " Kenapa perlu mengikuti kursus dan seminar yang serupa? Balik-balik tajuk yang sama." Saya akui kadangkala seminar atau kursus yang saya sertai mempunyai pengisian yang hampir sama. Tetapi pada pandangan saya, walaupun seminar dan kursus itu mempunyai tajuk dan pengisian yang sama,pendekatan dan cara penyampaian pasti terdapat perbezaannya. Saya sentiasa bersikap terbuka untuk mempelajari sesuatu yang pada pandangan secara kasarnya adalah sama tapi masih terdapat perbezaannya. Sama ada penceramah itu hebat atau sebaliknya, semuanya dapat dijadikan teladan atau sempadan.

Sebagai seorang pensyarah dan pembimbing pelajar, saya sendiri pernah mengajar tajuk yang sama pada satu hari kepada tiga kumpulan yang berbeza dan menggunakan pendekatan yang tidak keseluruhannya sama. Setiap detik hidup kita adalah unik. Kita sering berhadapan dengan orang yang berbeza di waktu yang berbeza dalam suasana yang berbeza. Atas dasar ini , kita tidak boleh bersikap stereotaip. Saya pernah ditanya berkaitan ciri-ciri yang ketara yang dapat dilihat dalam kumpulan pelajar saya mengikut jurusan yang diambil. Malangnya, saya dapati sukar untuk menjawab soalan itu. Bukan kerana saya tidak mengenali mereka atau kurang peka menganalisa mereka tetapi saya telah mengelak dari melabel mereka. Saya menghalang maklumat yang berbau bais mempengaruhi pandangan saya terhadap kumpulan pelajar tertentu.

Pada pandangan saya, semua orang mempunyai potensi sekiranya kita bersangka baik atau positif dengan kebolehan mereka. Malah saya amat seronok jika terdapat pelajar yang kelihatan bermasalah atau sedikit berbeza. Terutama sekali bila dapat melihat perubahan ke arah kebaikan, satu kepuasan yang tak ternilai.

Begitu juga kalau saya berhadapan dengan anak-anak. Seringkali saya perlu berpesan perkara yang serupa tetapi untuk memberi kesan kadangkala perlu diubah cara penyampaian. Saya sedar saya jauh dari sempurna tetapi sering berusaha melakukan sesuatu sebaik mungkin.

Sunday, July 02, 2006

Dan saya pun menulis lagi

Entri pertama saya memang agak ringkas sekali. Mungkin juga tiada sesiapa pun yang membaca cacatan pertama saya lantaran tidak disebarkan kepada sesiapa lagi. Sebenarnya sudah agak lama saya tidak menulis dalam Bahasa Melayu yang formal. Harapan saya dengan adanya blog ini, saya dapat menggunakan bahasa ibunda saya dalam bentuk tulisan dengan lebih kerap lagi. Keinginan untuk menulis memang telah lama wujud tetapi sering tidak kesampaian dengan pelbagai alasan. Bukannya kerana ketandusan idea. Malah saya mugkin terlalu banyak ideanya sehingga ia hanya berlegar-legar di ruang minda peribadi saya atau hanya terdetik di ruang hati. Kalau ada pun idea yang disuarakan, hanya setakat dikongsikan secara lisan bersama beberapa teman. Ada juga yang mencabar,jangan cakap sahaja , tulislah! Maka menulislah saya walaupun entah apa-apa. Anggaplah ini sebagai sesi pemanasan saya sebelum semangat terpadam eloklah diteruskan, betul tak?