Thursday, August 10, 2006

Debat 50 Jam Tanpa Henti: Rekod Baru

4 Ogos, Jumaat
Disebabkan tiada pemandu atau kenderaan yang dapat membawa para pendebat saya ke UiTM Shah Alam untuk menyertai program ’50 Hours Non Stop Debate' ,maka saya pun menjadi pemandu merangkap pengiring 8 orang pendebat saya ke sana. 4 pendebat menaiki kereta saya dan 4 lagi menaiki kenderaan rakan sekerja saya ,Kak Zaira.

Saya memang suka memandu. Program berlangsung di Seksyen 17, Fakulti Pendidikan UiTM Shah Alam. Ah bernostalgia lagi saya…15 tahun yang lalu , saya juga di sini. Sambil berkata kepada pelajar saya dalam Bahasa Inggeris, “Di Dewan Angsana ini jugalah saya pernah berdebat dan mendapat pendebat terbaik dan johan berdebat Bahasa Inggeris peringkat program TESL” Waktu itu, Dewan Angsana berbeza sekali keadaannya dengan apa yang saya lihat sekarang. Di luar Dewan Angsana pula, masih lagi terbayang saya berdiri di hadapan mikrofon di bawah pokok sambil mendeklamasi sajak dalam satu pertandingan. Seingat saya , saya hanya berjaya mendapat tempat kedua. Memang banyak kenangan manis di situ. Tiga tahun saya menimba ilmu di Pusat Pendidikan Persediaan/ITM. Dua tahun menjalani Matrikulasi TESL dan satu tahun pula mengikuti Sarjana Muda Pendidikan TESL. Tahun Kedua barulah ke Universiti Kebangsaan Malaysia memandangkan ITM belum lagi sebuah universiti waktu itu.

Berbalik kepada kisah debat. Saya membawa 4 pasukan semuanya. Satu pasukan berdebat pada jam 10 hingga 11 malam, satu lagi jam 2 hingga 3 pagi, seterusnya 3 hingga 4 pagi dan terakhir jam 8 hingga 9 pagi. Dua pasukan balik dulu ke hotel bersama Kak Zaira dan saya menunggu sehingga jam 4 pagi. Lebih kurang 4.30 pagi saya memandu dan menghantar mereka ke INTEKMA. Saya pula seterusnya memandu di awal pagi ke Hotel Concorde Shah Alam untuk berehat seketika. Tak pernah saya memandu seorang diri di waktu begini. Tapi masih ada lagi beberapa kereta di sekitar Shah Alam di awal pagi Sabtu itu. Kak Zaira menghantar 2 pasukan lagi pada jam 7 pagi dan lebih kurang jam 10 pagi saya pula membawa 2 pasukan yang saya bawa awal pagi tadi untuk ke tempat program untuk menyaksikan 2 jam terakhir debat. Sambil menunggu sempat berjumpa dengan pensyarah TESL yang pernah mengajar saya dulu dan juga super senior yang merupakan kumpulan pertama pelajar TESL. Masing-masing bertukar cerita tentang kisah lalu semasa kami menjadi pelajar di sini. Diam tak diam masa pun berlalu. Maka akhirnya terciptalah satu rekod baru mendahului rekod sebelumnya selama 36 jam dengan berdebat tanpa henti selama 50 jam 9 minit di dalam Malaysian Book of Record.
Kisah hari itu tidak tamat di sini. Perjalanan saya seterusnya ke Port Dickson pula.

1 comment:

Yang bernama Siti said...

Shima, Apa rasionalnya berdebat begitu lama? Apa kebaikan daripada debat itu untuk diri sendiri, sekurang-kurangnya? Maaf, saya selalu tidak dapat menghayati rasional membuat sesuatu perkara untuk memecahkan rekod. Bukankah kita orang Islam dilarang membazirkan waktu begitu sahaja? Kalau kita perhatikan, banyak projek kerajaan atau NGO atau badan-badan lain hanya tertumpu kepada mencari gah. Pembaziran yang menjadi hasil lansung atau tak langsung tidak diambil kira.