Thursday, August 17, 2006

Episod Pelajar Sakit

Awal pagi Selasa,15 Ogos

Sedang enak dibuai mimpi terngiang-ngiang bunyi telefon.
Kedengaran di corong telinga,"Puan Shima ada pelajar sakit,dia sesak nafas."
Saya langsung bertanya," Telefon dari mana ni?"
Suara itu menjawab,"Dari bilik, Puan."
Saya menyambung,"Awak ada telefon ke telefon bimbit saya ke tadi?"
Sambil menunggu jawapannya saya meninjau skrin telefon bimbit yang terpapar nama 'Radhi',YDP Kolej Baiduri lalu terpandang waktu menunjukkan jam 3 pagi.
Baru 2 jam yang lalu saya melelapkan mata.
Saya lalu berkata,"Tunggu sebentar, saya salin pakaian."
Saya mengejutkan Adib," Boleh teman sekejap?""Ada pelajar sakit."

Antara sedar dengan tidak, Adib hanya mengangguk dan terus menyalin pakaian.
Dia menyarankan saya menelefon Encik Borhan, pegawai di Pusat Kesihatan UiTM.
Mujurlah saya ada menyimpan nombornya di telefon bimbit.
Dalam kerisauan menanti jawapan disambut, hati saya berkata,"Bagaimana kalau dia tidak sedar?"

Beberapa saat berlalu dan akhirnya panggilan dijawab.
Setelah menerangkan apa yang berlaku, beliau pun meminta saya membawa pelajar berkenaan ke Klinik Penawar. (Nama lain bagi pusat kesihatan)

Saya menelefon Radhi semula, "Boleh bawa pelajar itu ke bawah?"
Radhi menjawab,"Boleh Puan?"
Kami kemudiannya menghantar pelajar tersebut ke Penawar.
Rupa-rupanya pelajar ini sudahpun berjumpa dengan Encik Borhan pada sebelah paginya dan telah diberikan alat pernafasan oksigen.
Encik Borhan membuat beberapa pemeriksaan dan membuat keputusan untuk menghantar pelajar tersebut ke Hospital Segamat.
Saya pulang ke rumah lebih kurang jam 4.30 pagi.
Mujurlah ada Pegawai Kesihatan dan doktor sekarang. Sebelum ketibaan mereka,kami perlu menghantar pelajar ke hospital yang jauhnya lebih kurang 25km, dengan kenderaan sendiri. Kebiasaannya sakit-sakit begini datang lewat tengah malam atau awal pagi.

Usai azan Zohor,15 Ogos,bermulalah episod seterusnya.
Terpapar di telefon bimbit saya nombor yang tidak dikenali.
Saya menjawab panggilan dan terdengarlah suara dihujungnya berbicara," Puan ada pelajar pengsan di kolej. Ini Intan."
Saya membalas," Tunggu sebentar, saya di pejabat sekarang."
Saya berkata dalam hati,"Sekarang waktu rehat, tentu tiada siapa di Penawar."
Saya terfikir," Telefon Encik Nor Rahman, pemandu ambulan."
Sejurus mendail,kedengaran suaranya menjawab. Setelah menyampaikan berita kepadanya,dia berkata,"Saya solat Zohor dahulu dan kemudian akan mengambil ambulan"
Jawapan saya pula," Baiklah,saya akan balik ke kolej sekarang untuk melihat pelajar tersebut".
Segala urusan selesai lebih kurang jam 3 petang dan saya pulang semula ke pejabat untuk membuat persediaan ke kelas jam 4 petang. Hampir jam 4 petang, saya mendapat panggilan semula daripada teman pelajar yang sakit.
"Puan,doktor kata tiada masalah . Boleh ambil pelajar tersebut dan balik semula ke Kolej Baiduri sekarang."
Kehairanan,saya menyoal," Tak ada apa-apa?"
Saya meneruskan bicara,"Tunggu sebentar ya, saya ada kelas sebentar lagi."
Tangan menekan sambil mencari nombor telefon wakil kelas petang itu dan memberitahunya supaya tunggu sebentar kerana saya akan tiba lewat untuk menguruskan seorang pelajar sakit.
Saya bergegas ke Penawar dan berjumpa doktor.
"Mana pelajar yang pengsan tadi?"
"Dah sihat ke?"
Doktor menjawab,"Ada di dalam. Kami akan menghantarnya ke Hospital Segamat".
Dalam kebingungan saya bersuara, "Tadi kawannya menelefon dan mengatakan dia sudah baik dan perlu dijemput pulang."
Perasaan bercampur baur,"Jika begitu saya akan ke kelas sekarang"
Kelas tamat jam 6 petang dan saya pun pulang ke rumah.

Waktu Maghrib saya dikunjungi pelajar lagi.
"Puan kami perlu ke hospital untuk menghantar beberpa barang pelajar yang pengsan tadi ke hospital."
Saya menyoal," Nak cepat ke?" " Saya ada program 'audition Public Speaking' jam 8.30 malam ni. Selapas selesai program, bolehlah ke hospital. Tapi tak tentu lagi habis jam berapa. Mungkin dalam kurang lebih jam 10 malam".

Selesai program,saya menelefon Sara,"Dah sedia nak ke hospital?"
Dia menerangkan,"Dah boleh jemput balik ."
Untuk mendapat kepastian,saya bertanya semula," Yang pengsan tadi pun boleh balik juga?'

Sampai di rumah semula lebih jam 12 tengah malam.

Menghantar dan mengambil pelajar sakit memang sebahagian daripada bidang tugas Pegawai Pembangunan Pelajar. Pernah juga saya memandu jam 1 pagi menghantar pelajar dan perlu menjemput semula pelajar yang sama pada jam 4 pagi. Saya hanya berfikir, "Ini hari mereka. Apabila sampai masanya nanti, mungkin saya yang akan sakit selain anak-anak atau suami saya."

Begitulah berakhirnya episod menghantar dan mengambil pelajar-pelajar sakit.

Di kelas, saya ingatkan pelajar-pelajar saya untuk menjaga kesihatan dan makan dengan teratur. Maklumlah musim-musim ada ujian,tugasan dan pembentangan , membuatkan pelajar yang tidak dapat mengatur masa dengan bijak akan rasa tertekan dan terabaikan makan minumnya sehingga menjejaskan kesihatan pula.

Melalui perbualan saya bersama Pegawai Pembangunan Pelajar yang lain,ada juga kes pelajar yang berpura-pura sakit.
Bila ditanya tentang tugasan dan kelas yang akan ditinggalkan semasa cuti sakit,kami dapat membuat kesimpulannya.
"Puan saya ada tiga tugasan yang perlu dihantar esok" " Puan boleh tolong sampaikan kepada Puan..., saya masih belum selesaikannya."

Bila ada kes-kes begini,urut dada sahajalah. Tertipu rasanya...

12 comments:

ufukhati said...

shima,

Merujuk kepada pengalaman puan itu : /Puan telah berjaya menjadi seorang insan yang ihsan. Ini nilai yang unggul./

Saya sendiri (bukan sebagai pensyarah), sudah alamai perkara seperti yang dilalui oleh Puan shima itu. Sudah menjadi tanggungjawab kita melakukan seperti itu dan selepas beberapa ketika kita mulai rasai "kepuasan" menolong orang yang dalam kepayahan.

Terus berbakti. Allah menghitung segala amal baik puan shima.

Wan A. Rafar said...

Semoga amalan puan mendapat ganjaran sewajaranya daripada Allah swt. Kita kadang-kadang tidak tahu, itu adalah perancangan Allah untuk mengisi buku amalan kita.

Hero said...

prolifik sungguh u ni Shima...student u tahu tak pasal blog u ni? diorang baca tak?

ummi said...

Your blog is very engaging. Bravo to you :-). Keep writing, sis.
p/s
Did you apply the method taught during the workshop?

Nazhatulshima N said...

Pak Darma & Pak Wan,
Selain menjalankan tugas, saya kira jika saya tinggal di luar kampus,pengalamannya sama juga sekiranya ada jiran tetangga kita yang sakit,sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membantunya. Cuma,mungkin tak sekerap tinggal di dalam kampus.

Syah,
Wah...rasanya saya tak layak lagi di gelar prolifik tu. Setakat ini, saya belum lagi memberitahu para pelajar saya tentang kedua-dua blog saya. Setakat ini, pengumumannya dibuat secara berperingkat-peringkat kepada kumpulan-kumpulan kecil. Saya rasa kumpulan yang terbesar setakat ini ialah dalam Teraju. Kenapa ya? Nak kata malu...mungkin ada juga tapi nanti saya cuba umumkan,tengok apa kata mereka.

Kak Shaki,
Terima kasih, sudi melawat blog saya. Betul, saya cuba menggunakan teknik penulisan yang dipelajari semasa bengkel dalam entri ini. Berkesan ke?

P/S: Saya jawab dalam Bahasa Melayu ni kerana saya cuba menggunakan Bahasa Melayu dalam keseluruhan blog Melayu saya dan Bahasa Inggeris keseluruhannya dalam blog English saya.

Nashé Abdillah said...

Hello Shima,

Simpati juga dengar cerita tu. Pegawai-pegawai yang lain tak terlibat sama ke? :) Teruskan usaha yang murni tu. Sudi-sudikanlah mampir di blog saya: www.sendrijas.blogspot.com Boleh bertukar-tukar pandangan. Juga ditujukan kepada teman-teman Shima sekalian. Salam Ukhwah.

SitiNur77 said...

Shima,
Siapa Adib?

Nazhatulshima N said...

Nashe,
Insya Allah saya akan berkunjung ke sana.

Sitinur,
Adib tu suami saya.

Hero said...

saya dah berkunjung dah ke blog nashe. nice. ahahahaha... berjela2 saya komen kat situ. ahahahaha. sib baik nashe tak kisah.

Anonymous said...

akum...tumpang tanya..akak Shima ni penah jadi lecturer kat Kolej PTPL Seremban ke? pasal ader gak sorang lecturer saye dulu, nama sama je. sekadar bertanya...

Nazhatulshima N said...

Paskal,
Saya tidak pernah mengajar di sana. Selamat datang ke blog saya.

hakim dirani said...

Kak Shima,

pengalaman yang menarik dan bertambah menarik kerana kami dapat kongsi bersama.