Wednesday, September 20, 2006

Menabur Budi Semampunya

Petang ini
Sebahagian topeng telah terbuka
Termangu-mangu seketika
Begini rupanya duduk bicara
Benarlah naluri ku berkata
Ada sesuatu yang tak kena
Tak ku ketahui puncanya
Baru kini kusedari
Sebenarnya ku silap
Di mata mereka
Baru kini bersuara
Begitu dan begini rupanya
Tak mengapa
Aku banyak silap rupanya
Ada yang mengejutkan
Ada yang melukakan
Tak kurang juga yang ku rasa
bagai nak ketawa
bagai lagak si anak kecil
Tak kuketahui harapan mereka
Menggunung tinggi rupanya
Ku silap menafsir hati
Tapi ku merasa lega
Akhirnya pertanyaan ku terjawab
Naluri ku tepat
Walau dinafikan
Pada mulanya
Aku berundur
Bukan erti kalah
Patah semangat?
Tiada dalam kamusku
Walau berjujuran mutiara di pipi
Semangat ku waja seakan besi
Penghijrahan seterusnya
Kepada yang lebih memerlukan
Menabur budi semampunya

9 comments:

ufukhati said...

Puan,

Gelombang dan badai mainan laut,
cahaya akan muncul di ufuk.

Scarlet Kingsnake said...

maksud ayat 5-6 surah al-Insyirah sebagai bekal.

"So, verily, with every difficulty, there is relief,

Verily, with every difficulty there is relief."

:)

Nazhatulshima Nolan said...

Pak Darma,
Cahaya muncul di ufuk
Walau di pantai mana kita berada
Terumbu karang tampak indah di lautan
Bila dibawa ke daratan keras dan tajam
Terbit dan terbenamnya matahari
Lumrah alam
Sesekali gerhana menjelma
Semuanya dihadapi dengan bersyukur kepadaNya!



Syah,
Sudah pastinya ayat Al-Quran menjadi pengubat. Terima kasih.

ufukhati said...

Puan shima,

Ayat-ayatnya amat indah,
indah pada bahasa,
indah pada makna,
satukan:
indah pada kehidupan!

Yang bernama Siti said...

Shima,
Saya tumpang dukacita. Memang berundur tidak bererti kalah. Kadang kala dalam kekecohan berdiam diri itu lebih baik dan menyelamatkan keadaan. Mengambil sikap tunggu dan lihat sehinggalah semua pihak terbabit tenang semula amat baik menurut pengalaman saya kerana hati manusia berubah-ubah, sekejap panas sekejap sejuk. Semoga Shima terus tabah.

wan a. rafar said...

Puan Shima,
Yang penting kita sentiasa sematkan di hati:
Segala kerja kita buat kerana Allah, barulah hati tidak akan gundah.

mki said...

Shima dan Adib,
Saya dan Roza mengucapkan selamat berpuasa dan semuga dapat menyambut Syawal dalam keredhaannya.

Puan Ainon Mohd. said...

"Menabur budi semampunya"?
Menabur budi di luar kemampuan, itulah perjuangan.

Nazhatulshima Nolan said...

Pak Darma,
Ayat-ayat yang indah juga dari Pak Darma.

Kak Siti Hajar,
Saya percaya pengalaman akak banyak mengajar.

Pak Wan,
Insya Allah saya perlu beringat, buat kerja hanya keranaNya.

Prof,
Semoga Prof sekeluarga juga mendapat keredaanNya.

Puan Ainon,
Kata-kata yang sungguh menyuntik semangat. Buat saya tersedar,kata saya bagai kata-kata orang yang kecewa. Terima kasih,saya perlu berjuang di luar kemampuan untuk lebih cemerlang,Insya Allah.