Monday, November 20, 2006

Sebetulnya belum layak

Sebetulnya saya belum layak memberi ganjaran ini kepada diri sendiri lantaran ada 5 bungkusan untuk kod BEL100 yang mempunyai 12 halaman setiap satu yang sedang menanti dengan penuh setia. Di dalam setiap bungkusan pula terdapat sebanyak 38 + 38 + 38 + 36 + 26 ,iaitu berjumlah 176 semuanya dan perlu siap disemak dan ditaipkan markahnya menjelang 25hb November ini. Bahagian yang akan disemak yang akan mengambil masa adalah bahagian eseinya.

Kod BEL 490 (Speech Communication) telah dapat saya sempurnakan minggu lalu dan keputusan mereka juga telah saya ketahui.

Di waktu saya perlu menyudahkan pemyemakan kod tersebut berbagai perkara berlaku yang saya anggap sebagai dugaan. Pertama sekali, anak saudara suami saya, yang berumur 15 tahun menjalani pembedahan hati di Hospital Selayang,lalu kami sekeluarga melawatnya di sana. Alhamdulilah telah selamat kini. Di waktu yang sama berlaku suatu kejadian kepada anak angkat saya, Minea yang tidak akan saya dedahkan di sini, tetapi cukuplah sekadar mengatakan ia amat memberi pengajaran kepadanya dan membuat dia lebih memahami mengapa dan kenapa…

Sepanjang minggu ini, ada dua jamuan hari raya, iaitu peringkat UiTM Johor dan juga di peringkat Akademi Pengajain Bahasa di samping 3 kali mengawas peperiksaan selama 3 jam setiap satu. Paling mencabar ketika menjadi Ketua Pengawas di Dewan Besar. Ini merupakan kali pertama saya menjadi Ketua Pengawas di Dewan Besar yang menempatkan lebih kurang 400 pelajar. Perkara yang perlu diambil kira ialah menetapkan kedudukan pelajar untuk 5 kod /subjek yang berbeza dan membuat jadual untuk 8 orang pengawas lain. Ada 6 pintu dewan yang berbeza yang perlu ditetapkan untuk setiap kumpulan pelajar dan setiap pengawas perlu ditugaskan untuk mengawas kumpulan pelajar yang berbeza supaya skrip jawapan tidak bercampur. Saya juga perlu pastikan bilangan meja betul mengikut bilangan pelajar. Sejam sebelum peperiksaan bermula, kertas soalan perlu diambil dari bilik gerakan peperiksaan dan dibawa ke dewan peperiksaan. Setiap pengawas akan membantu meletakkan kertas soalan dan jawapan di atas meja para pelajar mengikut jadual yang telah saya tetapkan. 10 minit sebelum peperiksaan bermula, kedengaran suara saya memanggil dengan bantuan mikrofon semua pelajar untuk masuk ke dewan. Peraturan am saya sampaikan dan genap jam 9 pagi maka bermulalah peperiksaan. Alhamdulilah semuanya berjalan dengan lancar dan peperiksaan tamat pada jam 12 dengan bantuan rakan pensyarah dan pembantu pengawas yang lain.

Pada hari Jumaat ,17 November ,saya juga meluangkan masa ke sekolah anak saya untuk Majlis Penyampaian Hadiah. Afiqah Nadzirah agak kecewa dengan pencapaiannya kali ini kerana dapat tempat keempat berbanding ketiga. Dia juga menerima hadiah kerana mewakili sekolah untuk pertandingan bercerita bahasa Inggeris peringkat Johor dan berjaya menjadi Johan. Arif Nukman pula menerima sijil sebagai ketua kelas.

18 November, sejurus selepas pengawasan peperiksaan jam 5.30 petang berakhir, kami sekeluarga ke Bayu Beach Resort di Port Dickson untuk menghadiri Majlis Perpisahan dan hari raya untuk anak angkat saya , Minea yang akan berangkat pulang pada 10 Disember nanti.

Seperti yang telah saya katakan di awal tulisan saya ,sebetulnya belum layak saya memberi ganjaran pada diri saya sendiri tetapi saya anggap ini sebagai ganjaran untuk 3 bungkusan pertama yang telah saya sempurnakan minggu lalu dan sebagai pengubat rindu untuk menulis. Doakanlah saya dapat menyemak dengan tenang dan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Terima kasih.

Maaf juga kerana 7 entri seperti yang telah diumumkan sebelum ini masih dibentuk draf dan isinya masih berlegar di ruang minda.

5 comments:

ufukhati said...

Puan Shima,

Syabas kerana berjaya mengurus hidup di kampus dan di luar kampus dengan sempurna.

Tahniah kepada Afiqah Nadzirah dan Arif Nukman atas kejayaan masing-masing.

Harap semuanya berjalan lancar apada hari-hari mendatang.

Yang bernama Siti said...

Shima,
Saya juga ada beberapa tajuk dan cerita yang saya karang untuk disiarkan di blog saya. Namun ia cuma tinggal tajuk dan cadangan kerana ia hanya saya karang di minda. Kata sifu ALB bila ingin menulis, catatkan apa yang ingin ditulis di buku nota sebelum kita ada waktu menuliskannya dengan sempurna. Saya juga mendapat dorongan bila menggelintar ke blog saudara Alang Bidara yang banyak blog dan rajin pula mengemas kini blog-blog tersebut. Dan juga bila membaca saranan Syah supaya menulis apa saja walaupun pendek di blog setiap hari. Sekadar berkongsi... Semoga dapat berjumpa pada Hari Sabtu ini. InsyaAllah.

neomesuff said...

I can see that you're the very the busy...but yet your children EXCEL!! = i'm impress!... lookin forward for your draft to be posted.. ;-)

hakim dirani said...

Wah!! puan Shima sudah kembali. rindu saya pada tulisan puan.

Anonymous said...

salam,
at last shima, kak lin dapat jenguk blog shima, not bad!
& tahniah utk anakanda shima yang comel2 tu....