Saturday, December 23, 2006

Bila Hujan Tak Berhenti-henti Bertemu Bumi












Rancangan bercuti terpaksa ditunda lantaran kedua-dua jalan keluar daripada UiTM Johor tidak dapat dilalui sejak hari Rabu, 20hb Disember 2006.

Lebih kurang tiga minit memandu ke arah Jementah/Tangkak atau lebih dikenali sebagai Durian Batu oleh penduduk tempatan telah dibanjiri air.





Begitu juga dengan jalan yang menghala ke arah bandar Segamat. Lebih kurang 2 minit memandu daripada pintu gerbang UiTM Johor, jalanraya tidak dapat dilalui juga.



Kami sekeluarga cuba memandu melalui jalan pintas di Bukit Tunggal untuk ke pekan Jementah. Jalan kampung yang melalui ladang kelapa sawit dan getah itu tidak juga berjaya kami tembusi kerana telah dinaiki air.

Ada rumah yang telah tinggal bumbung sahaja. Ada juga yang masih terselamat. Ada yang mengeluarkan jaring dan mengambil peluang untuk menangkap ikan. Beberapa buah lori berderetan, sedang berkira-kira untuk mengharungi air atau sebaliknya. Tiada yang berani melepasi kerana paras air sudah meningkat.

21hb Disember 2006

Hujan masih belum jemu bertemu bumi. Kebanyakan warga UiTM tidak dapat bertugas kerana tidak dapat menembusi jalan keluar daripada rumah masing-masing. Ramai yang berada di Balai Polis Jementah untuk membuat laporan dan mendapat cuti bencana alam. Bagi warga UiTM yang tinggal dalam UiTM seperti saya pula terperangkap di dalam.

Rakan-rakan yang tinggal di Taman Bunga Raya ,Gemereh, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Mereka ketiadaan elektrik dan air dan tidak dapat bergerak ke arah bandar Segamat atau ke arah UiTM.

Mereka yang tinggal di Kg Jawa, hanya tinggal sehelai sepinggang. Air mencecah ke bumbung. Adib cuba menghubungi rakannya yang tinggal di sana tapi tidak berjaya. Jafri,rakan sejabatan,juga Koordinator Perhubungan Korporat dan Media yang cuba balik ke Labis juga terkandas di bandar Segamat dan terpaksa diselamatkan oleh bot tentera. Sempat juga saya mendengar laporannya di Radio Johor tengaharinya. Berita lain yang diterima, kereta beberapa orang rakan sudah dimasuki air keseluruhannya dan ada rakan-rakan yang terpaksa duduk di tingkat dua rumah mereka.

Bekalan makanan hampir kehabisan di rumah saya. Saya dan suami cuba ke Jementah melalui jalan pintas di Bukit Tunggal. Hujan masih renyai tetapi kami berjaya melalui jalan tersebut dan selamat sampai ke pasar Jementah. Kami membeli segala keperluan makanan dan selamat pulang semula ke UiTM.

Kami cuba memandu ke arah bandar Segamat melalui jalan Batu Anam. Kami ke Jalan Genuang. Ya Allah, ramainya orang, seakan sedang memancing. Terkejut saya melihatkan begitu ramai yang mengambil kesempatan mengambil barang-barang yang terapung-apung, dan ada juga yang mengambil barang- barang yang masih berada di dalam kedai serbanika tersebut. Ada yang tanpa segan silu mengangkut segala barangan ke dalam lori dengan alasan kalau tidak diambil akan hanyut dibawa arus juga. Ada yang agak teragak-agak dan tidak pasti sama ada untuk meneruskan niat mereka. Tidak kurang juga seperti saya yang merakam perbuatan mereka dengan telefon bimbit masing-masing. Yang menjadi kesedihan saya adalah melihat gelagat anak-anak muda sebangsa saya dan saya kira seagama saya yang tanpa segan silu, sambil bergelak ketawa mengambil tin-tin air yang haram diminumnya.


Dalam rintik-rintik hujan, saya sekeluarga berjalan menyaksikan keadaan jalan di hadapan kami. Persis keadaan seusai tsunami. Hibanya terasa, mata saya bergenang.

Berita jam 8 malam itu menunjukkan senario yang serupa.

Syukur Alhamdulilah saya sekeluarga masih ada tempat berteduh, pakaian dan makanan secukupnya walaupun tidak dapat bergerak ke mana-mana. Bila terkenangkan rakan-rakan yang lain, tidak dapat saya bayangkan keadaan mereka.

Panggilan telefon dan SMS dari sanak saudara dan pelajar UiTM menghujani saya untuk bertanya khabar. Saya cuba untuk menulis di blog tetapi tidak berjaya membuka internet.

Kini hujan telah pun berhenti. Namun air masih belum surut lagi.

6 comments:

Hero said...

Shima,

saya sangat-sangat bersimpati dengan korang sekeluarga, warga UiTM di sana dan masyarakat di Segamat.

bersabarlah.

kami di sini cuma dapat bayangkan saja penderitaan korang di sana dan sambil tu berdoa agar semuanya selamat.

bersabarlah.

tapi mmg frust juga bila baca coretan you pasal gelagat sesetengah mangsa banjir di mini market tu. mmg ada masuk kat TV. :( it has come to that.. saya tak salahkan diorang juga sebenarnya.. :(

Nazhatulshima N said...

Syah,
Dugaan saya sekeluarga tak sebesar mana pun dan saya tak anggap langsung sebagai penderitaan jika nak dibandingkan rakan-rakan saya yang tidak tinggal dalam UiTM yang tinggal sehelai sepinggang. Saya juga hanya dapat membayangkan keadaan mereka. Waktu ini saya sedang menunggu kepulangan Adib yang telah melawat mereka dengan lori UiTM untuk menyerahkan sedikit bekalan makanan.

Tentang ambil barang di 'mini market',saya ada juga perbincangan menarik dengan Adib tentang boleh atau tidaknya perbuatan itu. Makanan dan minuman itu saya rasa logik jugalah mereka hendak ambil, tetapi minuman tin arak dan pasu-pasu bunga porselin hiasan(???),apakah yang 'terdesaknya' mengambil barang-barang tersebut?

neomesuff said...

Saya hanya mampu berdoa keselamatan dan kekuatan semangat mereka mereka yang ditimpa bencana yang tidak diundang...

I tak boleh imagine... i basically know how Segamat was... I was there..for the whole 3 'sweetsour' years..I'm sad..

Anonymous said...

Salam Shima

Tak salah gerak hati Shima..duduk mengadap komputer ditemani curahan hujan di Jementah membangkitkan kelaparan menulis. Terima kasih kerana menjengah.

hakim dirani said...

Puan,
ketika ini yang mampu saya lakukan ialah berdoa agar anda semua selamat dan keadaan kembali pulih. ameen.

wan sgmt said...

teringat masa tuh.. banjir paling teruk da segamat mcm berlaku pada tahun 70an dulu..