Friday, March 30, 2007

Dusta vs Gurauan

Sejauh mana gurauan itu dibenarkan untuk berdusta?
Sejauh mana dusta itu boleh dikatakan gurauan?

Sejauh mana naluri berkata benar?
Sejauh mana naluri menidakkan dusta?

Di Hari Lahirmu...Afiqah Nadzirah

Puteriku,
Afiqah Nadzirah
Begitu pantas masa berlalu
Sepuluh tahun sudah berlalu
Saat kau masih di rahim ibu

Waktu awal kejadianmu
Ibu sedang menyudahkan tesis sarjanamuda
Sambil jari jemari mengetuk aksara
Kau semakin membesar

Di bulan-bulan terakhir
Ibu sedang menjalani latihan mengajar
Memanjat tangga empat tingkat
Masih sahaja segar

Dua bulan sebelum waktu
Puteri ibu dijangka keluar
Namun bertahan jua
Hingga beberapa hari sebelumnya

Sambil wuduk solat Maghrib
Perut ibu terasa sakit
Ibu berpeluh-peluh,
tak sempat minum air selusuh

Mujur perjalanan 5 minit
Puteri ibu tak sabar keluar
Pinggang ibu sakitnya amat
Ibu hanya mampu Istighfar

Seusai azan Isyak
Puteri ibu dilahirkan
Jemari kecilmu
Menggenggam kelingking ibu
Sambil tali pusat kita dipisahkan
Wajah comelmu
Tak mungkin ibu lupakan.

SELAMAT ULANGTAHUN KE 10!

SEMOGA MENJADI ANAK SOLEHAH!

Kasih sayang dari ibu.

Monday, March 19, 2007

Lautan Rasa


walau kataku
banyak yang karam di lautan rasa
masin kasihku takkan hilang.

walau sentuhku
terhalang dek terumbu karang
ombak rinduku takkan berkurang.

Mac.2007

Foto diambil di Tauranga,New Zealand,Mac 2006

Puisi Buat Anakandaku Arif Nukman

Wahai Puteraku,
Sempena ulangtahunmu kelapan:
(6.46pm,11.3.2007)

Ibu doakan
Putera ibu
sihat selalu

Ibu doakan
anak ibu
jadi anak soleh

Ibu doakan
Arif Nukman
beroleh kejayaan

di dunia
lebih lagi
di akhirat

Amin

Saya cuba lagi dengan harapan tidak perlu bina 'rumah' baru.

Saya baru sahaja berjaya menulis di blog BI saya beberapa minit yang lalu dan amat berharap saya dapat atasi masalah entri tidak muncul di blog BM juga. Andai tidak, terpaksalah buka 'rumah' baru seperti saranan Mya Marja dan Pn.Ez. Terima kasih atas cadangan anda berdua. Begitu juga dengan bantuan Cik Siti Hajar dan Saudara Amiene Rev. Walaupun percuma, saya harap tidak perlulah saya bina 'rumah' baru. Sekarang, saya cuba dulu.

Thursday, March 15, 2007

Kenapa hanya tajuk entri sahaja yang keluar ? Tolong!!!!

Kenapa saya tidak berjaya paparkan entri? Tolong saya

Sudah berhari-hari saya cuba untuk paparkan entri tetapi tidak berjaya. Ditambah pula dengan kesibukan , saya tidak berkesempatan untuk mencuba berkali-kali. Hanya tajuk entri terpapar tetapi isi entri hilang. Ini percubaan saya sekali lagi.

Saturday, March 10, 2007

Koleksi Puisi Cinta Islami 9

SAAT AQADMU TERLAFAZ

Wahai perinduku,
Saat aqadmu terlafaz
Ku seakan tiada bernafas
Empangan cinta terbuka luas
Kasihku kini tiada batas.

Ku terlihat dan terdengar,
Gunung berapi mengalirkan salju
Panas terik beralih hujan
iblis syaitan menangis tersedu
Adam dan Hawa tewas disesatkan.

Ku terpandang dan berharap,
Lahar cinta bersalut salju
Suci mengalir dengan restu
Janji setia menjadi kubu
Doaku dirahmati Allah selalu.

nzshima 10.3.2007

Monday, March 05, 2007

Koleksi Puisi Cinta Islami 8

Beberapa hari kebelakangan ini, ilham menulis puisi mencurah-curah. Berikut adalah beberapa puisi yang telah dipaparkan di blog UNIKA PTS http://universitipts.com/ untuk projek Puisi Cinta Islami. Seakan seperti berbalas pantun pula dengan pemuisi yang lain. Saya dapati dengan cara ini lebih mudah untuk mendapat ilham. Usah pula ada yang menyangka saya sedang bercinta dengan mereka. Sekadar membayangkan rasa. Maka terciptalah semua ini. Ada 4 kesemuanya, sejak 1.3.2007 sehingga 5.3.2007; yang akan saya asingkan di entri yang berbeza agar mudah untuk sesiapa meninggalkan komen sekiranya ada. Ada 4 puisi di entri sebelum ini ,sejak 22.2.2007 juga termasuk dalam koleksi puisi ini tetapi saya hanya letakkan tajuk puisi sebagai tajuk entri.


LUKA TERUBAT DEK CINTA HAKIKI

Lukaku disirami kata madahmu
Tak terasa dek pelali silamku
Penawarnya dengan menyebut namaMu
Kerana kutahu kau cinta hakikiku.

Kuingin cinta hadir dengan redaMu
Tidak diselangi racun bertalu
Andainya dia baik untukku
Tunjuklah tanda,bukalah hatiku.

nzshima 5.3.2007

Sunday, March 04, 2007

Koleksi Cinta Puisi Islami 7

EMPANGAN RASA CINTA

Yang kuempang itu
bukan lahar marah
tidak juga nanah duka
jauh sekali lumpur benci

Empangan rasaku
menakung
air cinta suci
riak kasih sejati
tembok kebal setia
deruan kolam bahagia

akan kualirkan semua
khusus untukmu
sebagai Raja hatiku
andai namamu tercatat
di Loh Mahfuz itu.

nzshima 4.3.2007

Saturday, March 03, 2007

Koleksi Puisi Cinta Islami 6

MENANTI EMPANGAN RASA DIBUKA
(buat semua yang menanti jawapan)

Tuturmu mengundang resah
Sepiku menanti langkah
Andai kauharap balas kata indah
Maaf kupohon kerana ianya bukanlah mudah.

Ku tak rela membuka empangan rasa
Andai akibatnya banjir kata pemusnah
Biarlah ia dibuka
Di waktu lafaz aqadmu diucap sudah.

nzshima 3.3.2007

Thursday, March 01, 2007

Koleksi Puisi Cinta Islami 5

ANDAI SIMFONI HUJAN TERHENTI
(ilham tercetus menjawab puisi Tuan Alang)

Rindu itu
kekal membarakah ia
Andai simfoni hujan terhenti?

Semarakkah ia
Andai terik matahari
menguasai menyilaukan
dan membutakan cinta?

Perlukah kutunggu
Awan berkumpul kembali
Untuk mendengar simfoni yang dinanti?

nzshima 1.3.2007

Tag: Keganjilan

Saya telah ditag oleh http://muhdkamil.net/story/ Prof Kamil beberapa hari yang lalu. Hari ini baru terasa nak menyambut cabaran. Hanya saya kira, perkara yang saya akan tulis, tidaklah ganjil sangat kerana saya rasa ada juga orang yang macam saya. Agaknyalah! Kalau ada, boleh beritahu saya.

Keganjilan

1. Buku
Buku adalah harta kesayangan saya. Jika disentuh atau diubah kedudukannya, saya akan tahu. Jika membaca buku saya, cara pegang, selak helaian kertas perlulah cermat. Tidak boleh melipat halamannya atau mengotorkannya.
Pilihan antara buku dan barang kemas/emas permata, saya pilih buku. Tidak berminat memiliki atau memakai banyak barang kemas ,hanya sebentuk cincin dan gelang sebagai tanda. (Pernah dulu saya tidak memakai sebarang cincin dan gelang, ramai menyangka saya belum bersuami. Bahaya!)

2. Masak
Tidak begitu selesa apabila memasak dibantu sesiapa kecuali di peringkat persediaan atau mengemas. Kekok rasanya. Sama ada saya buat semuanya sendiri atau saya tidak masak langsung.

3. Basuh Pinggan
Apabila basuh pinggan, saya mesti ikut turutan seperti berikut:
Buang sisa, gelas /cawan, sudu/garfu/senduk, pinggan ,piring,mangkuk, periuk, kuali, sink, dapur.
Sebagai contoh, saya tidak akan basuh secara rawak dan akan susun dahulu sebelum mula mencuci dan seterusnya membilas. Pinggan mangkuk yang telah kering, mesti akan disimpan dahulu dan tidak boleh bercampur dengan yang baru dibasuh.

4. Pakaian
Perlu berpadanan dan digosok. Sekiranya tidak digosok, saya rasa tidak selesa untuk memakainya kecuali dalam keadaan berkhemah atau bercuti. Tetapi masih perlu berpadanan.

5. Kepelbagaian Tugas (Multi Task)
Saya perlu buat beberapa perkara dalam suatu masa. Sekiranya tumpuan hanya kepada satu perkara, saya akan kurang bersemangat untuk membuat perkara tersebut melainkan perkara tersebut adalah keutamaan untuk diselesaikan. Tidak pula bermakna saya tidak boleh fokus langsung. Saya akan fokus kepada perkara berbeza mengikut keutamaan dan kehendak saya. Sekiranya selesai sesuatu tugasan, minda saya akan mencipta atau mencari kerja yang seterusnya. Saya akan jatuh sakit kalau terlalu ‘berehat’.

6. Mode fokus
Bila saya dalam mode fokus terhadap sesuatu perkara, saya boleh fokus sehingga tidak tidur atau rehat untuk menyelesaikan sesuatu perkara yang saya suka.

Seterusnya saya akan tag…siapa ya? 6 orang itu ialah:

Dr Nor Faridah, Neomesuff, Pak Darma, Scarlet Kingsnake, Hakim Dirani, Siti Hajar.