Wednesday, April 25, 2007

Dakwat Merah dan Angka

Walaupun ada pelbagai cerita untuk ditulis,
hanya puisi ini dapat dipaparkan buat masa ini.
Saya kira ia menceritakan segalanya yang saya sedang lakukan kini.
Versi Inggeris di Through My Eyes.

Dakwat Merah dan Angka

Mata melihat dan menilai
Tangan bergerak
menurut rentak
Dakwat merah
Seiring angka
Di kertas jawapan
Tanpa nama

Jawapan tepat
Hati girang
Jawapan tersasar
Hati gusar

Bukankah sudah kuajar?
Hati berkata
Lain kali
Begitu begini

Dakwat merah dan angka
Saksi aksi penari tinta
Langkah sumbang
atau sebaliknya.

Wednesday, April 18, 2007

Jiwang

Sewaktu saya menjalankan kursus di Kuala Terengganu, saya ada berikan alamat emel dan blog saya kepada peserta kursus. Sewaktu saya berikan kerja berkumpulan, saya pun berjalan ke arah setiap kumpulan.

Dalam bahasa Inggeris, seorang peserta berkata, “ Saya sudah baca blog Puan. Jiwangnya Puan. Dari mata turun ke hati…dan puisi-puisi Puan.”

Sambil tersenyum dan agak terkejut kerana tidak menyangka begitu cepat dia membuka blog saya, saya membalas dengan pertanyaan, juga dalam bahasa Inggeris,

“Bila baca blog saya?”
“Sebentar tadi,dari telefon bimbit saya,” dia membalas sambil menguntum sebuah senyuman.
“Oh,” ringkas saja balasan saya.
Dalam hati saya bertanya,”Jiwang ke?”

Jiwang. Sudah lama saya tidak dengar perkataan ini. Seingat saya sewaktu zaman sekolah dulu selalu juga digunakan. Sekarang saya kurang mendengarnya lagi.

Apakah maksudnya?
Kebiasaannya seseorang yang dilabelkan jiwang adalah seorang yang bahasanya berbunga-bunga atau suka kepada lagu-lagu yang sentimental dan menyentuh jiwa. Orang yang dilabelkan jiwang tidaklah dianggap sesuatu yang dibanggakan kerana kata-kata ini lebih kepada mengejek seseorang yang bercirikan sedemikian. Orang yang menerimanya pula, kebiasaannya menafikan dia adalah seorang yang jiwang.

Bagaimana pula penerimaan saya?
Saya berfikir dan berkata lagi dalam hati,
”Ya, saya memang tulis dari hati, dari jiwa dan ilham yang tercetus dari minda dan gabungan kesemuanya. Andai menyentuh jiwa pembaca, maka terbukti berkesanlah penggunaan dan susunan kata saya. Jadi,tidaklah saya anggap sebagai sesuatu yang negatif dan perlu dinafikan kerana saya kira tidak semua orang boleh berbuat demikian. Cuma, mungkin juga, ada ketika, saya menulis syok sendiri. Saya menulis untuk kepuasan diri sendiri.”

Kebetulan sepanjang bulan Mac, saya banyak menulis puisi. Satu bidang yang baru saya ceburi dan dikongsi untuk tatapan ramai. Sebelum ini, hanya menulis puisi ‘kamar’ , kira-kira lebih 10 tahun yang lalu. Selain itu, mengumpul puisi dan sajak, zaman sekolah dulu. Menulis puisi? Tak pernah. Saya lebih gemar melukis dan lebih banyak memasuki pertandingan melukis. Kini, kurang sekali melukis. Malah, sudah lama tidak melukis. Namun , satu hari nanti saya masih menyimpan hasrat untuk membuat satu pameran lukisan saya, mungkin beserta puisi.

Lalu, adakah saya jiwang?
Saya senyum sendiri.

Tuesday, April 10, 2007

Tiga Bulan Pertama

Pantas sungguh
masa berlalu.
Tiga bulan pertama 2007
yang agak produktif buat saya
dari pelbagai aspek.
Namun saya paparkan di sini
dari aspek kerjaya sahaja.

Sebagai...
Pensyarah, mengajar 5 kumpulan kelas,
2 kelas diploma BEL200 Mainstream English 1,
2 kelas ijazah BEL490 Speech Communication,
1 kelas ijazah TSL450 Principles and Practices in English Language Teaching.

Koordinator PPKP,
menjalankan 9 modul, untuk keseluruhan warga kampus UiTM Johor,
5 modul sebagai fasilitator, dan
sekali sebagai penceramah untuk tajuk ‘Public Speaking’.

Jurulatih Ko kurikulum ‘Public Speaking’,
melatih selama 14 minggu serta 2 lawatan sambil belajar.
ke Gunung Ledang dan
Stesen Radio UFM.

Perundingan dan pengajaran luar,
Ceramah motivasi untuk ibubapa dan pelajar UPSR di FELDA Palong Timor 2,
Ceramah ‘Teaching Pronunciation’ kepada para guru SMK Teknik Segamat,
Kursus Asas Bahasa Inggeris kepada staf sokongan Kementerian Pendidikan di Kuala Terengganu

Pembentangan dan penulisan kertas kerja akademik
Pembentangan dalam ‘MICELT International Conference’ di Swiss Garden Hotel, Perak

Penulisan kreatif
Penulisan 15 puisi dan 5 puisi telah terpilih untuk diterbitkan

Akhir sekali dan yang terpenting sekali,
penulisan kertas cadangan Phd saya.

Surat panggilan temubual telah diterima,
iaitu pada 19hb April 2007.
Kecut juga rasa perut saya.
Diharap dapat doakan kejayaan saya, ya?

Terima kasih!

Tuesday, April 03, 2007

Mengimbau Kenangan di Tauranga, New Zealand


Setahun yang lalu ku berada di sini
Entah bila berkunjung lagi
Tinggal kenangan