Wednesday, April 18, 2007

Jiwang

Sewaktu saya menjalankan kursus di Kuala Terengganu, saya ada berikan alamat emel dan blog saya kepada peserta kursus. Sewaktu saya berikan kerja berkumpulan, saya pun berjalan ke arah setiap kumpulan.

Dalam bahasa Inggeris, seorang peserta berkata, “ Saya sudah baca blog Puan. Jiwangnya Puan. Dari mata turun ke hati…dan puisi-puisi Puan.”

Sambil tersenyum dan agak terkejut kerana tidak menyangka begitu cepat dia membuka blog saya, saya membalas dengan pertanyaan, juga dalam bahasa Inggeris,

“Bila baca blog saya?”
“Sebentar tadi,dari telefon bimbit saya,” dia membalas sambil menguntum sebuah senyuman.
“Oh,” ringkas saja balasan saya.
Dalam hati saya bertanya,”Jiwang ke?”

Jiwang. Sudah lama saya tidak dengar perkataan ini. Seingat saya sewaktu zaman sekolah dulu selalu juga digunakan. Sekarang saya kurang mendengarnya lagi.

Apakah maksudnya?
Kebiasaannya seseorang yang dilabelkan jiwang adalah seorang yang bahasanya berbunga-bunga atau suka kepada lagu-lagu yang sentimental dan menyentuh jiwa. Orang yang dilabelkan jiwang tidaklah dianggap sesuatu yang dibanggakan kerana kata-kata ini lebih kepada mengejek seseorang yang bercirikan sedemikian. Orang yang menerimanya pula, kebiasaannya menafikan dia adalah seorang yang jiwang.

Bagaimana pula penerimaan saya?
Saya berfikir dan berkata lagi dalam hati,
”Ya, saya memang tulis dari hati, dari jiwa dan ilham yang tercetus dari minda dan gabungan kesemuanya. Andai menyentuh jiwa pembaca, maka terbukti berkesanlah penggunaan dan susunan kata saya. Jadi,tidaklah saya anggap sebagai sesuatu yang negatif dan perlu dinafikan kerana saya kira tidak semua orang boleh berbuat demikian. Cuma, mungkin juga, ada ketika, saya menulis syok sendiri. Saya menulis untuk kepuasan diri sendiri.”

Kebetulan sepanjang bulan Mac, saya banyak menulis puisi. Satu bidang yang baru saya ceburi dan dikongsi untuk tatapan ramai. Sebelum ini, hanya menulis puisi ‘kamar’ , kira-kira lebih 10 tahun yang lalu. Selain itu, mengumpul puisi dan sajak, zaman sekolah dulu. Menulis puisi? Tak pernah. Saya lebih gemar melukis dan lebih banyak memasuki pertandingan melukis. Kini, kurang sekali melukis. Malah, sudah lama tidak melukis. Namun , satu hari nanti saya masih menyimpan hasrat untuk membuat satu pameran lukisan saya, mungkin beserta puisi.

Lalu, adakah saya jiwang?
Saya senyum sendiri.

10 comments:

ufukhati said...

Puan,

"Jiwang" itu bahasa percakapan bagi 'jiwa-jiwa" (sentimental begitu). Saya lama juga bekerja di Kuala Terengganu dahulu.

Hal lain : Tentu Puan sudah "log on" terhadap cadangan saya tempoh hari. Pasti segala masalah tentang penulisan dapat diatasi.

Selamat bertugas Puan.

Nazhatulshima Nolan said...

Pak Darma,
Bila lagi berblog semula?

Terima kasih di atas cadangan dan juga komen. Namun, cerpennya masih lagi dikarang di minda.

SitiNur said...

Shima,
Berapa umur pelajar yang memberi komen jiwang itu? Barangkali masih muda yang lahir pada tahun 80an.

Sebenarnya, saya juga pernah mendapat komen seumpama itu dari rakan-rakan yang membaca blog. Sebabnya, saya menulis dengan bahasa Melayu yang agak formal, bukan bahasa rojak atau bahasa pasar yang sering dilihat pada blog alaf ini. Blog Shima pula ditambah dengan puisi nan indah dan puitis, lebih lagi mereka mahu melabel sebagai jiwang. Bagi saya, ia patut diterima sebagai pujian :). Itu pendapat sayalah.

hakim dirani said...

di sekolah dulu memang selalu juga saya dengar perkataan itu.

bang_gugar : said...

salam,
jiwang asal dari perkataan jiwa ke?..

neomesuff said...

..for me..u adalah seorang yang superbly extraordinaire poetic - I dont think jiwang is the word..

alang bidara said...

SEMALAM JIWANGKU RENTUNG DI BAIT PUISI

Aduhai betapa aku berjiwa merdeka
namun aku juga seorang perasa
begitu halus perasaan dan jiwa
madah dan seloka amat aku suka

Namun semalam jiwangku rentung
di bait puisi
indah bak melodi
lembut menawan
menusuk ke lubuk hati

Tulislah bait-bait puisimu
tulislah lagi
biar jiwangku menjelma kembali
mudah aku terus bersajak,
bersyair dan berpuisi.

ez said...

Sukar juga melibatkan diri tanpa sentimental gitu (jiwang?) kerana setiap yang ditulis adalah apa yang lahir dari hati dan jiwa itu sendiri.

Selamat berkarya :)

Nazhatulshima Nolan said...

Terima kasih kepada semua yang telah meninggalkan komen/puisi. Maaf saya tidak respon satu persatu. Hayatilah entri 'Dakwat Merah dan Angka' untuk memahami keadaan saya kini, dan akan berlanjutan sehingga 13 Mei 2007, iaitu sehingga tamat peperiksaan akhir semester ini.

Jiwa Rasa said...

Apa khabar Puan Jiwang? :)