Wednesday, May 09, 2007

ANTARA TUNTUTAN TUGAS, KELUARGA DAN KEHENDAK HATI

HAJAT HAMPIR TERKUBUR

Hajat untuk ke Pesta Buku 2007 hampir saja terkubur. Bas UiTM Johor bergerak ke Pesta Buku pada jam 8.30 pagi, 3hb Mei 2007. Mustahil untuk saya turutserta bas tersebut. Pertama, pada hari yang sama saya perlu lengkapkan urusan memasukkan markah untuk 2 kelas BEL490. Saya tidak mempunyai banyak waktu untuk menanda lebih kurang 60 skrip jawapan. Hanya 3 hari bersengkang mata,itupun nasib baik ada cuti umum pada Hari Pekerja dan tambahan satu hari lagi. Setelah tamat urusan, saya pun memandu sendiri ke Kuala Lumpur pada jam 6 petang. Lebih kurang jam 8 malam berhenti seketika di Seremban dan meneruskan perjalanan selepas solat dan menyegarkan mata yang amat mengantuk. Makan malam di hotel telah pun bermula. Tidak mengapalah, saya pun terlalu letih untuk memikirkan makan malam.

TERSILAP LORONG
Gembiranya hati bila terpandang petunjuk arah ke PWTC. Malangnya, terlewat untuk mengambil lorong kiri dan motor di sebelah kiri kenderaan saya pula terlalu laju untuk saya segera pintas masuk ke lorong itu. Lalu berpusing-pusing seketika mencari jalan ke PWTC. Lama sungguh tidak memandu dalam keadaan kenderaan yang banyak di malam hari dan berseorangan pula. Akhirnya, terpandang Seri Pacific. Oh, sudah berubah nama rupanya. Hampir jam 10 malam dan rakan sebilik saya sudah lama berehat di bilik yang dikongsi bersama.

TIDUR TAK LENA
Letihnya saya, hanya Allah sahaja yang tahu tetapi mungkin terlalu penat saya hanya dapat melelapkan mata pada jam 2 pagi. Seusai solat Subuh saya ingin menyambung berehat tetapi gagal juga melelapkan mata. Tak sabar nak ke Pesta Buku yang hanya akan dibuka pada jam 10 pagi.

ALAH MEMBELI
Tumpuan pertama saya adalah buku-buku dari luar negara. Sambil membuat pemilihan buku untuk perpustakaan, saya jumpa 3 buah buku yang berkenan di hati walau pun tidak berapa berkenan di poket. RM280 melayang setelah diskaun 15%. Gerai seterusnya adalah DBP, beberapa naskhah edisi lalu dan terkini Dewan Sastera dan Dewan Pelajar menjadi pilihan dan juga sebuah Tesaurus Bahasa Melayu.RM100 ( Em mungkin selepas ini saya perlu melanggan sahaja, lebih mudah) Destinasi seterusnya adalah gerai PTS. Perjalanan ke sana saya ‘diganggu’ dengan penjual kaset dan buku kanak-kanak. Mereka kelihatan marah apabila saya menjawab dalam bahasa Inggeris yang saya tidak berminat dan saya boleh memilih sendiri apa yang saya mahu beli. Ah, melengahkan saya sahaja…Masa saya suntuk sangat.

Lega rasanya bila terpandang gerai PTS. Kelihatan lambaian dan senyuman mesra Puan Ainon. Saya tidak dapat berlama di sana,hanya membeli beberapa novel untuk Afiqah dan Arif. 5 buah kesemuanya.

CINTA HAKIKI
Sebelum beredar ,yang paling mengujakan adalah ‘Teaser’ Koleksi Puisi Terindah sudah berada di tangan saya. Salah satu puisi saya, ‘Cinta Hakiki’ telah terpilih untuk dimuatkan dalam terbitan edaran percuma ini. Genap 2 bulan lalu puisi tersebut saya cipta ,kini telah tersusun indah di kertas merah jambu pekat. Alhamdulilah! (Saya akan imbas dan paparkan di sini kemudian)

DESTINASI ACARA KELUARGA
Masa begitu mencemburui saya. Perlu bergegas ke hotel untuk 'check out' sebelum jam 2 petang dan makan tengahari sebelum 2.30 petang. Mujur mereka menanti saya. Sebetulnya saya tidak mahu berhenti di mana-mana dalam perjalanan nanti. Jam 3.00 petang saya ke parkir kereta untuk meneruskan destinasi. Perlu mengisi minyak pula. Saya telah berjanji untuk menjemput Adib, Afiqah dan Arif di Tangkak pada jam 5 petang untuk ke Pontian. Banyak juga kenderaan. 5. 30 petang barulah saya tiba dan meneruskan perjalanan ke Pontian. Leganya rasa. Kini Adib yang memandu dan sampai di rumah kakak sulung Adib lebih kurang jam 8 malam.

ATURCARA DI PONTIAN
Selepas Solat Isyak, bacaan tahlil arwah.
Usai tahlil, saya bersama-sama kakak ipar, biras dan anak saudara Adib membuat persiapan terakhir, iaitu mencucuk bunga telur dan bunga manggar untuk majlis menjemput menantu anak saudara Adib yang sulung, pada Sabtu,5hb Mei. Hampir jam 2 pagi baru melelapkan mata.

Selepas Solat Subuh,sarapan dan menggosok pakaian, saya pula mendandan dan menyolek 7 orang anak buah, termasuk Afiqah, anak saya sendiri, untuk majlil Khatam Al-Quran pagi itu. Mereka sedondon berbaju kurung hijau dan bertudung putih dan 5 orang lagi anak buah lelaki, termasuk Arif, juga berbaju Melayu hijau siap bersamping dan bersongkok. Kesemuanya juga mengiringi kedua mempelai sewaktu perarakan masuk ke rumah untuk acara persandingan pada jam 12 tengahari. Tetamu terakhir tiba sewaktu kami sedang berkemas-kemas.

KERTAS PEPERIKSAAN MENANTI
Ahad pagi kami bertolak pulang ke Segamat dan singgah seketika di rumah Uda, abang Adib yang kedua. Sesampai di UiTM Johor, saya terus ke bilik gerakan peperiksaan untuk mengambil 3 bungkusan kertas jawapan yang perlu dinilai.

2 bungkusan baru sahaja siap dinilai. Maka inilah ganjarannya. Menulis di blog. 2 kelas ini perlu saya hantarkan markahnya hari ini juga dan 1 bungkusan lagi pada hari Sabtu.
Sudah merdekakah saya? Oh tidak ! Satu lagi tugasan, iaitu menjadi Ketua Pengawas peperiksaan pada pagi Ahad ini di Dewan Besar.

ULANGKAJI PEPERIKSAAN
Sejak hari Isnin, Arif perlu membuat persediaan untuk menjawab peperiksaan subjek agama. Saya tahu Arif amat liat untuk membaca kitab. Ahad malam dia perlu bersedia untuk subjek Tauhid.

“Ibu, bacakanlah!” pintanya.
“Arif cuba hafal 20 sifat wajib Allah, mesti keluar soalan ini,” saya membalas.
“ Kemudian 4 sifat wajib Rasul”.
“Lepas ini, ibu akan soal”.
Arif akur walaupun nampak amat berat. Saya mengubah strategi. Saya libatkan Afiqah.
“Kakak soal adik. Bila adik dapat jawab, dia dapat 20 sen, bila dia tidak dapat jawab , kakak yang dapat 20 sen.”
Nampaknya, Arif lebih bersemangat untuk menjawab dan menghafal.

Isnin tengahari, Arif pulang dengan senyuman.
“Boleh jawab?”
“Ada soalan yang ibu tanya semalam?”
“Ada,” sambil tersengih-sengih.

Isnin malam, persediaan untuk subjek Ibadat dan Sirah pula. Kali ini tiada upah lagi.
“Arif baca Rukun Tayamum, dll lagi…”

Dia pulang dengan senyuman lagi.

Namun saya hanya berdoa jawapannya tepat meskipun dapat menjawab.

Peperiksaan Afiqah hanya bermula minggu hadapan.

Begitulah adanya - antara tugas, keluarga dan kehendak hati.
( Tidak dilupakan tanggungjawab terhadap suami tercinta)
Cabaran wanita berkerjaya dan berkeluarga, perlu dikendong dan dikejar bersama-sama supaya tiada yang keciciran.

9 comments:

Unknown said...

Sibuknya Puan Shima!
Moga diberi kelapangan dan kemudahan dalam segala urusan...

Nazhatulshima N said...

Terima kasih JR! Terlalu banyak perkara sehingga saya perlu menulis barulah lega rasanya. Sekarang tinggal satu bungkusan kertas jawapan lagi untuk dinilai.

Zaid Akhtar said...

salam puan.
saya juga dapat koleksi puisi terindah PTS itu. wah, sudah bergelar penyair sekarang!

:-)

Nazhatulshima N said...

Salam kembali Yazid. Penyair???Wah, boleh ke? Baru saja memulakan 'perjalanannya'. Ada apa-apa komen tentang puisi itu dari orang yang dah lama bergelar penulis dan penyair?

Sekarang saya cuba hendak menulis cerpen,mungkinkah Yazid dapat bantu? Masih tak mula lagi. Hanya tersekat di minda dan belum dapat disalurkan dalam bentuk tulisan.Ada apa-apa tips ke?

Unknown said...

Salam Shima... Opah De balas kunjungan. Begitulah orang perempuan... tambah yang berkerjaya. Opah De yang kerja dari rumah dan tak ada anak ni pun dah rasa sesak nafas, inikan pula Shima. Teringatkan surah Al-Baqarah tu... memang itu sahajalah bebanan yang termampu Opah De tanggung, walau pun sokmo perasan diri ni kuat... Allah Maha Mengetahui... kan kan kan...

Imran Yusuf said...

Puan NzShima,

Syukurlah dengan banyaknya tugas itu. Jikalau tugas berkurangan, maka kita patut bimbang kerana ini mungkin mencerminkan peranan kita semakin kurang dan khidmat kita juga semakin tidak diperlukan.

Ini berita buruk bagi kita!

~albazrah~ said...

Assalamu'alaykum kak Shima. Semoga kak shima dipermudahkan dalam segara urusan oleh Allah. Juga yang terbaik segala-galanya. Allah Razi Olsun

Amyz! said...

Hi Kak Syima. Happy to meet you. Harap dapat jumpa lagi. Oh ye, koleksi puisi tu, saya mahu tempah di mana ye? Boleh tempah pada akak ke? Thanks!

Nazhatulshima N said...

Opah De,
Terima kasih berkunjung ke sini. Jemputlah bertandang lagi.

Saudara Alang,
Betul juga pendapat saudara. Syukurlah!

Azma,
Terima kasih untuk doa. BAgaimana tesis? Sudah selesai ke?

Amyz,
Terima kasih berkunjung ke sini. Koleksi Puisi Terindah boleh dapat dari Syikin, editor PTS Fortuna. Kak Shima pun sedang cuba dapatkan beberapa untuk diberikan kepada beberapa orang. Cuba tanya dengan Mat Jan ,mungkin juga dia boleh bantu. Buat masa ini ,Kak Shima pun ada satu sahaja.

P/S: Seronok baca 'Pink Platun'. Timbul pula idea untuk kumpulkan blogger para ibu.(?)