Friday, June 15, 2007

Panggilan Pulau

Dua jam lagi saya sekeluarga akan bergerak ke Mersing dengan Bas UiTM. Kemudiannya menaiki feri ke Pulau Aur. Kenapa kami ke sana? Nantikan kisahnya selepas saya ke sana.

Sepanjang 3 hari ini, saya amat sibuk sekali, membuat persiapan 2 kursus anjuran PPKP. Makanya saya akan berterusan sibuknya seperti berikut:
15-17 Jun - Pulau Aur
18-20 Jun -Port Dickson, Bengkel Penambahbaikan Modul Pembangunan
21-23 Jun- Kemaman, Kursus Asas Kepimpinan JPK
24 Jun - Daftar Phd di Shah Alam
26- 28 Jun -Kursus Pembantu Mahasiswa di UiTM Jengka
30 Jun - Pendaftaran Pelajar baru di UiTM Johor & AFS Gala Dinner di Shah Alam
3-5 Julai- Membentang kertas kerja di Sunway Lagoon Resort
6-7 Julai- Modul 1 PPKP
9 Julai- Kuliah semester bermula.

Doakanlah saya sihat walafiat sentiasa untuk menyumbang bakti kepada anak bangsa,anak sendiri dan keluarga di samping mempermudahkan semua urusan dan pelbagai impian saya, Phd, menulis, mengajar, dll.

Setakat ini, saya memang seronok melakukan semuanya, tidak sekali saya anggap sebagai beban dan

ya, sudah tentu sekali saya juga memang sangat suka bercuti dan 'cuti takkan bergolek' tanpa ongkos yang lebih,

hasil dari kerja.

Monday, June 11, 2007

Awana Kijal - destinasi percutian keluarga

dari selatan ke utara
kini saya ke timur pula
akhirnya saya bercuti jua
bersama-sama keluarga


Sesampai di pintu gerbang masuk , terpampang iklan Awana Kijal Golf, Spa & Beach Resort, Kemaman, Terengganu. Melihatkan gambarnya Arif pun bersuara,"Ayah boleh main golf, ibu pergi ke spa dan adik dan kakak mandi di pantai".

Ternyata iklannya bukan indah khabar dari rupa. Kami amat berpuashati dengan destinasi percutian yang dipilih oleh Kak Hai, iaitu kakak Adib, yang bercuti bersama-sama suaminya, Aidi, tiga orang anak-anaknya dan ibu mertua saya. Mereka bergerak daripada Kuala Lumpur manakala saya sekeluarga daripada Segamat pada pagi Khamis yang lalu.

Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini dan memenuhi citarasa setiap ahli keluarga.

Sebaik sahaja mendaftar masuk hotel, Arif dan Afiqah sudah amat teruja untuk berenang dan bermain di kolam renang bersama-sama sepupu mereka, Ameer Rashid, sebaya Arif dan Ameera Najihah, setahun lebih tua daripada Afiqah.

Daripada jendela bilik hotel, saya dapat melihat permainan catur gergasi dan permainan 'ular dan tangga'. di kelilingi taman permainan dan berlatarkan pantai yang indah. Perjalanan 3 jam ternyata tidak meletihkan kami semua kerana beberapa minit kemudian kami semua turun ke bawah untuk melakukan aktiviti yang ada.

Saya bermain catur gergasi bersama-sama Arif tetapi gerakannya disambung oleh ayahnya yang amat suka menewaskan saya. Seterusnya mereka bermain bola di tepi pantai, diikuti mandi di kolam renang, sementara Adib dan Aidi pula ke 'driving range'. Saya pula memilih untuk berendam di bilik hotel dengan air panas sambil menonton televisyen. Saya amat menggemari rekabentuk bilik mandinya yang mempunyai tingkap yang boleh dibuka supaya dapat menonton televisyen. Sungguh menenangkan.

Keesokannya selepas Subuh, saya bersama-sama anak-anak dan anak buah ke tepi pantai untuk melihat keindahan terbitnya matahari. Kami bermain-main di tepi pantai lebih kurang sejam lamanya sebelum menikmati sarapan pagi.

10 minit ke jam 9 pagi ,saya, Afiqah dan Najihah mengayuh keluar daripada kawasan hotel manakala Rashid dan Arif hanya bermain basikal dalam kawasan hotel. Adib, Aidi dan Haziq(anak sulung ,15, mereka) bermain golf.

Niat untuk ke spa tidak diteruskan kerana melihatkan harganya yang agak mahal, hanya 45 mint refleksologi berjumlah RM90 manakala 1 jam urut seluruh badan pula mencecah RM 250, yang terendah. Tambahan pula belum tentu lagi kesannya. Saya memilih untuk melupakannya sahaja.

Lalu saya melayan kerenah anak-anak,mengayuh basikal, bermain congkak , mewarna, mandi di tepi pantai, membina istana pasir dan semua aktiviti bersama-sama mereka. Bukannya mereka sahaja yang teruja, saya juga seperti kanak-kanak juga , teruja dengan segala aktiviti yang ada.

Sekiranya berpeluang, destinasi ini memang sesuai untuk keluarga, terutama sekali bagi suami yang 'kaki golf', walau mungkin ada yang tidak menggemarinya kerana perlu berjalan sahaja (walking course).

Gambarnya akan diupload kemudian.

Thursday, June 07, 2007

Suka kerja atau cuti?

Tidak kurang yang menyangka apabila cuti semester, pensyarah pun secara langsung cuti seperti pelajar. Ramai yang tidak tahu ,seorang pensyarah perlu mengambil cuti rehat dan mempunyai jumlah cuti antara 30 ke 35 hari cuti dalam setahun yang perlu dimohon.

Soalan yang paling kerap saya dengar pada minggu ini.

“Puan Shima tak cuti ke?”

Hampir setiap orang yang saya jumpa akan bertanya soalan yang sama. Hakikatnya, hati saya tidak akan tenang bercuti sekiranya sebahagian tugasan tidak dilaksanakan dahulu. Lalu sepanjang 3 hari yang lalu,

Bincang.
Tulis.
Taip
Telefon
Sebutharga
Kira
Rangka
Kertas kerja
Pengenalan
Objektif
Tentatif program
Tarikh
Tempat
Bajet
Keperluan
Kenderaan
Emel
Maklumkan
Telefon
Mesyuarat
Bahagi tugas
………………..
akhirnya dapat saya uruskan beberapa perkara
1. peserta kursus fasilitator pensyarah ke UiTM Kelantan
2. kertas kerja kursus asas kepimpinan jawatankuasa kepimpinan kolej
3. kertas kerja bengkel penambahbaikan modul latihan penyelaras modul
4. mesyuarat dan pembahagian tugas susulan

Kerja saya memang belum 100 % selesai.

7 dan 8 Jun merupakan cuti pertama saya untuk tahun ini.

Pada 11 Jun saya akan dapat menjawab, “Saya dah cuti 2 hari,” untuk soalan popular minggu ini.

Hah! Saya memang suka kerja!

Namun, cuti juga satu keperluan.

Friday, June 01, 2007

Bersukan sambil Bercuti

Berat sungguh hati untuk menaiki bas UiTM Johor pada 24 Mei lalu untuk Karnival Sukan Staf Afiqah masih ada 2 subjek lagi peperiksaan pada 25 Mei. Arif pula demam. Saya memang berniat untuk membawa mereka bersama-sama. Seringkali saya terpaksa berpergian tanpa mereka. Seringkali juga saya pernah meminta dari mereka untuk ‘ponteng’ sekolah lantaran cuti sekolah dan cuti UiTM selalu sahaja tidak sama waktunya. Apabila mereka cuti, saya pula tidak dapat bercuti, apabila saya cuti atau berkursus atau berseminar, mereka pula harus ke sekolah.
Seringkali juga Adib menenangkan saya, “Tidak mengapalah, dulu, zaman bersekolah, kita pun tidak dibiasakan pergi bercuti. “
Semasa saya mengendalikan kursus 4 hari di Kuala Terengganu, saya meminta sekali lagi dari Afiqah,
“Temanlah ibu. Mari ikut ibu ke Kuala Terengganu”.
Beberapa kali saya merayu. Sehingga akhirnya saya berlepas seorang diri dari KLIA ke KT pada 3 April hingga 6 April yang lalu.

Suami saya menyampaikan dialognya dengan Afiqah melalui telefon.

“Ayah, peliklah ayah dan ibu. Ibu dan ayah orang lain semua suruh anaknya ke sekolah, tetapi ayah dan ibu suruh kakak dan adik untuk tidak ke sekolah.”

Nampaknya kami ‘disekolahkannya’.

Berbalik kepada kisah ke Perlis.

Saya melayari web KTMB dan mendapati hanya tinggal satu kabin kelas pertama tren Senandung Malam dari KL Sentral ke Arau, tempat duduk yang lain kesemuanya telah penuh. Tanpa membuang masa saya membuat tempahan melalui telefon. Afiqah dan Arif sungguh teruja.

Tren bergerak pada jam 9 malam. Arif dan Afiqah membaca nama setiap stesen yang dilalui sehingga kami akhirnya melelapkan mata lebih kurang jam 12.
Apabila matahari menunjukkan sinarnya,kehijauan sawah padi terbentang luas di sepanjang perjalanan. Ini pertama kali mereka melihat sawah padi, sambil meneka-neka lokasi penggambaran ‘Mukhsin’ dan ‘ Tentang Bulan’.

Saya menjelaskan proses menyemai padi sehingga menjadi beras. Rupanya inilah gunanya subjek Geografi yang saya pelajari sewaktu di sekolah dulu. Dapatlah saya menerangkan serba sedikit prosesnya.

9.30 pagi barulah tren tiba di stesen Arau. Kak Jah, rakan saya telah pun menunggu di stesen. Kontijen sukan ada disediakan penginapan asrama di UiTM Arau tetapi Kak Jah menjemput saya tinggal di rumahnya di Kangar yang terletak lebih kurang 10 minit dari UiTM Perlis. Sukar untuk saya menolak pelawaannya. Malamnya Adib dan Arif bergerak pulang menaiki bas dan Afiqah menemani saya di Perlis.

Kontijen UiTM Johor mendapat tempat ke-5 keseluruhan antara kampus UiTM. Pasukan catur jatuh tempat keempat. Kami bergerak balik ke UiTM Johor menaiki bas UiTM pada 30hb Mei 2007. Perjalanan bermula pada jam 9 pagi dan akhirnya sampai ke UiTM Johor jam 2 pagi 31hb Mei. Tidak terasa sedikit pun bosan atau sunyi kerana dapat meluangkan masa, berbual-bual dengan Afiqah.