Friday, June 01, 2007

Bersukan sambil Bercuti

Berat sungguh hati untuk menaiki bas UiTM Johor pada 24 Mei lalu untuk Karnival Sukan Staf Afiqah masih ada 2 subjek lagi peperiksaan pada 25 Mei. Arif pula demam. Saya memang berniat untuk membawa mereka bersama-sama. Seringkali saya terpaksa berpergian tanpa mereka. Seringkali juga saya pernah meminta dari mereka untuk ‘ponteng’ sekolah lantaran cuti sekolah dan cuti UiTM selalu sahaja tidak sama waktunya. Apabila mereka cuti, saya pula tidak dapat bercuti, apabila saya cuti atau berkursus atau berseminar, mereka pula harus ke sekolah.
Seringkali juga Adib menenangkan saya, “Tidak mengapalah, dulu, zaman bersekolah, kita pun tidak dibiasakan pergi bercuti. “
Semasa saya mengendalikan kursus 4 hari di Kuala Terengganu, saya meminta sekali lagi dari Afiqah,
“Temanlah ibu. Mari ikut ibu ke Kuala Terengganu”.
Beberapa kali saya merayu. Sehingga akhirnya saya berlepas seorang diri dari KLIA ke KT pada 3 April hingga 6 April yang lalu.

Suami saya menyampaikan dialognya dengan Afiqah melalui telefon.

“Ayah, peliklah ayah dan ibu. Ibu dan ayah orang lain semua suruh anaknya ke sekolah, tetapi ayah dan ibu suruh kakak dan adik untuk tidak ke sekolah.”

Nampaknya kami ‘disekolahkannya’.

Berbalik kepada kisah ke Perlis.

Saya melayari web KTMB dan mendapati hanya tinggal satu kabin kelas pertama tren Senandung Malam dari KL Sentral ke Arau, tempat duduk yang lain kesemuanya telah penuh. Tanpa membuang masa saya membuat tempahan melalui telefon. Afiqah dan Arif sungguh teruja.

Tren bergerak pada jam 9 malam. Arif dan Afiqah membaca nama setiap stesen yang dilalui sehingga kami akhirnya melelapkan mata lebih kurang jam 12.
Apabila matahari menunjukkan sinarnya,kehijauan sawah padi terbentang luas di sepanjang perjalanan. Ini pertama kali mereka melihat sawah padi, sambil meneka-neka lokasi penggambaran ‘Mukhsin’ dan ‘ Tentang Bulan’.

Saya menjelaskan proses menyemai padi sehingga menjadi beras. Rupanya inilah gunanya subjek Geografi yang saya pelajari sewaktu di sekolah dulu. Dapatlah saya menerangkan serba sedikit prosesnya.

9.30 pagi barulah tren tiba di stesen Arau. Kak Jah, rakan saya telah pun menunggu di stesen. Kontijen sukan ada disediakan penginapan asrama di UiTM Arau tetapi Kak Jah menjemput saya tinggal di rumahnya di Kangar yang terletak lebih kurang 10 minit dari UiTM Perlis. Sukar untuk saya menolak pelawaannya. Malamnya Adib dan Arif bergerak pulang menaiki bas dan Afiqah menemani saya di Perlis.

Kontijen UiTM Johor mendapat tempat ke-5 keseluruhan antara kampus UiTM. Pasukan catur jatuh tempat keempat. Kami bergerak balik ke UiTM Johor menaiki bas UiTM pada 30hb Mei 2007. Perjalanan bermula pada jam 9 pagi dan akhirnya sampai ke UiTM Johor jam 2 pagi 31hb Mei. Tidak terasa sedikit pun bosan atau sunyi kerana dapat meluangkan masa, berbual-bual dengan Afiqah.

No comments: