Sunday, December 07, 2008

Australia-Hari Ketujuh( 7.12.2008)



Afiqah sedang diajar Kamal cara menembak tepat ke sasaran.
Cubaan pertama terus mengena.



Arif turut diberi peluang menembak sasaran.



Inilah mangsa mereka.

Saturday, December 06, 2008

Australia-Hari Keenam (6.12.2008)



Afiqah berlatarkan Sydney Opera House



Arif juga tidak ketinggalan merakam aksi di hadapan Sydney Opera House



Tidak lengkap rasanya kunjungan ke bumi kangaroo tanpa menyentuh binatang ini secara langsung




Beruang koala ini masih saja nyenyak tidur walau gambarnya dirakam oleh beratus-ratus pengunjung mungkin

Friday, December 05, 2008

Australia-Hari Kelima(5.12.2008)



Afiqah dan Arif lebih gemar menghabiskan masa di El-Jannah daripada melawat ke tempat lain.

Australia -Hari Keempat(4.12.2008)

Inilah sebahagian daripada lembu ternakan di El-Jannah. Terselit seekor kambing biri-biri yang menyangka ia juga adalah lembu.



Adib telah bersedia dengan topi 'cowboy'(yee...ha..) untuk memberi makan pada sekawan lembu ternakan mereka.



Afiqah dan Arif ditugaskan membawa anak-anak kambing ini meragut rumput. Tidak mudah bagai disangka. Mereka terkejar-kejar memegang tali dan cuba mengawal anak-anak kambing yang nakal ini.


Thursday, December 04, 2008

Australia -Hari Ketiga(3.12.2008)

Hari ketiga ,selesai urusan di ladang,kami bergerak ke Blue Mountains sekitar jam 10 pagi. Inilah tempat pelancongan yang pertama dibawa oleh Jameela.




Kedua ibubapa Jameela, Mr dan Mrs Turner atau digelar juga sebagai Ma dan Pa masih lagi menganut agama Kristian dan Jameela juga masih lagi dipanggil Linda oleh ibubapanya.




Setelah selesai lawatan,kami beredar ke kawasan perkelahan berdekatan.

Sebelum makan bekalan yang dibawa, kami menunaikan solat Zohor/Asar di tengah padang di kawasan perkelahan tersebut.

Solat di tengah padang memang menjadi kebiasaan di waktu berkelah. Kami juga tidak bersusah-susah mengenakan telekung kerana sememangnya telah berpakaian menutup aurat ,jadi tidak menjadi kepayahan untuk menunuaikan solat di mana-mana saja.
Mungkin di Malaysia ia menjadi suatu kelainan kerana tersedia surau di mana-mana,berserta telekung dan sejadah.

Namun saya memang telah terbiasa dengan kebiasaan mereka yang menunaikan solat di kawasan awam dengan pakaian sedia ada (kerana kami semua lengkap menutup aurat)

Australia-Hari Kedua(2.12.2008)

Saya tidak membuat sebarang perancangan untuk lawatan ke kawasan pelancongan. Saya hanya ingin keluarga saya merasai suasana kehidupan yang pernah saya alami 17 tahun lalu. Pengalaman menguruskan kuda dan binatang ternakan lain tidak dapat dirasai dengan lawatan ke kawasan pelancongan.

Pada hari kedua kami masih lagi menghabiskan masa di ladang.
Pada sebelah malamnya, Adib mengikut Kamal,anak sulung dan Humza, anak bongsu mereka memburu arnab dan musang di sekitar kawasan rumah. Arnab yang diburu menjadi hidangan kucing peliharaan mereka.

Malam itu juga saya mendapat satu berita.

Selepas makan malam,saya meminta buku direktori untuk menjejaki seorang guru yang pernah mengajar saya di Kingsgrove High School. Namanya Mrs Judith Falconer.
Semasa di tingkatan 4 & 5 saya tidak berpeluang mengambil subjek Pendidikan Seni Lukis walaupun amat meminatinya kerana ‘terpaksa’ mengikuti jurusan Sains. Semasa di Year 12,saya mengambil peluang keemasan untuk memilih subjek Seni Tampak. Kami diminta untuk membuat satu kerja seni ‘major’ dan di sanalah saya telah menghasilkan lukisan terbesar saya. Sewaktu proses menyudahkan projek ini, saya terkena cengkering lalu terpaksa tinggal di rumah. Mrs Falconer,yang kebetulan duduk berdekatan dengan rumah saya sering berkunjung menghantar tugasan dan lukisan saya ke rumah supaya saya dapat menyiapkannya. Dia menyedari minat saya dan memberikan galakan. Hasilnya lukisan saya dipamerkan di salah sebuah bank di Sydney tetapi saya meminta lukisan itu semula kerana ia mempunyai nilai sentimental bagi saya.

Malam itu saya menyelak direktori dan berjaya mendapat nombor telefon rumahnya.
“May I speak to Mrs Falconer please?”

“Who’s this speaking?” agak serius nada suaranya.

“I’m Shima Nolan(semasa di sana saya terpaksa memendekkan nama saya kerana mereka sukar hendak menyebut nama penuh saya), from Malaysia, used to be her student 17 years ago.” Balas saya dengan teruja walau agak terkejut dengan nada serius suaminya.

“Well Shima,I’ve got bad news for you” “She passed away a few weeks ago, due to breast cancer. “

“I’m so sorry to hear that.”Jawab saya tersekat-sekat sambil menahan dari airmata bercucuran.

Seingat saya Mrs Falconer mungkin dalam lingkungan lewat 40-an usianya kini.

“I’m sure she would be happy to know that you still remember her.” Suaminya membalas.

Saya kehilangan kata-kata. Rancangan untuk bertemu dengannya tidak dapat ditunaikan.
Terkilan!

Australia-Hari Pertama (1.12.2008)

LAPANGAN KAPAL TERBANG KINGSFORD SMITH,SYDNEY,AUSTRALIA

Waktu ketibaan di lapangan terbang Kingsford Smith Sydney lebih awal daripada yang saya maklumkan pada Jameela. Jameela,ibu angkat saya,asal orang Australia yang telah 30 tahun memeluk Islam, berjanji untuk berjumpa saya pada jam 1ptg waktu Sydney. Namun kami tiba 3 jam lebih awal.

Walau agak kepenatan 8 jam penerbangan tanpa henti KL –Sydney, Arif dan Afiqah kelihatan amat teruja ketika sampai. Saya melihat sekitar kawasan lapangan terbang dan mengenang kembali kenangan silam. Ada juga persamaan.

Sekitar jam 1ptg,saya terpandang kelibatnya dari jarak sekitar 100 meter,tercari-carikan saya. Penampilan pakaiannya masih seperti dulu, kemeja lengan panjang ,seluar panjang dan bertudung.

“Jameela” saya menegurnya.

Sebaik terpandang saya, kami saling meluru dan berdakapan erat dengan mata bergenang tanda gembira.

Perjalanan ke Razorback dipenuhi dengan perbualan antara saya dan Jameela manakala Adib, Afiqah dan Arif sekali sekala mencelah apabila disoal. Kami singgah di Camden kerana Jameela perlu ke bank dan mendapatkan bread rolls.

Bercakap berdasarkan pengalaman lampau saya menyampaikan kepada Adib, Afiqah dan Arif,
“ Makan tengahari di sini bukan nasi seperti di Malaysia. “


EL-JANNAH,MOUNT HERCULES ROAD,RAZORBACK

Saat tiba di Razorback saya cuba menjejaki kenangan lalu. Tercari-cari imej yang tersimpan dalam kotak kenangan untuk dipadankan dengan imej terkini. Padanan ditemui walau ada perubahan .

Lantas saya bersuara memberi penerangan kepada Afiqah dan Arif, “ Ibu pernah menunggang kuda sehingga ke jalan ini, berbasikal di sekitar jalan itu, melihat sekawan lembu dan kambing biri-biri di sini, melihat pemandangan indah di sini”. Lagak seakan pemandu pelancong.

El-Jannah terkini tidak lagi di Rotherwood Road tetapi di Mount Hercules Road.
Pemandangan kawasan keluasan ladang sekitar 200 ekar memang imej yang tidak pernah tersimpan. Tanah ini mereka baru terokai sejak 10 tahun yang lalu. Jameela menunjukkan permulaan kawasan ladangnya yang dipenuhi dengan 40 ekor lembu,diikuti 4 ekor unta, 20 ekor kuda. Menyusur masuk ke laluan utama yang dipagari pintu otomatik, kami melalui reban ayam,jumlahnya sekitar 10 ekor , termasuk ayam belanda dan beberapa ekor burung merak.

Perlahan-lahan Toyoto Land Cruiser pacuan 4 roda yang dipandu Jameela mendekati kawasan rumah ini.




Saya rasa sungguh terharu. Rumah bagai istana ini belum siap sepenuhnya. Mereka bertungkus lumus menyiapkannya salah satu bilik di tingkat bawah selama seminggu. Satu bilik khas untuk kami sekeluarga mereka sediakan sedangkan mereka masih lagi tinggal di kabin sementara yang telah dihuni sejak 10 tahun yang lalu.
Pendek kata, kamilah yang merasmikan rumah itu.

Jangkaan saya tepat sekali. Sampai di rumahnya bread rolls yang dibeli tadi menjadi hidangan makanan tengahari beserta salmon dalam tin berlapiskan salad dan mayonis.

Acara seterusnya-mandi ,solat,berehat.
Sementara itu, Jameela sibuk menyiapkan bilik kami dengan memindah masukkan perabot seperti katil,cadar,almari dan segala keperluan. Ringkasnya, mengalahkan hotel bertaraf lima bintang.

Petang itu, Afiqah dan Arif, yang amat menyenangi binatang, diberi tugasan memberi makan kucing,ayam dan memberi susu kepada anak kambing.

Maka bermulalah pengalaman mereka hidup di ladang.

Wednesday, December 03, 2008

Terbit matahari di El-Jannah



Solat Subuh perlu ditunaikan seawal 3:52am.

Matahari terbit dirakam pada jam 5:40am ,3.12.2008

Tuesday, December 02, 2008

Hari Kedua di El-Jannah



Lawatan sekitar kawasan seluas 200 ekar milik keluarga angkat saya.
Kelihatan Adib, Afiqah dan Arif teruja.

Rakaman pada 7.34pm,2.12.2008.

Monday, December 01, 2008

Senja di El-Jannah



Senja dirakam pada jam 8:04pm.

Masya Allah!

Dari Cita-cita ke Nostalgia membawa ke Realiti

Persiapan ke Australia dibuat dengan sungguh pantas. Pembelian tiket hanya dibuat seminggu sebelum berangkat. Alhamdulilah, niat ikhlas zaman sebelum berkahwin tertunai dengan kurniaan rezeki.

Kegusaran keadaan kesihatan kandungan beberapa minggu lalu dipinggirkan seketika dan berubah kepada tekad untuk membentang kertas kerja di Sydney Universiti. Andai dilihat secara kasar ,ada rakan yang tertanya-tanya bagaimana dalam waktu mengajar 23jam seminggu saya dapat juga menulis untuk pembentangan kertas kerja. Ditambah pula di dalam keadaan awal mengandung yang beberapa minggu sebelum mengalami sedikit pendarahan. Saya juga tiada pembantu rumah. Sejujurnya saya bukanlah kuat disiplin dari segi menyudahkan penulisan akademik. Namun setiap tahun,saya berjaya juga membentang kertas kerja sekurang-kurangnya satu peringkat kebangsaan dan satu lagi peringkat antarabangsa yang diadakan dalam negeri sejak saya mula bergelar pensyarah sejak 5 tahun yang lalu. Selain itu saya juga terlibat dengan tugasan non-akademik yang lain. Hanya kali ini saya dapat membentangkan kertas kerja di peringkat antarabangsa di luar negara. Setinggi-tinggi penghargaan harus saya berikan kepada suami saya,Adib dan anak-anak saya ,Afiqah dan Arif yang amat memahami kesibukan saya dan tidak menuntut lebih dari kemampuan saya dari segi pengurusan keluarga. Sebagai seorang isteri dan ibu,perasaan bersalah pasti timbul apabila urusan rumahtangga tidak dapat dijalankan dengan sempurna bak surirumah sepenuh masa. Semestinya waktu tidur turut terkorban dalam usaha menyelesaikan kertas kerja.Sokongan mereka dan cita-cita saya menjadi pemangkin. Ditambah dengan keinginan percutian membawa keluarga bercuti di rumah keluarga angkat.

Bagai mimpi, kami berempat beranak menjejak kaki ke bumi kangaroo. Alang-alang bercuti,saya mengambil keputusan untuk bercuti selama yang mungkin.

Penerbangan pada asalnya melalui Thai Airways telah berganti kepada MAS kerana lapangan terbang di Bangkok telah ditutup. Menurut jadual,kami seharusnya berlepas pada jam 8.55pm dan tiba di Bangkok pada jam 10 dan berlepas ke Sydney pada jam 12 dan sampai di lapangan terbang Kingsford Smith , Sydney pada 1.10pm. Sehari sebelum berlepas, saya menerima panggilan dan waktu berlepas ditunda ke 11.25pm pada 30hb November.

Waktu ketibaan 10.15am waktu Australia.

Sunday, November 30, 2008

17 Hari Ganti 17 Tahun?

Bisakah 17 hari mengubat kerinduan 17 tahun terpisah?
Mungkin tidak.
Namun janji pada diri sendiri kian tertunai jua.
Walau di saat itu,jodoh masih tidak ketahuan gerangannya.
Hati bertekad ingin membawa suami ke tapak-tapak yang terjejak .
Tidakku sangka akan kubawa sekali putera puteriku bersama-sama.
Perancangan yang mengambil masa sekitar beberapa minggu memang tidak diduga.
Tidak sesuai juga kukatakan perancangan kerana tidak begitu dirancang.
Kesemuanya datang secara ketidakdugaan dan harapan yang menggunung.

(Nota:Entri ini ditulis pada 30 November 2008 walaupun baru hari ini diupload. Saya cuba kekalkan tarikh asal penulisannya)

Friday, October 31, 2008

10 Minggu

Syawal telah pun melabuhkan tirainya.
Oktober jua bakal berakhir sebentar lagi.
Ampun maaf tiada ucapan di hari lebaran.
Menyepi seribu bahasa

Kesayuan meninggalkan Ramadan disambut kegirangan berita yang dinanti-nantikan.

Di atas pelbagai alasan, kedatangannya 'ditangguh' sejak sekian lama.
Sebaik sahaja 'halangan' dibuka semula 'rancangan' dijalankan...

naluri berkata terciptalah hendaknya
naluri berkata jadilah ia
Alhamdulilah...
Yang Maha Berkuasa
memperkenankan kehendak insan
yang hanya mampu merancang

rasa terkilan menjelma jua kerana
menangguh terlalu lama


kini
usiamu kurang lebih
10 minggu
Syukur Alhamdulilah!

Saturday, September 20, 2008

10 Ramadan Terakhir

Tazkirah selepas Terawih dan Witir malam tadi membicarakan 10 malam terakhir Ramadan yang harus dicari seumpama mencari harta yang hilang. Apabila kita kehilangan sesuatu barang, laporan kehilangan perlu dibuat untuk mendapatkannya kembali. Kita berusaha mencarinya. Kita khabarkan kepada rakan untuk membantu mencarinya dan mungkin juga mereka sama-sama membantu mencarinya. Analogi inilah yang perlu disamakan dengan mencarinya malam Lailatul Qadar.
Tak akan ditemui andai tidak dicari.

Ramadan tahun ini berbeza.
Syawal tidak begitu dinantikan.
Persiapan menyambutnya bukanlah keutamaan.
Ramadan yang bakal berakhir diiringi kesayuan.
Kenikmatan dan ketenangannya terus menjadi dambaan.

Sunday, September 07, 2008

Nostalgia September 1990

Pilihan perlu dibuat kerana kedua-duanya jatuh pada tarikh yang sama.

Ikuti bas rombongan 2 minggu keliling Australia bersama-sama rakan pertukaran pelajar pelbagai negara atau seminggu bersama keluarga angkat menikmati salji dan berski( meluncur salji). Atas dasar kewangan, saya memilih yang kedua.

7 September 1990
Di sebelah malam,kami sekeluarga sibuk mencuba pakaian untuk ber’ski’. Berlapis-lapis lengkap bersarung tangan,sarung kaki dan muka.

8 September
11.15am bergerak dari rumah di 1, Brisbane Street,Illawong,terletak di pinggiran barat daya Sydney menghala ke Snowy Mountains. Lebih tepat lagi ke rumah penginapan di Jindabyne.

9 September 1990
Hari pertama kami ke Guthega. Hanya sempat menyewa peralatan ski dan kasut but. Perasaan teruja melihat salji sejurus terkenang air batu campur(ABC) di Malaysia. Nampaknya mudah untuk membuat ABC di sini,hanya mengepal salji,campurkan sirap,susu dan apa saja buah-buahan yang dikehendaki.
Salji masih tebal di penghujung musim dingin. Namun panas matahari terik tetap terasa memanahi muka walau udara kering dan kedinginan tetap terasa.
Ini kali kedua saya melihat salji secara dekat. Pertama kali pada 1 Julai 1990,sekadar memegang dan membaling kepalannya sewaktu pertukaran 2 minggu bersama-sama keluarga lain yang menetap di Nowra.

10 September 1990
Hari pertama ‘skiing’ di Guthega dan sayamendaftar ke ‘sekolah ski’ untuk 2 hari. Jurulatihnya bernama Mike. Pengalaman ini tidak saya sia-siakan untuk belajar sehingga saya bebas meluncur sendirian bagai peluncur professional. Tidak semudah bagai disangka. Beberapa kali saya terjatuh dan untuk bangkit semula dengan papan ski yang panjang juga bukanlah mudah. Untuk bergerak tanpa meluncur ke kawasan yang lebih tinggi, papan luncur perlu digerakkan sedikit tertanam. Sesampai di tempat yang tinggi, barulah boleh meluncur ke bawah dengan gerakan kaki yang sedikit membengkok. Gerakan secara lurus agak laju dan memerlukan kawalan. Gerakan zig zag lebih perlahan tetapi perlukan imbangan dan gerakan membengkokkan kaki.
Walau kemahiran masih di tahap rendah, saya hanya redah. Cuba ke tempat yang lebih tinggi dengan menaiki chair lift lalu turun semula. Chair lift merupakan pengangkutan serupa kerusi yang boleh menempatkan 2 orang menyerupai cable car tetapi tidak bertutup. Ada juga tempat yang menggunakan t-bar. T-bar pula, sesuai dengan namanya,pemegang berbentuk ‘t’ perlu dipaut untuk memudahkan pergerakan ke kawasan tinggi tetapi kaki dan papan luncur masih jejak di tanah dilitupi salji. Berbeza dengan chair lift yang boleh membawa ke tempat yang lebih tinggi sehingga kaki tergantung sahaja. Beberapa kali saya mencuba untuk menghilangkan rasa gemuruh. Perasaan bimbang saya ketepikan semuanya.

Satu ketika saya ‘dipaksa’ naiki chair lift dari bahagian bawah pergunungan untuk ke bahagian atas pergunungan bersama-sama Dr A. Dia tidaklah pemalu bagai disangka dan menyatakan hasrat untuk ke Malaysia.

11 September 1990
Hari kedua di sekolah ski. Jurulatih hari ini bergelar Jim. Saya nekad untuk meluncur ke kawasan yang lebih mencabar. Hari ini banyak kali saya terjatuh. Paling teruk ketika meluncur di kawasan lereng bukit. Saya hilang kawalan dan melompat melepasi laluan seakan terjun ke bawah. Papan luncur juga terlepas dari kaki dan meluncur turun terus ke bawah. Dada saya bedetak kencang, kaki menggigil, kecut perut. Jim terpaksa meluncur ke bawah untuk mendapatkan papan luncur saya. Kasihan juga melihatkannya terpaksa mengambil papan luncur saya dan naik semula tanpa bantuan chair lift atau T-bar. Agak memakan masa untuk ke arah saya semula kerana bukan mudah untuk bergerak dengan papan luncur dari arah bawah ke atas. Saya dinasihatkan untuk berehat seketika untuk menenangkan keadaan. Sebaliknya,saya teruskan juga walau perasaan masih cemas dan kaki masih menggigil. Sebetulnya saya tidak mahu membuang masa melayan perasaan tersebut dan seterusnya kekurangan waktu untuk menikmati kepuasan melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan seumur hidup.
Sebentar kemudian waktu solat tiba, kami sekeluarga menunaikan solat di atas salji. Dingin terasa saat dahi menyembah bumi dilitupi salji .Namun, tanggungjawab kepada pencipta keindahan alam ini tidak ditinggalkan.

12 September 1990
Giliran saya memasak hari ini,untuk 15 orang kesemuanya. Saya tidak turutserta berski pada hari ini. Hanya memasak dan mengemas. Menu pilihan mereka ,nasi goreng. Saya turut memasak sambal tumis, sate dan sambal kacang. Sewaktu mengemas, buku-buku perubatan Dr A bersepah di ruang tamu. Eh,nama saya tertera di cebisan kertas dalam bukunya???Oh tidak...

13 September 1990
Hari ini sangat sejuk dan salji turun lebat. Pun begitu,peluang ke Guthega tidak saya lepaskan dan saya gunakan sepuas-puasnya untuk berski berulang kali dan setiap kali di tempat yang lebih tinggi dan mencabar. Kata-kata ‘No guts, no glory dan no pain,no gain ‘ menjadi pegangan. Bila jatuh, bangun semula dan sambung meluncur. Ibu angkat saya bersuara,’gila’ betul budak perempuan Melayu ini, meluncur salji di saat salji turun lebat. Saya tidak peduli.

14 September 1990
Beralih ke Thredbo pula untuk meninjau kawasan di sini. Memandangkan kos meluncur di sini lebih mahal, kami sekadar minum –minum dan pergi ‘bush walking’. Seronok juga pergi berjalan di sekitar jeram dan kelihatan wombat di sana sini.
Di sebelah malam,Dr A membawa saya,Sara,Karen dan Lucia keluar ke restoran Mexico.
Rancangan masadepan saya menjadi persoalan sewaktu hidangan makan malam. Niatnya yang pernah disampaikan kepada ibubapa angkat saya dan seterusnya dipanjangkan kepada ibubapa saya 6 bulan yang lalu masih tersimpan rupanya.

15 September 1990
Perjalanan balik dari Jindabyne bermula pada jam 11.30 pagi dan meninggalkan seribu satu kenangan.

Inginkah anda semua membaca kisah setahun saya di rantau orang?

Apakah yang berlaku sebelum September dan selepas itu sehingga Januari 1991?

(Kisah ini akan dirincikan lagi dalam novel remaja saya yang masih di dalam proses penulisan)

Masjid As-Syakirin UiTM Johor Sesak

Malam ketujuh Ramadan

Usainya mengerjakan Tarawih dan Witir di masjid As-Syakirin UiTM Johor malam tadi mencetus ilham penulisan ini. Ini merupakan malam keempat saya sekeluarga ‘bersenang-senang atau duduk istirehat’(maksud Tarawih) di sini.

Sangkaan saya,Sabtu malam begini sudah pastinya keadaan masjid berkurangan pengunjungnya berbanding hari Rabu, Khamis atau Jumaat kerana kebiasaannya siswa siswi gemar untuk pulang ke kampong halaman masing-masing. Mungkin juga mereka baru sahaja pulang pada minggu yang lalu.

Apapun alasan mereka masih di sini,hati menjadi senang melihat keadaan masjid yang penuh sesak dengan siswa siswi.

Walaupun pada waktu solat Maghrib,hanya 2 saf siswi,menjelang Isyak dan membawa ke solat Terawih,saf siswi bertambah menjadi 10 saf dan setiap saf berjumlah kurang lebih 50 orang dan ini bermakna kira-kira 500 Muslimat berkumpul berlumba-lumba untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t. Tirai yang memisahkan Muslimin dan Muslimat telah 3 kali diperbesarkan untuk memberi ruangan lebih kepada Muslimat yang pada asalnya tidak mendapat tempat sehingga Imam mengumumkan mereka bolehlah juga bersolat di ruangan tepi masjid. Ruangan solat Muslimin telah dipenuhi Muslimat.

Kurang pasti pula saya berapa saf dipenuhi Muslimat. Tapi masjid memang penuh sesak.

Yang pasti, saya mohon dengan tertunainya solat malam pada bulan Ramadan ini,
“Allah mengampuni semua dosa kami yang lalu.”

Insya Allah! Alhamdullilah!

Saturday, September 06, 2008

Hilangnya Entri Bulan Ogos 2008

Tiada satu entri pun tertulis pada bulan Ogos yang lalu.

Sudah pastinya berbagai peristiwa yang berlaku.

Jumlah jam mengajar sebanyak 23 jam seminggu dan ditambah dengan gantian kelas untuk pelajar yang jadualnya baru diberikan kepada saya. Kasihankan mereka yang baru sahaja memulakan kelas pada bulan Ogos,kelas gantian saya buat hampir setiap malam selama 2 minggu untuk memastikan mereka tidak ketinggalan. Tambahan lagi,saya cuba elakkan kelas malam dibuat pada bulan Ramadan. Lalu 23 jam menjadi 31 jam untuk tempoh 2 minggu pertama Ogos. Hasilnya,mereka tidak ketinggalan.

Di sebelah malam pula melayani kerenah siswi Baiduri yang adakalanya sakit secara fizikalnya dan ada juga yang tertekan dengan pelbagai masalah.

2 Ogos ,bersama-sama 25 siswi dan 6 orang staf UiTM Johor menaiki bas ke Batu Pahat untuk mengikuti program Motivasi & Ketrampilan Diri Wanita ke Arah Kejayaan anjuran W.I Johor(Perkumpulan Wanita) & majalah Keluarga. Kebetulan pengerusi W.I adalah emak saudara saya.

080808 telah terhasil prakata antologi puisi dwibahasa saya. Nantikan...terbitnya.
9 Ogos 2008- Sambutan Makan Malam 50 tahun AFS/Antarabudaya Malaysia di Holiday Villa,Subang.

Teruja dan bersyukur mendapat sijil pengiktirafan dan naik ke pentas menerimanya dari Presiden AFS Antarabangsa. Semua ‘returnee’ (panggilan untuk semua bekas pelajar pertukaran pelajar) dipanggil ke pentas mengikut giliran tahun.
Bermula dengan kumpulan pertama tahun 1958-1968,diikuti kumpulan 1969-1977,kemudian 1978-1988,1989-1998 dan akhir sekali kumpulan 1999-2008. Pengumuman dibuat oleh pengacara majlis,Datuk Mahadzir bin Dato Lokman,yang juga pernah mengikuti program ini pada tahun 1977. Nama saya dipanggil pertama untuk kumpulan 1989-1998. Sijil pengiktirafan dan cenderahati diterima,disusuli gambar berkumpulan. Kurung hitam dan emas tersarung sesuai dengan tema pada malam itu.

Sebelum beredar sempat merakam gambar bersama-sama Datuk Mahadzir serta Datuk Sharifah Aini . Datuk Sharifah Aini bakal mengambil anak angkat pada tahun hadapan. Penyanyi Atilia sampai lewat,mungkin disebabkan keutamaan undangan nyanyian di Pesta Filem Malaysia ke 21 kalau dilihat dari pakaiannya yang serupa untuk kedua-dua acara. Jam 11 baru muncul,masakan dapat mengambil perhatian kami yang lebih teruja bertukar cerita dan bersedia untuk pulang. Untuk acara sambutan 50 tahun,agak hambar. Makan malam tahun lalu lebih meriah dengan nyanyian dari Adibah Noor dan tahun sebelumnya oleh Nita. Namun,keadaan yang hambar dapat diselamatkan dengan pertemuan semula beberapa kenalan.

Cuti pertengahan semester kali ini bersamaan dengan cuti sekolah memang amat dinantikan. Kebiasaannya cuti UiTM dan cuti sekolah tidak berpadanan waktu. Sehari sebelum cuti ,saya menghadiri konferens dua hari di Hotel Singgahsana,Petaling Jaya. Konferens yang berkait rapat dengan penyelidikan Phd saya.

Di pertengahan cuti saya mendapat jemputan memberi latihan kemahiran komunikasi bahasa Inggeris selama 2 hari untuk staf di Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya. Afiqah pula perlu berkursus di Mersing di waktu yang sama. Nampaknya,Afiqah sudah mulai ikut jejak langkah saya berkursus ke sana ke mari. Adib pula mesyuarat ahli lembaga pengarah di Shah Alam.

Kami sekeluarga bertemu semula di Gunung Ledang Resort. Saya memandu dari Putrajaya, mereka bersama-sama sanak-saudara,sepupu sepapat saya dari UiTM Johor. Lima bilik telah kami penuhi.

Pagi Jumaat,22 Ogos kami mencecah kaki menikmati kesegaran air dari gunung. Saya tidak berpuashati setakat di kaki gunung sahaja lalu memanjat sehingga ke Kolam Puteri,iaitu ketinggian hanya 900 kaki. Ini bukan pertama kali saya memanjat sehingga ke sini. Pertama kali, 22 tahun yang lalu, semasa mengikuti Pasukan Pandu Puteri sekolah. Kedua, bersama-sama Katia,rakan baik saya dari Itali pada tahun 1994. Ketiga,pada tahun 2004,saya bersama-sama jurulatih PLKN dan tidak ketinggalan saya membawa Arif dan Afiqah yang pertama kali memanjatnya. Keempat, membawa Minea,anak angkat saya dari Finland pada tahun 2006. Jadi ini merupakan kali kelima saya memanjatnya. (Tidak termasuk sewaktu saya berkunjung beberapa kali tetapi setakat di kaki gunung).

Kelima bagi saya tetapi pertama kali bagi suami saya ,Adib. Uniknya pendakian kali ini ialah kami tidak memakai kasut. Pendakian ini tidak dirancang. Mula-mula berjalan di celah-celah batu. Afiqah dan Arif yang telah 2 kali mendaki amat teruja sekali walau mereka tahu jalan ke sana agak jauh dan tinggi lagi. Hanya kami bertiga ketahui berapa jauh lagi.

“Jauh lagi ke?” soalan ini bertalu-talu ditanya.
Kami asyik memberi semangat,”Hanya sekejap lagi sampai.”

Sesampai di Kolam Puteri,saya memulakan ‘hidroterapi’ percuma ciptaan Ilahi setelah ‘bersauna’ ketika mendaki. Segala puji bagi Allah!

Saya amat merindui suasana begini. Sewaktu di universiti saya merupakan ahli kelab ‘Hiking & Camping’. Gunung Jerai, Gunung Tahan, Gunung Pulai pernah didaki dan berbagai aktiviti perkhemahan dan tahan lasak saya turuti.
23hb Ogos merupakan hari yang begitu banyak undangan.

Tengahari ke undangan majlis perkahwinan adik ipar Prof Kamil di Jementah,diikuti kunjungan ke kampong untuk majlis Yaasin, tahlil dan doa selamat. Dua undangan di Batu Pahat diwakili ibubapa saya sahaja. Ahad pula kami penuhi undangan perkahwinan anak saudara Kak Hai,iaitu kakak Adib di Melaka.

Isnin ,25 Ogos,percutian telah tamat dan kelas berlangsung seperti biasa.
Malam 26 Ogos,saya dijemput memberi ceramah serta memberi demonstrasi teknik ikatan tudung untuk para siswi. Sesi 2 jam ini lebih kepada bengkel di mana saya menunjukkan beberapa teknik ikatan tudung dan juga selendang.
27 dan 28 Ogos saya dipenuhi dengan menanda rangka tugasan untuk 2 kelas yang berjumlah kurang lebih 60 orang.
Ah...3 hari lagi tamatlah bulan Ogos.

30 Ogos, saya masih di UiTM Johor untuk kelas PLK(Pelajar Luar Kampus).
31 Ogos, ke Batu Pahat sehingga 2 September.
Semasa di Batu Pahat pada 1 September ,saya bertembung dengan seorang pembaca blog ini dan beliau berkata,”Lama tak update blog,ya?” “Sibuk?”

Nah,telah saya kisahkan bagaimana ‘terhilangnya’ entri bulan Ogos saya.

Wednesday, July 23, 2008

Apabila Niat Digabung...Makan Di Dulang

Niat asal saya ingin menjamu warga kolej Baiduri mengikut ‘wing’ di rumah saya semasa majlis bacaan Yaasin mingguan, pada malam Jumaat, diadakan secara bergilir, menurut kesempatan saya menyediakan makanan untuk mereka. Tujuannya untuk lebih mengenali mereka dengan lebih dekat lagi. Ada 11 ‘wing’ kesemuanya dan pelajar berjumlah kurang lebih 500 orang. Tambahan pula saya baru berpindah ke rumah aras bawah pada akhir bulan Jun lepas.

Sepupu saya, Rafikah pula berniat untuk menjamu rakan Mutiara, anaknya yang baru mendaftar bahagian 1 diploma Perakaunan di kampus ini yang menghuni di ‘wing A’ Kolej Baiduri. Jumlahnya kurang lebih 40 orang.

Niat dikhabarkan pada Ahad malam,13 Julai sebelum kami balik ke Segamat selepas menghadiri kenduri arwah di Batu Pahat. Kami berbincang dan akhirnya sepupu saya mencadangkan jamuan diadakan untuk semua warga Baiduri, makanan di atas tajaannya manakala saya perlu menyediakan airnya serta menguruskan jemputan dan beberapa persiapan lain.

Saya hanya ada 4 hari untuk buat persiapan.

Selain penghuni Baiduri, saya juga menjemput Pengarah, Timbalan Pengarah HEA ,Timbalan Pengarah HEP, semua Pegawai Pembangunan Pelajar, Unit Pengurusan Kolej, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar, rakan sejabatan dan beberapa staf UiTM berserta keluarga mereka. Jemputan dijangka seramai 400 orang.
Majlis ini saya namakan Majlis Bacaan Yaasin, Doa Selamat & Tahlil serta Jamuan disempurnakan di dalam rumah saya dan di sekitar perkarangan Kolej Baiduri bermula pada waktu Maghrib,19 Julai 2008. Jemputan perempuan berjemaah Magrib di rumah diikuti dengan bacaan yaasin, doa , tahlil sehingga ke Isyak manakala jemputan lelaki pula di Masjid As-Syakirin dan selepas Isyak beransur ke Baiduri untuk tahlil ringkas dan diikuti dengan jamuan.

Solat Maghrib, bacaan Yaasin, tahlil, doa dan Isyak diimamkan oleh kakak sulung Adib, Adibah.

Di antara hajat yang disertakan ialah supaya dipermudahkan pengajian Phd saya, kejayaan cemerlang untuk pengajian ijazah sarjanamuda Adib ( tahun terakhirnya), pengajian diploma Mutiara Mazlan yang baru memulakan pengajiannya,anak-anak,Afiqah dan Arif dan tidak ketinggalan semua penghuni kolej Baiduri.
Selain doakan kejayaan akademik, saya juga mohon dipelihara keselamatan dan kesihatan, dijauhkan segala malapetaka dan perbuatan maksiat.

Tahlil arwah pula dikirimkan ke roh Almarhum
bapa mertua saya, Ismail @ Daud bin Mahadi
bapa saudara saya, Tan Sri Dato’ Hj Redzuan bin Salim
datuk saya, Ungku Abdullah Ungku Daud
serta roh Almarhumah
nenek ,Ungku Hawa Ungku Osman
nenek saudara, Ungku Aishah Ungku Osman
Menyebut nama mereka membuatkan saya terimbau kenangan bersama-sama mereka, terutama sekali nenek saudara saya, Ungku Aishah yang tinggal bersama-sama saya semasa hayatnya. Kisah mereka perlu ditulis di entri berasingan.
Berbalik ke kisah majlis tadi, selesai solat,doa dan tahlil,tetamu dijamu beriani kambing dan ayam terhidang di dalam dulang bulat untuk dimakan bersama-sama seramai 4 atau 5 orang. Tukang masak didatangkan khas dari Batu Pahat.

Makan di dalam dulang bukanlah sesuatu yang asing bagi saya walau terdapat jemputan yang baru pertama kali merasai suasana begini. Duduk bersila di lantai, tiada jurang di antara jemputan. Makanan yang sama, tiada meja khas, tiada protokol, tetamu kelihatan mesra sambil menikmati hidangan lazat yang ditambah sehingga beberapa kali. Meriah !

Paling teruja apabila ada pelajar bersuara yang datang pada waktu makan bersuara, “ Kalau makan macam ini selalu Puan, boleh dapat DL (Dean’s List) atau Anugerah Dekan setiap semester.”
Sambil bergurau saya menjawab,”Kalau nak dapat DL perlu juga hadir semasa solat dan doa tadi.”
Tidak ramai pelajar turun sewaktu solat,doa dan tahlil. Saya pula tidak memaksa mereka untuk turut hadir dan kebanyakan mereka pula mengambil kesempatan untuk balik ke rumah masing-masing pada hujung minggu.

Pun begitu, akhirnya hidangan lazat nampaknya tidak sukar untuk dihabiskan apabila pengumumam di buat ke beberapa kolej berhampiran untuk menikmati makanan percuma.
Semua para jemputan menyatakan kelazatan hidangan dan kebanyakan mereka dapat membawa pulang sebungkus lagi.

Alhamdulilah, majlis berjalan lancar dan saya juga doakan rezeki sepupu saya itu dimurahkan dan segala hajat kami termakbul. Amin.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi hadir, terutama sekali Tuan Pengarah, Prof Muhd Kamil yang mempunyai jadual yang begitu padat (beliau baru sahaja kembali dari Johor Bahru dan beberapa tempat lain) tetapi masih berkesempatan hadir bersama-sama keluarganya. Nampaknya sudah ada tempahan darinya untuk majlis buka puasa nanti. Nantikan...

Monday, July 21, 2008

Coretan ala diari ringkas

Apabila terlalu banyak yang ingin ditulis tetapi tidak tertulis, hanya coretan ala diari ringkas yang dapat dipaparkan. Mungkin agak membosankan untuk dibaca tetapi ini lebih kepada ingatan kepada diri saya sendiri berhubung aktiviti yang telah saya lakukan. Coretan yang mungkin dapat dikembangkan menjadi satu entri apabila tiba masanya atau mungkin saja kekal sebagai catatan ringkas di sini. Coretan ini juga memudahkan saya merekod segala aktiviti tugasan saya khususnya.

25 & 26 Jun - Rakaman suara video korporat UiTM Johor di Kota Damansara
27 Jun - Berkemas untuk berpindah rumah ke aras bawah
Malamnya, Abang Pit sekeluarga,Khalah dan ibu bermalam kerana menhantar Tiara mendaftar di UiTM Johor.
28 Jun - Sebelah pagi menyediakan makan tengahari,iaitu spagetti bolognaise,ayam panggang dan kambing panggang,sebelah petang memindahkan barang ke bawah
29 Jun- Masih memindahkan barang,kebanyakannya buku yang berkotak-kotak banyaknya
30 Jun- Hadir hari terbuka sekolah, Afiqah mendapat tempat ketiga dan Arif masih kekal di tempat kedua.
2 Julai-Majlis Perasmian MMS – teruja melihat hasil video korporat UiTM Johor pertama kali ditayangkan kepada umum
3 Julai- Hadir Bengkel BOMQ
4 Julai-Mesyuarat Akademik
5 Julai- Hadir Sambutan Hari Mawar di Johor Bahru
6 Julai- Ulangtahun Adib yang ke 39, masak udang galah istimewa dan nasi beriyani
7 Julai - Kelas untuk semester ini bermula pada jam 8 pagi, mengajar sebanyak 23 jam seminggu
8 Julai- Kelas seperti biasa di sebelah siang, hadiri mesyuarat PPP sektor A mulai jam 9 malam
9 Julai- Cuti umum, masih menyudahkan menyusun buku-buku
Cuba membuat resepi baru,’apple crumble’
Malam hadiri majlis pertemuan antara Pegawai Pembangunan Pelajar (PPP) dengan pelajar siswa sehingga jam12.30 malam
10 Julai - Kelas seperti biasa pada siangnya dan hadiri majlis pertemuan antara PPP dengan pelajar siswi sehingga jam 12.45
12 Julai- Selepas kelas PLK tamat jam 5 petang,bergegas ke sekolah, Hari Penyampaian Hadiah yang tidak dapat saya hadiri
Seterusnya memandu ke Batu Pahat untuyk hadiri kenduri bersama-sama Afiqah, Arif dan Tiara manakala Adib pula ke kelasnya di Shah Alam.
14-17 Julai- Kelas seperti biasa
15 Julai - Perjumpaan TP HEP bersama-sama PPP dan JPK
18 Julai Ke Shah Alam urusan pengajian Phd
19 Julai Majlis Bacaan Yaasin, Doa dan Jamuan

Wednesday, June 25, 2008

Jejak Kasih cara 'Facebook'

Tahun lalu saya menulis entri Jejak Kasih cara Google di sini.

Saya juga menulis bagaimana blog saya menemukan beberapa rakan antara benua di sini melalui tugasan pengucapan awam saya semasa PTK.

Sepanjang minggu lalu, saya alami jejak kasih melalui ‘Facebook’.

Walaupun telah mendaftar sebulan yang lalu, saya tidak berkesempatan meneroka ‘Facebook’. Apa yang saya alami, dalam tempoh 2 minggu sahaja, saya telah berhubung
semula dengan teman lama dan tidak ketinggalan saudara mara sendiri di sini. Dalam masa yang singkat, 13 ahli keluarga saya,terdiri 3 generasi,iaitu bapa saudara, emak saudara, sepupu dan anak saudara telah dihubungkan melalui ‘Facebook’. 40 orang lagi terdiri dari seorang kawan sekolah,seorang kawan semasa pertukaran pelajar,seorang kawan blogger, dua orang rakan penterjemah, dan selebihnya kawan semasa di PPP/ITM dan juga kawan sekursus TESL sejak di PPP/ITM dan juga di UKM dan juga kawan berlainan kursus di UKM.
Gembira dapat bertemu semula walau sekadar di alam maya. Di sini, memandangkan akses lebih melalui jemputan, kami saling meletakkan gambar sendiri dan keluarga masing-masing. Itulah teknologi terkini. Namun, pertemuan di alam maya dapat disusuli dengan pertemuan di alam nyata kerana mudahnya menjejak di mana seseorang itu akan pergi.

Semoga siratulrahim dapat dieratkan lagi. Terkini jumlah rakan Facebook saya ialah 53 orang dan saya yakin akan bertambah lagi.

Wednesday, June 18, 2008

Salasilah Keluarga

Keputusan bermalam di rumah bapa saudara saya di Bandar Utama dibuat agak spontan,iaitu dalam perjalanan daripada lapangan terbang sekembali saya daripada Kota Kinabalu pada 13 Jun yang lalu.

Arwah datuk saudara saya, Haji Jaafar bin Majid semasa hayatnya telah memulakan salasilah keluarga. Saya masih ingat lagi apabila bertemu, beliau sering menceritakan tentang salasilah keluarga yang sedang diusahakan. Kata-kata yang sering diulangnya ialah,”Apabila kita merapatkan siratulrahim seseorang atau sesama kita, akan bertambahlah usia kita.” wallahalam

Setelah beliau tiada,kajian salasilah diteruskan oleh anaknya,Jalaludin Jaafar. Ketika bermalam di rumahnya, saya kagum dengan usahanya melengkapkan 7 generasi keturunan keluarga. Arwah atuk hanya ke peringkat generasi ketiga dan bapa saudara saya telah menyambung seterusnya ke generasi ke 7 dalam masa kira-kira 6 bulan. Kini, tersenarai sudah lebih kurang 1000 ahli keluarga dan akan diadakan satu pertemuan keluarga pada 20 Disember 2008 di Putrajaya.

Malam itu, saya meneliti senarai nama helaian demi helaian. Senarai nama beserta tahun lahir, status perkahwinan, nama anak, alamat rumah dan nombor telefon untuk dihubungi. Di majlis itu nanti, direktori salasilah keluarga ini akan dijual beserta pelancaran 2 buah buku ahli keluarga, 2 nama yang tidak asing dalam sejarah tanahair. Terpandang beberapa nama lain yang dikenali dalam pelbagai bidang. Mereka berada di serata tempat di Malaysia (kecuali Pulau Pinang) dan ada juga yang telah menetap di UK dan US. Terlintas juga mungkin saja ada yang berselisih bahu tetapi tidak diketahui bersaudara. Mungkin di kalangan pelajar saya sendiri merupakan saudara mara saya juga.

Teruja dan terharu apabila nama tersenarai dalam titisan keluarga berdarah Bugis ini.
Majlis pertemuan itu sudah pasti saya nantikan.

Tuesday, June 17, 2008

Kunjungan Menyentuh Kalbu

Entah kenapa saya merasa sebak saat pesawat berlepas daripada lapangan terbang Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pada 13hb Jun 2008.

10hb Jun 2008 merupakan kali pertama saya menjejak kaki ke Negeri di Bawah Bayu. Negeri terakhir yang belum saya jejaki di seluruh Malaysia seumur hidup saya. Agak ‘memalukan’ juga rasanya kerana telah pergi ke beberapa buah negara luar tetapi masih belum habis menjelajah tanah air sendiri. Justeru, jemputan memberi kursus asas bahasa Inggeris di Borneo Paradise Hotel, Kinarut Sabah tidak saya lepaskan. Hajat di hati ingin membawa keluarga bersama-sama ke sana,namun kos yang terlalu tinggi memaksa saya untuk memendamkan saja niat tersebut. Tambahan lagi, musim cuti sekolah telah berakhir.


Perjalanan yang sepatutnya memakan masa 20 minit daripada lapangan terbang bertambah ke sejam disebabkan kesesakan lalulintas untuk ke tempat penginapan. Kurang lebih jam 6.30 petang, sebuah teksi menghantar saya di hadapan lobi hotel. Gerimis berlatarkan matahari terbenam mengiringi perjalanan saya ke sana. Sesampai di hotel,usai urusan daftar masuk dan meletak barang di bilik,saya mengambil peluang merakam saat matahari terbenam. Agak terlewat, hanya mega merah yang kelihatan.

Menyedari perbezaan waktu, saya meminta jadual solat kepada pekerja di situ. Sukar mengagak siapa yang Islam atau sebaliknya. Nampaknya pekerja yang ditanya tidak tahu tentang jadual solat. Beberapa lama kemudian barulah saya mendapat maklumat jadual solat. Awalnya Subuh dan awalnya matahari terbit.

Saat makan malam, saya ketemu Encik Mahali, urusetia daripada JPN Sabah yang menegur dengan ucap salam, walau kelihatan seperti berbangsa Cina. Ah...memang sukar diramal. Encik Mahali ramah bercerita adat budaya dan makanan istimewa di sana.

Sesi kursus berjalan seperti biasa dan tidak akan saya rincikan di sini. Bermula jam 8 pagi dan berakhir 6 petang. Kebiasaannya, apabila saya memberi kursus di tempat lain, setelah 8 jam memberi kursus, di sebelah malamnya,saya akan mengambil peluang untuk berehat secukupnya di dalam bilik atau mengambil peluang menyiapkan kerja tertangguh yang berkaitan penulisan, penyuntingan atau terjemahan.

Di Sabah nampaknya saya tidak berpeluang meneruskan rutin saya.
Pelbagai saranan diberi untuk saya melihat sedikit bahagian daripada Sabah. Saya ‘tergoda’ walau agak keletihan lantaran ketidakpastian entah bila akan berkunjung lagi. Seorang peserta, penghuluwatinya,yang digelar Sherry telah menawarkan diri menjadi ‘pemandu pelancung’. Pemantau dari Kementerian Pelajaran turutserta dalam acara tidak rasmi ini. Kami yang pada asalnya tidak begitu teruja untuk melihat mutiara dan kristal akhirnya menjadi ‘gila’ melihat pelbagai rekaan yang unik dan menawan. Kami yang kononnya tidak begitu gemar memakai asesori telah berubah sekelip mata. Lalu, tidak ketinggalan saya memilih untuk beberapa rakan rapat dan keluarga dan diri sendiri juga untuk dijadikan cenderahati. Selepas 3 jam di sana, kami kehausan dan berlabuh di Anjung Senja untuk merasa ‘sayap bakar’ yang disarankan oleh Sherry. Sayap bakar sebenarnya seperti ‘chicken wing’ tetapi rasanya memang enak dan berlainan sekali. Terima kasih Sherry dan adiknya yang memandu kami ke sana ke mari.

Tidak ketinggalan saya merakam saat matahari terbenam serta deruan ombak memukul pantai. Masya Allah hebatnya ciptaan Allah!

Malam ketiga merupakan acara pemberian sijil dan persembahan. Saya kira orang Sabah memang amat berbakat dalam nyanyian yang terbukti apabila sesi karaoke berlangsung. Peserta juga menunjukkan tarian semazau dan poco-poco. Keletihan malam sebelum masih lagi terasa. Namun keramahan dan kemesraan mereka menunjukkan adat dan budaya memaksa saya terus memilih untuk melibatkan diri berbanding mengunci diri di bilik hotel. Seakan mengikuti program pertukaran budaya pula rasanya.

Hari terakhir terasa sungguh cepat tiba. Seorang lagi peserta,bernama Sapna,menawarkan diri menghantar saya ke lapangan terbang. Ditemani saya sehingga pesawat berlepas. Terima kasih, Sapna. Saya juga amat hargai pemberian peribadi darinya,iaitu seutas rantai tangan kristal berikat suasa.

Saya amat berharap akan berkunjung ke sana lagi.

Kunjungan ke negeri di bawah bayu ternyata menyentuh kalbu.

Sunday, June 15, 2008

Senja di Sabah



Kepenatan 8 jam sehari untuk memberi latihan seakan terpadam tatkala merakam keindahan terbenamnya matahari.

Gambar dirakam pada 11 Jun 2008 di Borneo Paradise Hotel, Kinarut, Sabah.

Sunday, June 08, 2008

Acara Sosial

Baru tiba daripada Batu Pahat lebih kurang sejam yang lalu sementara menunggu sisa sisa antibiotik dan pil yang lain memainkan peranannya.

Hujung minggu yang padat dengan acara sosial.

Hajat di hati ingin turutserta aktiviti ahli keluarga PEWANI pada pagi semalam tetapi tidak terlaksana kerana masih kurang sihat. Namun di sebelah petang,untuk meramaikan dan meraikan ketibaan Dato Seri Prof Ibrahim Abu Shah dan Datin Seri,saya dan Adib bergegas menyambut ketibaan mereka yang sampai lebih awal dari yang dijangka di Ledang Inn, UiTM. Minum petang bersama-sama mereka memberi saya kesempatan mendengar pengalaman Dato Seri secara dekat. Satu perkara yang disebutkan beliau yang merupakan prinsip saya juga adalah berkenaan bab menolong seseorang. Beliau mengatakan kebiasaannya apabila dia menolong seseorang,kebiasaannya tidak selalunya dia mendapat balasan daripada orang yang ditolong tetapi daripada orang lain pula.

Seringkali saya mendengar orang mengungkit di atas bantuan yang diberi kepada seseorang atau apabila dia dilupakan kerana membantu seseorang untuk menjayakan sesuatu perkara. Sebenarnya melalui pengalaman saya sendiri,apabila kita ikhlas membuat sesuatu,balasannya akan diterima juga tanpa disangka-sangka dan selalunya bukan daripada orang diberi bantuan.

Begitu juga dari segi pemberian dalam bentuk kewangan dan barangan. Sangat cepat balasannya terutama sekali apabila saya memberikan kepada ibu,emak dan emak mertua saya, tidak ketinggalan kepada suami, anak-anak, ahli keluarga dan rakan. Tiba-tiba ada tugasan terjemahan,jemputan ceramah atau sebagai trainer menyusul. Syukur Alhamdulilah.

Berbalik kepada aktiviti semalam, selepas jamuan BBQ PEWANI dan dendangan 3 buah lagu dari Dato' Seri NC, kami sekeluarga bergerak balik ke Batu Pahat kurang lebih pada jam 10.30 malam. Walau kesuntukan waktu, saya harus menemukan Afiqah dan Arif dengan datuk neneknya yang tidak ditemui sejak 3 bulan yang lalu. Andai ditangguhkan, entah bila bertemu lagi. Hampir jam 12 malam sampai di perkarangan rumah. Afiqah pula mulai demam.

Jam 2.30 petang beransur ke rumah Khalah(makcik saudara) untuk bertemu ibu, sepupu dan anak saudara. Berbual-bual sambil Arif dan Afiqah bermandi-manda di kolam renang mereka. Bertemu juga dengan Mak Minah (makcik saudara)yang telah bertahun-tahun tidak bertemu dan kini dalam keadaan kurang sihat menghadapi kanser.

Perbualan dengan Khalah pula berkisar tentang kisah silam dan membandingkan kisah kini. Khalah adalah seorang yang sangat mementingkan protokol dan cara penggunaan bahasa yang betul, sesuai dengan kedudukannya sebagai Puan Sri. Saya kira keseluruhan keluarga saya kebanyakannya begitu. Nanti saya ceritakan di entri yang lain bagaimana tegasnya mereka mendidik kami dari segi tatacara percakapan dan penggunaan bahasa dan perlakuan malah dari segi berpakaian, cara duduk dan berjalan juga.

Saya mengusiknya, "Khalah, nanti kita tulis buku,ya?" "Khalah cerita,nanti Shima rekod dan tuliskan".

Paling seronok menerima 4 tas tangan asli berjenama dari ibu yang tak mungkin mampu saya membelinya sendiri setakat ini. Harus mencari kasut yang sepadan pula nampaknya? Mungkin sepadan dari segi warna sahaja dan mungkin dari jenama biasa-biasa saja.

Jam 6.30 petang bergerak ke kampung Adib pula. Selepas makan malam dan Maghrib, kami bergerak pulang kurang lebih pada jam 9 malam.

Nampaknya ubat-ubatan yang diambil sebentar tadi telah membuatkan mata saya berat kini.

Friday, June 06, 2008

Apabila Isyarat Berehat Diterima

Terakhir saya kemaskini blog ini adalah 3 minggu yang lepas.

Dalam perjalanan pulang daripada Kuala Lumpur petang semalam, tekak mulai rasa perit dan badan sudah terasa bisa-bisa. Sesampai di rumah iaitu pada hampir waktu Maghrib ,suhu badan semakin meningkat tinggi walau tidak pasti berapa Celsius. Arif juga panas badannya.

Sekitar jam 8 kami ke klinik.
Di dalam bilik pemeriksaan-Doktor Jalil membaca suhu-38 Celsius,bacaan saya dan 39 Celsius bacaan Arif.

Setelah mendengar itenari dan aktivti saya untuk beberapa minggu ini, Dr Jalil bertanya kepada saya,“Tidak penat ke?”

Selepas berfikir sejenak saya menjawab, ”Tak terasa penat tetapi saya rasa mungkin badan saya dah memberi isyarat untuk berehat.”

Ubat yang diberi adalah antibiotik, ubat demam, sakit tekak dan ubat batuk berserta cuti sakit.
Semalam saya tidur awal dan sepanjang hari ini, hanya tidur, bangun baca dan makan dan tidur.

Sekarang tidak dapat nak lelapkan mata pula.

Apa yang telah saya lakukan sejak kali terakhir menulis?

17 Mei – ke Shah Alam bertemu penyelia Phd dan berbincang sambil menebus ganjaran baucer buku MPH sebanyak RM140 yang akan temat tempoh penebusannya

18 Mei-ke bengkel Profesor Abdullah,tentang Bahasa Melayu Tinggi di Taman Permata,KL dan petangnya balik ke kampong di Batu Pahat

19 Mei- Daripada kampong balik ke UiTM semula menghadiri undangan Prof Kamil di rumahnya (Hari Ulangtahunnya yang ke-44)

20Mei- Bekerja seperti biasa dan Mesyuarat Pegawai Pembangunan Pelajar pada jam 4pm

21Mei-Mesyuarat Jabatan,Akademi Pengajian Bahasa di sebelah pagi dan tengahari Majlis Perpisahan unuk Puan Sumarni Maulan yang berpindah ke UiTM Melaka

22Mei- Mesyuarat AJK/PPP untuk Kursus JPK Kolej di Terengganu

23Mei- Bekerja seperti biasa dan malamnya menyambung baca novel The Memory Keeper’s Daughter

24 Mei-Cuti sekolah bermuladn Arif meminta mengajar mewarna teknik catan, iaitu cara mewarna awan, langit, gunung, pokok dan pemandangan matahari terbenam. Kemudian memasak lauk asam pedas kegemaran semua.

25 Mei-Berjaya menghabiskan novel The Memory Keeper’s Daughter setebal 513 halaman setelah tidak tidur sepanjang malamnya

26 Mei-Bekerja seperti biasa dan sedikit persediaan untuk kursus penulisan novel. Tajuk setiap bab telah disumbangsaran iaitu sebanyak 35 bab.

27 Mei-Ke Muar untuk Bengkel Penulis Muda dan sebelah malamnya sesi bersama Aminah Mokhtar.

28 Mei-Menyusuri Sungai Muar sebagai satu aktiviti bengkel penulisan dan di sebelah malamnya hanya tidur selama 2 jam kerana teruja menulis ,mengisi bab novel dengan memasukkan peristiwa dan watak-watak.

29 Mei- Hari terakhir bengkel dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menyiapkan novel. Sampai ke rumah lebih kurang jam 4 petang. Kepenatan dan kekurangan tidur. Di sebelah malam menghadiri Majlis Perpisahan untuk 2 orang rakan PPP, iaitu Puan Juliana dan Encik Faizal yang akan berpindah.

30 Mei- Di sebelah pagi bekerja, menyudahkan skrip video korporat UiTM yang terkini. Selepas solat Jumaat, kami sekeluarga bergerak ke Besut,Terengganu.

Menyambut Ulangtahun Perkahwinan yang ke 12.

Jam 11.15 malam tiba di Alor Lintang, Besut iaitu di kampong Prof Kamil dan bermalam di ‘chalet’ di sebelah rumahnya.

31 Mei- Bermandi-manda di Pantai Bukit Keluang, Besut, memanjat sedikit sebahagian Bukit Keluang dan melalui beberapa gua di sekitarnya, yang dibawa oleh Ustaz PM Zaluddin.

1 Jun- Pagi bersantai sambil menulis novel ,tajuk novel telah tercipta dan sinopsis cerita telah ditulis sebelum bergerak ke Kota Bahru pada jam 11 pagi.
Sampai di UiTM Chendering, Kuala Terengganu pada jam 7 petang untuk kursus JPK Kolej. Sesi ceramah saya kepada JPK kolej disampaikan pada jam 9.45 malam.

2 Jun- Sesi ceramah JPK bersama penceramah luar sambil mesyuarat di antara PPP dan Timbalan HEP diadakan. Sesi keseluruhan tamat sekitar jam 11 malam dan 30 minit lagi saya melatih pelajar sebagai pengacara majlis untuk keesokkannya.

3 Jun- Amanat Pengarah,Prof Dr Hj Muhd Kamil kepada JPK kolej dan juga amanat Naib Canselor, Dato Seri Prof Ibrahim Abu Shah. Tamat kursus jam 12.30.
Singgah ke Noor Arfa Batek dan jam 5petang bergerak balik, dan sampai ke UiTM Johor sekitar jam 12 malam.

4 Jun- Bekerja seperti biasa dan memeriksa draf jadual pengajaran untuk semester hadapan

5 Jun- Jam 8 pagi bergerak ke Kota Damansara, KL untuk menyaksikan pratonton video korporat UiTM Johor. Sampai ke UiTM Johor hampir Maghrib dan selepas itu ke klinik.

Itulah dia satu dua baris kisah saya setiap hari sepanjang 3 minggu ini.

Friday, May 16, 2008

Hari Guru Terkini

Saya masih menerima ucapan hari guru walau telah bergelar pensyarah. Tiada masalah bagi saya. Pensyarah juga seorang guru walau kebanyakan pensyarah yang mungkin kurang senang disamakan tarafnya dengan seorang guru. Saya tidak begitu. Mungkin kerana saya pernah menjadi guru. Namun yang peliknya ada yang menuntut tarikh tersebut mereka diraikan seperti seorang guru dan ada juga yang mencadangkan tarikh lain untuk menyambut hari pensyarah atau hari pendidik. Pada pandangan saya, penghormatan tidak perlu diminta-minta. Pelajar yang pengingat akan terus mengingati gurunya walau di peringkat mana ilmu itu diterima.

Ucapan hari guru terkini saya kebanyakan diterima melalui sistem pesanan ringkas seawal 6.57 pagi dan juga melalui blog bekas pelajar saya. Pelbagai ucapan diterima dari bekas pelajar dan pelajar terkini serta rakan sejawat. Walau sekadar ucapan, ingatan mereka memang amat dihargai. Sekurang-kurangnya saya berjaya membuat mereka mengingati walau mereka telah bekerja kini. Inilah balasan ‘lumayan’ seorang guru yang tidak dapat dinilaikan dalam bentuk wang ringgit dan harta benda.

Namun, ingatan dan doa kepada guru tidak seharusnya berlaku setakat pada 16 Mei sahaja. Sebaiknya doa dan ingatan kepada mereka perlulah berterusan sepanjang tahun.

Akhir sekali, SELAMAT HARI GURU kepada semua tidak mengira apa profesion anda kerana saya percaya setiap orang adalah guru yang selalu memberi ilmu tanpa disedari.

Hari Guru Kedua

16 Mei 1997
Baru 4 hari saya melapor diri ke Sekolah Menengah ACS Methodist Lelaki, Klang, Selangor dan 2 hari selepas habis pantang melahirkan puteri sulung saya, Afiqah Nadzirah.
Dalam keadaan masih berbengkung, saya bertugas mengawas peperiksaan kerana di waktu itu peperiksaan pertengahan tahun sedang berlangsung. Saya tetap menerima ucapan walau baru beberapa hari bertugas.
Saya diamanahkan mengajar subjek bahasa Inggeris untuk tingkatan 3,4, 6 bawah dan 6 atas. Cabaran bertugas di sekolah kesemuanya lelaki memberikan saya latihan untuk menghadapi pelbagai perangai. Dari pelajar yang tidak pandai membaca walau telah berada di tingkatan 4 sehinggakan ke pelajar yang mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Dari kelas yang terbaik sehinggakan ke kelas yang tercorot.
Di antara soalan yang masih terngiang di telinga saya hingga ke saat ini dari seorang murid saya ialah...
“Mengapa saya memilih kerjaya guru?” dengan nada hairan dan bersambung dengan kenyataan “gaji seorang guru tidak lumayan” dalam bahasa Inggerisnya yang sungguh fasih.
Saya menjawab sambil tersenyum, “Memang kerjaya ini pilihan pertama saya walaupun saya masih boleh memilih kursus lain untuk pengajian saya.”
Di sinilah bermulanya kerjaya saya sebagai guru bahasa Inggeris dan pertama kali bergelar ‘Teacher ‘ secara rasminya.

Hari Guru Pertama

16 Mei 1991

Inilah sambutan hari guru pertama saya, meskipun bergelar 'guru sandaran' saat itu. Saya memohon menjadi guru sandaran pada Januari 1991, iaitu ketika saya baru kembali ke Malaysia setelah setahun merantau di Australia sebagai seorang pelajar pertukaran.
Saya sepatutnya meneruskan pengajian di Tingkatan 6 tetapi saya tidak mahu 'membuang masa'. Apatah lagi semua rakan saya yang lain telah 6 bulan memulakan pengajian mereka sama ada di IPTA di dalam dan di luar negara.

Kebetulan rezeki saya menggantikan seorang guru yang pulang ke rahmatullah. Awal Februari 1991 saya memulakan tugas di Sekolah Kebangsaan Kampung Bahru ,Senggarang, Batu Pahat, Johor. Berbekalkan SPM dan juga HSC Australia dan minat di bidang perguruan, saya menerima tawaran tersebut.

Agak mencabar juga kali pertama saya berhadapan dengan murid sekolah rendah di usia saya 18 tahun waktu itu. Bertanggungjawab menjadi guru kelas tahun 5. Saya diamanahkan mengajar subjek Alam dan Manusia, Ko-kurikulum (mujur saya ahli Pandu Puteri semasa di sekolah) dan juga kelas pemulihan untuk murid yang bermasaalah. Tanpa latihan, saya belajar sendiri bagaimana menulis buku persediaan mengajar, mentelaah setiap subjek yang perlu diajar dan belajar dengan guru-guru yang lebih berpengalaman.

Barangkali telah tersurat, saya terkenang ketika saya berumur 5 atau 6 tahun, saya pernah dibawa ke sekolah yang sama oleh seorang guru, rakan baik emak saya, ke sekolah ini.

Pelbagai kenangan sewaktu saya berada di sekolah ini. Tidak ketinggalan,ada juga seorang guru lelaki yang berhasrat menjodohkan anaknya dengan saya.

Sewaktu sambutan hari guru, pelbagai hadiah saya terima, kad ucapan, tudung, kain, set gelas dan bermacam-macam lagi. Hadiahnya tidaklah mahal tetapi ingatan mereka memang membuat saya sungguh terharu.

Akhir Jun 1991,saat perpisahan tiba apabila saya menerima tawaran untuk menyambung pelajaran ke Matrikulasi TESL di Pusat Pendidikan Persediaan/ITM di Seksyen 17, Shah Alam. Sedih bercampur gembira tetapi saya terus mendaftar pada 11 Julai dan meninggalkan kenangan dan pengalaman selama 4 bulan di sekolah rendah tersebut. Tempat pertama kali saya digelar Cikgu.

Thursday, May 15, 2008

Rindu terubat

Keresahan rindukan mak dan ibu terubat jua akhirnya. Kesukaran mencari waktu kesemuanya (Adib,Arif dan Afiqah) senggang memaksaku memandu pulang sendirian. Sengaja tidak kukhabarkan kepulangan. Seandainya dikhabarkan awal, bimbang mereka tertunggu-tunggu.
Lalu,apabila keretaku tiba di hadapan rumah yang telah diduduki sejak 25 tahun lalu, maka terkejutlah mereka.
"Eh, seorang saja?"
"Afiqah dan Arif sekolah dan Adib ada mesyuarat di Shah Alam."
"Nak tunggu semua ada, tak baliklah jawabnya."

Saya membimbit masuk beg kertas Jakel berisi sepasang kain untuk hari lahir, sepasang lagi untuk hari raya, sehelai jubah dan tudung sedondon untuk hari ibu untuk emak. Sepasang kain untuk baju Melayu Abah untuk hariraya dan sepasang baju kurung Johor sedia tersiap untuk adik.

Keesokannya sebelum pulang ke Segamat,bertemu ibu dan sudah tentu sekali sepasang kain untuk hari ibu dan sepasang lagi untuk hari raya.

Semuanya saya beli beberapa hari yang lalu. Untuk saya sendiri,pada hari ibu, sepasang kain sedondon buat saya dan Afiqah dan sepasang kain sedondon buat Adib dan Arif. Tidak ketinggalan sepasang kain buat ibu mertua.

Juga tidak dilupakan hadiah hari guru untuk 3 orang guru yang mengajar Afiqah dan 4 orang guru yang mengajar Arif.

Berbalik kisah di Batu Pahat, seperti selalu, emak akan bercerita panjang kisah setiap saudara mara dan sepupu. Mak memang suka bercerita.

Saya memandu pulang kira-kira jam 8 malam dengan kerinduan yang telah terubat.
Namun berganti kerinduan pada suami dan anak-anak pula.

Deringan telefon bimbit dijawab,
"Ibu dah sampai mana?"suara Arif kedengaran.
"Ibu dah sampai Segamat, sekejap lagi sampailah."
"Di mana?"
"Sekarang di Segamat Baru, setengah jam lagi ibu sampailah."

Sejurus pintu rumah di buka, cerita dari Arif dan Afiqah pula menerpa bertalu-talu.

"Ibu...,ibu...,ibu..."

Video Korporat UiTM Johor-Hari Ketiga & Keempat

Penulisan berikut telah lebih seminggu di dalam bentuk draf kerana saya ingin menambah perincian perjalanan penggambaran. Namun, kini saya tidak berminat untuk merincikannya lalu inilah sahaja. Sekadar merekodkan peristiwa.

Hari ketiga,7.5.2008, penggambaran dilakukan di sekitar kampus dan bermula di Dewan Sri Temenggong. Kebetulan saya mengetuai pengawasan peperiksaan pada pagi itu.
Penggambaran bersambung sampai ke malam, iaitu di perpustakaan dan tamat hampir jam 11.30malam.

Hujan di sebelah petang menyebabkan penggambaran adakalanya tertangguh dan perubahan rancangan perlu dibuat.

Hari keempat,8.5.2008, penggambaran dimulakan di dalam kampus dan seterusnya ke Pekan Air Panas di Labis.
Penggambaran di Masjid As-Syakirin merupakan penutup sesi penggambaran.

Penggambaran yang sepatutnya telah berakhir perlu dilanjutkan memandangkan belum dibuat di kampus Larkin, Johor Bahru dan tarikhnya akan ditentukan kemudian.

Sunday, May 11, 2008

Video Korporat UiTM Johor-Hari Kedua

Hari kedua pula kunjungan ke Gunung Ledang Resort yang terletak 25 minit perjalanan daripada UiTM Johor kampus Segamat.



Kini saya turut membawa kamera untuk rakaman peribadi. Sesungguhnya keindahan alam semulajadi memang sentiasa membuat saya terpukau. Gambar menyatakan segalanya.






Keaadaan hujan menyebabkan penggambaran di luar perlu ditangguhkan dan kami kembali ke kampus untuk meninjau dan membuat penggambaran di dalam.

Kedai serbaguna Unimart berhampiran Kolej Intan menjadi pilihan untuk sesi penggambaran seterusnya. Aksi beberapa pelajar sedang membeli belah sempat dirakam. Ada juga pelajar yang keberatan untuk gambarnya dirakam.

Berdekatan kedai,terdapat dua telefon awam disediakan. Walaupun rata-rata pelajar kini mempunyai telefon bimbit masing-masing, kemudahan tersebut masih ada dan rakaman seterusnya melibatkan pelajar sedang membuat panggilan telefon menggunakan kemudahan tersebut.

Setiap Selasa, UiTM menyediakan ruang kemudahan pasar malam yang diadakan di pintu masuk ke kampus. Deretan gerai aneka juadah memberikan pelajar alternatif untuk menjamu selera selain makanan di dewan makan yang disediakan pihak universiti. Krew penggambaran tidak melepaskan peluang merakam suasana pelajar berpusu-pusu berjual beli. Selain itu, beberapa staf juga tidak ketinggalan membeli makanan di sini. Pasar malam bersurai ketika saat menjelang Maghrib dan itu merupakan penggambaran terakhir untuk hari kedua.

Malam ini mee bandung dan sate di Jementah menjadi hidangan untuk krew penggambaran.

Saturday, May 10, 2008

Video Korporat UiTM Johor - Hari Pertama

4 hari bersama-sama krew penggambaran video korporat merupakan pengalaman yang amat menarik dan berharga .

Bukan mudah rupanya untuk mendapatkan satu-satu ‘shot’ dan memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan sudut yang dikehendaki. Teruja melihat gelagat professional jurugambar video mengambil ‘shot’ satu papantanda sahaja memakan masa hampir setengah jam berbanding seorang amatur yang mungkin sahaja dapat menyelasaikannya dalam kurang seminit.

Hari pertama,5.5.2008 tumpuan kepada jalan-jalan masuk ke UiTM Johor dengan mengambil gambar papan tanda berdekatan dengan warung 'lalat'(nama gelaran yang diberi). Di sinilah tempat terhampir kebanyakan staf UiTM Johor sarapan, minum pagi atau tengahari.

Papan tanda kedua diambil adalah di persimpangan Tasek Alai. Sekali lagi hampir setengah jam untuk mendapatkan rakaman yang berkenan di hati. Perjalanan diteruskan dan berhenti di tanah perkuburan untuk merakam makam Bendahara Tepok yang telah melafazkan kata 'segarnya amat' sejurus selesai mandi di sungai Segamat. Begitulah asal usulnya nama Segamat.

Restoran Wahila yang terkenal dengan nasi beriani gam di Segamat juga menjadi hentian untuk rakaman. Walau waktu makan tengahari telah tiba, kami telah memilih untuk makan di Restoran Naser di bandar Segamat yang menghidangkan masakan nasi campur aneka pilihan. Destinasi selepas makan adalah rakaman sungai Segamat di kawasan rekreasi Sungai Kapeh sebelum menuju ke masjid jamek di Pekan Jabi untuk solat Zohor. Gambar masjid turut dirakam berlatarkan langit biru yang cerah berhiaskan awan,tenang kelihatan.

Jalan keluar daripada masjid membawa kami terus ke simpang menuju Muadzam terletak berhampiran Taman Yayasan. Sejam perjalanan dari simpang tersebut,bandar Muadzam dapat dikunjungi, yang merupakan laluan menuju ke pantai timur. Deretan gerai buah-buahan pelbagai jenis dan warna amat menarik perhatian. Aktiviti memunggah durian sempat juga dirakam.

Seterusnya,perjalanan berbalik semula ke arah Segamat, iaitu ke Majlis Daerah Segamat. Lanskap air terjunnya memang 'segar amat' dan amat sesuai jika dapat dibuat di UiTM Johor juga.

Tidak sah kalau pengunjung ke UiTM Johor atau Segamat tidak melawat Jakel, iaitu gedung tekstil terbesar dan terkenal dikunjungi oleh pengunjung dari seluruh negara. Lalu, rakaman turut diambil di luar dan di dalam Jakel.

Di seberang gedung Jakel pula adalah dataran Segamat. Di situlah juga perhimpunan hari kemerdekaan,di mana Segamat menjadi tuan rumah untuk perayaan peringkat Johor pernah diadakan pada tahun 2005.

Pengangkutan awam yang sering menjadi tumpuan adalah keretapi dan bas. Kami ke hentian keretapi dahulu. Sengaja waktu dipilih ketika keretapi ke Singupura berhenti di stesen Segamat untuk mendapatkan rakaman keretapi bergerak. Kami beredar pula ke stesen bas untuk mendapatkan rakaman bas pelbagai syarikat keluar dan masuk perkarangan stesen.

Hampir jam 7, kami sampai semula ke UiTM Johor dan penggambaran terakhir untuk petang itu diambil dari belakang Ledang Inn menghadap ke Gunung Ledang, untuk mendapatkan gambaran matahari terbenam.

Untuk makan malam, saya menjemput krew penggambaran menikmati masak lemak ikan baung dan burung puyuh goreng (antara menunya)di 'Full House'.

Sebelum mata terlelap, sempat membantu Arif untuk membuat persediaan ujian Tauhid pada keesokkannya. Alhamdulilah kesemua 20 sifat wajib dn sifat mustahil Allah berjaya diingati.


Bersambung...

Kematian

Semalam seorang sahabat saya, S, kehilangan ibunya. Pada 23 Februari yang lalu, saya ada melawat arwah ibunya. Ketika melawatnya arwah tidak menyedari kami sedang menziarahinya dan menyangka kami singgah ke rumahnya atas urusan lain.
Tiga bulan yang lalu seorang sahabat saya, N juga kehilangan ibunya.
Sepanjang perjalanan pulang ke Segamat daripada rumah ibu S, saya mendengar kisah H yang juga kehilangan ibunya lebih awal, iaitu sebelum dia mendirikan rumah tangga lagi.
Hati saya sungguh terkesan.
Ibu dan emak saya masih ada tetapi jarang sekali saya dapat meluangkan masa bersama mereka. Pada 1 Mac yang lalu saya bergegas pulang menemui mereka.
Namun sudah 2 bulan berlalu,ya... sudah tentu sekali saya rasa rindu.
Wajib saya temui mereka segera.
Al-Fatihah buat semua ibu, baik yang hidup atau sebaliknya.

Sibuk?

Kesibukan bukanlah penyebab utama saya tidak menulis. Terlalu banyak perkara yang berlaku. Sebelum ini, dalam keadaaan yang sibuk saya masih ada ruang untuk menulis. Hanya akhir-akhir ini tidak terasa untuk menulis. Itu saja.

Bukan kerana ketandusan idea. Malah setiap yang berlaku selalu saja saya terfikir ini boleh dijadikan bahan saya menulis. Hanya seperti biasa...saya menulis dari hati dan ada ketikanya saya suka tidak mendedahkan apa yang berlaku.

Namun berdiamnya saya dapat juga ditelah oleh seorang pembaca blog ini walau kita hanya bertemu di ruang maya ini apabila dia bertanyakan sebab blog ini lama tidak dikemaskini melalui smsnya kepada saya. Mungkin kerana dia pernah mengalami pengalaman yang sama, justeru dapat membaca walau tanpa kata-kata yang tertera.

Pengalaman saya sendiri di alam blog ini mendapati seakan dapat memahami di sebalik kata-kata yang tertera walau tanpa mengenali mereka dengan rapat. Kadangkala ada juga tulisan antara blogger yang menceritakan tentang blogger lain atau meluahkan kata-kata tidak puashati atau pelbagai rasa mereka. Seringkali saya dapat membuat perkaitan antara kisah di antara para blogger dengan rakan mereka yang dikenali melalui blog atau di alam nyata.

Begitulah menariknya wahana blog. Walaupun tanpa reaksi muka dan gerak geri bahasa badan, pilihan kata-kata , susunan dan gaya bahasa dapat memberi makna dan dapat menonjolkan kisah di sekeliling penulis.
Lalu ada ketikanya, sebaiknya beberapa perkara itu biarlah menjadi rahsia. Tetapi, biar tanpa kata-kata tetap membentuk makna walau dalam kesamaran.

Di alam nyata,setiap orang yang bertembung dengan saya pula sering mengatakan lamanya mereka tidak bertemu dengan saya.
Hampir kesemua yang saya temui menyapa dengan kata-kata,
“Lama tak nampak?”
Oleh kerana ramainya yang menyapa begitu sehingga kadangkala jawapan yang saya berikan hanyalah sekadar tersenyum.

Sibuk? Ah...bila yang tidak?

Hanya keutamaan aktiviti berubah mengikut rasa.

Saturday, April 12, 2008

Menggapai Bintang



Saya menerima maklumat melalui emel tentang kehadiran Dr Sheikh Muszaphar Shukor akan berada di Pesta Buku melalui emel oleh MPH.

Terlintas di fikiran,"Mesti Arif suka dapat bertemu dengannya."

Sebaik sampai ke PWTC,laluan di antara gerai buku memang sungguh sesak. Pergerakan perlahan dan seterusnya bertembung dengan Syed Munawar yang sedang membuat liputan untuk RTM. Kedengaran teriakan di sebelah kiri dan kelihatan Dr SMS sedang dikerumuni pengunjung.

Setiap pengunjung yang ingin bertemu dan mendapatkan autografnya perlu membeli buku beliau 'Reaching for the Stars'. Saya terus membeli dan berjalan bersama-sama Arif , Afiqah dan Adib menuju ke arahnya.

"Siapa nama?" tanya beliau kepada Arif sambil menandatangani poster dan buku.
Arif membalas tersipu-sipu. Saya menyampuk, "Dia nak jadi angkasawan."
Beliau membalas, "Semoga menjadi doktor atau angkasawan."

Adib sempat mengambil gambar saya dan Arif bersama-sama tetapi dalam keadaan tergesa-gesa kami perlu segera berlalu. Oleh kerana Afiqah tidak berkesempatan mengambil gambar, kami beratur untuk kali kedua. Beliau sedar buku dan poster telah ditandatangani lalu saya pun pantas mencelah, "Nak ambil gambar sahaja."

Bukunya sempat saya khatamkan semasa perjalanan pulang dari KL ke Segamat. Beberapa kali sebak membaca ketika saat kematian arwah adiknya di ceritakan oleh beberapa ahli keluarganya.

Arif tidak sabar-sabar ingin menunjukkan gambarnya bersama Dr SMS kepada rakan-rakan dan guru-gurunya di sekolah.

Pesta Buku 2008



Afiqah dan Arif bergambar kenangan dengan Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said

Latarbelakang 'Wirabukit' memang sungguh menarik perhatian saya.

Hampir saja tidak berpeluang ke pesta buku pada tahun ini. Kebiasaannya,dua tahun berturutan sebelumnya saya telah mengikuti jawatankuasa pemilihan buku membuat pemilihan untuk perpustakaan UiTM Johor.

Tahun ini saya mengambil keputusan untuk tidak turutserta kerana pada minggu tersebut saya masih perlu jalankan kelas serta membuat penilaian terakhir kelas pengucapan awam.

Tambahan pula, saya ingin membawa Afiqah dan Arif merasai suasana pesta buku.

Monday, February 18, 2008

Damai Laut




Keindahan
matahari terbenam
sempat dirakam
Februari 2007
sewaktu pembentangan
konferens antarabangsa

Damai kelihatan
hanya dapat dilihat
dari anjung

(entri demonstrasi 'upload' imej kepada pelajar saya)

Wednesday, February 13, 2008

Terima Kasih Ibu

...kerana pengorbananmu melahirkanku pada jam 5.45 pagi tanggal 13 Februari 1972

kata-kataku tidak layak menggambarkan rasa syukurku padamu
tiada perbuatan juga yang dapat membalas jasamu
aku hanya bisa mendoakanmu dari kejauhan
semoga segala dosamu diampunkan
segala amalanmu diterima
ibu sihat sentiasa
bahagia selalu
terus doakanku
jadi anak solehah
yang sentiasa ingat
untuk doa buatmu
kembali

Amin!

Sunday, February 10, 2008

Lukisan kesayangan

Sewaktu operasi pembukaan kotak-kotak, terjumpa koleksi lukisan kesayangan yang telah berumur lebih kurang 23 tahun. Afiqah bersuara," Kakak simpan ya ibu?"
"Simpan elok-elok, tengok ibu simpan, sampai 23 tahun, ada lagi."

Saya sering mendapat markah tertinggi untuk subjek pendidikan seni dan sering menyertai pertandingan. Markah tertinggi yang didapati adalah 95 % dan pencapaian tertinggi adalah Pertandingan Lukisan Kanak-Kanak Antarabangsa pada tahun 1988 dan mendapat pingat gangsa. Lukisan yang dilukis untuk pertandingan itu adalah gambar suasana hari raya dan dihantar ke Jepun untuk dinilai. Walaupun tiada salinannya, saya masih ingat lagi apa yang saya lukiskan. Ada lagi pertandingan di pelbagai peringkat yang saya sertai dan menangi.

Saya memang bercita-cita menjadi seorang pelukis.
(Masih lagi bercita-cita membuka sebuah galeri satu hari nanti)

Namun, apabila di tingkatan 4 dan memasuki jurusan Sains, subjek lukisan terpaksa saya lupakan kerana pada masa itu pilihan subjek ditentukan pihak sekolah.

Apabila mengikuti program pertukaran pelajar di Australia, saya mengambil peluang mengikuti subjek 'Visual Arts'. Terhasillah lukisan terbeasar saya.

Sewaktu mengikuti pengajian sarjanamuda TESL, saya pernah bekerja keras mengumpul wang, mencari duit sendiri, untuk mengikuti kelas lukisan dengan seorang pelukis terkenal. Kemudian minat terhanyut dengan komitmen pengajian dan lain-lain.

Ketika mengajar sebagai guru bahasa Inggeris di SMK Sekyen 16 Shah Alam, saya merasa bersyukur kerana diberi peluang untuk mengajar subjek pendidikan seni untuk pelajar tingkatan 1 & 2. Terubat juga kerinduan melukis kerana saya sering mendemonstrasikan teknik melukis dan mewarna.

Semasa mengikuti pengajian sarjana, saya tertarik dengan seni lukis di gelas (stained glass painting)lalu mengikuti kursus sehingga dapat membuka sendiri kelas lukisan secara kecil-kecilan.

Kini, kurang sekali melukis.
Namun impian yang satu lagi ini masih belum lagi terkubur.

Saturday, February 09, 2008

Apabila Stor Dikemas...

kotak–kotak dibuka
asalnya ingin mencari
buku bank
yang akhirnya ditemui

bukan hanya itu dijumpai

apabila kotak-kotak dibuka
pelbagai nostalgia terusik

kad laporan 1977
sekolah tadika Grace
saya 5 tahun
kad laporan 1979-1984
SRK Tengku Mariam
kad laporan 1985-1989
SMK Temenggong Ibrahim
tempat pertama
di tingkatan Satu
rekod dakwat merah
mulai kelihatan
pada Add Maths dan Kimia
di tingkatan 4 Sains Akaun
ditemui juga
sijil kemenangan pertandingan
tulisan seni khat
peringkat negeri Johor
surat-surat teman lama

Australian High School Diary 1990
tertera serba ringkas
kisah nyata bagai mimpi
pertama kali …
menunggang kuda
menyentuh salji
meluncur ski
meluncur kasut roda ais
berucap di ratusan khalayak
pelbagai bangsa
dari berpuluh negara
bicara tentang Malaysia
tentang bezanya budaya
bezanya hidup di sana
bagai duta Malaysia
berkurung Johor bertudung
memang asing sekali rasanya
melukis lukisan terbesar
seumur hidup
merakam rasa pengalaman
dipamerkan di bank di sana
bertajuk
‘I’ on Australia
memerah susu lembu
memandikan kuda
menanam pohon epal dan pir
membuat pagar di rumah desa
dilamar seorang doktor
ah… semuanya bakal
jadi ramuan novel remaja
atau jibunsyi juga

Diari 1996
tertera kisah tahun akhir
pengajian sarjanamuda TESL
saat bergelar isteri
saat disahkan positif
bakal menimang cahaya mata
saat terasa
tendangan pertama
Afiqah Nadzirah
saat lahirnya
tesis projek kreatif

semuanya bermula
isteri, ibu dan graduan

Friday, February 01, 2008

Amalan Terbaik Budaya Kita

Hari ini merupakan Hari Kualiti peringkat UiTM Johor.

Tahun lalu saya menerima Anugerah Khidmat Cemerlang dari Naib Canselor,Prof Dato' Seri Dr Ibrahim Abu Shah. Tahun lalu saya menyertai pertandingan koir antara bahagian dan mewakili para pensyarah. Namun kami tidak berjaya mendapat tempat.

Tahun ini tiada anugerah khidmat cemerlang untuk saya. Namun dapat JOHAN untuk pertandingan koir antara bahagian yang diadakan pada 24.1.2007 yang lalu.

Yang manisnya,untuk salah satu lagu gubahan, lirik lagu koir tersebut, sayalah penciptanya dan lagunya digubah oleh Encik James Kunaratnam.

Proses kreatif penciptaan lirik tersebut bermula apabila menerima emel tentang pertandingan koir pada 7hb Januari 2008. Pada pagi tersebut ada mesyuarat jabatan Akademi Pengajian Bahasa. Saya bertanya kepada Encik James tentang pertandingan tersebut sama ada dia akan mengetuai kumpulan koir kami lagi. Saya menawar diri mencipta liriknya.

Jadual pada hari Isnin tersebut agak padat juga,di sebelah pagi ada mesyuarat jabatan. 2 petang hingga 6 petang berlangsungnya kelas dan di sebelah malamnya berlangsung Mesyuarat Pegawai Pembangunan Pelajar bermula jam 9 malam sehingga 12.30 malam.

Mata saya telah agak berat apabila pulang ke rumah tetapi minda teringat cogan kata hari kualiti. Saya telah berbaring di katil dan bersedia untuk melelapkan mata apabila tiba-tiba kata-kata mencurah-curah untuk disusun. Ya, dalam lebih kurang 10 minit, tersusunlah lirik lagu berikut dan siap tercipta pada jam 1 pagi 8.1.2008.

AMALAN TERBAIK BUDAYA KITA

Amalan terbaik budaya kita
Marilah kita bersatu hati
Langkah diorak bekerjasama
Azam tingkatkan produktiviti

Amalan terbaik budaya kita
Biasakanlah biar sebati
Tolong menolong ikhlas sesama
Semoga usaha diberkati

Amalan buruk dilenyap saja
Usah disimpan di dalam diri
Kasih mengasih sesama kita
Fitnah memfitnah jauh sekali

Amalan terbaik budaya kita
Setiap bidang di puncak jaya
UiTM Johor jadi ternama
Tanda amalan kita diterima

Hakcipta Lirik oleh Nazhatulshima Nolan

Pada jam 3.45ptg, 8.1.2008, saya emelkan lirik tersebut kepada penggubah lagunya, Encik James Kunaratnam, seorang pensyarah bahasa Inggeris juga. Rentak yang diciptanya agak rancak dan memang sedap didengar dan didendangkan. Walaupun saya tidak dapat menghadiri sesi latihannya,di saat akhir, dapat juga menyertainya. Bila dikenang semula,saya menyertai koir sejak berumur 10 tahun lagi. Tak sangka pula akan menyertainya sehingga bekerja.

P/S: Ada sesiapa yang inginkan bantuan saya mencipta lirik?

Thursday, January 31, 2008

Tentang Dia -Prof Dr Muhd Kamil bersama Astro

Saya sedang mengajar sewaktu menerima pesanan ringkas dari Adib. Dijemput makan tengahari serta akan diwawancara oleh pihak Astro di rumah Pengarah.

Sebaik sampai di rumahnya, Adib baru saja selesai diwawancara. Menurutnya, ia berlaku secara spontan dan sepatutnya dia hanya sekadar 'berlakon' bermain golf bersama-sama Pengarah tetapi akhirnya ditemuramah juga kerana Adib sering 'menjelajah' golf bersama-samanya dan dia mengkisahkan pengalamannya, iaitu perubahan Prof Kamil selepas kembali menunaikan haji.

Saya tidak pasti apakah yang akan ditanya kepada saya. Tiada skrip. Secara spontan jua. Perbualan dimulakan sebelum penggambaran dimulakan dan apabila saya telah mula bercerita, pihak Astro terus sahaja meminta saya memasangkan mikrofon dan memulakan rakaman. Soalan pertama ialah bila saya mula mengenali Prof Kamil.

Saya mengenali Prof sewaktu di Shah Alam, ketika beliau memegang jawatan Ketua Pusat Pembelajaran Jarak Jauh atau dikenali sekarang sebagai InEd. Namun setakat mengenali nama, wajah dan jawatannya. (Mungkin saja beliau sendiri tidak ingat)

Saya juga membaca buku karyanya Phd Kecil Tapi Signifikan yang telah menambahkan berkobarnya saya untuk memulakan pengajian Phd saya pula.

Entah bila bermulanya,tetapi Adib telah menjadi 'golf buddy' Prof Kamil dan saya mengenali beliau melalui suami saya. Justeru, Adiblah yang lebih rapat dengannya. Namun kami sering juga berbalas kunjungan, iaitu kami ke rumahnya dan mereka(Prof Kamil dan Kak Roza) ke rumah kami.

Soalan seterusnya lebih kepada Prof sebagai Penyelia Phd saya. Saya bersyukur kerana beliau telah memberi motivasi dan inspirasi kepada saya memulakan pengajian Phd saya dan seterusnya menjadi salah seorang penyelia Phd saya. Kajian Phd saya merupakan satu penyelidikan interdisiplin, iaitu di antara pengajian bahasa,bidang perakaunan dan pendidikan.

Sekembalinya Prof daripada mengerjakan haji beliau menghadiahkan saya senaskhah Al-Quran kecil yang mudah untuk dibawa dan yang lebih pentingnya untuk dibaca. Kami melawatnya di rumah sewaktu saya baru sahaja balik dari pembentangan konferens di Perak setahun yang lalu. Di antara hidangan kurma dan air zam zam, beliau menceritakan pengalamannya lebih kurang 2 jam tanpa henti. Penuh perasaan, beserta aksi, beserta lakaran dan kata-kata doanya yang menyentuh jiwa sehingga air mata saya tergenang. Diceritakan bagaimana doa kepada Allah itu adalah suatu yang amat berkuasa. Mendengar pengalamannya membuat saya merasakan betapa Allah akan makbulkan permintaan hambanya seandainya kita minta kepadanya.

Prof sering berkongsi pengalaman dan menyarankan kepada saya supaya bangun dan sembahyang malam dan berdoa untuk permudahkan pengajian Phd saya serta dalam urusan yang lain juga.

Saya juga ditanya tentang apa yang sering ditulis oleh beliau di dalam blog memandangkan saya juga adalah salah seorang rakan bloggernya.

Soalan terakhir meminta saya memikirkan keistimewaan beliau. Saya dapati banyak yang ingin saya katakan tetapi yang terkeluar semasa itu ialah tentang tabiat semasanya sebagai seorang pengarah yang mengucapkan hari lahir kepada setiap orang stafnya di UiTM Johor pada setiap hari melalui emel dan 'bcc' kepada semua staf. Tabiat ini saya kira, akan membuat mereka rasa sangat dihargai.

Selesai perbualan, saya dapati banyak lagi ingin saya katakan tetapi tidak dikatakan atau yang saya rancang untuk katakan tetapi tidak katakan. Maklumlah secara spontan.

(Kenyataan berikut saya tidak dapat nyatakan semasa perbualan)
Secara ringkasnya,Prof memang seorang yang 'pandai' dalam pelbagai segi dan suka menjadi yang terbaik dan lain dari yang lain dalam kebanyakan perkara. Dia pandai memberi motivasi dengan kata-kata cabaran dan gurauan.

Paling saya syukuri, secara tidak langsung beliau dapat mengajak suami saya berubah ke arah kebaikan. Begitu juga dengan diri saya. Alhamdulilah! Allah sajalah yang akan membalasnya dengan kebaikan jua. Terima kasih seikhlasnya jua dari saya!

Wednesday, January 30, 2008

Abah 67

30 Januari 1941 lahirlah putera sulung Haji Nani bin Taib dan Hajah Zaharah binti Abdullah yang diberi nama Nolan.

Abah...
Sempena hari ulang tahun yang ke-67
Ucapan ditutur melalui telefon

Imbasan tentang Abah ingin dirakam di sini walau mungkin saja Abah tak mungkin membacanya. Saya cuba mengenang kisah abah. Pekerjaannya, hobinya,dan serba sedikit sifatnya.

Setiap kali sewaktu saya mengisi pekerjaan bapa, pekerjaan Abah sering menjadi tanda tanya. Beilip namanya atau ejaan dalam bahasa Inggerisnya 'Bailiff'. Seringkali guru-guru menyangka Abah bekerja di mahkamah. Abah bertugas di Majlis Bandaran Daerah Batu Pahat atau kemudiannya dikenali sebagai Majlis Daerah Batu Pahat Barat. Tugas Abah yang saya ingati ialah menhantar surat saman kepada mereka yang tidak membayar cukai. Abah ada pakaian seragamnya, yang adakalanya diseterika oleh saya.

Abah juga mewakili tenis sehingga pernah ke Manila untuk perlawanan tersebut. Bolasepak pun Abah main juga. Kelab Batu Pahat seringkali tempat Abah meluang masa bermain tenis dan juga 'billiard'.

Selain itu, saya tahu juga Abah gemar menyanyi,walaupun tidak pernah saya lihat dia menyanyi di khalayak ramai tetapi pernah saya lihat gambarnya bermain gitar. Koleksi lagu Inggeris irama 50-an,60-an dan 70-an sering kedengaran. Malah sehingga kini dia masih lagi meminati mendengar muzik. Selain lagu Inggeris, lagu Indonesia juga menjadi kegemarannya.

Sejak saya kecil lagi Abah memang sangat menggemari kereta. Pelbagai jenama kereta menjadi koleksi, kegemarannya menambah aksesori kereta yang seringkali didapati apabila kami sekeluarga berkunjung ke Singapura setiap hujung minggu. Peralatan radio, speaker dan pelbagai aksesori menjadi 'kegilaannya' yang sering mengundang 'jelingan' dan 'masam mencuka' emak,tetapi dapat diredakan sedikit, dengan kunjungan ke pusat membeli belah di Yaohan dan Isetan pada tahun 80-an yang masih belum wujud di Malaysia pada waktu itu. Sekadar mencuci mata.

Abah, saya kira, memang suka memandu; dan saya masih ingat lagi bagaimana dia sering memandu ke Johor Bahru, ke Kuala Lumpur, ke Singapura. Kadangkala balik hari. Kadangkala membawa ibu saudara saya dengan urusannya, sebagai seorang wakil rakyat.

Abah boleh dikatakan dalam kategori seorang yang pendiam dan hanya akan rancak berbual dengan orang yang pandai berbual dengannya. Di kalangan keluarga, Abah memang terkenal dengan 'kesilapan' memilih kata apabila berbicara sehingga sering menjadi bahan gurauan.

Anak saudaranya menggelarnya Ayah Long,sepupunya memanggil 'Bong' dan dia juga dikenali dengan nama 'Keno'. Anak-anak saya pula memanggilnya 'Grandbah'.

Abah mempunyai lima orang adik perempuan, Nahidah(Cik), Nailah(Nellie), Nadiah (Noni),Narimah(Netty),Noziah(Nozie) dan seorang adik lelaki tetapi telah meninggal dunia sejak kecil, bernama Norman. Nama dalam kurungan adalah nama panggilan mereka sehingga kini.(Kebaratan sungguh nenek saya itu...)

Sepanjang hidup Abah sejak lahir adalah di Batu Pahat sahaja. Berkahwin dengan emak, Ungku Hamidah Ungku Abdullah,lahir di Segamat tetapi membesar di Johor Bahru, sejak 30 Ogos 1967.

Itulah serba ringkas rakaman kisah Abah.