Friday, May 16, 2008

Hari Guru Terkini

Saya masih menerima ucapan hari guru walau telah bergelar pensyarah. Tiada masalah bagi saya. Pensyarah juga seorang guru walau kebanyakan pensyarah yang mungkin kurang senang disamakan tarafnya dengan seorang guru. Saya tidak begitu. Mungkin kerana saya pernah menjadi guru. Namun yang peliknya ada yang menuntut tarikh tersebut mereka diraikan seperti seorang guru dan ada juga yang mencadangkan tarikh lain untuk menyambut hari pensyarah atau hari pendidik. Pada pandangan saya, penghormatan tidak perlu diminta-minta. Pelajar yang pengingat akan terus mengingati gurunya walau di peringkat mana ilmu itu diterima.

Ucapan hari guru terkini saya kebanyakan diterima melalui sistem pesanan ringkas seawal 6.57 pagi dan juga melalui blog bekas pelajar saya. Pelbagai ucapan diterima dari bekas pelajar dan pelajar terkini serta rakan sejawat. Walau sekadar ucapan, ingatan mereka memang amat dihargai. Sekurang-kurangnya saya berjaya membuat mereka mengingati walau mereka telah bekerja kini. Inilah balasan ‘lumayan’ seorang guru yang tidak dapat dinilaikan dalam bentuk wang ringgit dan harta benda.

Namun, ingatan dan doa kepada guru tidak seharusnya berlaku setakat pada 16 Mei sahaja. Sebaiknya doa dan ingatan kepada mereka perlulah berterusan sepanjang tahun.

Akhir sekali, SELAMAT HARI GURU kepada semua tidak mengira apa profesion anda kerana saya percaya setiap orang adalah guru yang selalu memberi ilmu tanpa disedari.

Hari Guru Kedua

16 Mei 1997
Baru 4 hari saya melapor diri ke Sekolah Menengah ACS Methodist Lelaki, Klang, Selangor dan 2 hari selepas habis pantang melahirkan puteri sulung saya, Afiqah Nadzirah.
Dalam keadaan masih berbengkung, saya bertugas mengawas peperiksaan kerana di waktu itu peperiksaan pertengahan tahun sedang berlangsung. Saya tetap menerima ucapan walau baru beberapa hari bertugas.
Saya diamanahkan mengajar subjek bahasa Inggeris untuk tingkatan 3,4, 6 bawah dan 6 atas. Cabaran bertugas di sekolah kesemuanya lelaki memberikan saya latihan untuk menghadapi pelbagai perangai. Dari pelajar yang tidak pandai membaca walau telah berada di tingkatan 4 sehinggakan ke pelajar yang mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Dari kelas yang terbaik sehinggakan ke kelas yang tercorot.
Di antara soalan yang masih terngiang di telinga saya hingga ke saat ini dari seorang murid saya ialah...
“Mengapa saya memilih kerjaya guru?” dengan nada hairan dan bersambung dengan kenyataan “gaji seorang guru tidak lumayan” dalam bahasa Inggerisnya yang sungguh fasih.
Saya menjawab sambil tersenyum, “Memang kerjaya ini pilihan pertama saya walaupun saya masih boleh memilih kursus lain untuk pengajian saya.”
Di sinilah bermulanya kerjaya saya sebagai guru bahasa Inggeris dan pertama kali bergelar ‘Teacher ‘ secara rasminya.

Hari Guru Pertama

16 Mei 1991

Inilah sambutan hari guru pertama saya, meskipun bergelar 'guru sandaran' saat itu. Saya memohon menjadi guru sandaran pada Januari 1991, iaitu ketika saya baru kembali ke Malaysia setelah setahun merantau di Australia sebagai seorang pelajar pertukaran.
Saya sepatutnya meneruskan pengajian di Tingkatan 6 tetapi saya tidak mahu 'membuang masa'. Apatah lagi semua rakan saya yang lain telah 6 bulan memulakan pengajian mereka sama ada di IPTA di dalam dan di luar negara.

Kebetulan rezeki saya menggantikan seorang guru yang pulang ke rahmatullah. Awal Februari 1991 saya memulakan tugas di Sekolah Kebangsaan Kampung Bahru ,Senggarang, Batu Pahat, Johor. Berbekalkan SPM dan juga HSC Australia dan minat di bidang perguruan, saya menerima tawaran tersebut.

Agak mencabar juga kali pertama saya berhadapan dengan murid sekolah rendah di usia saya 18 tahun waktu itu. Bertanggungjawab menjadi guru kelas tahun 5. Saya diamanahkan mengajar subjek Alam dan Manusia, Ko-kurikulum (mujur saya ahli Pandu Puteri semasa di sekolah) dan juga kelas pemulihan untuk murid yang bermasaalah. Tanpa latihan, saya belajar sendiri bagaimana menulis buku persediaan mengajar, mentelaah setiap subjek yang perlu diajar dan belajar dengan guru-guru yang lebih berpengalaman.

Barangkali telah tersurat, saya terkenang ketika saya berumur 5 atau 6 tahun, saya pernah dibawa ke sekolah yang sama oleh seorang guru, rakan baik emak saya, ke sekolah ini.

Pelbagai kenangan sewaktu saya berada di sekolah ini. Tidak ketinggalan,ada juga seorang guru lelaki yang berhasrat menjodohkan anaknya dengan saya.

Sewaktu sambutan hari guru, pelbagai hadiah saya terima, kad ucapan, tudung, kain, set gelas dan bermacam-macam lagi. Hadiahnya tidaklah mahal tetapi ingatan mereka memang membuat saya sungguh terharu.

Akhir Jun 1991,saat perpisahan tiba apabila saya menerima tawaran untuk menyambung pelajaran ke Matrikulasi TESL di Pusat Pendidikan Persediaan/ITM di Seksyen 17, Shah Alam. Sedih bercampur gembira tetapi saya terus mendaftar pada 11 Julai dan meninggalkan kenangan dan pengalaman selama 4 bulan di sekolah rendah tersebut. Tempat pertama kali saya digelar Cikgu.

Thursday, May 15, 2008

Rindu terubat

Keresahan rindukan mak dan ibu terubat jua akhirnya. Kesukaran mencari waktu kesemuanya (Adib,Arif dan Afiqah) senggang memaksaku memandu pulang sendirian. Sengaja tidak kukhabarkan kepulangan. Seandainya dikhabarkan awal, bimbang mereka tertunggu-tunggu.
Lalu,apabila keretaku tiba di hadapan rumah yang telah diduduki sejak 25 tahun lalu, maka terkejutlah mereka.
"Eh, seorang saja?"
"Afiqah dan Arif sekolah dan Adib ada mesyuarat di Shah Alam."
"Nak tunggu semua ada, tak baliklah jawabnya."

Saya membimbit masuk beg kertas Jakel berisi sepasang kain untuk hari lahir, sepasang lagi untuk hari raya, sehelai jubah dan tudung sedondon untuk hari ibu untuk emak. Sepasang kain untuk baju Melayu Abah untuk hariraya dan sepasang baju kurung Johor sedia tersiap untuk adik.

Keesokannya sebelum pulang ke Segamat,bertemu ibu dan sudah tentu sekali sepasang kain untuk hari ibu dan sepasang lagi untuk hari raya.

Semuanya saya beli beberapa hari yang lalu. Untuk saya sendiri,pada hari ibu, sepasang kain sedondon buat saya dan Afiqah dan sepasang kain sedondon buat Adib dan Arif. Tidak ketinggalan sepasang kain buat ibu mertua.

Juga tidak dilupakan hadiah hari guru untuk 3 orang guru yang mengajar Afiqah dan 4 orang guru yang mengajar Arif.

Berbalik kisah di Batu Pahat, seperti selalu, emak akan bercerita panjang kisah setiap saudara mara dan sepupu. Mak memang suka bercerita.

Saya memandu pulang kira-kira jam 8 malam dengan kerinduan yang telah terubat.
Namun berganti kerinduan pada suami dan anak-anak pula.

Deringan telefon bimbit dijawab,
"Ibu dah sampai mana?"suara Arif kedengaran.
"Ibu dah sampai Segamat, sekejap lagi sampailah."
"Di mana?"
"Sekarang di Segamat Baru, setengah jam lagi ibu sampailah."

Sejurus pintu rumah di buka, cerita dari Arif dan Afiqah pula menerpa bertalu-talu.

"Ibu...,ibu...,ibu..."

Video Korporat UiTM Johor-Hari Ketiga & Keempat

Penulisan berikut telah lebih seminggu di dalam bentuk draf kerana saya ingin menambah perincian perjalanan penggambaran. Namun, kini saya tidak berminat untuk merincikannya lalu inilah sahaja. Sekadar merekodkan peristiwa.

Hari ketiga,7.5.2008, penggambaran dilakukan di sekitar kampus dan bermula di Dewan Sri Temenggong. Kebetulan saya mengetuai pengawasan peperiksaan pada pagi itu.
Penggambaran bersambung sampai ke malam, iaitu di perpustakaan dan tamat hampir jam 11.30malam.

Hujan di sebelah petang menyebabkan penggambaran adakalanya tertangguh dan perubahan rancangan perlu dibuat.

Hari keempat,8.5.2008, penggambaran dimulakan di dalam kampus dan seterusnya ke Pekan Air Panas di Labis.
Penggambaran di Masjid As-Syakirin merupakan penutup sesi penggambaran.

Penggambaran yang sepatutnya telah berakhir perlu dilanjutkan memandangkan belum dibuat di kampus Larkin, Johor Bahru dan tarikhnya akan ditentukan kemudian.

Sunday, May 11, 2008

Video Korporat UiTM Johor-Hari Kedua

Hari kedua pula kunjungan ke Gunung Ledang Resort yang terletak 25 minit perjalanan daripada UiTM Johor kampus Segamat.



Kini saya turut membawa kamera untuk rakaman peribadi. Sesungguhnya keindahan alam semulajadi memang sentiasa membuat saya terpukau. Gambar menyatakan segalanya.






Keaadaan hujan menyebabkan penggambaran di luar perlu ditangguhkan dan kami kembali ke kampus untuk meninjau dan membuat penggambaran di dalam.

Kedai serbaguna Unimart berhampiran Kolej Intan menjadi pilihan untuk sesi penggambaran seterusnya. Aksi beberapa pelajar sedang membeli belah sempat dirakam. Ada juga pelajar yang keberatan untuk gambarnya dirakam.

Berdekatan kedai,terdapat dua telefon awam disediakan. Walaupun rata-rata pelajar kini mempunyai telefon bimbit masing-masing, kemudahan tersebut masih ada dan rakaman seterusnya melibatkan pelajar sedang membuat panggilan telefon menggunakan kemudahan tersebut.

Setiap Selasa, UiTM menyediakan ruang kemudahan pasar malam yang diadakan di pintu masuk ke kampus. Deretan gerai aneka juadah memberikan pelajar alternatif untuk menjamu selera selain makanan di dewan makan yang disediakan pihak universiti. Krew penggambaran tidak melepaskan peluang merakam suasana pelajar berpusu-pusu berjual beli. Selain itu, beberapa staf juga tidak ketinggalan membeli makanan di sini. Pasar malam bersurai ketika saat menjelang Maghrib dan itu merupakan penggambaran terakhir untuk hari kedua.

Malam ini mee bandung dan sate di Jementah menjadi hidangan untuk krew penggambaran.

Saturday, May 10, 2008

Video Korporat UiTM Johor - Hari Pertama

4 hari bersama-sama krew penggambaran video korporat merupakan pengalaman yang amat menarik dan berharga .

Bukan mudah rupanya untuk mendapatkan satu-satu ‘shot’ dan memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan sudut yang dikehendaki. Teruja melihat gelagat professional jurugambar video mengambil ‘shot’ satu papantanda sahaja memakan masa hampir setengah jam berbanding seorang amatur yang mungkin sahaja dapat menyelasaikannya dalam kurang seminit.

Hari pertama,5.5.2008 tumpuan kepada jalan-jalan masuk ke UiTM Johor dengan mengambil gambar papan tanda berdekatan dengan warung 'lalat'(nama gelaran yang diberi). Di sinilah tempat terhampir kebanyakan staf UiTM Johor sarapan, minum pagi atau tengahari.

Papan tanda kedua diambil adalah di persimpangan Tasek Alai. Sekali lagi hampir setengah jam untuk mendapatkan rakaman yang berkenan di hati. Perjalanan diteruskan dan berhenti di tanah perkuburan untuk merakam makam Bendahara Tepok yang telah melafazkan kata 'segarnya amat' sejurus selesai mandi di sungai Segamat. Begitulah asal usulnya nama Segamat.

Restoran Wahila yang terkenal dengan nasi beriani gam di Segamat juga menjadi hentian untuk rakaman. Walau waktu makan tengahari telah tiba, kami telah memilih untuk makan di Restoran Naser di bandar Segamat yang menghidangkan masakan nasi campur aneka pilihan. Destinasi selepas makan adalah rakaman sungai Segamat di kawasan rekreasi Sungai Kapeh sebelum menuju ke masjid jamek di Pekan Jabi untuk solat Zohor. Gambar masjid turut dirakam berlatarkan langit biru yang cerah berhiaskan awan,tenang kelihatan.

Jalan keluar daripada masjid membawa kami terus ke simpang menuju Muadzam terletak berhampiran Taman Yayasan. Sejam perjalanan dari simpang tersebut,bandar Muadzam dapat dikunjungi, yang merupakan laluan menuju ke pantai timur. Deretan gerai buah-buahan pelbagai jenis dan warna amat menarik perhatian. Aktiviti memunggah durian sempat juga dirakam.

Seterusnya,perjalanan berbalik semula ke arah Segamat, iaitu ke Majlis Daerah Segamat. Lanskap air terjunnya memang 'segar amat' dan amat sesuai jika dapat dibuat di UiTM Johor juga.

Tidak sah kalau pengunjung ke UiTM Johor atau Segamat tidak melawat Jakel, iaitu gedung tekstil terbesar dan terkenal dikunjungi oleh pengunjung dari seluruh negara. Lalu, rakaman turut diambil di luar dan di dalam Jakel.

Di seberang gedung Jakel pula adalah dataran Segamat. Di situlah juga perhimpunan hari kemerdekaan,di mana Segamat menjadi tuan rumah untuk perayaan peringkat Johor pernah diadakan pada tahun 2005.

Pengangkutan awam yang sering menjadi tumpuan adalah keretapi dan bas. Kami ke hentian keretapi dahulu. Sengaja waktu dipilih ketika keretapi ke Singupura berhenti di stesen Segamat untuk mendapatkan rakaman keretapi bergerak. Kami beredar pula ke stesen bas untuk mendapatkan rakaman bas pelbagai syarikat keluar dan masuk perkarangan stesen.

Hampir jam 7, kami sampai semula ke UiTM Johor dan penggambaran terakhir untuk petang itu diambil dari belakang Ledang Inn menghadap ke Gunung Ledang, untuk mendapatkan gambaran matahari terbenam.

Untuk makan malam, saya menjemput krew penggambaran menikmati masak lemak ikan baung dan burung puyuh goreng (antara menunya)di 'Full House'.

Sebelum mata terlelap, sempat membantu Arif untuk membuat persediaan ujian Tauhid pada keesokkannya. Alhamdulilah kesemua 20 sifat wajib dn sifat mustahil Allah berjaya diingati.


Bersambung...

Kematian

Semalam seorang sahabat saya, S, kehilangan ibunya. Pada 23 Februari yang lalu, saya ada melawat arwah ibunya. Ketika melawatnya arwah tidak menyedari kami sedang menziarahinya dan menyangka kami singgah ke rumahnya atas urusan lain.
Tiga bulan yang lalu seorang sahabat saya, N juga kehilangan ibunya.
Sepanjang perjalanan pulang ke Segamat daripada rumah ibu S, saya mendengar kisah H yang juga kehilangan ibunya lebih awal, iaitu sebelum dia mendirikan rumah tangga lagi.
Hati saya sungguh terkesan.
Ibu dan emak saya masih ada tetapi jarang sekali saya dapat meluangkan masa bersama mereka. Pada 1 Mac yang lalu saya bergegas pulang menemui mereka.
Namun sudah 2 bulan berlalu,ya... sudah tentu sekali saya rasa rindu.
Wajib saya temui mereka segera.
Al-Fatihah buat semua ibu, baik yang hidup atau sebaliknya.

Sibuk?

Kesibukan bukanlah penyebab utama saya tidak menulis. Terlalu banyak perkara yang berlaku. Sebelum ini, dalam keadaaan yang sibuk saya masih ada ruang untuk menulis. Hanya akhir-akhir ini tidak terasa untuk menulis. Itu saja.

Bukan kerana ketandusan idea. Malah setiap yang berlaku selalu saja saya terfikir ini boleh dijadikan bahan saya menulis. Hanya seperti biasa...saya menulis dari hati dan ada ketikanya saya suka tidak mendedahkan apa yang berlaku.

Namun berdiamnya saya dapat juga ditelah oleh seorang pembaca blog ini walau kita hanya bertemu di ruang maya ini apabila dia bertanyakan sebab blog ini lama tidak dikemaskini melalui smsnya kepada saya. Mungkin kerana dia pernah mengalami pengalaman yang sama, justeru dapat membaca walau tanpa kata-kata yang tertera.

Pengalaman saya sendiri di alam blog ini mendapati seakan dapat memahami di sebalik kata-kata yang tertera walau tanpa mengenali mereka dengan rapat. Kadangkala ada juga tulisan antara blogger yang menceritakan tentang blogger lain atau meluahkan kata-kata tidak puashati atau pelbagai rasa mereka. Seringkali saya dapat membuat perkaitan antara kisah di antara para blogger dengan rakan mereka yang dikenali melalui blog atau di alam nyata.

Begitulah menariknya wahana blog. Walaupun tanpa reaksi muka dan gerak geri bahasa badan, pilihan kata-kata , susunan dan gaya bahasa dapat memberi makna dan dapat menonjolkan kisah di sekeliling penulis.
Lalu ada ketikanya, sebaiknya beberapa perkara itu biarlah menjadi rahsia. Tetapi, biar tanpa kata-kata tetap membentuk makna walau dalam kesamaran.

Di alam nyata,setiap orang yang bertembung dengan saya pula sering mengatakan lamanya mereka tidak bertemu dengan saya.
Hampir kesemua yang saya temui menyapa dengan kata-kata,
“Lama tak nampak?”
Oleh kerana ramainya yang menyapa begitu sehingga kadangkala jawapan yang saya berikan hanyalah sekadar tersenyum.

Sibuk? Ah...bila yang tidak?

Hanya keutamaan aktiviti berubah mengikut rasa.