Friday, May 16, 2008

Hari Guru Terkini

Saya masih menerima ucapan hari guru walau telah bergelar pensyarah. Tiada masalah bagi saya. Pensyarah juga seorang guru walau kebanyakan pensyarah yang mungkin kurang senang disamakan tarafnya dengan seorang guru. Saya tidak begitu. Mungkin kerana saya pernah menjadi guru. Namun yang peliknya ada yang menuntut tarikh tersebut mereka diraikan seperti seorang guru dan ada juga yang mencadangkan tarikh lain untuk menyambut hari pensyarah atau hari pendidik. Pada pandangan saya, penghormatan tidak perlu diminta-minta. Pelajar yang pengingat akan terus mengingati gurunya walau di peringkat mana ilmu itu diterima.

Ucapan hari guru terkini saya kebanyakan diterima melalui sistem pesanan ringkas seawal 6.57 pagi dan juga melalui blog bekas pelajar saya. Pelbagai ucapan diterima dari bekas pelajar dan pelajar terkini serta rakan sejawat. Walau sekadar ucapan, ingatan mereka memang amat dihargai. Sekurang-kurangnya saya berjaya membuat mereka mengingati walau mereka telah bekerja kini. Inilah balasan ‘lumayan’ seorang guru yang tidak dapat dinilaikan dalam bentuk wang ringgit dan harta benda.

Namun, ingatan dan doa kepada guru tidak seharusnya berlaku setakat pada 16 Mei sahaja. Sebaiknya doa dan ingatan kepada mereka perlulah berterusan sepanjang tahun.

Akhir sekali, SELAMAT HARI GURU kepada semua tidak mengira apa profesion anda kerana saya percaya setiap orang adalah guru yang selalu memberi ilmu tanpa disedari.

3 comments:

ainol hasanal said...

salam pertemuan di maya siber.seusai bengkel di tebing Muar tempoh hari,dada solah-olah terisi pelbagai pesanan,anjuran,kaedah dan sokongan.seandai tidak diturunkan ke atas warkah--harap-harap menjadi sebuah cerpen atau novel(wah!bercita-cita besar).di samping itu,teman sejawat dan sealiran juga mesra dan tidak lokek menghadiahkan persahabatan dan bantuan.rasa nikmat dan syukur dengan segala-galanya.

Alam Kekal said...

Shima.. mana pegi? nape lame tak update? bercuti ke? hmm.. selamat bercuti la camtu.. nak wish hari guru dah super belated dah.. :p

Nazhatulshima Nolan said...

Ainol,
Saya teruja mengimbas kenangan untuk ditumpahkan ke dalam setiap bab novel. Sudah 8 bab tertulis secara kasarnya. Sepatah kata Aminah Mokhtar, 'Belasah je'. Tajuk pun dah ada. Saya ambil dari salah satu puisi saya dan saya juga akan selitkan puisi saya di bahagian yang sesuai. Doakan semangat ini kekal sehingga tamat penulisan novel ini sebelum semester baru bermula. Sekurang-kurangnya draf.

Alam Kekal,(He..He..)
Lama tak dengar cerita? Jumpa Khairudin di perpustakaan UiTM Chendering,KT dan mendapat tahu nama glamor 'Taiko'rupanya.

Untuk menjawab soalan,bacalah entri terkini, 6.6.2008

Terima kasih dengan ucapan.