Monday, April 13, 2009

Ujana Ilmu & Kutub Khanah Nisah Haron

Tawaran bermalam di rumah Nisah Haron diterima dengan penuh teruja.

Saya mengenali Nisah sejak 15 tahun lalu ketika kami sama-sama sedang mengikuti pengajian ijazah sarjanamuda masing-masing;saya di bidang TESL dan beliau jurusan undang-undang. Walau berlainan bidang kami bertemu ketika sama-sama menjadi AJK,seingat saya sebagai setiausaha pertandingan menulis esei sempena menyambut 25 tahun UKM dan juga program universiti yang lain. Kemudian kami mengikut haluan masing-masing sehingga bertemu kembali pada tahun 2006 ketika UiTM Johor menjemput beliau dalam Bengkel Penulisan Kreatif yang diadakan di UiTM Dungun. Saat itu,saya menemani beliau separuh jalan ketika beliau memandu ke sana dan kami berbual panjang.

Sejak pertemuan semula itu, kami seringkali bertemu di bengkel penulisan dan kebiasaannya saya sering menjadi pelanggan Ujana Ilmu Nisah yang setia. Selain itu, saya juga berurusan membeli secara online dan buku-buku pilihan akan diposkan dengan rapi sekali.

Jumaat malam yang lalu ,saya dijemput berhampiran tol Senawang oleh Nisah dan 4 puterinya. Sesampai di rumahnya,saya ditunjukkan bilik tamu yang telah disediakan. Saya lebih teruja melihat rak yang sarat dengan deretan buku-buku. Setelah meletakkan beg di bilik, pandangan saya lebih tertarik ke arah deretan buku.

Usai makan malam spageti hidangan Nisah,saya dibawa ke bilik kutub khanah peribadi Nisah dan bilik operasi Ujana Ilmu. Mabuk buku jadinya melihat pelbagai judul yang menjadi perhatian sambil saling bertukar pendapat tentang buku yang telah kami baca dan saranan beliau terhadap buku-buku yang patut dibaca. Kami bersembang buku hingga hampir jam 12 malam dan saya pula telah memilih hampir 20 judul (termasuk beberapa judul novel untuk kedua-dua anak saya) untuk dibawa pulang. Ada juga buku koleksi peribadi Nisah yang dipinjamkan kepada saya.

Malam itu saya tidak dapat lelapkan mata dengan nyenyak apabila dikelilingi buku-buku yang baru dipilih dan hanya tidur-tidur ayam . Sekitar jam 3 pagi, saya fikir perlunya saya untuk lelap seketika namun kerap tersedar dan akhirnya terjaga pada jam 5.30 sementara menanti Subuh.

Pastinya kunjungan ini bukanlah yang terakhir dan mungkin di lain waktu Afiqah akan turutserta menikmati ‘bufet buku pelbagai rasa’.

Terima kasih yang paling dalam dari saya buat Nisah Haron di atas jemputan dan layanan istimewa.

Lawatlah Ujana Ilmu untuk mendapatkan buku yang sukar didapati di pasaran mahupun yang ada di pasaran.

3 comments:

IdzaRis79 said...

saya peminat setia blog nisah hj haron!!!

Nazhatulshima Nolan said...

IdzaRis79,
Sebagai peminat setia Nisah Haron, ucapkanlah Selamat Hari Ulangtahun beliau pada hari ini,iaitu pada 20 April.Mungkin saja anda sudah tahu,bukan begitu?

Nisah Haji Haron said...

Shima,
Saya terlebih gembira menerima tetamu yang juga pencinta buku sejati. Seronok melihat sinar pada matamu apabila terpandang buku dan melupakan hal-hal yang lain, termasuk makan dan tidur!