Friday, August 21, 2009

Tadarus Al-Quran & Kenangan

Pagi tadi Majlis Perasmian Tadarus Al-Quran di UiTM Johor telah selamat disempurnakan. Mulai 24 Ogos sehingga 11 September 2009 setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 8 hingga 9 am atau 12 hingga 1 pm program Tadarus Al-Quran akan berlangsung.

Saat perasmian berlangsung,hati terusik seketika,terimbau kenangan lama sewaktu mula-mula belajar mengaji,kalau tidak silap sewaktu berumur 5 atau 6 tahun. Arwah Tok Mok(al-Fatihah untuknya) atau nama sebenarnya Tengku Aisyah,iaitu mak saudara Mak yang tinggal bersama-sama kami yang pertama kali mengajar saya. Pada waktu itu,bukan cara Iqra’ atau Qiraati seperti sekarang. Mula-mula diajar disebut satu persatu huruf Aliff sehingga Ya, kemudian diajar mengeja mengikut tanda baris.
“Aliff di atas Aa,Ba di atas Ba..”

Bila selesai diajar mengeja, barulah beralih ke Muqaddam,iaitu surah dari juzuk 30. Sebelum memulakan bacaan,doa penerang hati menjadi kewajipan beserta maknanya. Dengan rotan di tangannya,saya akan duduk bersila,berbaju kurung dan bertudung ikat di depan sambil menghadap Al-Quran di atas rehal kayu sambil memegang lidi sebagai penunjuk.
“Cepat mengaji Shima. Nanti mak bising!”ujarnya separuh berbisik. Walau rotan di tangannya,tetapi orang yang akan menyinga sebenarnya adalah Mak bukannya dia. Kadangkala saya memberontak juga kerana saya disuruh mengaji sampai 3 hingga 4 kali sehari ,iaitu setiap selepas solat fardu kecuali solat Subuh.

Hasilnya saya khatam Al-Quran kali pertama di kala usia 7 tahun. Namun ia tidak berhenti di situ,saya perlu mengulang baca kali kedua. Rupanya disebabkan saya telah khatam Al-Quran, saya dibenarkan memulakan pengajian sekolah agama lebih awal dari pelajar lain,iaitu saya bermula pada umur 8 tahun berbanding pelajar lain pada 9tahun.

Pada usia saya 9 tahun,arwah Tok Mok pergi dan tak kembali lagi di usianya 84 tahun. Saya amat sedih tidak terkata ,pemergiannya meruntun jiwa. Saya hilang tempat mengadu dan bermanja . Saya menangis berhari-hari, berdiam diri memendam rasa.

Kemudian,guru mengaji saya berubah dan mengaji di rumah orang. Kak Yah namanya. Muridnya pun ramai. Saya khatam kali ketiga dengannya. Kenangan menarik mengaji di sini ,setiap muridnya bermain duit kutu. Saya tidak ingat berapa jumlahnya,tapi sen-sen sahaja. Bila terkumpul dan sampai giliran,kami dapat sebanyak RM30.
Bila umur saya mencecah 12 tahun,barulah dibuat satu majlis khatam Al Quran secara besar-besaran ,kebetulan kakak sepupu saya membuat majlis kesyukuran melanjutkan pelajarannya ke UK. Meriah juga majlisnya. Saya dipakaikan pakaian seperti pengantin. Sebenarnya baju tunang mak saudara saya yang sudah tentu terpanjang dan terbesar sedikit.

Gemuruh juga rasanya apabila duduk bersila di hadapan ramai orang dan terpaksa membaca Al-Quran melalui corong mikrofon. Di saat itu dan hingga kini rasa bersyukur amat di atas sifat garang Mak menyuruh saya mengaji.

Dan kini tiada rotan atau arahan, rasa syukur dan tanggungjawab menjadi desakan . Walau telah berkali-kali khatam al-Quran, tidak semestinya bacaan saya sempurna. Lalu tadarus al-Quran memang saya nantikan untuk memperbaiki tahap pembacaan.

Di kesempatan ini,

pohon rimbun dalam halaman
mohon ampun salam Ramadan

5 comments:

SitiNur said...

4 kali sehari? Banyaknyaaa... Guru mengaji Al-Quran memang amat berjasa. Alfatihah buat mereka yang sudah pergi atau yg masih ada.

kuje&saiber.. said...

mengaji sememangnya kenangan terindah..seronok..
mendekati,menghayati kalam ALLAH..
tapi lagi tegas belajar dgn ayah..
AL-FATIHAH kpd guru2 agama zuhud yg trdiri daripada ahli2 sufi,alim ulama,para wali&sbgnya...

::ayn:: said...

Salam Ramadhan Puan Shima.
Semoga di berkati dan Semoga Ramadhan ini lebih bermakna . . :)

Nazhatulshima Nolan said...

Ira,
Saya tidak setegas mak saya. Hingga kini kedua-dua anak saya,12 dan 10 tahun masih belum khatam Al-Quran lagi. Tapi saya contohkan kepada mereka,saya mengaji hari-hari. Kedua-dua mereka memang sudah boleh membaca cuma belum khatam sahaja.

Kuje & saiber,
Apakah pilihan,tegas atau secara hikmah?

Ayn,
Terima kasih. Saya doakan Ramadan ini memberi kelapangan dari segala dugaan dan kerahmatan dari Allah.Insya Allah!

kuje&saiber said...

HIKMAH DISEBALIK KETEGASAN.
kalam Allah bukan novel harry potter atau buku cerita.oleh sebab itu,seharusnya tegas ialah pilihan.