Thursday, July 19, 2012

AVM - Bak Bom Waktu

Bila-bila masa sahaja boleh berlaku.
Bila-bila saat sahaja saluran pembuluh darah di bahagian otak ini boleh pecah.
Bila-bila sahaja boleh pecah dan menyebabkan kematian.
Bila-bila masa sahaja.
NOKTAH!
Itu kata doktor.
Bukan satu doktor.
Bukan dua doktor.
Bukan tiga doktor.
Setiap doktor yang tahu tentang AVM kata begitu.
Tapi itu kata doktor.
Kata Tuhan?
Hanya Allah yang Maha Tahu!
Semoga pergiku di dalam keadaan yang siap sedia mengadapMu,pergiku di dalam keredaanMu,di dalam rahmatMu,di dalam keampunanMu. Insya Allah
Bukankah sebenarnya KITA SEMUA BAK BOM WAKTU itu?

Thursday, July 05, 2012

Apakah AVM (Arterio-venous malformation)?

Ketika mula-mula 'terserempak' dan 'berkenalan' dengannya,saya tidak begitu memahaminya.
Setelah mengalaminya sejak Oktober 2011, saya semakin memahami dan mengerti.
Banyak hikmah yang tersembunyi.
Anugerah khas yang terselit pesanan dan ingatan.
Bukti kasih sayang Yang Maha Pencipta kepada hambaNya. Syukur.
Saya terpilih mengalaminya.

Monday, July 02, 2012

Kembali Mengajar

Alhamdulilah,saya bekerja semula.
Saya berjaya melangkah ke kelas,di tingkat satu. Berjalan ke kelas dari bilik dan kembali dan begitu juga di sebelah petang. Berjalan dari bilik ke kelas di tingkat satu dan kembali.
Sendiri.
Tanpa dipimpin.
Apabila melangkah ke atas,terasa sedikit pusing apabila saya teruja dan cuba percepatkan langkah. Begitu juga saya terlebih aksi apabila cuba menggayakan ekspresi diri. Nampaknya saya belum boleh melangkah laju seperti dahulu.Perlu berhati-hati melangkah setelah 2 kali terjatuh kerana tidak dapat mengimbang diri.
Saya juga sudah boleh berdiri lama.
Teruja apabila di hadapan pelajar,2 jam di sebelah pagi dan 2 jam di sebelah petang, saya dapat semangat baharu dan lebih ceria.
Saya risau jika tiba-tiba terlupa apa yang hendak disampaikan atau diterangkan. Risau jika saya tidak dapat menulis dengan tepat.Huruf terbalik atau tulisan abjad terbalik. Ternyata masalah koordinasi sudah semakin pulih.
Saya juga dapat rasakan pertuturan saya sudah semakin lancar kembali.
Syukur,kepada Allah Yang Maha Berkehendak.

Sunday, July 01, 2012

Tidak Mahu Menangis

"Prof Kamil akan datang ke rumah jam 6:30pm nanti."
Adib memberitahu melalui telefon.
"Tolong jawab apa-apa yang ditanya dan ceritakan apa yang berlaku."
"Tidak Mahu Menangis ...lagi",saya menyambung.
Saya merujuk kepada sakit AVM yang dihidapi. Mulai diketahui pada Oktober tahun lalu,sebulan selepas pemergiannya ke Madinah.
Jumaat petang,29 Jun yang lalu,Prof Kamil sekeluarga berkunjung ke rumah. Selain sebagai penyelia bersama PhD saya,beliau juga jiran di sebelah rumah.
Saya dapat rasakan yang saya tidak akan dapat menahan diri untuk tidak menangis dan berpesan kepada Adib supaya bersuara.
Gagal.
Di saat beliau menasihatkan supaya saya tidak memikirkan tentang PhD dan perlu menjaga kesihatan saya,perasaan sebak tidak dapat dikawal lagi. Laju sahaja butiran air mata jatuh membasahi pipi.
Saya mahu siapkannya.
Mohon doakan saya.
Terima kasih.
P/S:Sebelum beredar,beliau menghulurkan 'Bersyukur Saat Diuji',karyanya yang terkini. Kelihatan nama Adib dan Shima berada di sana sini.:)