Friday, February 28, 2014

Imbasan Februari 2014

Mengimbas kembali di jam terakhir bulan kedua tahun 2014. Meskipun frasa begitu cepat masa berlalu bernada klise,itulah kenyataannya. Sekurang-kurangnya bagi saya.
Saya belajar menerima keadaan sasaran tidak tercapai seperti kehendak. Belajar menerima keadaan kemajuan yang sedikit. Yang penting,ada perubahan yang lebih baik,daripada langsung tidak berganjak. Bukan berundur tetapi masih melangkah ke hadapan,walau kelihatan perjalanan masih panjang.
Februari juga padat dengan berulang-alik ke hospital. Jika Januari berulang-alik ke Segamat-HUKM 2 kali dan Segamat HSA - JB, Februari pula sekali ke hospital Pantai Melaka dan 2 kali ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan susulan suami saya.
Alhamdulilah,dengan kuasa dan izin Allah kami berdua kembali sihat walafiat.
Syukur dengan segala ujianNya dan diberikan peluang lagi untuk meneruskan hidup yang singkat ini

Sunday, February 23, 2014

Jadual Kuliah Semester


Jadual pengajaran kuliah semester ijazah akan bermula pada 2 Mac 2014.

Saya akan mengajar 3 kursus berbeza,iaitu:

 1. BEL 492  Presentation Skills (3 kelas berbeza)
 2. ELC 500  English for Academic Reading (4 kelas berbeza)
 3. EWC 661 English for Report Writing (1 kelas)

Jumlahnya bersamaan 8 kelas untuk 16 jam seminggu.

Jumlah pelajar akan diketahui pada minggu hadapan.

Doakan saya diberikan kesihatan dan kekuatan untuk menunaikan tanggungjawab ini.

Teruja akan bertemu pelajar lagi.

Di sisi lain, saya juga perlu melengkapkan penyediaan soalan peperiksaan. Tarikh akhir penghantarannya,2 minggu lagi.

Semoga diberikan kelapangan dan dipermudahkan juga saya untuk meneruskan pengajian PhD secara sambilan kembali sehingga tamat.

"PhDku yang 'Ranjau Sepanjang Jalan...' "
"Kuatkan semangatmu Nazhatulshima!"

Sunday, February 16, 2014

Kembara Tukar Budaya Australia


2012-11-15 13.11.15
Memori.
Menyusun kembali kenangan terindah.
Di antara bahan-bahan yang masih ada.
Terselamat dari banjir besar Segamat.
‘Mereka’ pun menjerit-jerit memanggil saya,
“Bukukan kami segera!”

Thursday, February 13, 2014

Lukisan dari Hati

Rasa bersalah mengalir seiring rasa bisa pada seluruh badan. Bisa yang menular akibat memikirkan keputusan saya untuk tetap ke Nowra walaupun setelah mengetahui Kim Brown sedang sakit cengkering. Tiada rasa bimbang akan dijangkiti dan mengakibatkan orang lain dijangkiti. Adik-adik angkat saya turut mengalaminya. Paling teruk,yang kecil berusia 3 tahun, Humza yang suhunya naik setinggi 39 Celcius. Saya turut menemaninya di tengah malam apabila dia mengaduh kesakitan. Hujung minggu yang biasa terisi dengan aktiviti di rumah desa tidak saya turutserta. Sampaikan ke dalam tekak saya juga ada gelembung cengkering itu. Saya tiada selera makan. Tiada ubat atau pantang larang tidak boleh menggoreng atau terkena air. Ayah angkat saya,seorang doktor memberikan sebotol losyen 'camomile' untuk meredakan rengsa. Masih tidak memadai. Segala pakaian saya dicuci berasingan. Tandas juga diasingkan. Saya hanya duduk di dalam bilik, dikuarantin. Terasa lemah sekali!

16 Julai sesi persekolahan bermula kembali namun saya masih perlu dicutikan akibat cengkering yang belum reda. Hari-hari 'cuti' saya terisi dengan kerja kursus yang perlu di lengkapkan sebagai sebahagian keperluan subjek HSC. Paling mengujakan adalah saat saya mewarnakan bahagian bunga-bunga liar Australia di bahagian bawah 'mata' lukisan saya itu. Saya tumpahkan segala rasa yang mengalir melalui warna akrilik di atas kanvas berukuran 1 meter persegi itu. Ada bulatan dan pusaran di sekeliling bunga-bungaan. Ada ikan lumba-lumba,ada kapal layar,ada rumah bata, ada peta Malaysia dan peta Australia yang menunjukkan lokasi spesifik arah Batu Pahat ke Sydney. Ah, ianya lukisan dari hati!

30 Julai Mrs Falconer,guru seni visual kesayangan saya yang tinggal berdekatan,iaitu di Menai,datang ke rumah membawakan kerja sekolah dan nota-nota yang saya perlukan. Beliau juga turut melihat perkembangan 'art major work'(kerja seni utama) saya dan menyatakan rasa berpuashati dengan apa yang dilihatnya.

Pada 7 Ogos 1990, 'I' on Australia, tajuk lukisan saya itu siap dibungkus untuk dinilai. Alhamdulilah,lukisan ini dipamerkan di Wespac Bank di tengah bandar Sydney. Lukisan ini terlalu tinggi nilai sentimentalnya bagi saya. Saya mohon dibawa pulang ke Malaysia. Masih ada dalam simpanan walau sedikit tercemar dek banjir besar di Segamat tahun 2011.

Ya,hikmahnya sakit,saya dapat hasilkan sesuatu. Seperti juga terhasilnya penulisan ini!

(Visual lukisan akan dipapar kemudian apabila sampai proses akhir untuk dibukukan.)

Suka-suka tukar Duka

Cuti sekolah masih bersisa walaupun pertukaran jangka pendek saya di Nowra, lawatan ke Canberra, Goulburn dan Snowy Mountains telah berakhir. Keluarga angkat di Sydney, seperti selalu,berada di Razorback pada musim cuti.

Apakah kebarangkalian bertemu sahabat sekolah rendah di kota Sydney? Langsung tidak terlintas! Ya, pertembungan bagai mimpi, mendengar bahasa Melayu ditutur, setelah 3 bulan tenggelam dan terendam dalam budaya berbeza,berberbahasa Inggeris sepanjang masa. Satu kejutan yang indah,menerbitkan ria yang sukar terlafaz.

Suhaili Wahid,sahabat sekolah sekelas agama di sekolah agama Kg Kenangan Dato Onn dan sedarjah juga di Sekolah Rendah Kebangsaan Tengku Mariam, Batu Pahat, Johor kini berada di hadapan mata,di tengah-tengah pengunjung Australian Museum pada 20 April 1990. Siapakah dapat menduga?

Pertembungan pertama itu berlarutan melalui corong telefon di antara Malaysia Hall dan Illawong sekali sekala. Akhirnya membawa kepada jemputan ibu angkat saya ke rumah desa kami di Razorback pada 9 Julai. Kehidupan seorang pelajar yang sibuk dengan persediaan matrikulasi Australia seperti Suhaili semestinya berbeza dengan pelajar High School Certificate yang tinggal bersama keluarga angkat seperti saya. Tumpuannya pastilah kepada akademik sedangkan saya pula perlu seimbangkan dengan pengalaman pertukaran budaya dengan keluarga angkat dan masyarakat setempat selain tidak meninggalkan pengalaman akademik di sekolah.

Ditemani seorang rakan lagi, Puteri namanya,saya mengiringi mereka untuk menghirup suasana desa, menonton acara lembu dilelong,berbicara dengan kuda-kuda belaan,kambing dan lembu, bersiar-siar di kawasan kejiranan, dikejar seekor anjing, berjalan ke jeram di belakang rumah dan menikmati hidangan pai daging lazat buatan ibu angkat,hangat dari ketuhar. Bertambah enak,semuanya dihidangkan dan dimakan di hadapan pendiang untuk memanaskan badan yang dingin. Sebagai kudapan, hidangan manisan coklat brownies,juga buatan ibu angkat saya sendiri.

Di dalam keenakan, menyusup suatu rasa lain. Saya rasa bisa seluruh badan dan suhu badan mulai meningkat! Oh tidak! Saya kena cengkering. Lagi? Walaupun setelah menganggap saya tidak akan mengalaminya kerana menurut emak, saya telah mengalaminya semasa kecil, saya tetap terkena juga. Rasa lemah merayap ke seluruh anggota. Sering dengan rasa bersalah. Suhaili dan Puteri dihantar ke stesen Campbelltown setelah 3 malam bersama-sama apabila keadaan saya semakin teruk.

Hujung minggu yang seringkali padat buat saya sejak 6 bulan kini jadi lesu. Saya kembali ke rumah kota di Illawong dan tinggal sendirian di rumah.


Begitulah,saat suka suka saya yang bertukar duka dan longlai.

Beberapa hari akhir di Nowra

Kenangan menyentuh salji kali pertama masih beku di ingatan. Belum dapat dicairkan walau berpindah ke tempat lain.

Tanggal 3 Julai kembali ke Nowra semula apabila kedua ibubapa angkat perlu menyambung rutin harian bekerja. Ibu angkat saya bekerja di Nowra Fair,di KMart lebih spesifik lagi. Saya berpeluang menjejak kaki ke bandar lagi dan pondok telefon memanggil-manggil lagi di saat saya menapak sendirian. Jam 12 lebih saya hubungi sahabat baik saya Ruznita Rahmat,kemudian berjalan-jalan lagi dan bagai magnet,pondok telefon itu menarik saya lagi. Kini saya menghubungi seorang lagi sahabat,Nazlin Tamat dan juga emak saya. Rindu terubat sedikit!

Hari berikutnya,Kim meluangkan waktu membawa saya menonton wayang, Pretty Woman lakonan Richard Gere dan Julia Roberts. Nyanyian Roxette 'It Must've Been Love' begitu menjentik jiwa yang pernah terguris.

...Lay a whisper on my pillow,leave the winter on the ground. I wake up lonely, there's air of silence in the bedroom and all around...

...It must have been love but it's over now. It must have been good but I lost it somehow...

...Make-believing we're together, that I'm sheltered by your heart. But in and outside I've turned to water like a teardrop in your palm. And it's a hard winter's day, I dream away...

Apatah lagi saat itu memang sedang musim dingin. Oh kenangan...

5 Julai saya ke Green Patch dan Jervis Bay. Nampak ikan lumba-lumba dari kejauhan,dari dalam kereta.

Lawatan ke Nowra Animal Park pada 6 Julai adalah sesuatu yang tidak patut tertinggal apabila berada di negara ini. Bukanlah saya tidak pernah nampak kanggaru sebelum ini. Namun kebiasaannya,yang liar dan muncul sekali sekala ketika rutin hujung minggu dalam perjalanan pergi balik rumah desa di Razorback. Di taman haiwan ini, kanggaru jinak ini melompat-lompat ke arah saya dan berada di sekeliling saya seperti di dalam foto ini. Malah,dengan mudahnya saya dapat menyentuh dan mereka tidak melarikan diri!

9:15am, 7 Julai saya perlu meninggalkan Nowra dan kembali ke rumah desa memandangkan cuti sekolah masih belum berakhir.


Minggu seterusnya saya dapat bertemu seorang rakan sejak di sekolah rendah. Dia datang ke rumah desa. Siapakah dia?

Snowy Mountains aku Datang!

Dua musim telah berlalu. Musim panas. Musim luruh. Tiada lagi hijau segar atau coklat kuning dan perang. Putih semuanya. Musim dingin yang ditunggu-tunggu kini menyusul. Segala yang pernah saya lihat di kaca TV,kini berada di hadapan mata pada tanggal 1 Julai 1990. Berpijak di gunung bersalju. Snowy Mountains namanya. Persis. Kedinginan menusuk yang menceriakan hati!

Skitube berwarna merah putih menjadi kenderaan kami ke kawasan stesen Bullocks Flat, Perisher Valley dan Mt Blue Cow. Ya,seperti di foto di atas.

Di bawah lapisan baju biru itu ada 3 lapisan lagi. Saya tetap gigil tahan dingin ke tulang. Sukarnya untuk berjalan di atas salji dengan sepasang kasut sukan biasa. Terbenam apabila memijak dan tertahan apabila mahu maju ke hadapan. Puluhan pasang kayu papan ski terpacak berderetan.

Saya memasang tekad. Saat itu mungkin yang pertama tapi bukanlah yang terakhir! Saya mahu jadi seperti mereka di hadapan mata-meluncur laju dari pergunungan yang tinggi seorang diri. Bukan setakat duduk di kerusi lif bergerak itu dan menikmati pemandangan indah dan menggigil mengetap bibir sahaja.

Ya,satu hari nanti. Saya mahu datang lagi! Bilakah agaknya?

Tinggal atas Pokok?

Shoalhaven High School adalah sekolah tinggi di Nowra yang telah diatur untuk saya lawati. Saya pergi sendirian dan tidak membuat persediaan yang formal dengan ucapan yang telah ditulis dahulu. Berucap secara spontan sahaja. Setelah 6 bulan membuat pengucapan awam berulangkali tentang Malaysia dan menjawab segala soalan berkaitan, keyakinan berucap tanpa teks atau persediaan sudah semakin sebati. 

Bahkan gaya cakap Australia juga sudah tempias di pertuturan saya.
Saya dibawa ke 4 buah kelas berbeza. Sewaktu berjalan di sepanjang koridor menuju ke kelas-kelas, saya nampak reaksi pelajar sekolah tersebut melihat kelibat orang 'asing' datang ke kelas mereka.

Ada satu soalan yang tidak dapat saya lupakan sehingga kini.

Ya,soalan yang tertera pada tajuk ini.

Imej pelajar perempuan berambut kuning dan wajah penuh 'freckles' masih jelas terbayang. Kecil comel sahaja. Sekali pandang soalan ini kelihatan agak keterlaluan. Seakan-akan mengejek. Hakikatnya mereka tidak pernah dengar tentang Malaysia dan tidak tahu di mana letaknya Malaysia dalam peta dunia. Menyedihkan bukan?

Saya pun menghampiri peta dunia yang digantung di satu sudut di dalam kelas berkenaan. Jari telunjuk saya berada di posisi letaknya Malaysia. Kemudian saya ambil sebatang kapur dan memperbesarkan peta Malaysia dengan melukisnya di hadapan mereka.

Di dalam hati saya berkata, "Oh rupanya inilah gunanya saya bersusah payah belajar geografi Malaysia dan melukis pelbagai bentuk peta Malaysia

Terkenang pula wajah Cik Chua Meow Kiang, guru geografi saya. Saya memang suka lukis peta. Tambahan lagi saat perlu mewarnakannya. Memanglah kerja rumah kegemaran saya. Saya ingat lagi belajar tentang Australia di tingkatan 2. 

Saya bertekad, saya mesti sampai ke tempat ini!

Di saat itu saya pula memberi pelajaran geografi tentang Malaysia di hadapan anak-anak Australia sebaya saya semasa saya mendapat ilmu tentang negara itu. 

Ada apa di Canberra?

5 hari pertama di Nowra terisi dengan aktiviti santai, berkenal-kenalan dan berbual-bual dengan keluarga angkat, berjalan kaki bersiar-siar sendirian dan sesi bersama-sama pelajar di Shoalhaven High School. Cuti hujung minggu memungkinkan keluarga Brown membawa saya keluar dari Nowra. Destinasi seterusnya?

Canberra dituju pula. Destinasi ke ibu negara Australia dimulakan dengan lawatan ke Rumah Parlimen. Foto kenangan diambil. Perjalanan disambung. Hati berdebar melihat kelibat bangunan seterusnya. Rumah Kedutaan Malaysia! Bagai bertemu kekasih hati. Lagu negaraku terngiang-ngiang di telinga. Namun tidak dapat saya melangkah ke dalam. Hari Sabtu, tidak dibuka,pagar berkunci. Hanya foto diambil dari tepi. Kemudian,kami semua berlalu pergi.

Saya berkesempatan solat di masjid Canberra. Menariknya sepanjang saya di sini, saya menurut cara ibu angkat saya yang bersolat dengan pakaian sedia ada menutup aurat tanpa telekong seperti kebiasaan di Malaysia. Ya,sebenarnya mudah sahaja untuk bersolat di mana-mana sahaja apabila kita telah sedia berpakaian menutup aurat sepenuhnya seperti dalam solat. Tidak perlu berbekal telekong.

Seperti foto saya yang berlatarkan Banjaran Pemisah Besar ini. (akan disertakan). Ingatan tersorot ke kelas geografi lagi,saat nama-nama banjaran,gunung dan sungai perlu dihafal. Saya senyum sendiri dan berkata dalam hati,tak sia-sia mengingati nama-nama ini.

Tidak ketinggalan juga saya melawat The Big Merino,iaitu arca kambing biri-biri setinggi 15.2 meter dan seberat 97 tan atau dikenali sebagai 'Rambo' oleh penduduk tempatan di Goulbourn. Namun,lokasinya kini telah berubah sejak tahun 2007.

Oh padat juga 1 Julai itu! Kami kembali bermalam di Quenbeyan Motel.

Esoknya, pertemuan pertama saya dengan siputih salji!


Perjalanan Solo ke Nowra

Panggilan telefon jarak jauh Sydney-Batu Pahat telah dibuat untuk memastikan sama ada saya pernah terkena sakit cengkering. (Chicken pox). Setelah emak mengatakan saya pernah mengalaminya, keputusan untuk ke Nowra pun diambil untuk program pertukaran jangka pendek selama 2 minggu,iaitu mulai 25 Jun 1990.

Saya ditempatkan di Nowra bersama keluarga Brown. Kim Brown, adik angkat saya untuk 2 minggu itu baru selesai program pertukaran pelajar ke Jepun selama setahun. Sewaktu kedatangan saya, dia sedang beransur pulih dari sakit cengkering dan parut masih jelas kelihatan di sana sini.

Perjalanan solo pertama saya pun bermula. Walaupun saya sudah biasa berulang-alik ke sekolah menaiki bas dan tren setiap hari sendirian di kota Sydney, perjalanan ke Nowra adalah perjalanan jauh daripada biasa untuk seorang gadis yang hanya mengayuh basikal setiap hari dan tempat yang paling jauh dijejaki adalah Kuala Lumpur dan Johor Bahru dan luar negara yang pernah dijejaki hanyalah Singapura. Menaiki kapal terbang sebelum itu? Jauh sekali.

Pada jam 2:53pm saya memulakan perjalanan dari stesen Central dan selamat tiba di stesen Nowra pada jam 8:21pm. Keesokan harinya saya tidak ke mana-mana memandangkan keluarga angkat bekerja dan Kim belum pulih sepenuhnya. Kami berbual-bual,saya melihat gambarnya semasa setahun di Jepun. Saya mencuba kimono merah jambu yang dibawa pulang dari Jepun. 

Oh susah juga mengenakan kimono rupanya. Mudah lagi berbaju kurung dengan kain tanpa zip dan cangkuk diikat berombak di tepi. Itu memang kemahiran saya.

Pada 27 Jun, jam 12:20,saya bersiar-siar berjalan kaki sendirian di sekitar bandar Nowra. Saya terpandang telefon awam dan rasa rindu yang membuak-buak telah membuat saya membeli beberapa cenderahati untuk memecahkan wang untuk mendapat pulangan wang syilingnya. Dengan syiling segenggam tersebut, hati saya berbunga-bunga kerana dapat membuat panggilan jarak jauh ke Batu Pahat pada jam 4:20pm. 

Hanya seketika, namun memadai. Wang syiling begitu cepat ditelan dan suara saya juga tersekat tidak terkeluar,sebak menanggung rindu. Hanya air mata bercucuran.

Pada hari itu,saya telah membelanjakan sebanyak 17.40 dollar Australia.

42

Angka giliran di Hospital Segamat pagi tadi.

Saya mengambil cuti lagi untuk menemani suami ke hospital Segamat awal pagi tadi.

Nombor giliran yang diberikan seperti disertakan pada foto di bawah.

Oh, seperti mengingatkan saya. Seperti tidak percaya.

Syukur Alhamdulilah!

Usia saya 42 hari ini!

Wednesday, February 12, 2014

Sukan Luncur Ais (ice-skating)

Saya telah memilih acara sukan meluncur ais (ice skating) sebagai sukan musim sejuk. Memanglah saya tidak pernah meluncur ais sebelum itu. Hanya selalu berngan-angan apabila melihat acara sukan meluncur ais di kaca televisyen. Berangan-angan dapat menari-nari di atas ais, membuat pelbagai aksi. Berputar-putar seperti ballerina, mendepakan tangan, mengangkat sebelah kaki,mengangkat tangan sambil jari jemari dilentuk lentikkan dan tangan di ayun ke kiri ke kanan mengikut irama lagu.

Pada mulanya saya membayangkan meluncur ais sama juga seperti bermain kasut roda. Perlu mengimbang badan dan melembutkan kaki bergilir untuk bergerak ke hadapan dan belakang. Saya masih ingat lagi saat bermain kasut roda di ‘Pesta’ di Batu Pahat dan berpapan luncur (skate board) bersama-sama sepupu sepapat saya. Bezanya, kasut roda, sudah tentulah beroda. Tetapi apabila meluncur ais, tiada rodanya!

Kelas meluncur ais bermula sejak 24 April. Setiap Selasa dalam jadual sekolah saya, ibu angkat akan menghantar dan menjemput saya setiap minggu di Canterbury Ice Skating Rink. Rutin jam 2 petang di pusat meluncur ais dimulakan dengan mendaftar diri di kaunter. Saiz kasut diberitahu, sepasang kasut luncur diserahkan. Kemudian saya duduk di bangku untuk mengenakan kasut luncur sebelum bergerak ke gelanggang. Waktu pertama kali menjejakkan kasut luncur ke ais batu, agak kaku juga saya. Belum begitu yakin. Memaut di tepi arena. Cuba berdiri tegak dan belum begitu berani maju ke hadapan. Kemudian, saya ingatkan kembali azam saya, iaitu untuk mencuba pengalaman baharu sebaik-baiknya. Pengalaman yang belum pasti berulang peluangnya. Acara sukan musim dingin atau dipanggil 'winter sport' berlangsung selama 3 bulan setiap minggu.

Ternyata azam saya dapat 'sampai ke pangkal lengan'. Bukan sahaja saya sudah dapat meluncur ke hadapan, saya juga dapat meluncur ke arah belakang dan membuat pusingan! Saya bayangkan para juri memberi markah. Berangan-angan sahaja.

Ada satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Malah masih berbekas parut luka itu di bahagian bawah lutut kanan saya. Ada seorang pelajar lelaki yang cuba tunjuk aksi lagak beraninya, meluncur laju dan telah menyebabkan hujung 'blade'(bilah?) kasut luncurnya melukakan saya. 

Aduh sakitnya! Tetapi kini saya tersenyum melihatnya kerana ada cerita di sebalik parut itu.


Bagai 'Aborigine'


And it's raining on the Rock,
In a beautiful country,
And I'm proud to travel this big land,
As an Aborigine.
And it's raining on the Rock
What an almighty sight to see,
And I'm wishing and I'm dreaming that you were here with me.

Senikata dan melodi lagu irama 'Australian country' nyanyian John Williamson ini terngiang-ngiang di telinga saya apabila menatap foto di atas. Waktu berada di sini saya akan berangan-angan sambil menyanyikan lagu ini sewaktu berjalan memijak di atas batu-batu sepanjang jeram di belakang 'paddock' di rumah desa. Jauh juga perjalanan ke hujung. Barangkali sekitar 20 minit sehala. Kami berjalan dengan memakai sepasang 'gum boots'(kasut getah) paras betis untuk keselamatan kerana ada ular dan haiwan lain dan topi ala 'cowboy' untuk melindung daripada panas. Tidak ketinggalan juga 'sun block'disapu di wajah dan tangan untuk melindung dari terbakar panahan matahari.

Memang seronok menyanyi di sini kerana suara akan terlantun dan tiada sesiapa yang berada di sekeliling untuk melihat gelagat kami. Kawasan seluas 20 ekar yang terletak di Rotherwood Rd ini merupakan rumah kedua keluarga saya. Mereka merujuknya sebagai 'property' atau 'country home'.

Dan ya,seperti senikata lagu di atas, saya impikan 'awak' berada bersama-sama saya di sini.
Puas saya berfikir,saya pun tidak ingat siapakah 'awak' di dalam lagu ini yang saya bayangkan ketika itu.

Jauh di Mata,Dekat di Hati

Di hari ulangtahun yang ke 18, saya berada jauh di seberang lautan daripada keluarga dan sahabat handai. Kebiasaannya, apabila di Batu Pahat pun,saya tidak pernah menyambutnya dengan majlis khas seperti menjemput sahabat handai atau acara keraian. Selalunya,saya sendiri akan membuat kek coklat yang berlapis 'icing' dan coklat urai resepi keluarga yang telah saya buat sejak berada di sekolah rendah lagi. Masih lagi saya ingat pada masa kecil dahulu belum ada alat elektrik yang memudahkan dan mempercepatkan proses memukul mentega dan telur. Lalu,mentega dipukul dengan garfu dan putih telur yang diasingkan daripada kuning telur juga akan dienjutkan dengan alat yang dapat mengembangkannya dan dicampurkan gula halus secara beransur. Sambil itu, proses membuat coklat icing juga diteruskan dan bersedia untuk disapu dan dihias ke atas kek yang telah siap dimasak itu. Kek resepi keluarga ini akan saya bawa ke sekolah untuk dikongsi bersama-sama rakan-rakan.

Selain kek coklat ini, saya juga akan membawa roti celup telur berinti sardin yang arwah Atok Mok saya panggil 'bantal peluk Saloma'. Oh usah tanya saya bagaimana mereka dapat nama itu kerana saya tidak tahu!

Berbalik kepada kisah saya di Sydney pada 12 Februari,pada sebelah malam 'Art Excursion', saya dikunjungi bapa saudara saya, Uncle Pes yang ada urusan di Sydney. Beliau membawakan hadiah dan kad ucapan dari sahabat daripada Batu Pahat. Saya rasa terharu sekali dan kenang sehingga kini. Seperti yang tertera dalam foto di atas,(akan disertakan kemudian) saya mendapat kad ucapan daripada Lala, Mak, Nita,Lin, Zaeinah, Zaeidah, June, Ira, Ida dan Faridah. 

Terima kasih untuk ingatan dan menggembirakan saya pada 13 Februari 1990!


Musim Luruh

Setelah hidup selama 17 tahun  dengan iklim Khatulistiwa panas lembap sepanjang tahun, saya tidak dapat menjangka bagaimana keadaan pada musim luruh. Yang saya tahu, pada musim itu, daun-daun akan menguning, perang, coklat dan bersedia untuk meluruhkan segalanya sebagai persediaan untuk musim dingin.
Ada daun yang bertukar menjadi kuning dan ada yang menjadi merah. Di waktu ini,tumbuh-tumbuhan mula mematikan sistem pengeluaran atau produktiviti mereka yang aktif pada musim panas. Segala warna yang telah terselindung oleh klorofil pada musim panas kini terserlah sebelum gugur ke bumi. Waktu siang jadi semakin pendek  dan dedaun mendapat isyarat sedia untuk kedatangan musim dingin. Jangkamasa berpuasa di bulan Ramadan juga menjadi pendek waktunya.

Ini mengingatkan saya kepada lagu nyanyian Nat King Cole, ‘the autumn leaves’ yang selalu didendangkan oleh Abah saya.

‘the autumn leaves drift by the window
The autumn leaves of red and gold…’
‘Since you went away the days grow long
And soon I’ll hear old winter’s song
But I miss you most of all my darling
When autumn leaves start to fall’

Oh lamunan saya terhenti dek kedinginan tiupan angin musim luruh. Sewaktu ke sekolah pada pagi bulan Mac itu,saya telah tertipu dengan sinaran matahari yang garang lalu tidak membawa pakaian seragam (baju sejuk) biru tua saya untuk dipakai apabila perlu. Akibatnya sewaktu perjalanan pulang dari sekolah, saya menggigil menahan kesejukan kerana hanya berbaju lengan panjang kain kapas selapis yang sesuai dipakai pada musim panas.

Musim luruh membawa signifikasi perubahan kepada saya. Sambil menikmati keindahan musim ini, saya tidak dapat nafikan keterujaan menyambut musim sejuk bersalji sebaik tamatnya musim luruh pada bulan Jun nanti.

Jimat Waktu Siang

Mungkin ada padanan yang lebih tepat kepada 'Daylight Saving Time' atau DST.

Saya terjemahkan dahulu menjadi 'Waktu Jimat Siang'. Suatu keadaan yang tidak berlaku kepada kita yang tinggal seumur hidup di garisan Khatulistiwa. Itulah yang berlaku kepada saya yang sepanjang hidup tidak bergerak jauh dari garisan itu selama 17 tahun lamanya sehinggalah diberikan peluang sebagai duta kecil Malaysia ke Australia.

Justeru, 12 jam siang dan 12 jam malam dan iklim panas dan lembap sepanjang tahun adalah sesuatu yang normal. 
Apakah 'waktu jimat siang'?

Saya pernah sebut di bab awal tentang betapa awalnya matahari terbit. Seawal jam 5 pagi! Tetapi mulai Ahad pertama pada bulan April,iaitu berakhirnya musim panas dan bermulanya musim luruh, waktu pun berganjak satu jam pada jam 2 pagi. Semasa musim panas,mereka mendapat tambahan sejam waktu siang. Dengan waktu siang yang panjang dan keadaan yang terang, mereka dapat melakukan lebih aktiviti berbanding pada musim lain. Sudah tentunya dalam musim ini, aktiviti di luar rumah banyak dilakukan. Rutin sebagai gadis desa jadi bertambah mengujakan. Dengan 'straw hat' dan 'gum boots' dan 'sun block', saya akan membantu ibu angkat membuat segala aktiviti di luar rumah hampir sepanjang hari.

Berbalik kepada maklumat tentang 'jimat waktu siang',memandangkan benua Australia itu luas, waktu akan terbahagi kepada beberapa zon menurut kawasan. Saya tinggal di kawasan zon New South Wales dan menurut waktu sebelah timur. (Australian Eastern Time). Tetapi ketetapan ini bukanlah sesuatu yang muktamad. Dalam keadaan tertentu seperti Summer Olympic Games pada 2000 dan Commonwealth 
Games pada 2006 mereka memulakan DST lebih awal.

Begitulah, banyak berjalan, luas pandangan.

6 Kali Sehari

Pada mulanya, saya tercari-cari air masak untuk diminum. Saya tadah air ke dalam cerek elektrik dan memasaknya dan kemudian selebihnya dibuat minuman. Ibu angkat pelik dengan perlakuan saya. Di sini mereka tidak minum air yang dimasak seperti kita. Ibu angkat akan berkata ‘frog water’. Rupanya air mereka selamat untuk diminum terus dari paip. Tidak perlu dijerang. Tidak pula terasa klorin.

Mereka makan berulang susu sejuk pengganti air. Pada mulanya terasa muak juga apabila minum susu berulangkali menggantikan air masak. Tetapi saya cuba menurut cara mereka. Selain susu, ibu angkat saya adalah penggemar minuman teh. Teh adalah hidangan wajib setiap waktu. Setiap kali selepas makan kami akan minum teh. Sarapan,minum pagi,makan tengahari,minum petang,selepas makan malam dan sebelum tidur.

Ya, 6 kali sehari! Setiap kali kami minum teh dihidangkan bersama ‘chocolate brownies walnut' atau 'caramel slice' atau manisan lain yang dibuat oleh ibu angkat saya sendiri. Kebiasaannya, apabila berada di rumah desa di Razorback, kami akan duduk sambil bersila di anjung ini untuk menikmati teh' Pilihan minuman teh pula bukanlah seperti di Malaysia seperti teh O,teh tarik, teh 'beng' atau teh ais. Ibu angkat saya akan meletakkan satu teko yang telah berisi daun teh yang telah berisi air panas. Di atas dulang, dia letakkan bekas yang berisi gula perang dan susu sejuk segar. Sudu teh juga tersedia untuk mengacau minuman yang menjadi pilihan.

'Strong or weak' bermaksud pekat atau cair. Sekiranya mahu minuman itu pekat, perlulah lama membiarkan daun teh itu terendam dan sekiranya suka minuman yang cair, tidak perlu membiarkan daun teh itu terendam lama. Kemudian, jumlah gula pula dikira dengan anggaran sudu kecil atau sudu teh. Ini bermakna, masing-masing akan berpeluang membuat air sendiri menurut citarasa sendiri dan bukannya telah siap terhidang tanpa pilihan seperti kebiasaan tetamu di Malaysia yang akan menghidangkan apa sahaja dan tetamu juga akan minum apa sahaja yang dihidangkan.

Janggal juga apabila kerap minum teh tetapi saya kira itulah peluang duduk santai berbual mesra berbicara apa sahaja bersama-sama ibu angkat saya.

 Aktiviti ini jugalah mempercepatkan lagi proses 'Another Fat Student' bagi saya.

 Mata dijamu panorama indah seperti ini sambil menikmati hidangan manisan bersama teh panas.

Nikmatnya! 

Bagai Cowboy

Selain belajar menunggang kuda dan menguruskannya, ada satu lagi tugasan yang mencabar. Cuba lihat gambar di atas.(akan disertakan kelak). Bayangkan keluasannya. Saya perlu mengejar seekor lembu untuk ditambat. Ketika mengejar lembu itu, saya perlu menaiki bukit. Ya,dari bawah padang yang lapang itu ke atas bukit. Mula-mula saya bergerak perlahan-lahan di belakang lembu itu. Bila saya percepatkan langkah, ia pun gerak pantas juga. Di tangan saya sudah tersedia seutas tali yang sudah siap diikat tinggal menunggu waktu untuk mencerut leher lembu itu. Lama juga saya bermain kejar-kejar dengan lembu itu. Pada satu ketika,saya rasa saya amat hampir dengan ekor lembu itu,saya pun memegang erat ekornya. Tetapi ia bertambah laju dan menarik saya ke atas bersama-sama dalam keadaan tangan saya sedang memegang ekor lembu itu. Kemudian, kami semua ketawa dan saya pun terlepaslah ekor lembu itu. Kasihan lembu itu. Eh, kasihan saya juga!

Lembu itu dilepaskan supaya dapat meragut rumput di kawasan padang di gambar ini. Kemudian, setelah ditangkap, sesi memerah susu pula. Oh mudah sahaja,pada pandangan kasar. Cuba buat! Setelah dikurung di dalam kandang dan diikat,saya pun meletakkan sebuah bangku kecil di sisi lembu. Ibu angkat saya pun menunjukkan caranya. Oh bukanlah mudah rupanya. Agak lama juga untuk memenuhkan satu botol. Kemudian saya diajar teknik yang betul, barulah cepat sedikit penuh!

Tiba-tiba saya teringat peribahasa Melayu, "lembu punya susu,sapi dapat nama".



Kini saya faham dan rasa. Penat!

Tuesday, February 11, 2014

Tidak Merokok Lagi

Pagi tadi saya menemani suami membuat pemeriksaan susulan di Hospital Pantai Melaka. Alhamdulilah menurut pemerhatian doktor, semuanya elok. Denyutan jantung kuat dan tekanan darah bagus.

Doktor memberikan analogi. Ibarat saliran parit atau longkang yang telah dibersihkan, sekiranya tidak dijaga,akan tersumbat lagi.

Dalam perjalanan ke arah tempat letak kereta selesai sesi temujanji doktor, Adib ditahan oleh seorang pemuda sewaktu menaiki tangga di luar bangunan hospital. Dialog ringkas mereka agak mencuit hati.

Pemuda itu memulakan bicara,

"Ada lighter?"
"Tak ada,saya tak merokok." 

(Saya dapat kesan nada sedikit bangga mengiringi kenyataan ini dan membuatkan saya tersenyum)

"Oh,sorry." Pemuda itu agak tersipu malu.

Di dalam kenderaan,saya mengusik suami dengan mengulang dialog tersebut di atas dan kami pun tertawa bersama-sama.

Kalaulah pemuda itu tahu bagaimana keadaan suami saya sebelum ini yang begitu liat untuk menghentikan tabiat merokoknya.

Sebenarnya Adib memang sedia maklum yang saya tidak menggemari tabiat merokoknya dan pernah beberapa kali mengubah 'janji'.

Nantilah selepas kita berkahwin.
Nantilah (apa)bila saya mula mengandung.
Tunggu (apa)bila bersalin.
Tunggu anak boleh cakap.
Tunggu anak darjah 1.
Dan senarai tempoh waktu itu sentiasa dipanjangkan tempohnya.

Sehinggalah diserang sakit jantung pada September 2013 dan doktor menasihatinya supaya berhenti.

Dan saya kira,ayat yang paling 'hebat' penangannya ialah ayat dari ibu mertua saya buat anak bongsunya,

"Kalau sayangkan Mak, berhenti hisap rokok."

Alhamdulilah,5 bulan telah berlalu,dan sejak September 13,suami saya tidak lagi menyentuh rokok dan hari ini dengan bangganya Adib dapat berkata begitu.

Monday, February 10, 2014

Puisi Terapi

Perlahan-lahan rasa pilu terubat. Yakin yang Maha Berkehendak menyusun yang terbaik buat hambaNya.

Puisi yang diselitkan dalam cerpen Tidak Kalis Sayu yang telah diterbitkan dalam Dewan Sastera Mei 2013

Al-Fatihah buat Amina Nuraini

5 tahun telah berlalu,ibu yang 'Tidak Kalis Sayu' mohon doamu.

Sunday, February 09, 2014

Chikku 1 tahun

Genap setahun usianya hari ini. Inilah satu-satunya anak Chibber yang tinggal bersama-sama kami. Adik-beradik Chikku yang lain tinggal dengan ibu mereka. Nampaknya Chikku 'kesepian' dan hanya ditemani ayahnya.

Keletah manja Chikku menghibur hati.

Selamat Hari Ulangtahun Pertama Chikku!

Saturday, February 08, 2014

Menunggang Kuda di rumah Desa

Di antara aktiviti hujung minggu di rumah desa ialah belajar menunggang kuda. Setiap hari Jumaat selepas pulang dari sekolah,kami sekeluarga, ibu angkat dan 5 orang adik angkat saya akan menuju ke Razorback sementara ayah angkat saya akan memandu sendiri dari kliniknya yang terletak di Croydon. Perjalanan sejam lebih dengan Volvo wagon perak yang dipandu oleh ibu angkat saya itu pasti akan diiringi lagu folk nyanyian Judy Small atau lagu kanak-kanak memandangkan adik-adik angkat saya berumur di antara 3 sehingga 10 tahun.
Kami berada di rumah desa mulai Jumaat petang dan akan pulang ke rumah kota pada hari Isnin selepas sekolah.
Dalam perjalanan ke sana, saya dapat melihat di kiri kanan jalan papan tanda gambar kanggaru dan wombat menandakan pengguna jalan perlu berhati-hati kerana di tempat itu adalah laluan marsupial tersebut.
Kali pertama saya menunggang kuda ialah pada 23 Januari,iaitu hari kedua saya sampai ke rumah keluarga angkat di Razorback. Waktu itu saya masih menunggang dengan dipegang talinya. Foto ini (akan ada gambar iringan apabila dibukukan kelak)mungkin kali kedua saya menunggang kuda, diambil pada 4 Mac 1990, masih belajar dengan kuda bernama Searage.
Dalam tempoh belajar, saya diberikan kuda yang telah dijinakkan. Saya dilatih dahulu bagaimana memasang pelana di atas kuda. Kuda perlu dibelai dan disisir rambutnya. Saya belajar bagaimana untuk menaikkan badan ke atas kuda. Dari sebelah kiri kuda saya harus berdiri di sisi dan pastikan tidak berada di belakang kakinya untuk elakkan daripada ditendangnya. Paling selamat, berdiri di bahagian bahu kuda dan pandang matanya. Langkah seterusnya adalah tali di bahagian kaki perlu diukur dengan jarak daripada lengan ke hujung jari. Kaki kiri saya akan memijak tali sambil saya melonjakkan badan ke atas kuda. Saya perlu sembunyikan rasa gentar dan takut kerana naluri seekor kuda boleh menghidu perasaan kita. Lalu, dengan tenang dan lagak yakin, saya berjaya duduk di atas pelana kuda. Pergerakan yang pertama diajar ialah 'trotting',iaitu pergerakan turun naik badan ketika menunggang. Kedua belah peha saya perlu rapat ke badan kuda, badan pula tegak dengan mata lurus mengadap bahagian hadapan. Untuk berhenti,perlu menarik tali di bahagian kekangan.
Bagaimana? Sudah bersedia menunggang kuda? Cukuplah dahulu untuk permulaan. Saya akan kongsikan gerakan 'canter' dan 'gallop' kemudian.
petikan Kembara Tukar Budaya Australia 

Pancakes on the Rocks

Selasa 27 Februari-saya telah 'dipontengkan' sekolah oleh ibu angkat saya. 'Lawatan sambil belajar' untuk hari itu dipandu olehnya. Sengaja dipilihnya hari persekolahan dan waktu bekerja untuk mengelakkan kesesakan lalulintas di tengah kota Sydney.
Hentian pertama ialah menikmati sarapan pagi di 'Pancakes on the Rocks'. Bayangkan,ada pelbagai menu untuk penkek (pancake)atau orang Melayu sebut 'lempeng' pada saya. Bezanya lempeng ini bukan dimakan bersama gula,parutan kelapa atau dicecah sambal tumis atau gulai asam pedas tetapi pilihannya adalah dimakan bersama mentega, madu, jem pelbagai rasa seperti strawberry, blueberry, rasberry dan aprikot. Tidak cukup dengan jem, ditambah pula krim putar. Oh manis-manis semuanya. Enak juga dimakan begini dan disudahi dengan pilihan minuman teh dan kopi yang pelbagai juga. Bingung saya untuk memilihnya!
Setelah perut diisi, kami ke Queen Victoria Building di George Street. Ada sesuatu yang menarik tentang QVB yang dimaklumkan oleh ibu angkat saya. Buat saya rasa bangga jadi orang Malaysia! Buat saya mahu menyanyi lagu dR Sam 'Saya Anak Malaysia' Kenapa?
Projek pemuliharaan QVB yang telah dibina sejak tahun 1820 itu telah diperolehi oleh Ipoh Garden LTD, sebuah syarikat milik orang Malaysia pada tahun 1983 dan mendapat pejanjian selama 99 tahun. Pemuliharaan dimulakan pada tahun 1984 dan mula dibuka semula kepada orang awam pada tahun 1986. Semasa kunjungan saya ke sana, ia baharu dibuka semula 4 tahun. Di dalam bangunan ini terdapat pusat membeli belah dan ibu angkat saya membeli beberapa cenderahati buat saya.
Suatu hari yang penuh 'pelajaran' meskipun saya meninggalkan sesi dalam bilik darjah untuk hari itu.
...bersambung...petikan Kembara Tukar Budaya Australia

Kelas Seni Visual

Agak sukar saya memulakan penulisan tentang tajuk ini kerana ia mengimbas kembali kisah seorang guru yang saya sayangi. Agak lama juga fikiran saya menerawang memikirkan segala memori dan babak-babak yang menyorot kenangan manis saya bersamanya. Bagaimana saya harus mulakan? Atau saya tangguhkan dahulu?
(Teruskanlah bacaan untuk mengetahui sebabnya di bab yang lain di penghujung buku ini walaupn bagi yang telah lama mengikuti blog saya akan pernah membaca kisahnya sebelum ini)
Seperti yang telah saya maklumkan,subjek ini adalah pilihan pertama saya. Watak Mrs Judith Falconer yang peramah dan mesra menambahkan lagi minat saya untuk ke kelas ini. Subjek ini diadakan di bilik seni yang dikelilingi hasil seni dan segala peralatan seni. Lukisan yang berbingkai, arca dan hasil kerja pelajar dan contoh kerja para pelukis. Dia begitu baik hati membantu saya segera menyesuaikan diri memahami pengajaran memandangkan saya terus melompat ke kelas Year 12 dan telah ketinggalan setahun Year 11. Untuk subjek ini ,saya akan dinilai untuk 2 tahun isi kandungan kursus yang hanya saya pelajari selama 8 bulan, mulai akhir Januari sehingga Oktober. Ibarat mengambil STPM tanpa belajar tingkatan 6 bawah,terus sahaja ke tingkatan 6 atas!
Untuk teorinya, saya perlu mengkaji 40 'plates' iaitu 40 karya hasil seni (lukisan dan arca) dan perlu menjawab soalan berbentuk esei atau beberapa ayat pendek dan huraiannya. Bahagian amalinya pula saya perlu buat sebuah karya utama (art major work) berserta proses diarinya yang akan merekodkan segala proses kreatif saya menghasilkan karya sehinggalah karya itu dihantar untuk penilaian akhir. Ini amat mengujakan buat saya! Ada kenangan manis lagi yang akan saya kongsikan tentang hasil kerja dan lukisan saya.
Lawatan seni untuk menyaksikan pameran 'Art Express' di galeri seni New South Wales pada 12 Februari menambahkan rasa cinta saya kepada subjek ini yang baharu dikenali sejak 2 minggu pertama persekolahan. 'Art Express' adalah pameran hasil kerja pelajar seluruh New South Wales yang akan menduduki peperiksaan High School Certificate. Selain lawatan kelas ke galeri seni, kami dibawa ke War Memorial dan Westpac Museum. Kami 24 orang beramai-ramai menaiki komuter dengan pakaian seragam sekolah ke tengah kota Sydney. Lawatan sekolah pertama saya di minggu ke 4 berada di Australia. Mengujakan!
Apakah karya saya akan dipamerkan di sini nanti? Teruskan bacaan!
Kelas dan lawatan seni ini adalah permulaan yang tak mungkin dapat saya lupakan kerana ia begitu mengesankan saya.  

Friday, February 07, 2014

Nama saya bukan SHIME!

S-H-I-M-A saya ulang buat kali kedua.
Wanita di belakang kaunter itu tulis S-H-I-M-E.
Apakah dia kurang pendengaran? Bisik hati saya.
Saya mengambil sebatang pen dan membetulkan ejaan nama saya pada kertas yang sama.
"Oh...Es-etch-ai-em-ay."
Wajah saya berubah warna apabila tersedar kesilapan menyebut huruf 'A' yang menyebabkan wanita itu silap mengeja nama.
Pelajaran pertama. Sebut huruf 'A' dengan membuka mulut seluasnya. 'AY!'
Saya teringatkan sesuatu yang dipesan semasa di kem orientasi, orang Australia menyebut 'today' sebagai 'to die'.
Oh,saya harus ingat itu. Lebarkan mulut!
Beberapa minit kemudian,saya menerima 4 kad berbeza. Kad pertama tertera 'Travel Pass' untuk perjalanan dari hadapan rumah di Brisbane Street dengan menaiki bas ke stesen bas di Padstow. Di Padstow,saya perlu melintas ke seberang jalan untuk ke stesen keretapi Padstow.
Kad kedua tertera 'Ministry of Transport' adalah kad untuk perjalanan menaiki bas dengan syarat perlu berpakaian seragam sekolah.
Kad ketiga tertera 'Railways of Australia' untuk perjalanan daripada Padstow ke Kingsgrove dan dari Kingsgrove ke Padstow.
Kad keempat pula kad pengenalan diri untuk menaiki keretapi ke mana-mana sahaja secara percuma. Rutin perjalanan pergi balik ke sekolah akan dimulakan dengan menaiki bas,kemudian keretapi dan akhir sekali akan berjalan kaki ke sekolah selama 10 minit.
Secara ringkasnya,perjalanan saya ialah seperti ini : jalan kaki daripada rumah ke perhentian bas anggaran jarak 100 meter di Illawong,naik bas berhenti di Padstow stesen, ke stesen keretapi pula. Keretapi daripada Padstow berhenti di Kingsgrove dan saya berjalan ke sekolah.
Pengalaman ini memberi saya banyak ruang memerhati dan berfikir.
Oh saya terkenang bagaimana saya pergi balik ke sekolah di Malaysia. Hanya perlu kayuh basikal sahaja, lajunya anggaran 10 minit juga, daripada Taman Makmur ke TIGS!
(Piawai kelajuan saya mungkin berbeza dengan orang lain kerana kayuhan saya memang agak laju)
petikan Kembara Tukar Budaya Australia

Hari Pertama di Kingsgrove High School

Mr Duffy senaraikan pilihan subjek untuk Year 11 dan Year 12. Apakah bezanya? Year 11 setara dengan tingkatan 5. Year 12 pula saya akan bersama pelajar seusia saya,iaitu 18 tahun. Namun,perlu duduki peperiksaan High School Certificate.
Oh pilihan lagi? Baru 2 bulan selesai SPM,apakah saya perlu fikirkan tentang peperiksaan lagi?
Program ini bukan semata-mata untuk kecemerlangan akademik, malah perlu terlibat aktif dalam aktiviti lain, bersama-sama rakan sekolah,keluarga dan komuniti yang menjadi tuan rumah kepada saya.
Ah inilah masanya saya memilih sesuatu yang tidak dapat saya pelajari di Malaysia. Sebagai seorang pelajar yang pernah'dipaksa' pilih subjek sains selepas SRP(kini PMR),saya mengambil peluang ini untuk mengambil subjek 'kecintaan'saya. Subjek pertama yang saya pilih ialah kelas 'Visual Arts' Kedua, 'Textile and Design'. Seterusnya, 'Society and Culture' dan 'Computer Studies'. Oh rupanya saya masih perlu memilih subjek sains,maka Biologilah jawabnya. Subjek wajib diambil ialah Matematik dan bahasa Inggeris.
Selesai sesi pengenalan itu, saya dibawa bertemu Mr Rowe,pengetua sekolah Kingsgrove High School. Kemudian, Mr Duffy membawa saya melawat ke kelas yang telah saya pilih menurut jadual. Aduh peningnya! Setiap waktu berbeza lokasi. Para guru tetap tinggal di bilik kelas yang sama sepanjang hari manakala pelajarlah ke sana ke mari setiap kali loceng berbunyi.
Kehadiran saya menarik perhatian semua. Apatah lagi pakaian seragam saya ada tambahannya. Di sebalik pakaian seragam skirt kelabu berpetak garis biru, saya berseluar panjang biru tua. Kemeja putih saya pula berlengan panjang dan skaf putih jadi pelengkap menutup kepala.
Walaupun hanya saya seorang yang berpakaian 'pelik'(di mata mereka) begitu, tidaklah saya rasa begitu terasing kerana di sekolah ini para pelajarnya adalah multi etnik terdiri daripada orang Australia, Greek, Itali, Lubnan, Turki,Vietnam dan ada juga beberapa orang pelajar Cina daripada Malaysia. Kenny dan Juliet nama mereka. Oh,mereka merapati saya dan berbahasa Melayu. Sudah berapa hari saya tidak mendengar bahasa Melayu? Terubat sedikit rindu!
Sepanjang hari saya perlu beri ucapan pengenalan diri. Agak sukar mereka menyebut nama penuh saya lalu mereka panggil saya 'Shima',sama seperti di Malaysia juga,tiada siapa yang memanggil nama penuh saya.
Kehadiran kami pula diambil dua kali ditempat yang ditetapkan yang dipanggil sebagai 'roll call'. Nama setiap seorang dipanggil dan setiap seorang akan menyahut 'I'.
Sesi persekolahan bermula jam 9:00 pagi dan tamat jam 3:15pm.

Thursday, February 06, 2014

Isi surat dari Sydney

Saya mencecahkan sedikit air di hujung jari telunjuk di sekeliling halaman kertas aerogram berwarna biru muda berharga 50sen bercorak lukisan karya Ken Done, pelukis terkenal Australia. Saya turut tertarik dengan gayanya.
Catatan selama 5 hari dapat dimuatkan dalam sehelai kertas yang akan dilipat menurut garisan yang tertera arahan. Saya sedar catatan 5 hari yang telah ditulis tangan itu akan tiba ke destinasinya 5 hari kemudian setelah diposkan.
Pesanan semasa orientasi melintas di hati. Usah mengurung diri terlalu lama. Perlu bergaul bersama-sama ahli keluarga angkat supaya cepat dapat menyesuaikan diri.
Saya keluar dari bilik tidur yang terletak bersebelahan bilik rawatan klinik ayah angkat saya. Di dalam klinik tersebut ada pintu yang bersambungan dengan rumah banglo 2 tingkat setengah itu. Sebuah pintu lagi bersambung dengan bilik tidur saya.
Di dalam bilik tidur saya tersedia 2 buah katil bujang besi berwarna hitam yang diletakkan secara selari di antara sebuah meja tulis, lampu studi dan sebuah radio. Di penghujung katil sebelah kiri ada sebuah almari baju. Terdapat beberapa penyangkut baju di dalamnya.
Lantainya kemasan batu.
Saya boleh memilih mana-mana katil untuk tidur. Jendelanya berbidai untuk menutup pandangan ke luar Brisbane St.
Di hadapan bilik terletak sebuah rak buku berderetan menghiasi dinding dan juga ruang menonton TV dan kerusi jenis futon yang boleh diubah menjadi katil untuk tetamu. Terdapat pintu ‘sliding’ yang membuka halaman taman yang dihiasi dengan pelbagai bunga yang masih tidak saya diketahui namanya. Di situ juga terdapat segala haiwan peliharaan seperti kucing,ayam dan burung.
Saya dibawa ke ruang tingkat 2 yang mempunyai laluan tangga ke bahagian bumbung yang mempunyai taman atau dipanggil ‘roof top garden’.Ada dua kerusi rehat yang kebiasaannya dilihat di tepi pantai atau di tepi kolam renang.
Ruang ini amat sesuai sekali untuk melukis. Bisik hati saya. Ada suara lagi yang mengatakan ruang ini akan menjadi ruang kegemaran saya.
Malam itu saya diberi keluar ke taman di atas bumbung itu.Indahnya taburan bintang di langit. Kerlipan bintang beribu itu bagai menghantar isyarat kepada saya. Tiba-tiba hati menjadi sayu.
Rindu untuk mendengar bahasa Melayu.

Keluarga Angkat Saya

saya akan kongsikan kemudian apabila sampai waktunya
Bacalah petikan seterusnya dahulu.
Isi surat dari Sydney

Wednesday, February 05, 2014

Adakah awak Botak?

Penampilan saya mengundang banyak soalan dari pelajar pelbagai negara.
“Adakah awak botak? Tiada rambut? Sakit?”
“Boleh kita pergi ke satu tempat lain yang tiada sesiapa dan membuka tudung kepala ini?”
“Awak perlu menjadi suami saya untuk melihat rambut saya.” Hakikat yang dikhabarkan dengan nada seloroh untuk menutup rasa silu.
“Jika begitu, mari kita berkahwin.”
Ah,nakal sungguh pelajar Brazil ini mengusik saya di hadapan semua pelajar lain.
Saya mengusiknya kembali.
“Awak perlu menganut Islam untuk menjadi suami saya.”
“Jika begitu, saya menganut Islam sekarang.”
Saya membalas dengan senyuman dan ketawa kecil. Dia mengekori saya sepanjang perkhemahan menagih permintaan yang tidak tertunai. Saya percaya itu hanya rasa ingin tahu sahaja. Hanya saya seorang 'sangat berbeza' penampilan.
Malam itu, katil saya dikerumuni pelajar perempuan pelbagai negara;Denmark, Itali,Amerika Selatan. Seakan sesi soal jawab agama pula. Setiap jawapan bersambung dengan soalan seterusnya. Perasaan ingin tahu mereka tidak dapat dibendung. Trine,dari Denmark memohon izin mengambil gambar saya bertelekong dalam posisi menunaikan solat. Dia turut teruja melihat pergerakan dan posisi solat.
Sesi soal jawab bersilih ganti dengan sesi belajar bahasa masing-masing.
Otak saya seperti span, menyerap segala maklumat. Pelbagai bahasa, budaya dan yang penting, cara hidup orang di bumi kanggaru.

Ah,sungguh mencabar sekali. Selama ini tiada siapa yang mempersoalkan segala yang telah menjadi darah daging saya. Tiada siapa bertanya. Mengapa begitu? Mengapa begini? Yang lebih mencabar, saya perlu menjawab segalanya dalam bahasa Inggeris. Otak saya bekerja keras mencari padanan maksud dalam bahasa Inggeris setepat mungkin. Tidak mahu silap penerangan dan disalahtafsir. Pendidikan sekolah agama saya di negeri Johor meskipun dari darjah satu sehingga ke darjah khas,dan dikatakan boleh menjadi seorang ustazah dengan kelulusan tersebut tidak memberi persediaan untuk menjawab soalan bertubi-tubi daripada orang yang langsung tidak mengetahui tentang Islam.
(petikan Kembara Tukar Budaya Australia)  

Tuesday, February 04, 2014

Kem Orientasi

Pilihan sarapan untuk saya? Roti bakar disapu mentega,madu,Vegemite, bijiran pelbagai seperti cornflakes, oat bran, Weetamix dan susu segar, buah-buahan? Minuman? Jus oren, teh atau kopi yang perlu ditambah gula dan susu sendiri. Black,strong,weak? Oh banyaknya pilihan yang perlu dibuat untuk pagi pertama di bumi Aussie ini!
Pandangan pelik dan penuh tanda tanya daripada semua pelajar. Saya tidak hairan. Malah telah bersedia. Hanya saya seorang bertutup kepala dan berlengan panjang di pagi musim panas waktu itu. Cara berpakaian begitu belum sepenuhnya kelaziman pada waktu itu di Malaysia. Saya perlu kuat membawa diri sendiri yang akan dianggap kolot dan tidak berfikiran terbuka pada waktu itu di negara sendiri. Inikan pula apabila berada di negara asing!
Kemudian sesi pengenalan dan taklimat pun bermula. Para sukarelawan memberi penerangan bahasa Inggeris loghat Australia. Serba sedikit tentang budaya masyarakat di sana untuk memudahkan kami menyesuaikan diri. Waktu senggang di antara sesi yang telah dijadualkan kami bertukar-tukar kongsi pelbagai bahasa sapaan.
Ciao. Hola. Salut.
Dan sudah semestinya sapaan 'G'day mate' dengan sebutan yang betul jadi latihan!
Berikutnya, sesi berkenalan dan mengingati nama pun berlangsung. Kami digalakkan bercampur dengan para pelajar dari negara lain dan tidak hanya berbual di antara sesama negara masing-masing.
Bunyi bahasa pelbagai meresap ke segenap gegendang telinga. Sibuk sekali isyarat trafik menterjemah di dalam fikiran. Medium berhubung pula sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.
Di antara nama yang terawal terdaftar di minda adalah kenalan daripada Itali seperti Katia, Julia, Fabio, Christiano,daripada Brazil, Nathan dan Pedro, daripada Denmark, Trine, Dorthe, Louise, Therese, David, daripada Panama pula, Rogelio dan Jorge.Daripada USA,James, Joy, Elizabeth,daripada Canada, Barbara dan Sylvie, Dani daripada Austria, Ben daripada Switzerland,Hakon daripada Norway, Anja daripada Farde Islands. Inilah di antara nama-nama yang saya mula-mula kenali sepanjang 3 hari di kem orientasi di Thornleigh, walaupun ada 100 lebih nama lagi nama yang tidak tercatat di sini.
(Ada beberapa orang yang saya masih berhubung sehingga kini melalui Faceboook dan Katia telah 3 kali melawat saya di Malaysia pada tahun 1992,1995,1999 dan Trine pula telah datang bersama-sama suami dan sepasang anaknya pada Mac 2012)
Perkenalan singkat tetapi mesra adalah satu permulaan yang baik.
Kami seterusnya berpisah untuk bertemu buat pertama kalinya dan langsung menetap selama setahun dengan keluarga angkat masing-masing. Hati saya berdebar-debar. Sebelum sampai ke Australia, kami sempat berbalas surat dan informasi lain hanya didapati dari borang permohonan untuk mengikuti program pertukaran pelajar ini.
Keluarga angkat saya tidak dapat menjemput saya pada hari tersebut. Saya dibawa pulang dan bermalam di rumah Laurie dan Evelyn Coleman,iaitu Pengerusi & Koordinator AFS Chapter Canterbury Bankstown. Rogelio juga begitu.
Satu malam lagi.
Bisik saya,antara debar dan senyum.
petikan Kembara Tukar Budaya Australia

Monday, February 03, 2014

Malam Pertama di Sydney

Van putih yang bergerak dari Lapangan Terbang Kingsford Smith berhenti di hadapan sebuah gereja. Pintu van dibuka dan saya berhati-hati keluar. Kurung Johor yang bertanah putih berbunga mawar biru masih tersarung di badan,terasa kedinginan angin malam Sydney menyelinap dan menegakkan liang roma. Saya mengubah waktu di jamtangan yang sepatutnya menunjukkan jam 12 malam waktu Sydney.
“Assalamualaikum!” saya tercari-cari suara itu. “Assalamualaikum!” kali kedua.
Ibu jari dan jari telunjuk segera mencubit lengan kiri. Sapaan di luar jangkaan terlontar dari mulut seorang gadis Australia yang mengenalkan dirinya sebagai Cathy. Teragak-agak untuk menjawabnya ditambah pula dengan ucapan salam kedua oleh seorang pemuda Australia bergelar Andrew. Mereka menyambut kami, fasih berbahasa Melayu, sejurus mengubah kedinginan kepada kehangatan serta merta. Kedua-dua mereka pernah tinggal di Malaysia selama setahun kerana mengikuti program pertukaran pelajar yang sama beberapa tahun yang lalu. Kami masuk ke dalam dewan makan dan dihidangkan kopi panas dicecah biskut. Pelajar lain telah tidur di bilik kabin masing-masing.
Ada 170 pelajar daripada pelbagai negara yang telah diatur untuk ditempatkan di seluruh New South Wales.
Andrew menyerahkan sehelai kertas kepada saya sambil berkata,
“Jadual waktu solat.”
Arah kiblat pun telah ditunjukkan. Dia juga tunjukkan satu bilik khas di hujung padang di kawasan kem orientasi yang boleh digunakan untuk solat.
Saya menatap jadual waktu solat. Oh awalnya waktu Subuh. 3:23am. Matahari terbit pada jam 5 pagi?
Cabaran pertama!
petikan dari Kembara Tukar Budaya Australia

Sunday, February 02, 2014

Balai Perlepasan

Balai perlepasan lapangan terbang Subang itu bukanlah tempat yang asing dan pertama kali dikunjungi. Bertahun-tahun ia menjadi tempat melihat orang lain ke luar negara, iaitu melihat 2 orang sepupu yang melanjutkan pelajarannya ke United Kingdom. Adakala menghantar pergi dan ada masanya saat menjemput mereka pulang. Hanya melihat dari jauh. Hadnya setakat ruangan yang dibenarkan. Hanya surat tulisan tangan saya yang mampu mengembara jauh ke negara lain setakat itu.
Bagaimanakah agaknya berada di dalam kapalterbang? Melihat awan daripada jarak dekat? Melihat bentuk mukabumi daripada langit? Oh membeli tiket kapalterbang bukanlah seperti membeli tiket bas atau keretapi! Hanya yang berkemampuan dapat peluang itu. Sama ada dari segi wang ringgit atau kebijaksanaan. Sama ada lahir dalam keluarga berada atau dikurniakan hadiah biasiswa untuk melanjutkan pelajaran selepas SPM. Beruntunglah bagi mereka yang berkemampuan dari segi wang ringgit. Bagi yang tidak, perlu berusaha keras dan berlumba-lumba mendapatkan kecemerlangan akademik sebagai paspot tambahan ke luar negara. Sudah tentu rezeki dan ketentuan Tuhan juga.
Ketentuan buat saya agak berbeza. Peluang untuk hidup dan belajar di negara asing selama setahun bagai mimpi jadi nyata. Sebelum itu saya hanya ke luar negara setakat di seberang tambak Johor, iaitu Singapura sahaja, ketika menziarah saudara mara atau sekadar membeli belah cuci mata. Bukanlah suatu yang asing buat rakyat Johor menyeberang ke kota singa di hujung minggu. Dalam Malaysia sendiri begitu banyak negeri yang belum saya jejakkan kaki lagi. Usahkan ke Sabah dan Sarawak, dalam negeri Johor juga masih terhad kunjungan saya. Di luar kawasan,hanyalah ke Kuala Lumpur menziarahi saudara mara pada musim cuti sekolah.
Pun begitu, cita-cita mengembara ke negara lain adalah dalam senarai teratas dalam perkara yang saya mahu lakukan. Justeru itu, subjek geografi menjadi salah satu matapelajaran yang saya cintai. Setiap negara yang saya pelajari, mahu saya lawati dan alami sendiri. Seringkali saat melakar peta dan mewarnakannya, fikiran saya akan turut menggambarkan visualnya.
Hari ini dalam sejarah buat saya. 17 Januari 1990 - Lapangan terbang Subang - 12 orang pelajar yang telah tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia sebulan sebelumnya telah terpilih sebagai duta kecil Malaysia dalam program pertukaran pelajar ke Australia selama setahun.
Permohonan itu melalui beberapa tapisan. Bermula dengan permohonan oleh kurang lebih 6000 pemohon pada tahun 1989 yang melalui pemilihan di peringkat sekolah seluruh negara, kemudian disenarai pendek untuk ditemuduga di peringkat negeri,diikuti dengan pemilihan di peringkat kebangsaan. 3 hari sebelum penerbangan, sesi orientasi berlangsung selama 3 hari,iaitu pada 12 Januari sehingga 14 Januari, di Kuala Lumpur,iaitu di pejabat Antarabudaya Malaysia di Jalan Lebuh Ampang. Sesi temuduga melalui beberapa peringkat berjaya dilepasi dan akhirnya terpilih mewakili Malaysia dan saya pula bertuah apabila mendapat tajaan sepenuhnya oleh Malaysian Australian Business Council.
Jam tangan dikerling, 8:30am. Penerbangan yang singkat. 45 minit sahaja. Ralit memerhatikan awan sehinggakan saya dikejutkan oleh pengumuman kapten tentang ketibaan di lapangan terbang Changi, Singapura. Kami tidak mewah waktu, perlu bergegas menuju ke balai berlepas pesawat British Airways pula. Detik itu, sedikit rasa kesal menerjah. Buah tangan yang saya bawa untuk keluarga angkat bersaiz besar dan menarik tumpuan ramai. Menarik tumpuan bukanlah masalah, tetapi saiznya yang besar agak melambatkan pergerakan saya. Namun ada sekelumit bangga saat tangan kanan saya memegang bahagian kayu rangka wau itu,berlatar kuning bercorak batik setinggi paras bahu itu ditempah khas untuk keluarga angkat saya. Ia menemani saya sepanjang perjalanan ke Sydney.
Gerakan pantas kami berlima seterusnya menuju ke arah pesawat British Airways yang akan berlepas pada jam 10:25am. Sebaik melangkah ke dalam, saya dapat rasakan semua mata tertumpu ke arah kami yang mungkin kelihatan seperti model untuk pakaian beragam tradisi, seorang lelaki lengkap bersongkok dan berbaju Melayu, bersampin dan 4 orang anak gadis berbaju kurung dan ditambah pula dengan saya berskaf menutup kepala. Tidak pernah saya berada di suatu tempat dipenuhi ‘orang putih’seramai itu. Satu kapalterbang jumlahnya termasuk staf krewnya sekali! Hanya kami berlima daripada Malaysia.
Kejutan budaya pertama!

Saturday, February 01, 2014

Penerbangan Pertama -Deja vu

17 Januari

Foto di atas adalah daripada telefon bimbit saya sendiri,di dalam kapal terbang sementara menanti berlepas. Sekelumit rasa gementar yang dapat dikawal segera. Sedikit risau kerana itu adalah penerbangan pertama kali selepas saya menjalani pembedahan AVM. Sebelum pembedahan, saya dinasihatkan oleh doktor untuk tidak menaiki kapal terbang atau 'roller coaster'. Ada sejarah melibatkan kematian seorang yang ada AVM ketika menaiki 'roller-coaster'.
Pun begitu, merujuk doktor pakar, saya sekarang sudah boleh melakukan aktiviti itu. Bahkan,"bungee jumping" pun saya sudah boleh melakukannya. Lalu, 17 Januari 2014 ibarat eksperimen pertama saya. Destinasi dekat sahaja,Subang ke Kota Bahru, mengikuti rombongan meminang anak saudara suami.
Saat tiba dan menanti di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah,saya dapat lihat imbasan kenangan di situ.
24 tahun yang lalu!
Ya,tarikh 17 Januari juga merupakan tarikh penerbangan pertama saya,ke luar negara.
Petikan dari buku 'Kembara Tukar Budaya Australia'.
Kepiluan terasa bagai geseran tayar pesawat. Bak hati turut sama digeser menanti saat diterbangkan ke awan. Seiring tayar pesawat bergeser beberapa saat sebelum berlepas dan akhirnya terbang di awan biru. Desingan berakhir. Selamat tinggal semua. Dari jendela pesawat, semua ditinggalkan semakin lama perlahan-lahan semakin mengecil. Sayu berbaur teruja.
Penerbangan pertama seumur hidup!