Thursday, December 29, 2016

Penangguhan dan Keyakinan

Ledakan emosi yang tidak terungkap.
Ada rasa sedikit kelegaan apabila dia tidak bertemu doktor sebelum memasuki ruangan embolisasi dilakukan. Lega kerana dia tidak pasti dapat menahan daripada mengeluarkan air mata.
Perbincangan demi perbincangan penangguhan demi penangguhan dan disusuli pertimbangan dan akhirnya dia yang perlu membuat keputusan. Berulangkali. Tanpa kata putus yang nyata.Setiap kali,kata putus perlu diambil dan ditetapkannya sendiri. Dia begitu takut membuat keputusan dan tidak buat sebarang keputusan juga menakutkan.
Penantian dan penangguhan juga menakutkan.
Tetapi dia menganggap itu semua adalah petanda untuk mengukuhkan keputusan yang akan diambil. Dia tidak mahu mengambil keputusan yang bertentangan dengan apa yang dia rasai.
Segala penangguhan yang lalu sebenarnya membantu dia meneguhkan keyakinan diri untuk lebih bersedia secara mental.
Lalu,di hari terakhir untuk tahun itu dia telah benar-benar bersedia.
Terima sebarang kemungkinan dan ketentuan.
Dia hanya mohon yang terbaik buat semua.
Bagaimana akhirnya dia bersetuju dan yakin?
(Mahu tahu selanjutnya,tunggu bukunya apabila siap nanti. Apa yang dilakukan sehingga keyakinan meningkat dan ketakutan menurun?)

Wednesday, December 28, 2016

Ingatan Terjejas

Sekiranya pembedahan menjadi pilihan,dia tidak perlu menunggu begitu lama. Dalam masa seminggu atau dua,sudah boleh diatur. Namun,menurut keputusan imbasan,pendarahan masih berlaku dan tidak dapat dilihat dan dipastikan bahagian yang selamat untuk dibedah.
"Ada alternatif lain?"
"Ada 'gamma knife'"
"Ini boleh kecilkan saiz AVM"
Senarai menunggu panjang selain kos rawatan yang mahal.
"Satu lagi, embolisasi"
Dia tertarik dengan embolisasi.
Pembedahan terbuka masih tidak menjadi pilihannya. Mahu dielakkan.
Tidak sanggup dia mengenangkan kepalanya dibelah,kemudian digergaji tempurungnya,dibuang urat abnormal dan dikeluarkan darah beku akibat pendarahan yang telah berlaku. Kemudian dicantumkan dan distapler dan diskru pula kembali.
Ah mengerikan!
Belum pasti pula selepas pembedahan nanti,bagaimana keadaan dan fungsi organ lain. Sedangkan otaklah yang mengawal fungsi bahagian yang lain.
Bahagian lain mungkin dapat digantikan andai tidak dapat berfungsi.
Bagaimanakah organ otak dapat digantikan?
Adakah dia dapat berfikir dengan sempurna lagi?
Apakah ingatannya masih ada?
Apakah dia masih mengenali sahabat handai sanak saudara?
Masih berfungsikah dia sebagai manusia normal?
Soalan demi soalan melintas.
Ya,ingatannya terjejas.
Bukan sekali dua dia bertanyakan soalan yang sama. Bukan dia sengaja tanyakan soalan yang sama berulang-ulang. Dia tidak sedar soalan telah diulang 20 kali.
Dia pelik apabila ada yang menangis apabila bertemu. Sungguh dia tidak sedar soalan yang sama ditanya bertalu-talu.

Monday, December 26, 2016

Ibarat Bom Jangka

Dia terbaring kaku dan berhati-hati membuat pergerakan pada kaki sebelah kanan sehingga ke pangkal peha. Pendarahan di bahagian embolisasi dilakukan perlu dihindari.
Lenguh membatukan kaki.
Hanya kaki sebelah kiri bebas bergerak.
6 jam lamanya dia perlu bertahan.
Bahagian pangkal pehanya ditebuk untuk dimasukkan katetar (saluran yang dapat menghubungkan bahagian otak sebelah kirinya) Melalui saluran itu, 'glue' telah disalurkan untuk menghalang pergerakan deras aliran darah dalam pembuluh darah yang mengakibatkannya pecah.
Orang yang normal ada cabang kapilari yang dapat kurangkan kelajuan aliran deras itu. Tidak baginya.
Dia terkenang kembali saat mula-mula doktor memberikan penjelasan sewaktu didiagnos.
Ibarat bom jangka.
Itulah kenyataan yang sering diulang-ulang oleh setiap doktor.
Dia terkedu tidak terkata.
Tiada jangkaan tempoh waktu diberikan oleh doktor.
Bila-bila sahaja boleh pecah.
Tiada amaran.
Bila-bila sahaja boleh pecah dan membawa maut serta merta.
Dia cuba menyusun kembali ayat doktor itu dengan nada soalan.
Maksudnya,"saya boleh mati serta-merta bila-bila saja?"
Dia menyoal lagi sambil menahan juraian air mata.
Daripada keadaan duduk,dia cuba berdiri. Seakan-akan dengan berdiri,kenyataan tersebut dapat berubah.

Skrip Pakar Bius

Dia memandang ke papan putih. Namanya tertera. Nama doktor pakar itu juga ada. Doktor yang akan melakukan prosedur embolisasi itu.
Semalam telah diterangkan apa yang akan berlaku. Dia akan dibius sepenuhnya. Dia tidak akan sedar semasa prosedur berlangsung.
Skrip pakar bius juga telah hampir dihafal.
Soalan yang pasti.
"Ada apa-apa pesanan terakhir?"
Betapa soalan itu begitu menyentap jiwa dan mengundang sebak di dada dan senak di dalam perut yang sedang memulas-mulas dengan pelbagai rasa.
Alangkah syukur rasanya dapat meninggalkan pesanan terakhir walau tidak pasti apakah isi dan susunan ayat dan kata-kata yang sesuai untuk ditinggalkan sebagai pesanan terakhir.

Sebelum Embo

Entah kali ke berapa dia berulang-alik ke tandas. Dia mahu pastikan dia tidak akan rasa perlu ke tandas lagi.
Dia juga tidak pasti sama ada kelakuannya itu faktor fizikal atau 'psikologi'?
Adakah dia mahu melengah-lengahkan waktu?
Masih ada secebis harapan yang tersimpan. Dalam diam dia mengharapkan keajaiban. Tidak mustahil apabila dibuat imbasan nanti,semuanya tiba-tiba lenyap dan tidak berbekas lagi.
Tiada lagi AVM di bahagian otaknya.
Setiap kali sebelum dia bertemu pakar bius,skripnya begitu menggerunkan. Skrip risikonya masih mengundang kerisauan meskipun telah diperdengarkan berulang-kali. Tidak menurunkan darjah ketakutannya. Masih mengecutkan perutnya. Pada saat itu,dia tidak berpeluang bertemu atau berbicara dengan sesiapa yang pernah membuat kaedah yang sama sepertinya. Tiada seorang pun! Jauh sekali yang mengalami AVM sepertinya.
Siapakah yang dapat memahami apa yang dilaluinya? Tidak mungkin ada pada waktu itu.
Oh pembetulan!
Ada seorang sahaja yang baru ditemuinya. Sepanjang 3 Kali,dia keluar masuk wad neurosurgeri, anak gadis itu masih terbaring di katil itu. 16 tahun usianya. Dia telah berada di dalam keadaan koma sejak 2 bulan. Satu-satunya pesakit AVM yang pertama kali ditemuinya hanya dapat dilihat dan disentuh dan hanya dapat berbicara secara sehala.
(Susulan kisah anak gadis ini akan dikongsi lagi pada 6 dan 7 Januari nanti)

Rutin Masuk Wad

Dia mahu merakam, mencatat detik-detik pengalaman sebelum semuanya hilang dan tidak dapat dicatatkan lagi.

Dia mengambil masa,tidak terburu-buru atau berebut-rebut untuk bersiap-siap ke HUKM. Dia tidak tidur sepanjang malam sebelum ke KL. Rutin kemasukan ke wad tidak menjadi suatu yang asing lagi. Pagi itu,kali keempat dia akan melaluinya. Tiga kali telah tertunda dan tidak berlaku.
Kali ketiga pada 12.12.2012. Cantik bukan tarikh itu?

Petang berikutnya,jam 4:15pm,dia telah dibenarkan masuk ke wad 5E. Pakaian seragam ungu pesakit diserahkan. Borang-borang yang perlu diisi dan pelbagai soalan yang perlu dijawab.
Sejarah perubatan.
Masalah kesihatan.
Alahan.
Pembedahan lalu.
Dia sudah semakin mahir dan tahu senarai soalan menunggu.
3 tarikh telah ditunda sebelum itu.
Dia berlapang dada. 
Apapun sebabnya,pada pagi itu dia begitu tenang dan bersedia. 
Sungguh dia berharap agar prosedur embolisasi itu sudah memadai. 
Tidak perlu diteruskan dengan pembedahan.

Sunday, December 25, 2016

Pecah dan Botak

Dia memandang sekeliling. Pergerakan terbatas. Saluran apakah yang melekat di lengan?

Kebiru-biruan dan lebam di kiri kanan lengan. Apakah yang terjadi? Kaki kanannya terasa berat sekali. Sukar untuk digerakkan. Kenapa soalan berulang-ulang? 
Dia terasa letih memikirkan jawapan kepada setiap soalan yang diajukan kepadanya. Yang dia ingati,dia tidak mahu ke hospital. Dia merayu untuk tidak ke hospital. 

Rayuan yang tidak dipedulikan. Gagal mencari punca,dari Hospital Segamat,dia dibawa ke Hospital Muar. Dia tidak sedar sepenuhnya. Hanya mengingati dirinya diletakkan ke dalam 'terowong' imbasan itu. 

Dia dikhabarkan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah,JB pula. Dia masih tidak fahami apa yang berlaku.Penglihatannya kabur. Kaki dan tangan kanannya masih berat.
Pelik. Penuh sangatkah hospital ini sehingga terpaksa berada di sekeliling penghuni lelaki? Tiada orang yang lain yang sedar seperti dia. Semuanya botak tanpa rambut dan tidak sedar kecuali dia.
Kenapa? Hanya soalan dalam hati yang bertubi-tubi seiring paluan dan ketukan dari dalam tempurung kepalanya.
Ketakutannya memuncak apabila diberitahu bahawa pembedahan perlu dijalankan dalam masa terdekat. Dalam seminggu dua. Urat di saluran pembuluh darahnya telah pecah.
Rupa-rupanya dia memang di wad wanita. Bezanya, dia masih berambut panjang sedangkan yang lain telah dibotakkan kepala dan pernafasan dibantu.

Urat Sukar Dicari

Dia perhatikan bekas-bekas suntikan di lengan. 
Kiri dan kanan. 
Ada tiga kesan lebam. 
Betapa sukarnya para doktor mencari uratnya.
Pada saat itu,dia terkenangkan keadaan apabila dia tidak sedar. 
Lebih mudah. 
Tidak terasa sakitnya.
Tidak terasa nyilu. 
Tidak dapat rasakan apa-apa. Hanya kesannya kelihatan kebiru-biruan kehitam-hitaman di lengan dan tangan kiri dan kanan.

Di samping sakit di kepala yang terlalu.