Monday, December 26, 2016

Ibarat Bom Jangka

Dia terbaring kaku dan berhati-hati membuat pergerakan pada kaki sebelah kanan sehingga ke pangkal peha. Pendarahan di bahagian embolisasi dilakukan perlu dihindari.
Lenguh membatukan kaki.
Hanya kaki sebelah kiri bebas bergerak.
6 jam lamanya dia perlu bertahan.
Bahagian pangkal pehanya ditebuk untuk dimasukkan katetar (saluran yang dapat menghubungkan bahagian otak sebelah kirinya) Melalui saluran itu, 'glue' telah disalurkan untuk menghalang pergerakan deras aliran darah dalam pembuluh darah yang mengakibatkannya pecah.
Orang yang normal ada cabang kapilari yang dapat kurangkan kelajuan aliran deras itu. Tidak baginya.
Dia terkenang kembali saat mula-mula doktor memberikan penjelasan sewaktu didiagnos.
Ibarat bom jangka.
Itulah kenyataan yang sering diulang-ulang oleh setiap doktor.
Dia terkedu tidak terkata.
Tiada jangkaan tempoh waktu diberikan oleh doktor.
Bila-bila sahaja boleh pecah.
Tiada amaran.
Bila-bila sahaja boleh pecah dan membawa maut serta merta.
Dia cuba menyusun kembali ayat doktor itu dengan nada soalan.
Maksudnya,"saya boleh mati serta-merta bila-bila saja?"
Dia menyoal lagi sambil menahan juraian air mata.
Daripada keadaan duduk,dia cuba berdiri. Seakan-akan dengan berdiri,kenyataan tersebut dapat berubah.

No comments: