Sunday, December 25, 2016

Pecah dan Botak

Dia memandang sekeliling. Pergerakan terbatas. Saluran apakah yang melekat di lengan?

Kebiru-biruan dan lebam di kiri kanan lengan. Apakah yang terjadi? Kaki kanannya terasa berat sekali. Sukar untuk digerakkan. Kenapa soalan berulang-ulang? 
Dia terasa letih memikirkan jawapan kepada setiap soalan yang diajukan kepadanya. Yang dia ingati,dia tidak mahu ke hospital. Dia merayu untuk tidak ke hospital. 

Rayuan yang tidak dipedulikan. Gagal mencari punca,dari Hospital Segamat,dia dibawa ke Hospital Muar. Dia tidak sedar sepenuhnya. Hanya mengingati dirinya diletakkan ke dalam 'terowong' imbasan itu. 

Dia dikhabarkan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah,JB pula. Dia masih tidak fahami apa yang berlaku.Penglihatannya kabur. Kaki dan tangan kanannya masih berat.
Pelik. Penuh sangatkah hospital ini sehingga terpaksa berada di sekeliling penghuni lelaki? Tiada orang yang lain yang sedar seperti dia. Semuanya botak tanpa rambut dan tidak sedar kecuali dia.
Kenapa? Hanya soalan dalam hati yang bertubi-tubi seiring paluan dan ketukan dari dalam tempurung kepalanya.
Ketakutannya memuncak apabila diberitahu bahawa pembedahan perlu dijalankan dalam masa terdekat. Dalam seminggu dua. Urat di saluran pembuluh darahnya telah pecah.
Rupa-rupanya dia memang di wad wanita. Bezanya, dia masih berambut panjang sedangkan yang lain telah dibotakkan kepala dan pernafasan dibantu.

No comments: