Wednesday, June 28, 2017

Blog Ini Sebelas Tahun

Sempena sebelas tahun saya menulis di blog ini hari ini,saya mahu kongsikan apa yang telah berlaku sejak entri yang lepas. Klik pautan di bawah untuk melihat semua rekaan yang terhasil daripada lakaran bunga-bungaan saya.

.https://www.creativeunited.my/u/nazhatulshima

Monday, February 13, 2017

Sekuntum Mawar Merah di Bulan Februari


Saya mahu 'melahirkan' sesuatu pada tarikh kelahiran saya.
Sesuatu yang lahir daripada minat yang mendalam terpendam lama.

Mawar merah ini dilakar dan diwarnakan dengan pensel warna sebagai terapi minda
di saat selesai memeriksa kertas peperiksaan para pelajar pada 31 Julai 2015. 

Ini merupakan lukisan kedua terhasil setelah saya memulakan yang pertama,iaitu bunga raya berwarna kuning yang ditanam di halaman rumah.
Kemudian,permintaan demi permintaan menyusul.

Pada ketika itu, saya tidak membayangkan akan melahirkan apa yang ada pada hari ini. 
Kini, lukisan ini diabadikan dalam bentuk berbeza dan boleh dimiliki oleh sesiapa yang berhajat. 

Hadiah kepada diri di hari ulangtahun kelahiran,

Klik di pautan di bawah

Passionate Red Rosebud Series

Angan-angan dan cita-cita menjadi nyata.

Alhamdulilah.

Suka?
Boleh terus berkunjung ke Galeri Maya Nazhatulshima
untuk melihat lukisan yang seterusnya.

Masih di dalam proses memindahkan lukisan yang lain-lain
 yang setakat ini ada 60 bilangannya,


Kredit foto: Aizil dari Creative United
Pautan untuk hasil kerja saya ,boleh lihat di sini Creative United Artist

Thursday, January 05, 2017

Ikatan Halus Menghubung

Dia tahu menangis tidak elok buatnya. Menahan tangisan dan esakan juga amat menyakitkan. Empangan rasanya pecah dan dia cuba bertenang dan memohon ketenangan dan keampunan.
Berkali-kali dia cuba memadam kenyataan bahawa satu-satunya manusia yang dapat memahami rasa sakit yang dialaminya sebelum ini telah kembali.

Ada sesuatu yang tersekat di dada dan kerongkongnya.
Tidak!
Dia tidak boleh menangis lagi.
Dia sedar itulah ketentuan.
Itulah laluan yang disusun buat gadis itu.
Dia harus bersyukur.
Ya,dengan bersyukur dan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.

Dia harus kuat untuk bangun kembali.
Tidak boleh mengalah kepada ketidakupayaan dan kelemahan fizikal pada waktu itu.
Dia harus berusaha dan gunakan peluang kedua yang ada.

Dia dapat rasakan segala yang dibuang daripada dalam otaknya bagai membawa segala keanehan yang pernah wujud dalam dirinya,

Dia mahu kuat melawan kesayuan.
Kuat menepis pilu.
Kepiluan kehilangan gadis itu.

Pelik bukan?
Dia bukanlah mengenali gadis itu.
Tidak pernah bertemu.

Namun,persamaan yang ada mencipta satu ikatan halus yang menghubung.

Sudah Sampai Waktunya

Sungguh dia tidak sabar untuk berpindah ke wad biasa. Rengsa dan rasa terpenjara berada di ICU dengan pergerakan yang terbatas. Saluran tiub di kepala. Di tangan,di peha ada segugus saluran tiub juga yang tersedia untuk bersambung dengan saluran urat apabila perlu. Dia masih rasa terjerat. Ah,bagaimana mahu berehat dalam keadaan terjerat dan tercerut dengan pelbagai tiub di tangan,kaki dan kepala. Rimas dan melemaskan. Mahu lelapkan mata pula tidak berjaya.

"Kalau rasa sakit sangat,tekan ini,"
"Apa 'ni?"
"Morfin. Untuk menahan sakit."

Dia mahu elakkan menekan alat itu. Biarlah dia rasakan kesakitan itu. Dia tidak mahu hilang sedar akibat kesan morfin. Dia lebih rela rasa sakitnya.

Berulangkali dia meminta keluar ke wad biasa.

Dia menerima kunjungan doktor pakar yang membuat prosedur embolisasi ke atasnya minggu lalu.

"Prof S...Prof S... !"

Dia sedar Prof S tidak mengenali wajah baharunya yang telah hilang mahkota itu.

Akhirnya,rondaan dibuat oleh doktor pakar yang membuat pembedahan ke atasnya pagi tadi.

"Prof A...saya mahu pindah ke wad biasa. Saya dah ok 'ni. Dah sedar."

Dia rasa lega apabila Prof A setuju dangan permintaannya.

Akhirnya jam 10:30pm,3 Januari dia dibenarkan berpindah ke wad biasa. Tersiksa sungguh rasanya berada di ruangan unit rawatan rapi di dalam keadaan sedar sedangkan jirannya semua di dalam keadaan koma dan yang merawat mereka pula di dalam keadaan sedar dan bertenaga dan bergerak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Ya,itu rutin biasa mereka. Sudah lali dengan keadaan trauma dan kritikal.

Apabila dia bersiap sedia disorong keluar dari ruangan ICU itu,dia berselisih dengan sebuah katil. Rupanya katil itu mengisi ruangan yang akan dikosongkan. Dia tahu siapa. Itu katil milik satu-satunya gadis yang pertama kali ditemui di dalam keadaan koma yang mempunyai sakit yang serupa dengannya. Dia tertanya-tanya mengapa gadis itu masuk ke dalam ICU semula. Soalan yang belum berjawab.

Di wad biasa,dia masih diletakkan di bawah pengawasan yang berhampiran dengan jururawat.

Masa berlalu dan dia mulai rasa sedikit kesakitan. Kesan bius mulai hilang barangkali. Isyarat sakit mulai berhubung dengan otaknya walau dia cuba menghalang. Lalu ditekan jua butang yang merembeskan morfina di segenap saluran darahnya untuk menghalang rasa sakitnya.

Ah...badannya tidak dapat menerima morfina. Dimuntahkan semula segala isi perutnya yang memang sudah kosong itu. Tiada selera untuk makan sebarang makanan.

Bagaimanakah seseorang boleh menyuntik morfina dengan rela berulangkali sehingga membawa ketagihan? Dia dengan sekali picit itu tidak berdaya diterima oleh tubuh badannya.

Keesokan harinya doktor membuat rondaan.

Jahitan di kepala digunting dan 'stapler' di bagian dahinya dicabut.
Dia menitiskan air mata kesakitan beberapa butir barangkali. Sakit tetapi dia telah menanggung kesakitan yang lebih lagi daripada itu.

Sesi fisioterapinya bermula.
Dia mahu segera pulih. Dia kuatkan semangat. Walau baru dibedah 2 hari yang lalu, dia mahu segera bangun dan kalau dibenarkan berlari dan melompat, dia mahu buat begitu. Tak sanggup dia terus-terusan tidak dapat berdikari.

Hari keempat selepas kraniotomi.
Dia meminta untuk bertemu anak gadis yang masih koma itu. Berkerusi roda,dia disorong kembali ke ruangan ICU. Menuju ke tempat gadis itu.

Wajah gadis itu putih kemerah-merahan. Dia sentuh wajahnya yang putih kemerah-merahan,berseri-seri. Bukankah itu tandanya masih bernyawa lagi? Soalnya dalam hati. Bukankah gerakan turun naik dadanya itu tanda dia masih bernafas seperti biasa? Dia memegang jari-jemarinya. Tidak sejuk. Panas. Ibu gadis itu mengatakan bahawa dia hanya dibantu pernafasannya.

Dalam diam dia teguh berbisik dalam diri dengan kuasa Allah,gadis itu masih terus diizinkan berada di situ andai belum ditakdirkan pergi. Bukannya dia tidak mahu menerima kenyataan. Tetapi dia menggenggam himpunan harapan  dan mahukan kekuatan kepercayaan itu diterjemahkan nyata selagi anak gadis itu tidak diisytiharkan tiada.

Sepanjang siang hari,pelawat tidak putus melawatnya. Malam itu,dia mulai rasa kepenatan dan matanya juga telah mengalah dari bertahan. Akhirnya,dia berjaya tidur.

Jam 2 pagi dia tersedar kerana mulai terasa lapar kerana tidak makan dengan sempurna sejak muntah-muntah. Fikirannya mulai menyorot kembali pertemuan di siang hari. Pertemuan dengan satu-satunya insan yang mempunyai sakit yang serupa dengannya. Pertemuan itu dapat mengurangkan sedikit rasa keseorangan akibat menanggung sakit yang jarang berlaku itu.

Entah bila dia terlena. Dia tersedar semula dengan bunyinya isyarat SMS di telefon bimbitnya.

Matanya berkaca. Dadanya ketat. Luruh. Gugur. Longlai. Esakan ditahan.

Tertera di telefon bimbit itu,

3:55am,7/1/013.

Waktu kematiannya anak gadis itu.

Sudah sampai waktunya.

Dia terkedu.

Monday, January 02, 2017

Detik Berlalu Perlahan

Dia sepatutnya berehat. Tidur lena di ruangan ICU itu.
Segala yang dilaluinya sepanjang hari berputar-putar di minda. Tidak berjaya dia memadamkan segala yang bermain di ruang fikirannya. Dia mahu melelapkan mata. Mindanya terlalu peka kepada keadaan sekeliling.

Dia terkenangkan bagaimana agaknya kepalanya dibotakkan. Kemudian ditandakan bahagian yang akan dibedah.Sebelah atas kiri.

Adakah seperti dalam siri Grey's Anatomy yang amat digemarinya?

Namun dia tidak dapat menyaksikan apa yang berlaku. Dia teringatkan penerangan doktor.

Yang pasti, di dalam kepalanya itu sudah ada sekeping besi dan skru, Di bahagian belahan pula,ada deretan 'stapler bullet'. Nanti apabila balutan telah dibuka,dia mahu menghitung jumlahnya berapa. Ada satu atau dua di bahagian dahi. Ringan sungguh kepalanya. Tiada lagi seurat rambut.

Ah betapa dia mahu melihat wajahnya tanpa rambut itu!

Di hadapan katilnya ada seorang jururawat menunggu. Dia masih gagal melelapkan mata. Segala yang berlaku diperhatikan dan dirakam catat oleh mindanya yang begitu celik sekali.

Di hadapannya ada seorang pesakit yang sedang tenat. Dia menghitung katil-katil yang bertentangan. Tiada yang sedar. Tidak lama kemudian, katil di hadapannya agak ramai yang kunjungi. Ada tangisan. Ada pelukan. Ada perbualan berbisik. Ada esakan. Ya,ada kematian di katil hadapan itu.





Menuju Kraniotomi

Dia masih terbayang-bayang saat itu. Saat dia kepelikan berada di sekeliling mereka yang tidak sedarkan diri. Bukan sahaja tidak sedarkan diri, dia bertambah rasa tidak selesa kenapa lelaki botak semua berada di sekelilingnya. Hanya dia seorang yang masih ada rambutnya. Bagaimana auratnya boleh terbuka begitu? Apa yang terjadi kepadanya?

Rupa-rupanya mereka semua wanita yang telah dibotakkan kepala dan bernafas dibantu. Hanya dia yang berada dalam keadaan separuh sedar pada saat itu.

Dia menggelengkan kepala dan merayu-rayu untuk tidak dibedah. Dia masih dapat melihat walaupun agak kabur di mata kanan. Seluruh bahagian kanannya terasa begitu berat sekali. Tidak dapat bergerak.

Laporan doktor di wad neurosurgeri mencatatkan keengganannya melakukan kraniotomi.
Risiko kraniotomi? Pendarahan. Lumpuh. Hilang Ingatan. Kematian.

Betapa dia begitu mengharapkan AVM di dalam otaknya akan lenyap begitu sahaja beserta darah beku dan sakit yang ditanggungnya itu. Keputusan imbasan menenunjukkan sebaliknya. Masih wujud seperti 'alien' yang mengubah seluruh kehidupannya.

Selesai prosedur embolisasi, dia juga mencipta fantasi yang sama. AVM itu tiba-tiba hilang dan pembedahan tidak perlu diteruskan.

Dia dijadualkan masuk ke ruangan pembedahan pada jam 12pm.Ada 3 jam bersisa. Dia membuat persediaan. Wuduk diambil,telekung dan kain disarungkan menutupi pakaian seragam berwarna ungu cair itu. Dia sedar mungkin itu antara solat-solat terakhirnya. Solat taubat. Solat hajat. Zikir dan doa berulang-ulang dilakukan di ruang tepi katil hospital yang hanya ditutup kain langsir sekerat. Dia bersyukur mendapat peluang itu. Dia juga sedar hanya kuasa Allah yang dapat memanjangkan usianya. Dia memohon untuk sedar segera sebaik selesai pembedahan dan tidak mahu mengundang kerisauan semua yang berada di sisi.

Doktor memberikan anggaran 48 jam atau 2 hari selepas pembedahan untuk dia dapat sedar kembali. Dalam diam,dia mengharapkan jumlah jam itu dikurangkan.

Pada jam 9:18am tiba-tiba dia dipanggil untuk bersedia ke dewan pembedahan. Dia tersenyum gembira. Penantian berakhir lebih awal dari yang dijangka. Dengan senyuman terukir  di bibirnya, dia disorong masuk ke ruangan pembedahan. Gaya girang seperti mahu pergi bercuti dan berliburan sahaja. Dia menjeling ke jam dinding di bilik pembedahan. 10:00am. Dia diberikan penerangan apa yang akan berlaku. Dia akan dibius sepenuhnya. Kepalanya akan dibotakkan.

"Ya Allah,kau sedarkanlah aku semula dalam keadaan sempurna ya Allah! Masih beupaya dan normal dan tidak menyusahkan sesiapa. Ya Allah,janganlah kau hilangkan ingatanku terhadapMu! Ingatanku untuk membuat segala yang wajib bagiku untukMu!"

Dia mengulang-ulang sekuat hati di dalam diam yang lantang di dalam ruang peribadi mindanya sendiri.

Di dalam ruang peribadi mindanya itu juga dia dapat mulai dengar suara azan Zohor berkumandang.
Perjanjian kepada diri untuk sedar segera dikabulkan permintaannya.

Alhamdulilah.

Bagaikan Mati Hidup Semula!

#kisahAVM
#cerpenAVM10
#bersambung

1 Januari 2017



1 Januari 2017 dihabiskan dengan menyudahkan kerja menyemak tugasan pelajar sepanjang hari.

Markah penilaian yang perlu dijumlahkan.
Yang belum selesai dinilai, perlu diberikan markah.
Yang mendatang semalam kertas peperiksaan akhir pula.
Bertindan dengan segala pemarkahan yang belum selesai. Perlu disegerakan sebelum menderu lagi kertas-kertas peperiksaan yang akan datang.

9 kelas kesemuanya untuk 5 subjek yang berberbeza.

Setakat ini dahulu untuk perkongsian awal tahun 2017.

Semoga saya lebih istiqamah dalam menulis catatan di sini.

Adakah agaknya yang membaca blog saya lagi?