Monday, January 02, 2017

Menuju Kraniotomi

Dia masih terbayang-bayang saat itu. Saat dia kepelikan berada di sekeliling mereka yang tidak sedarkan diri. Bukan sahaja tidak sedarkan diri, dia bertambah rasa tidak selesa kenapa lelaki botak semua berada di sekelilingnya. Hanya dia seorang yang masih ada rambutnya. Bagaimana auratnya boleh terbuka begitu? Apa yang terjadi kepadanya?

Rupa-rupanya mereka semua wanita yang telah dibotakkan kepala dan bernafas dibantu. Hanya dia yang berada dalam keadaan separuh sedar pada saat itu.

Dia menggelengkan kepala dan merayu-rayu untuk tidak dibedah. Dia masih dapat melihat walaupun agak kabur di mata kanan. Seluruh bahagian kanannya terasa begitu berat sekali. Tidak dapat bergerak.

Laporan doktor di wad neurosurgeri mencatatkan keengganannya melakukan kraniotomi.
Risiko kraniotomi? Pendarahan. Lumpuh. Hilang Ingatan. Kematian.

Betapa dia begitu mengharapkan AVM di dalam otaknya akan lenyap begitu sahaja beserta darah beku dan sakit yang ditanggungnya itu. Keputusan imbasan menenunjukkan sebaliknya. Masih wujud seperti 'alien' yang mengubah seluruh kehidupannya.

Selesai prosedur embolisasi, dia juga mencipta fantasi yang sama. AVM itu tiba-tiba hilang dan pembedahan tidak perlu diteruskan.

Dia dijadualkan masuk ke ruangan pembedahan pada jam 12pm.Ada 3 jam bersisa. Dia membuat persediaan. Wuduk diambil,telekung dan kain disarungkan menutupi pakaian seragam berwarna ungu cair itu. Dia sedar mungkin itu antara solat-solat terakhirnya. Solat taubat. Solat hajat. Zikir dan doa berulang-ulang dilakukan di ruang tepi katil hospital yang hanya ditutup kain langsir sekerat. Dia bersyukur mendapat peluang itu. Dia juga sedar hanya kuasa Allah yang dapat memanjangkan usianya. Dia memohon untuk sedar segera sebaik selesai pembedahan dan tidak mahu mengundang kerisauan semua yang berada di sisi.

Doktor memberikan anggaran 48 jam atau 2 hari selepas pembedahan untuk dia dapat sedar kembali. Dalam diam,dia mengharapkan jumlah jam itu dikurangkan.

Pada jam 9:18am tiba-tiba dia dipanggil untuk bersedia ke dewan pembedahan. Dia tersenyum gembira. Penantian berakhir lebih awal dari yang dijangka. Dengan senyuman terukir  di bibirnya, dia disorong masuk ke ruangan pembedahan. Gaya girang seperti mahu pergi bercuti dan berliburan sahaja. Dia menjeling ke jam dinding di bilik pembedahan. 10:00am. Dia diberikan penerangan apa yang akan berlaku. Dia akan dibius sepenuhnya. Kepalanya akan dibotakkan.

"Ya Allah,kau sedarkanlah aku semula dalam keadaan sempurna ya Allah! Masih beupaya dan normal dan tidak menyusahkan sesiapa. Ya Allah,janganlah kau hilangkan ingatanku terhadapMu! Ingatanku untuk membuat segala yang wajib bagiku untukMu!"

Dia mengulang-ulang sekuat hati di dalam diam yang lantang di dalam ruang peribadi mindanya sendiri.

Di dalam ruang peribadi mindanya itu juga dia dapat mulai dengar suara azan Zohor berkumandang.
Perjanjian kepada diri untuk sedar segera dikabulkan permintaannya.

Alhamdulilah.

Bagaikan Mati Hidup Semula!

#kisahAVM
#cerpenAVM10
#bersambung

No comments: