Thursday, January 05, 2017

Sudah Sampai Waktunya

Sungguh dia tidak sabar untuk berpindah ke wad biasa. Rengsa dan rasa terpenjara berada di ICU dengan pergerakan yang terbatas. Saluran tiub di kepala. Di tangan,di peha ada segugus saluran tiub juga yang tersedia untuk bersambung dengan saluran urat apabila perlu. Dia masih rasa terjerat. Ah,bagaimana mahu berehat dalam keadaan terjerat dan tercerut dengan pelbagai tiub di tangan,kaki dan kepala. Rimas dan melemaskan. Mahu lelapkan mata pula tidak berjaya.

"Kalau rasa sakit sangat,tekan ini,"
"Apa 'ni?"
"Morfin. Untuk menahan sakit."

Dia mahu elakkan menekan alat itu. Biarlah dia rasakan kesakitan itu. Dia tidak mahu hilang sedar akibat kesan morfin. Dia lebih rela rasa sakitnya.

Berulangkali dia meminta keluar ke wad biasa.

Dia menerima kunjungan doktor pakar yang membuat prosedur embolisasi ke atasnya minggu lalu.

"Prof S...Prof S... !"

Dia sedar Prof S tidak mengenali wajah baharunya yang telah hilang mahkota itu.

Akhirnya,rondaan dibuat oleh doktor pakar yang membuat pembedahan ke atasnya pagi tadi.

"Prof A...saya mahu pindah ke wad biasa. Saya dah ok 'ni. Dah sedar."

Dia rasa lega apabila Prof A setuju dangan permintaannya.

Akhirnya jam 10:30pm,3 Januari dia dibenarkan berpindah ke wad biasa. Tersiksa sungguh rasanya berada di ruangan unit rawatan rapi di dalam keadaan sedar sedangkan jirannya semua di dalam keadaan koma dan yang merawat mereka pula di dalam keadaan sedar dan bertenaga dan bergerak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Ya,itu rutin biasa mereka. Sudah lali dengan keadaan trauma dan kritikal.

Apabila dia bersiap sedia disorong keluar dari ruangan ICU itu,dia berselisih dengan sebuah katil. Rupanya katil itu mengisi ruangan yang akan dikosongkan. Dia tahu siapa. Itu katil milik satu-satunya gadis yang pertama kali ditemui di dalam keadaan koma yang mempunyai sakit yang serupa dengannya. Dia tertanya-tanya mengapa gadis itu masuk ke dalam ICU semula. Soalan yang belum berjawab.

Di wad biasa,dia masih diletakkan di bawah pengawasan yang berhampiran dengan jururawat.

Masa berlalu dan dia mulai rasa sedikit kesakitan. Kesan bius mulai hilang barangkali. Isyarat sakit mulai berhubung dengan otaknya walau dia cuba menghalang. Lalu ditekan jua butang yang merembeskan morfina di segenap saluran darahnya untuk menghalang rasa sakitnya.

Ah...badannya tidak dapat menerima morfina. Dimuntahkan semula segala isi perutnya yang memang sudah kosong itu. Tiada selera untuk makan sebarang makanan.

Bagaimanakah seseorang boleh menyuntik morfina dengan rela berulangkali sehingga membawa ketagihan? Dia dengan sekali picit itu tidak berdaya diterima oleh tubuh badannya.

Keesokan harinya doktor membuat rondaan.

Jahitan di kepala digunting dan 'stapler' di bagian dahinya dicabut.
Dia menitiskan air mata kesakitan beberapa butir barangkali. Sakit tetapi dia telah menanggung kesakitan yang lebih lagi daripada itu.

Sesi fisioterapinya bermula.
Dia mahu segera pulih. Dia kuatkan semangat. Walau baru dibedah 2 hari yang lalu, dia mahu segera bangun dan kalau dibenarkan berlari dan melompat, dia mahu buat begitu. Tak sanggup dia terus-terusan tidak dapat berdikari.

Hari keempat selepas kraniotomi.
Dia meminta untuk bertemu anak gadis yang masih koma itu. Berkerusi roda,dia disorong kembali ke ruangan ICU. Menuju ke tempat gadis itu.

Wajah gadis itu putih kemerah-merahan. Dia sentuh wajahnya yang putih kemerah-merahan,berseri-seri. Bukankah itu tandanya masih bernyawa lagi? Soalnya dalam hati. Bukankah gerakan turun naik dadanya itu tanda dia masih bernafas seperti biasa? Dia memegang jari-jemarinya. Tidak sejuk. Panas. Ibu gadis itu mengatakan bahawa dia hanya dibantu pernafasannya.

Dalam diam dia teguh berbisik dalam diri dengan kuasa Allah,gadis itu masih terus diizinkan berada di situ andai belum ditakdirkan pergi. Bukannya dia tidak mahu menerima kenyataan. Tetapi dia menggenggam himpunan harapan  dan mahukan kekuatan kepercayaan itu diterjemahkan nyata selagi anak gadis itu tidak diisytiharkan tiada.

Sepanjang siang hari,pelawat tidak putus melawatnya. Malam itu,dia mulai rasa kepenatan dan matanya juga telah mengalah dari bertahan. Akhirnya,dia berjaya tidur.

Jam 2 pagi dia tersedar kerana mulai terasa lapar kerana tidak makan dengan sempurna sejak muntah-muntah. Fikirannya mulai menyorot kembali pertemuan di siang hari. Pertemuan dengan satu-satunya insan yang mempunyai sakit yang serupa dengannya. Pertemuan itu dapat mengurangkan sedikit rasa keseorangan akibat menanggung sakit yang jarang berlaku itu.

Entah bila dia terlena. Dia tersedar semula dengan bunyinya isyarat SMS di telefon bimbitnya.

Matanya berkaca. Dadanya ketat. Luruh. Gugur. Longlai. Esakan ditahan.

Tertera di telefon bimbit itu,

3:55am,7/1/013.

Waktu kematiannya anak gadis itu.

Sudah sampai waktunya.

Dia terkedu.

No comments: