Friday, August 11, 2006

Rangkait di PD

5 Ogos, Sabtu
Saya meneruskan perjalanan ke Port Dickson dengan memandu sekitar kelajuan 160km sejam. Memang saya suka memandu laju tetapi di waktu itu ia lebih kepada keperluan kerana saya agak mengantuk. Seandainya memandu perlahan, sudah pasti tertidur. Tambahan lagi saya mahu segera sampai ke Port Dickson untuk mengikuti bengkel puisi di Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional di Hotel Le Paris & Costa Rica.

Sempat juga saya mengikuti Bengkel Pantun kelolaan Cikgu Ali Badron. Beliau kebetulannya adalah jiran kepada Atuk Sor saya semasa mereka duduk di kuarters kerajaan di belakang RISDA, Batu Pahat. Lalu saya memperkenalkan diri saya dengan menyebut nama abah. Seterusnya dia bertanya pula perkembangan terkini sepupu-sepupu saya yang juga berjiran dengannya.

Kami perlu buat persembahan malam itu. Kak Lin menyarankan kami berempat berangkait. (Pantun berkait) dan mencoretkan 4 rangkap rangkait berikut yang disalin secara lisan daripada Cikgu Ali Badron.:

Tanya sama pokok
Apa sebab goyang
Nanti jawab pokok
Angin yang goncang

Tanya sama langit
Apa sebab hujan
Nanti jawab langit
Tanyalah awan

Awan nanti kata
Aku kandung air
Sampai tempat sejuk
Aku pun cair

Tengok dalam air
Nampak bayang-bayang
Campak satu batu
Bayang pun hilang

Usai makan malam saya menyertai rakan-rakan menyaksikan persembahan peserta seminar yang lain. Saya langsung bertanya Kak Lin, “Jadi ke nak buat persembahan?” “Tak pasti lagi, tengoklah apa kata Cikgu Ali” balas Kak Lin. Kami dipanggil juga ke pentas. Tanpa sebarang latihan,hanya sekadar pembahagian baris mana untuk dinyanyikan maka berangkaitlah saya bersama-sama Kak Lin , Kak Peah dan Siti Mariam.

4 comments:

mki said...

Shima,
Saya selalu perhatikan, orang yang aktif semasa alam persekolahan akan terus aktif sewaktu mereka berkerja. Tidak berkira dan selalu dapat menyelesaikan masalah dengan jayanya. Tidak pula melihat halangan sebagai penamat.

Saya juga perhatikan, mereka yang meminati pantun-seloka, sajak atau bahasa mudahnya sastera, seni dan kebudayaan mempunyai jiwa yang sedikit berlainan dengan mereka yang lain.

Ia menghidupkan diri kita!

Nazhatulshima Nolan said...

Menarik juga kesimpulan pemerhatian Prof. Mungkin boleh dijadikan bahan kajian.
Pemerhatian Prof memang ada benarnya bagi diri saya. Sastera dan seni memang menyerikan hidup saya. Saya akan resah jika tidak mengikutinya mungkin seperti Prof resah kerana perlu berehat seketika dari bermain golf demi kesihatan. Semoga Prof bertambah sihat.

ufukhati said...

shima,

Satu kehidupan yang lincah dan puas.

ekspresi said...

terima kasih atas penyertaan seminar di pd baru2 ni. seminar ini antara bukti usaha pena untuk mengangkat, membuka ruang yang lebih ke arah martabat bahasa, sastera dan budaya dalam keadaan dan fahaman global dan liberalisasi yang menggugat bangsa dan agama kita.