Thursday, December 31, 2009

Penutup Entri: Selamanya atau Tahun Ini?

Terlintas di hati untuk menamatkan entri blog ini sampai di sini sahaja. Setelah sekian lama tidak dikemaskini,saya juga jadi segan untuk menjenguknya sendiri. Alasan tiada waktu bukanlah sebab yang kukuh . Tidak adil juga saya menyalahkan wahana Facebook yang lebih interaktif sifatnya yang telah menggantikan masa saya di atas talian. Apabila melihatkan tambahan pengikut ,saya berfikir semula. Adakah yang masih mengikuti dan membaca blog saya ini? Jika dilihat dari traffic,masih ada pengunjungnya. Saya terkenang kembali tujuan asal saya menulis blog. Mengasah penulisan sendiri dan sebagai ekspresi diri.

Sebetulnya jadual November dan Disember 2009 begitu padat sekali, sejak dari entri terakhir pada 19 November 2009. Izinkan saya merenung kembali .
20 Nov- Hadir ke Bengkel Penyediaan Kertas Cadangan Penyelidikan FRGS di UiTM Malaysia, Shah Alam
20 Nov-Hadir ke Perhimpunan Penyair Nusantara ke-3 di Dewan Bahasa & Pustaka,KL
21 Nov- Hadir ke Perhimpunan Penyair Nusantara ke-3,pagi DBP,petang, Menara KL & malam,Rumah PENA. Hari bersejarah bagi saya membaca 2 buah puisi karya sendiri yang telah diterbitkan bertajuk ‘Biar Berbekas & Andai’ di khalayak ramai di Rumah PENA.
22 Nov-Pertemuan tamat dan bergerak ke UiTM Pulau Pinang.
23 Nov- Hadir Bengkel Penerbitan Professional,Pearson-UiTM di UiTM Permatang Pauh.
24-26 Nov- Bengkel Jom Tulis Artikel Akademik di UiTM Puncak Alam
27 -30 Nov- Hari Raya Aidil Adha & Hadir pengkebumian ibu saudara yang kembali ke rahmatullah di Batu Pahat.
4-5 Dis – Bengkel Penulisan Novel di UiTM Johor,Segamat.
5-10 Dis-Penilaian Tahap Kecekapan di UiTM Puncak Alam
12 Dis – Majlis Walimatul Urus sepupu di Batu Pahat
15 Dis- Bertemu penyelia utama Phd di UiTM Malaysia, Shah Alam
16-17 Dis- Hadir Bengkel ATLAS
21-23 Dis- Menyelesaikan tugasan pejabat ( tuntutan pelbagai dan lain-lain) di UiTM Segamat
24 Dis- Hadir Bengkel Introduction to MAC Snow Leopard

Saya masih ada cuti rehat 20 hari lagi!!!

Bercuti sejak 28 Dis sehingga 31 Dis walaupun sebenarnya saya tidak bercuti keluar dari UiTM kerana rumah saya di kampus dan masih ke pejabat untuk mengutip surat.

Pada 30 Dis turut hadir ke majlis perpisahan Pengarah Kampus,Prof Dr Muhd Kamil yang telah tamat tempohnya sebagai pengarah;pun begitu akan semakin dekat dengan saya sekeluarga apabila kami berpindah menjadi jirannya sedikit masa lagi.Apabila kunci rumah diterima.

Cuti masih ada 16 hari lagi. Apa yang saya benar-benar harapkan ialah cuti belajar saya diluluskan bermula semester ini dan tidak mengajar supaya saya dapat fokus kepada penyelidikan Phd dan tamat segera. Insya Allah!

Oh ya,jawapan kepada tajuk entri kali ini?

Thursday, November 19, 2009

Doa Termakbul 2



Syukur Alhamdulilah Afiqah Nadzirah berjaya mendapat 5A dalam UPSR.

Wednesday, September 09, 2009

Hati Tersentuh

...apabila membaca Renungan Indah WS Rendra

Sering kali aku berkata, ketika orang memuji milikku,
bahwa sesungguhnya ini hanya titipan,
bahwa mobilku hanya titipan Nya,
bahwa rumahku hanya titipan Nya,
bahwa hartaku hanya titipan Nya,
bahwa putraku hanya titipan Nya,
tetapi, mengapa aku tak pernah bertanya, mengapa Dia menitipkan padaku?
Untuk apa Dia menitipkan ini pada ku?
Dan kalau bukan milikku, apa yang harus kulakukan untuk milik Nya ini?
Adakah aku memiliki hak atas sesuatu yang bukan milikku?
Mengapa hatiku justru terasa berat, ketika titipan itu diminta kembali oleh-Nya ?
Ketika diminta kembali, kusebut itu sebagai musibah
kusebut itu sebagai ujian, kusebut itu sebagai petaka,
kusebut dengan panggilan apa saja untuk melukiskan bahwa itu adalah derita.
Ketika aku berdoa, kuminta titipan yang cocok dengan hawa nafsuku,
aku ingin lebih banyak harta,
ingin lebih banyak mobil,
lebih banyak rumah,
lebih banyak popularitas,
dan kutolak sakit, kutolak kemiskinan,
Seolah semua “derita” adalah hukuman bagiku.
Seolah keadilan dan kasih Nya harus berjalan seperti matematika :
aku rajin beribadah, maka selayaknyalah derita menjauh dariku, dan
Nikmat dunia kerap menghampiriku.
Kuperlakukan Dia seolah mitra dagang, dan bukan Kekasih.
Kuminta Dia membalas “perlakuan baikku”, dan menolak keputusanNya yang tak sesuai keinginanku,
Gusti, padahal tiap hari kuucapkan, hidup dan matiku hanyalah untuk beribadah…
“ketika langit dan bumi bersatu, bencana dan keberuntungan sama saja”

(dalam mengenang WS Rendra Nov 7 1935 - Ogos 6, 2009)

Sunday, August 23, 2009

Demam Cacar Air, Novel & Lukisan

Ia lebih dikenali sebagai cengkering atau chicken pox.

Hampir seminggu Afiqah mengalaminya. Kini gelembung-gelembung air ada yang sudah pecah dan kering. Ada juga yang masih belum pecah. Sudah tentu amat merengsakan. Beberapa malam saya membenarkannya tidur di kamar saya. Seluruh tubuh dan juga mukanya penuh dilitupi kesan cengkering. Saya menyuruhnya banyak berehat. Dia banyak berdiam diri. Menjawab hanya apabila ditanya. Tidak rancak berbual. Menahan kerengsaan dengan penuh kesabaran. Walau dia pernah diberikan suntikan imunisasi semasa kecil,nampaknya dia masih tidak dapat elak dari mengalaminya.

Para gurunya termasuk guru besarnya di sekolah amat mengambil berat keadaan Afiqah. Diperturunkan kepadanya pelbagai petua. Minum air kelapa muda. Jangan makan kicap,jangan makan telur. Di rumah tidak boleh goreng menggoreng.(Dah terbuat pula). Ada juga yang memesan letakkan losyen calamine setebal-tebalnya. Saya dapat maklumat pula elok jangan diletakkan sehingga sudah keluar semuanya. Jangan mandi. Cari daun semambu dan sebagainya.

Saya memberikannya sebuah novel untuk dibaca. Tawaran yang dapat menceriakan harinya. Cepat sahaja dia menamatkan novel karya Tere Liye setebal 388 halaman yang masih belum saya mulakan pembacaan. Sudah sekian lama dia tidak menguliti novel kerana sibuk membuat persediaan UPSR. Sejak akhir-akhir ini,(sebelum ini dia agak santai sahaja),saya nampak kesungguhannya membuat ulangkaji, membuat latihan dan menjawab soalan. Tanpa disuruh atau diarah, dia tekun menelaah. Saya memang tidak menghantarnya ke kelas tuisyen. Apa-apa yang tidak difahami saya menyuruhnya rujuk pada gurunya,atau apabila di rumah pada ayahnya atau saya sendiri dan akhir-akhir ini kakak sepupunya yang tinggal sekali. Moga kejayaan cemerlang miliknya jua.
Mohon doakan kesihatan Afiqah pulih segera supaya selesa menduduki peperiksaan UPSR 2 minggu lagi.

Saya memang cakna dengan apa yang dirasainya. Pernah saya alaminya ketika berumur 18 tahun.

“Mak,Shima dah pernah kena chicken pox?”panggilan telefon jarak jauh Sydney-Batu Pahat dibuat untuk mendapat kepastian segera sejarah kesihatan saya. Hati kecil memohon jawapan positif. Mak mengatakan saya pernah mengalaminya ketika kecil.

Anak keluarga angkat saya di Nowra,Kim ,sedang mengalami sakit demam cacar waktu itu. Saya dinasihatkan tidak pergi jika belum pernah mengalaminya. Namun jawapan Mak yang melegakan hati memungkinkan saya berangkat ke sana. Justeru program pertukaran singkat selama 2 minggu di rumah keluarga angkat di Nowra dapat diteruskan. Sepanjang 2 minggu,saya dibawa ke Snowy Mountain untuk melihat dan menyentuh salji buat pertama kali selain ke ladang haiwan dan menyentuh kangaroo. Saya teruja.

Suka menjadi duka. Saya tetap mengalaminya. Tiada petua seperti di sini tetapi saya dikuarantin di dalam bilik sendiri sahaja. Ubat demam diberikan bapa angkat , seorang doktor perubatan. Klinik di rumahnya di sebelah bilik tidur saya. Rasa terasing. Makan minum,pinggan mangkuk,pakaian untuk dicuci dan biik air tidak dibenarkan bercampur dengan ahli keluarga yang lain. Selera makan pun tiada kerana dalam tekak pun ada. Sayunya rasa sakit di perantauan. Dunia saya hanya di dalam bilik. Ketika kesemua ahli keluarga ke rumah desa di Razorback saya tinggal sendirian di rumah kota di Sydney.

Hati terubat dengan kunjungan mendiang Judith Falconer,guru lukisan kesayangan saya yang membawa ke rumah tugasan sekolah saya. Saat iu saya perlu melengkapkan ‘art major work’ saya, iaitu lukisan untuk dinilai dalam peperiksaan Australian High School Certificate. Kerengsaan saya dapat dilalaikan dengan tangan saya memegang berus sambil cat akrilik disapukan di kanvas untuk mewarnakan bahagian bunga-bunga liar Australia di lukisan itu. Sungguh menenangkan. Setiap kali memandang lukisan yang pernah dipamerkan di Westpac Bank, NSW,Australia yang kini beralih di dinding rumah saya , pelbagai kenangan menerjah.

Saturday, August 22, 2009

Doa Termakbul

Syukur Alhamdulilah!

Saya dapat pesanan ringkas berkenaan satu berita. Doa saya dimakbulkan. Berulangkali saya berdialog dengan Allah sebaik sampai ke Tanah Suci. Di Raudhah saya memohon. Begitu juga di Masjidil Haram. Ketika tawaf ,ketika saei,saya minta dibukakan hati Ibu untuk menyempurnakan suruhan Ilahi. Saya tidak pernah menyatakan secara langsung. Hanya melalui doa.

Kemudiannya saya mendapat tahu rupanya dialog hati saya ‘didengari’ Ibu. Disampaikan terus oleh Allah pada waktu yang sama juga.

Sewaktu saya sedang berdoa di hadapan Kaabah dan berulang alik saei,dia sibuk membeli belah koleksi tudung di Kuala Lumpur. Itu dua bulan lebih yang lalu.

Pada hari ini, 1 Ramadan dia mulai memakainya. Amin Ya Rabbal Alamin.

Banyak perkara yang berlaku kepada Ibu yang membuatkan hatinya keras. Saya fahami atau saya cuba memberi justifikasi kepada setiap perlakuannya. Sejak terpisah,dipisahkan atau berpisah dari suaminya dia tidak berkahwin semula. Lebih 30 tahun lamanya. Sebetulnya tidak saya ketahui sehingga kini kata kerja apa yang sesuai digunakan; ter,di atau ber.

Kami sama-sama menumpang kasih orang. Tidak pernah dapat hidup bersama-sama. Jauh tidak, dekat pun tidak. Saya redha. Namun saya tahu doa seorang Ibu kepada anaknya atau seorang anak kepada Ibunya tidak akan putus bagai darahnya yang mengalir dalam badan saya. Apapun salah silapnya ,dia tetap ibu saya dan syurga terletak di tapak kakinya. Walau apapun orang berkata tentang keburukannya,cubit peha kanan, peha kiri terasa. Paling saya geruni andai Ibu tidak sempat melaksanakan kewajipannya sebelum pergi selamanya. Kau rahmatilah,berkatilah dan berikanlah petunjuk dan hidayah kepada Ibuku.

Syukur Ya Allah Yang Menguasai Sekalian Alam.
Kau dengari bisik hati hambaMu ini.

Al-Mursalaat:77

Pesanan ringkas diterima pada 9 Julai 2009 ,12:28pm dari JPK blok Baiduri berbunyi begini

“Puan..malam ni ada perjumpaan ppp bersama pelajar di court badminton baiduri pada pukul 9 malam..Kehadiran puan sangat dialu-alukan.”

Setiap permulaan semester memang telah menjadi kelaziman akan ada perjumpaan di antara PPP dan penghuni kolej dan saya tidak terkecuali dari memberikan sepatah dua kata. Kebiasaannya pelajar diingatkan tentang peraturan tetapi sejujurnya saya kurang gemar mengingatkan mereka tentang peraturan. Pada saya peraturan telah ditampal di pintu setiap bilik,biarlah mereka baca sendiri dan fahami dan turuti.

Selepas solat Maghrib pada malam itu saya mohon pada Allah diberikan ilham untuk memilih isi apa yang hendak disampaikan kepada siswi Baiduri. Dengan niat sambil memegang Al-Quran saya membuka di halaman yang Allah telah gerakkan hati dan tangan saya untuk membukanya. Surah Al-Mursalaat(Surah ke-77) iaitu Makhluk-makhluk yang Dihantarkan Untuk Melaksanakan Tugasnya. Saya hayati maksudnya. Ya,inilah yang Allah ingin saya sampaikan.

Malam itu saya pun berbicara.
“Saya mohon maaf kerana pada semester lalu saya tidak dapat sama turutserta program kolej dan juga bertemu disebabkan kesihatan saya. Saya mengandung anak ketiga dan tidak dibenarkan banyak bergerak . Di satu ketika saya rasakan diri saya amat hampir pada kematian. Tetapi sebaliknya anak di dalam kandungan saya yang berusia 6 bulan yang pergi pada bulan Februari yang lalu. Di saat itu,saya sedar Allah Yang Maha Berkehendak dan tiada siapa yang dapat menghalangnya walau sesaat. Apakah malam ini kita telah bersedia sekiranya ajal kita tiba?”

Sunyi tiada jawapan.

“Hampir 12 semester saya di sini dan pada malam ini yang mungkin jadi malam terakhir saya bercakap,saya tidak akan sampaikan kata-kata biasa dari saya sahaja. Saya akan sampaikan kata-kata Allah,dari Al-Quran yang telah digerakkan olehNya untuk disampaikan .”

Lalu saya bacakan 50 maksud ayat Al-Mursalaat. Saya hanya berikan peringatan,tiada paksaan. Selebihnya kuasa Allah yang akan memberikan Hidayah dan Petunjuk.

Akhir ucapan saya minta mereka rujuk Al-Quran.
*********************************************************************************
Saya perhatikan ramai orang takut melanggar undang-undang manusia,peraturan universti dan juga undang-undang negara. Dalam hati kecil saya berbisik, sering tidak disuarakan, peraturan Maha Penciptalah yang patut difikirkan dan diikuti. Saya kira sekiranya ini dipatuhi, yang lain menjadi amat mudah.

Para pelajar merungut apabila ditegur tentang sahsiah rupadiri. Bertanya secara terperinci pakaian bagaimana yang boleh dan tidak boleh dipakai. Tidak puashati apabila ditegur para Pegawai Keselamatan. Siswi merungut perlu memakai pakaian berlengan panjang.Undang-undang UiTM ketat.

Berbaloikah kita memperjudikan muda hanya sekali atau ingin menurut fesyen terkini untuk menikmati persinggahan yang tidak abadi?

Seringkali saya mendengar,apabila hendak melaksanakan perintah Allah,menutup aurat contohnya, perlulah terbit dari hati yang ikhlas dan bukan kerana dipaksa atau ikut kawan dan sebagainya.

Amboi sombongnya hendak menurut perintah Allah.

Cuba bayangkan sekiranya pensyarah memberi tugasan atau bos memberi arahan bertugas. Bagaimana tindakan kita? Atau lebih besar lagi mendapat arahan dari Perdana Menteri atau Yang Dipertuan Agong?

Adakah kita akan berkata “Belum terbuka hati lagi nak buat assignment atau belum sampai seru lagi nak ikut arahan?”

Logiknya tidak mengapalah tidak mengikut perintah manusia,bukan begitu? Sama tarafnya. Pembetulan, ada bezanya. Kajilah sendiri apa bezanya.

Perintah Allah dan ajaran Rasulullah,panduan dari Al-Quran dan Hadis,bagaimana?

Sempena bulan Ramadan ini saya dengan rasa rendah diri menyeru pertama sekali kepada diri saya sendiri untuk menghayati maksud al-Quran. Saya akui walau telah khatam Al-Quran berkali-kali, maksud keseluruhan setiap surah dan Al-Quran sendiri tidak saya kuasai isi kandungannya. Walau pernah tamat membaca terjemahanannya tetapi masih tidak mencukupi. Azam saya ialah untuk mengulang baca maksudnya,hayati dan amalkan. Ditambah satu lagi, disampaikan.

Saya berdoa sesiapa yang membaca entri ini,termasuklah saya sendiri diberikan petunjuk dan hidayah dari Allah dan mati kekal dalam iman.

Siapalah saya untuk bicara begini?

Khalifah Allah- tanggungjawab yang telah diberikan pada setiap manusia tanpa mengira siapa.

Friday, August 21, 2009

Tadarus Al-Quran & Kenangan

Pagi tadi Majlis Perasmian Tadarus Al-Quran di UiTM Johor telah selamat disempurnakan. Mulai 24 Ogos sehingga 11 September 2009 setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 8 hingga 9 am atau 12 hingga 1 pm program Tadarus Al-Quran akan berlangsung.

Saat perasmian berlangsung,hati terusik seketika,terimbau kenangan lama sewaktu mula-mula belajar mengaji,kalau tidak silap sewaktu berumur 5 atau 6 tahun. Arwah Tok Mok(al-Fatihah untuknya) atau nama sebenarnya Tengku Aisyah,iaitu mak saudara Mak yang tinggal bersama-sama kami yang pertama kali mengajar saya. Pada waktu itu,bukan cara Iqra’ atau Qiraati seperti sekarang. Mula-mula diajar disebut satu persatu huruf Aliff sehingga Ya, kemudian diajar mengeja mengikut tanda baris.
“Aliff di atas Aa,Ba di atas Ba..”

Bila selesai diajar mengeja, barulah beralih ke Muqaddam,iaitu surah dari juzuk 30. Sebelum memulakan bacaan,doa penerang hati menjadi kewajipan beserta maknanya. Dengan rotan di tangannya,saya akan duduk bersila,berbaju kurung dan bertudung ikat di depan sambil menghadap Al-Quran di atas rehal kayu sambil memegang lidi sebagai penunjuk.
“Cepat mengaji Shima. Nanti mak bising!”ujarnya separuh berbisik. Walau rotan di tangannya,tetapi orang yang akan menyinga sebenarnya adalah Mak bukannya dia. Kadangkala saya memberontak juga kerana saya disuruh mengaji sampai 3 hingga 4 kali sehari ,iaitu setiap selepas solat fardu kecuali solat Subuh.

Hasilnya saya khatam Al-Quran kali pertama di kala usia 7 tahun. Namun ia tidak berhenti di situ,saya perlu mengulang baca kali kedua. Rupanya disebabkan saya telah khatam Al-Quran, saya dibenarkan memulakan pengajian sekolah agama lebih awal dari pelajar lain,iaitu saya bermula pada umur 8 tahun berbanding pelajar lain pada 9tahun.

Pada usia saya 9 tahun,arwah Tok Mok pergi dan tak kembali lagi di usianya 84 tahun. Saya amat sedih tidak terkata ,pemergiannya meruntun jiwa. Saya hilang tempat mengadu dan bermanja . Saya menangis berhari-hari, berdiam diri memendam rasa.

Kemudian,guru mengaji saya berubah dan mengaji di rumah orang. Kak Yah namanya. Muridnya pun ramai. Saya khatam kali ketiga dengannya. Kenangan menarik mengaji di sini ,setiap muridnya bermain duit kutu. Saya tidak ingat berapa jumlahnya,tapi sen-sen sahaja. Bila terkumpul dan sampai giliran,kami dapat sebanyak RM30.
Bila umur saya mencecah 12 tahun,barulah dibuat satu majlis khatam Al Quran secara besar-besaran ,kebetulan kakak sepupu saya membuat majlis kesyukuran melanjutkan pelajarannya ke UK. Meriah juga majlisnya. Saya dipakaikan pakaian seperti pengantin. Sebenarnya baju tunang mak saudara saya yang sudah tentu terpanjang dan terbesar sedikit.

Gemuruh juga rasanya apabila duduk bersila di hadapan ramai orang dan terpaksa membaca Al-Quran melalui corong mikrofon. Di saat itu dan hingga kini rasa bersyukur amat di atas sifat garang Mak menyuruh saya mengaji.

Dan kini tiada rotan atau arahan, rasa syukur dan tanggungjawab menjadi desakan . Walau telah berkali-kali khatam al-Quran, tidak semestinya bacaan saya sempurna. Lalu tadarus al-Quran memang saya nantikan untuk memperbaiki tahap pembacaan.

Di kesempatan ini,

pohon rimbun dalam halaman
mohon ampun salam Ramadan

Thursday, August 20, 2009

Cobaan

Isnin malam yang lalu,kedua-dua Afiqah dan Arif dibawa ke Klinik Zohar. Suhu badan Arif meningkat dan Afiqah pula saya jangka mengalami cengkering (chicken pox). Jangkaan benar,kedua-duanya diberikan cuti sakit.

Namun Afiqah tidak mahu bercuti. Cobaan baginya. Selasa pagi merupakan peperiksaan percubaan UPSR dan dia tidak mahu terlepas menghadapi peperiksaan itu. Dia dikuarantin dan menjawab semua peperiksaannya di perpustakaan sekolahnya.

Sedih hati saya melihat Afiqah namun tidak saya gambarkan rasa itu di hadapannya. Saya mahu dia tabah menghadapinya. Ternyata dia amat bersabar dengan cobaan ini. Sedikit rungutan pun tidak saya dengari. Saya hanya memberinya semangat dan bersolat hajat mohon pada Allah dipermudahkan baginya.

Seluruh bahagian badan dan muka telah dipenuhi gelembung-gelembung yang amat tidak selesa. Belas sungguh melihat keadaan tubuhnya apabila saya meratakan losyen calamine. Saya tidak dapat menemaninya sepanjang masa.

Selepas Isyak malam tadi,saya dijemput mengadili pertandingan marhaban antara kolej dan selepas itu berjumpa beberapa pelajar blok Baiduri yang mempunyai masalah bilik terkunci,masalah dengan rakan sebilik dan sebagainya.

Jam 12.30 pagi barulah kembali. Saya mengajak Afiqah tidur bersama-sama saya sekatil malam tadi. Hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan percubaannya. Saya iringi usahanya dengan doa seorang ibu kepada anaknya.

Berbeza Arif. Dia diberi cuti dan berehat di rumah sepanjang dua hari. Namun di malam hari waktu Maghrib dan Isyak dia masih aktif mahu berjemaah di masjid. Dia bosan berada di rumah sendirian sepanjang hari dan kelihatan sudah sembuh dari demamnya. Barangkali itulah penangan antibodi seorang yang menyusu badan sepenuhnya.

Mohon didoakanlah kesejahteraan dan kesihatan kami sekeluarga dan tabah hadapi segala cobaan.

Terima kasih dahuluan.

Monday, August 03, 2009

Baca Novel

Melihat kesungguhan pelajar menyelesaikan tugasan yang diberikan ternyata mengembalikan sisa tenaga di lewat petang begini. Kelas yang dimulakan sejak 8.00pagi dan berakhir sebentar tadi membuatkan saya teruja menghadapi hari-hari seterusnya.

31 orang pelajar kelas bahagian satu jurusan akaun saya telah membentangkan novel bahasa Inggeris pilihan mereka dan menyatakan mengapa novel tersebut dipilih. Ada diantaranya baru pertama kali membaca novel bahasa Inggeris. Pun begitu, pilihan judul yang pelbagai membuat saya turut berminat. Pelajar saya dinasihatkan untuk sekurang-kurangnya membaca 15 minit sehari dan di setiap petang Isnin akan dikongsikan bersama sebahagian kisah dalam novel tersebut.

Harapan saya usaha yang sedikit ini dapat meningkatkan kemahiran pelajar saya untuk menguasai bahasa Inggeris. Walaupun aktiviti ini tiada dalam sukatan pelajaran, menurut kajian, pembacaan senggang(leisure reading) dapat meningkatkan penguasaan bahasa berbanding pengajaran secara langsung hukum tatabahasa (grammar).

Saya mengadunkan kedua-duanya sekali.

Thursday, July 23, 2009

Lentera Mustika

Pertama kali karya ini dihayati melalui majalah Aniqah setiap bulan. Novel ini ada kelainan dari karya Nisah yang pernah saya tatapi. Ada tarikan tersendiri lalu apabila saya diminta untuk memberikan sedikit ulasan, saya dapat menulisnya dengan segera sebagai pembaca yang puas menikmati bahan dan bahasa yang diutarakan dalam novel sahabat saya ini. Berikut adalah nukilan ringkas dari saya yang tertera di novelnya.


Lentera Mustika, sinonim dengan maksudnya, memberi pencerahan yang amat berharga dan begitu indah sekali. Elemen pantun yang segar jadi tarikan utama,sarat dengan ilmu dan budaya alam Melayu; menyerlahkan jati diri Ainur Mustika, berlatarkan dunia kesarjanaannya, bersulamkan isu hak cipta dan kisah cintanya, semuanya memberi kepuasan dan mempamerkan idealisme wanita moden berpendidikan tinggi Muslimah Melayu. Novel yang perlu dihayati sebagai salah satu cara memugar erti diri!

Nazhatulshima Nolan
Pensyarah Bahasa Inggeris,UiTM Johor

(Gambar dari blog Nisah)



Dapatkannya segera di sini.
Kini saya sedang mengulang baca sambil menyimpan hasrat novel saya pula terlahir segera.

Wednesday, July 22, 2009

Andaian

Andaian
…ibarat api
Ia akan membakar andai angin ganas ditiup tanpa arah kebenaran
Kini, ku berdiam diri kerana…
Penjelasan tidak diperlukan.
Kekecewaan telah disampaikan.
Kepercayaan telah dipesongkan.
Ucapan ampun tidak memadai.

Adakah layak kuterima segala ini dek kesilapan orang lain?

Ya Allah, berilah kami semua hidayah dan petunjukMu untuk menyelesaikan perkara ini tanpa salah-menyalahi dan sakit menyakiti!

Assumption

Tuesday, July 21, 2009

Kes Kecemasan

Kes Satu

Jam menunjukkan beberapa minit ke 12 malam, 2 malam yang lalu.

“Puan,saya ada kes kecemasan. Saya perlu balik malam ini juga,“ tutur seorang siswi dengan raut wajah berkerut cemas dan mata sayu sedih di hadapan pintu rumah saya.

“Sekarang? Kenapa?” soal saya.
“Ibu saya telefon dan saya perlu balik sekarang. Hal peribadi.”
“Kenapa? Boleh cerita pada saya?”
Dia tidak menjawab soalan saya tetapi menerangkan bahawa dia tidak akan memandu seorang diri tetapi ditemani kawan.
“Boleh telefon ibu sekarang?” saya mahu bercakap dengannya.
“Sekarang?” sedikit terkejut riak wajahnya.
“Tolong dialkan saya nak cakap sekejap.”
Siswi tersebut tergesa-gesa berlalu pergi dan menyatakan dia perlu mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal di dalam kereta.
Beberapa minit saya menunggu sambil pintu terbuka.
Saya tutup semula pintu dan siswi tersebut tidak kembali lagi dengan telefon bimbitnya.
Ah,mengapa ya?

Kes Dua

Beberapa semester lalu. Tengah malam.
“Puan,saya ada kes kecemasan dan perlu balik sekarang juga.”
“Sekarang juga? Esok pagi tak boleh? Balik mana? Dengan siapa?” bertubi-tubi soalan saya.

“Ayah saya minta saya balik segera. Ke KL. Ada 2 orang lagi kawan yang ikut.”
“Saya bimbang beri kebenaran keluar malam,semua perempuan pula.”
“Nanti abang sepupu saya akan pandu kereta.”
“Telefon ayah awak sekarang. Saya perlu bercakap dengannya.”

Siswi tersebut pantas mendail dan menerangkan kepada penerima yang saya ingin bicara dengannya.
“Siapa nama ayah awak?”
“Asdfgh bin jklmn”(Nama sebenar tidak saya ingat)
“Encik...,maaflah saya ingin dapatkan kepastian,betul Encik....benarkan ......balik ke KL sekarang?”

“Ya, betul. Memang saya yang suruh dia balik malam ini juga.”jawab ayah siswi.
“Bukan apa, saya risau kerana dah tengah malam ,akan memandu di Jalan Tangkak yang berselekoh pula,”saya menyuarakan rasa bimbang.

“Terima kasih telefon tetapi memang saya perlukan dia balik.”

Butiran siswi diambil dan borang kecemasan keluar malam diisi dan pelajar dibenarkan keluar dengan izin bapanya.

Loceng pintu berbunyi di tengah malam atau awal pagi adalah perkara biasa bagi Pegawai Pembangunan Pelajar.Kebiasaannya ada dua kemungkinan yang tidak sukar ditelah.

Pertama,kecemasan kerana sakit.
Demam.Sesak nafas. Sakit dada. Pengsan.Jatuh. Dan lain-lain.

Kedua,kecemasan kerana perlu keluar daripada kampus di malam hari.
Masalah keluarga. Peribadi.Kenduri. Kenduri kahwin. Ahli keluarga.Nenek kahwin(jangan ketawa,benar-benar berlaku). Ambil kawan di stesen keretapi. Pergi ke stesen keretapi. Tiada tiket siang. Ibubapa suruh balik. Temujanji dengan doktor gigi. Senarainya berterusan.

Dalam kedua-dua kes pula terbahagi lagi kepada kes tulin dan kes lakonan.
Setelah hampir 12 semester sebagai PPP,membezakan kes tulin dan lakonan semakin mudah.Beberapa soalan perangkap ,kes kecemasan boleh berubah bentuk.

Pun begitu, dalam kes kecemasan sakit,soalan dan pemeriksaan yang lebih teliti diperlukan untuk pastikan kes tulin atau lakonan. Soal yang boleh dikaitkan antara hidup dan mati. Tidak semudah soal siasat biasa. Dalam kes kecemasan sakit lakonan,hanya dapat dipastikan apabila telah sampai ke hospital dan diperiksa doktor.

Monday, July 20, 2009

Di Sisa Waktu

Pemindahan catatan kisah umrah daripada jurnal ke blog saya terhenti walau masih banyak yang ingin dipapar.

Hari ini sudah masuk minggu ketiga semester baru. Kelas yang agak padat,22 jam seminggu. Jam 8 pagi kelas bermula dan berakhir jam 6 petang. 5 kelas berbeza dan 4 kod matapelajaran berbeza menjadi tugasan hakiki.

Berselangkan perjumpaan PPP bersama-sama pelajar kolej, mesyuarat PPP bersama-sama JPK, mesyuarat PPP bersama TP HEP.

Di sebelah malam, melihat-lihat kerja sekolah anak-anak bila diperlukan atau sekadar memastikan segalanya beres sambil komunikasi kejadian seharian di sekolah.

Di saat semuanya lena diulit mimpi, jari saya rancak menari. Menulis dan membaca di sisa waktu.

Wednesday, July 08, 2009

Masjidil Haram-Usai Umrah Wajib

2 pagi,6 Jun 2009

Selesai umrah wajib, Kak Adib, Adib dan Abang Khir ke hotel semula untuk mengambil emak yang masih dalam ihram dan akan ditolak dengan kerusi roda untuk melengkapkan umrahnya.

Jam hampir menunjukkan 2 pagi dan saya bercadang untuk terus tinggal di Masjidil Haram sehingga solat Subuh. Afiqah kelihatan keletihan dan mahu pulang ke hotel.

"Nantilah kita tunggu Ayah (Adib) dan Mak Long (Kak Adib) datang semula bawa atuk. Kakak boleh balik ikut mereka."

Sementara itu saya dan Afiqah duduk memandang Kaabah yang baru 2 jam dilihat buat pertama kalinya. Tidak lama kemudian kami menunggu di kawasan saei kerana ingin menghantar Afiqah pulang bersama-sama Adib. Setelah lama menanti,masih lagi tidak kelihatan. Lalu saya mengajak Afiqah ke kawasan solat wanita berdekatan untuk solat dan mengaji Al-Quran. Saya faham dia keletihan, namun saya katakan kepadanya, "Kakak,ibu tak nak buang masa jalan ke sana ke mari mencari ayah. Kalau kakak penat,baringlah di sebelah ibu. Ibu nak solat di sini sehingga waktu Subuh dan kemudian buat tawaf sunat barulah kita balik ke hotel semula."

Afiqah kelihatan keberatan untuk tinggal dan saya katakan,

"Kakak,bukan mudah untuk ibu nak kumpul duit untuk kita berempat kerjakan umrah,banyak jumlahnya. Wang terkumpul hasil kerja ibu kurang lebih 10 tahun serta gaji bulanan ibu dan bila sudah sampai di sini kakak memilih untuk berada di hotel daripada di Masjidil Haram,"luah saya agak kecewa, "tetapi kalau kakak nak pergi ke hotel semula sekejap lagi kita carilah Ayah atau Mak Long."

Tidak lama kemudian dia bertukar fikiran dan terus tinggal bersama-sama saya sehingga solat Subuh dan mengikut saya bertawaf sunat.

Kami berdua pulang semula ke hotel sekitar jam 5.30 am dan terus bersarapan sebelum kami masuk ke bilik merebahkan badan ke katil. Hampir 26 jam tidak melelapkan mata. Saya ke Masjidil Haram semula jam 11.30am untuk bersedia solat fardu Zohor pula. Kini bersama-sama Adib.

Sunday, July 05, 2009

Saat Terpandang Kaabah

Kaki melangkah seiring doa melalui Pintu Raja Abdul Aziz di kala detik menghampiri 12am, 6 Jun 2009. Di kiri kanan laluan tersusun bekas berisi air zam-zam. Selawat atas Rasulullah dan doa didahului sebelum meneguk air zam-zam sambil mata mencari-cari kelibat bayang Kaabah. Saya saling berpandang ke arah Adib, Afiqah dan Arif. Pandangan tanpa kata,namun penuh makna. Afiqah memimpin saya seraya bersuara,”Macam mimpi ya ibu.”
Hanya senyuman kebahagiaan membalas kata sambil kesyukuran tidak terhingga tatkala imej hitam dan emas tersergam indah, segenap anggota badan menhantar isyarat penuh syukur seakan berbicara bahasa mereka,sebagai saksi, melihat rumah Allah ditatap buat pertama kalinya. Segala Puji bagiMu Allah.

Bait-bait doa dihayati ketika mata melihat Kaabah diikuti niat tawaf wajib di permulaan pusingan.
Maksud niat tawaf ,”Sahaja aku bertawaf 7 pusingan, Tawaf umrah,maka diterima dan dipermudahkanla Ya Allah,pekerjaan ini.”

Sebelum memulakan tawaf,menghadap Hajaraul Aswad dan beristilam,iaitu “Bismillahi Allahu Akbar”.

Hanya Zikrullah diulangi lantaran terasa sungguh kerdil untuk memohon sebarang hajat dimakbulkan di saat itu.
Terngiang-ngiang penjelasan Kak Adib,”Umrah yang wajib ialah pada perbuatannya dan bukan pada bacaannya. Bacaan doa adalah sunat. Yang penting,kita perlu jaga kedudukan badan,bahu kiri perlu setentang dengan Kaabah. Usah risaukan menghafal atau memegang buku doa yang panjang-panjang sehingga menyebabkan yang wajib tidak dapat dilakukan dengan sempurna.Sekiranya leka memgang buku doa,lalu terlanggar dan terhenti ,perlu berundur sebelum meneruskan langkah.”

Saya hanya memegang kertas kecil 7 keping semuat tapak tangan tertulis nombor dan zikir untuk setiap pusingan yang telah Kak Adib sediakan untuk setiap orang.
Selesai tawaf 7 pusingan,saya menunaikan solat sunat tawaf dua rakaat sebelum memulakan Saie.

Niat Saie ,”Ya Allah! Aku hendak bersaie di antara Safa dan Marwah 7 kali, saei umrah kerana Allah Taala.”

Lambaikan kedua tangan ke Kaabah dan bertakbir tiga kali dan langkah kanan memulakan perjalanan. Sekali lagi zikrullah mengiringi saie.

Ibadah umrah disempurnakan dengan bertahalul selesai saei ,iaitu dengan mengerat sedikit,sekurang-kurangnya 3 helaian rambut di sebalik kain telekung.

Lengkaplah rukun umrah dengan turutan berikut;1. Niat, 2. Tawaf 3.Saei 4. Tahalul dan 5. Tertib dan hanya 2 perkara yang diwajibkan ketika umrah, iaitu, 1.Berihram di miqat dan 2. Meninggalkan segala larangan dalam berihram.
Alhamdulilah ,umrah wajib pertama saya dapat dilaksanakan dan memohon keredaan Allah dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Seterusnya, apa yang saya lakukan? Bersambung dientri seterusnya.

Thursday, July 02, 2009

Makkah-Perjalanan Bermula

3.45pm,5 Jun 2009(salinan dari jurnal peribadi)
Solat sunat ihram,niat dan bergerak dari Bir Ali. Jemaah perempuan dinasihatkan berniat seperti ini;
“Sahaja aku mengerjakan umrah dan ihram aku dengannya dan sekiranya aku datang haid atau lain-lain sebab maka halallah aku dengannya.”

Apabila telah berniat,kita perlulah menjaga pantang larang dalam berihram.

Lafaz talbiah mula disebut,bermaksud:

“HambaMu telah datang menyambut panggilanMu,
Ya Tuhan,hambaMu datang menyambut panggilanMu
Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat dan kerajaan
adalah kepunyaanMu dan tidak ada sekutu bagiMu”


6.45pm
Bas bergerak semula setelah berhenti berehat,entah di mana. Saya tidak turun dari bas. Saya hendak mengurangkan berbual kosong, sebenarnya takut...,tersilap cakap ke..,terlintas yang tak patut ke..,maklumlah sedang berihram. Memang anti sosial betul di saat ini. Saya perbanyakkan mengaji Quran atau menulis di jurnal sahaja.

8.00pm
Bas berhenti dan kami makan malam dan solat. Tempat perhentian ini juga tidak pasti di mana tetappi kelihatan seperti di tengah-tengah padang pasir. Tempat makan pun ada yang duduk bersila di bawah. Agak sukar bagi jemaah lelaki dengan pakaian ihram mereka. Nasib baik ada satu meja dan hanya 5 buah kerusi disediakan. Makan nasi lauk kambing satu hidangan berkongsi 2 orang sebab banyak sangat.

9.00pm
Menanti di dalam bas sambil merenung kembali perjalanan hari Jumaat yang mulia ini.
Syukur Ya Allah!...(Dialog hati)

10.30pm
Tiba di Hotel Al-Khaleej di Jalan Khalid al-Walid. Katanya 4 bintang berbanding hotel asal yang sepatutnya dalam jadual hotel lain,hanya 3 bintang. Tak kisahlah berapa bintang pun ,syukurlah ada tempat tinggal.

11.00pm
Setelah barang di letak di bilik,kami berjalan kaki ke Masjidil Haram,kira-kira 700 meter. Di kiri kanan terdapat bangunan yang sedang diruntuhkan dan keadaan sungguh berdebu. Bayang masjid masih belum kelihatan. Menyusuri jalanan dengan penuh debaran dan bacaan talbiah diulang-ulang sehingga kaki dijejak di hadapan pintu Raja Aziz,taklimat ringkas dan peringatan oleh mutawif diberi.

...akan bersambung Saat Terpandang Kaabah

Madinah-Hari Terakhir

5 Jun 2009

Sejak jam 3 pagi saya berkunjung ke Masjid Nabawi untuk Qiamulail sehingga ke solat Subuh. Jemaah perempuan dinasihatkan membuat ziarah Wida’ awal iaitu pada jam 8 pagi kerana kami akan bergerak ke Makkah sejurus selepas solat Jumaat. Sebelum membuat ziarah wida’,kami mengambil peluang untuk menunaikan beberapa solat sunat dahulu. Niat untuk ke Raudhah lagi tidak dapat dilaksanakan pada pagi itu kerana pada hari Jumaat laluan ke sana untuk pihak perempuan ditutup seawal jam 8.30am. Namun saya bertekad dan bermohon agar kunjungan itu bukanlah yang terakhir kalinya.

Saya keluar dari Masjid Nabawi dengan langkah yang longlai sekali. Saya membiarkan bahang udara membakar pipi,peluh menitik ke lantai,tapak kaki diseret,mata merakam setiap sudut yang mampu saya rakam, sebagai saksi saya di sini. Selawat atas Rasulullah mengiringi gerak langkah ke hotel, kesayuan berbaur keazaman kembali lagi.

Sunday, June 28, 2009

Ziarah Madinah & Strategi ke Raudhah

4 Jun 2009

Ringkasan ziarah Madinah

7.00am Masjid Quba'
7.45am Bukit Uhud
9.00am Selesai lawatan kebun tamar
9.15am Tuju ke masjid Qiblatain
10.00am Melalui masjid 7
12.00pm Zohor di Masjid Nabawi

Strategi ke Raudhah

Hari ini saya berabaya pemberian ibu. Serba hitam. Ternyata strategi berpakaian serba hitam tidak mendapat arahan keluar dari Raudhah dari pengawal yang bertugas berbanding bertelekung putih. Kali ini saya bersolat bergilir-gilir bersama-sama Afiqah,Kak Adib dan Min. Keadaan di Raudhah masih tetap sesak.

Kami sampai ke hotel semula agak lewat,iaitu 2.40pm lalu mengundang resah di hati emak. Makanan hanya tinggal saki baki. Kak Adib diuji dengan kehilangan beg duit dan Min pula kehilangan telefon bimbitnya. Kedua-dua mereka reda dengan kehilangan tersebut.

Langkah Masjid Nabawi

Selepas Zohor, 3 Jun 2009

Kami tetap di Masjid Nabawi sehingga ke solat Zohor. Dalam perjalanan pulang ke hotel saya menemani emak melalui jalan pintas keluar kerana Kak Adib perlu mengetuai jemaah perempuan yang lain mengambil barang masing-masing di pintu masuk tadi.

Langkah kami terhenti beberapa kali di sebalik tiang-tiang kerana emak agak kelelahan. Saya memimpin emak sehingga emak bersedia untuk berjalan semula. Mukanya kemerahan. Saya bercadang untuk mengambil kerusi roda sementara emak menunggu sebentar di sebalik bayang salah satu tiang. Mereka perlukan kad pengenalan diri saya ditinggalkan untuk mendapatkan sebuah kerusi roda. Namun saya datang sehelai sepinggang,paspot tiada, kad pengenalan pun tiada,hanya tag nama.

Akhirnya,kami berjalan perlahan-lahan sahaja sehingga sampai ke hotel. Sesampai di hotel saya meminta Adib mencari kerusi roda untuk emak. Emak sebenarnya masih kuat berjalan cumanya nafasnya sahaja tercungap-cungap dan mukanya agak kemerahan dek bahangnya matahari. Selepas makan tengahari dan berehat seketika,pada jam 3.00 petang kami bergerak ke masjid semula.

Emak agak berat hati untuk disorong saya tetapi terpaksa mengalah setelah kerusi roda berada di depan matanya dan diarah duduk oleh anak menantunya. Kami di masjid sehingga Maghrib.

Madinah-Jejak Rasul

9.00pm,2 Jun 2009

Ustaz Ahmad Akmal, mutawif kami memberikan sedikit taklimat sebelum kami bergerak menuju ke Madinah. Beliau menasihatkan kami berehat dan melelapkan mata kerana perjalanan memakan masa kira-kira 6 jam dari Jeddah ke Madinah. Sebelum meneruskan perjalanan kami berhenti seketika untuk makan malam yang telah disediakan seorang sebungkus dan bersolat Jamak Qasar Maghrib dan Isyak di masjid berhampiran.

Apabila bas mula bergerak,hati saya berdebar semula. Terasa kecut perut juga mengenangkan akan tiba ke Madinah tidak lama lagi. Tidak lama kemudian lampu bas pula ditutup dan di kiri kanan jalan pula gelap gelita kecuali sekali sekala saya dapat membaca papan tanda menunjukkan jarak dan nama tempat. Lantas saya berfikir eloklah saya melelapkan mata dan berniat untuk jaga sewaktu bas memasuki kawasan Madinah.

Walau tidur-tidur ayam,saya rasa cukup untuk melepaskan lelah perjalanan sejak 31hb Mei,iaitu dari UiTM Segamat-Batu Pahat-Johor Baru-Singapura-Colombo-Jeddah-Madinah,akhirnya!

3.30am,3 Jun 2009,waktu Madinah, saya terbaca papan tanda menunjukkan bas memasuki perkarangan Madinah. Bagai mimpi,hati...??? Airmata deras mengalir ke pipi.

Ustaz Ahmad Akmal mengumumkan kepada kami bahawa kita telah sampai di kawasan Madinah. Beliau memetik ayat 82,Surah At-Taubah yang bermaksud “Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak,...” Beliau juga menasihatkan kami berbanyakkan selawat ke atas Rasulullah saw.

Bas berhenti di tepi hotel Mawaddah Safwah,kira-kira 50 meter ke pagar Masjid Nabawi. Subhanallah! Hati melonjak ingin ke sana segera. Barang dipunggah,kunci diberi,kami diarah bertemu selepas sarapan untuk ke Masjid Nabawi. Saya berdoa saya mendapat peluang itu.

Saya sekeluarga,Adib, Afiqah,Arif dan Mak ditempatkan di bilik 112 yang memuatkan 4 buah katil bujang sederet. Alhamdulilah selesa. Adib dan Arif bergegas mengambil wudhu’ untuk ke masjid Nabawi walaupun yang lain sedang berehat di bilik masing-masing. Dek keuzuran,saya masih belum dapat turut serta, namun doa saya termakbul. Selesai mandi wajib,saya berkesempatan solat Subuh di bilik hotel sahaja.
Kakak sulung Adib, yang bernama Adibah tetapi kami panggil Kak Adib,dilantik untuk menjadi mutawifah untuk membawa jemaah perempuan. Keluarga kami sahaja terdiri daripada 14 orang dan jumlah ahli rombongan kelolaan Tiram Travels,iaitu anak syarikat Johor Corp, kesemuanya adalah 40 orang.

Keluarga kami 14 orang termasuk Mak Adib, keluarga saya 4 orang,keluarga Kak Adib,4 orang;iaitu Abang Usop,anak mereka Wan dan Aliya,keluarga abang Khir 5 orang,termasuk mak mertuanya, Kak Tipah, Ira dan Intan.

Hidangan sarapan dijamah,kami bertemu semula jam 8.00pagi menuju ke Masjid Nabawi.
Jemaah perempuan bergerak di bawah pimpinan Kak Adib. Kami bergerak ke pintu 25,iaitu laluan yang dibenarkan untuk kaum Hawa. Langkah seiring selawat atas nabi. Raudhah dituju. Ramainya yang berpusu-pusu ke sana. Tiba-tiba saya diberitahu telah berada di kawasan Raudhah,ada yang bersolat ada yang membaca doa dan ada yang bertolak-tolakan untuk bersolat dan berada hampir di makam Rasulullah. Keadaan sungguh sesak di kawasan seluas 300 meter persegi itu. Agak kebingunganseketika namun saya teruskan solat kerana jika masih terpinga-pinga akan disuruh keluar. Sejurus selesai,saya diarah keluar. “Ibu,keluar,keluar,keluar!” Teriak pengawal wanita di situ.

Saya rasa solat dan doa yang dilakukan sebentar tadi tidak kusyuk dan tergesa-gesa lalu bercadang untuk masuk kali kedua. Saya masuk semula dan melencong ke arah kiri, menghampiri makam Rasulullah yang ramai dipenuhi wanita berpakaian serba hitam. Wanita bertelekung putih seperti saya seakan ‘terlarang’ ke sana oleh para pengawal di situ tetapi saya buat tidak peduli dan teruskan niat ke sebelah kiri. Teriakan mereka menyuruh keluar tidak saya hiraukan. Saya dapat ruangan betul-betul di saf hadapan penghadang. Di rakaat kedua,solat saya terhenti apabila seorang wanita berdiri betul-betul di hadapan saya dan bersolat. Keadaan memang sungguh sesak sekali dan saya memang diapit seluruh arah.

Saya berdoa untuk dipermudahkan mengerjakan solat di sini. Namun andai kesakitan yang dirasa dan andai ditakdirkan mati tersepit di sini,apalah lagi yang hendak diminta. Berbahagialah dapat mati di taman syurga Raudhah,kata lintasan hati. Saya berganjak ke sebelah kanan. Alhamdulilah ruang kali ini agak luas untuk saya bersolat dengan selesa dan penuh kusyuk, seperti hanya saya sahaja di sana,menyerah diri,mohon ampun dan mohon hajat dimakbulkan.

Saturday, June 27, 2009

Umrah-Catatan Hari Pertama

Catatan Pertama(Salinan dari jurnal peribadi)

1.40pm,1 Jun 2009,Lapangan Terbang Antarabangsa Changi,Singapura
Semuanya sedang menunaikan solat. Saya sedang duduk menanti sendirian. Pintu D41 telah dibuka sekarang,1.45pm. Saya menanti dalam keadaan agak resah. Cuba merakam dengan kata-kata apa yang dilihat. Manusia berjalan ke pelbagai arah tujuan.

7.05pm,1 Jun 2009,dalam penerbangan ke Sri Lanka dalam Sri Lankan
Cuba mencoretkan apa yang berlaku semalam. Sampai di Lapangan Terbang Bandaranaike pada jam 5.15pm waktu Colombo. Menunggu lagi.

Saya cuba rekodkan segala yang berlaku seberapa banyak yang boleh. Dalam perjalanan yang lepas,seringkali saya membiarkan saat-saat berlalu tanpa dicatat. Saya sedar betapa bernilainya untuk menangkap dan merekod setiap saat kerana apabila ianya telah berlalu perasaan yang cuba dirakamkan tidak akan dapat digambarkan dan gambaran rasa pada saat itu akan hilang atau akan berubah apabila catatan dibuat berdasarkan memori sahaja.

3.25pm,2 Jun 2006,dalam pesawat UL218,waktu Colombo
Pesawat bersedia untuk berlepas ke Jeddah dan jarak ke destinasi adalah 4657km.
Penerbangan di Jeddah diiringi rasa debar yang perlahan. Sedikit gentar,menanti saat kaki menjejak kan kaki ke Tanah Haram. Terkenangkan dosa-dosa yang lalu. Gentar dengan ujian Allah yang bakal ditempuhi.
Berdialog hati dengan Allah...(tidak dipapar)

6.00pm,2 Jun 2009,dari jendela ini,aku terpegun melihat ciptaanMu Ya Allah.
Awan putih kelihatan begitu mempesonakan dan terilhamlah berikutnya...
Apabila awan berhimpun berlatarkan langit biru
Anganku tersusun melakar cara mendekatiMu
Gentarnya membilang dosa
Ampunku pohon taubat diterima
Mohon balasan tidak menyiksa

Wahai yang Maha Mengetahui,
aku jadi takut untuk memohon hajatku dimakbulkan
dek kelalaian dan kealpaanku
aku rasa seperti tidak layak meminta-minta
namun aku percaya dengan sifat Al-Rahman dan Ar-Rahimmu
sebagai hambaMu yang lemah
yang hanya berkuasa memohon kepada yang Maha Pencipta
aku mohon Ya Allah, segala niatku yang terbaik bagi diriku,Kau kabulkanlah
dan aku reda sekiranya niatku tidak Kau tunaikan
Kau Maha Mengetahui
dan aku reda tanpa rasa kecewa

Ya Allah,
berilah aku petunjuk dan hidayah,
naluri dan gerak rasa yang sentisa membuat sesuatu keranaMu
bukan kerana mengharap balasan berlipat ganda
Gerakkan hatiku...

Tiba di lapangan terbang jam 6.45pm waktu Jeddah
Berbaris dari jam 7.30pm sehingga 8.30pm dan naik ke dalam bas sekitar jam 9.00pm.

Saat menunggu dapat memperhatikan perangai manusia, terutama sekali tentang tahap kesabaran masing-masing. Perjalanan hari ini agak panjang. Menurut penerangan mutawif ,ada 6 jam perjalanan lagi. Sekarang kami semua berada di dalam bas menanti paspot dikembalikan semula.

...entri berikutnya bersambung kisah tiba di Madinah

Friday, June 26, 2009

Umrah,antara Rindu dan Tekad

Hari ini genap 2 minggu kami membuat tawaf wida’ meninggalkan Masjidil Haram sarat dengan emosi tersendiri. Kerinduan dilalui dengan pelbagai cara. Menulis apa yang dirasakan dengan susunan kata. Membaca kembali apa yang dicoretkan. Bicara secara lisan berulangkali dengan mereka yang pernah melaluinya dan yang melaluinya bersama-sama.
Anak saya, Arif Nukman,10 tahun, juga mempunyai caranya tersendiri. Kelazimannya dia akan melukis setiap hari. Saya memang menggalakkannya kerana saya juga pernah begitu satu waktu dahulu. Sejak kembali dari Tanah Suci Mekah ,setiap hari saya perhatikan dia akan melakar gambar Kaabah lengkap dengan Hajarul Aswad,Pancuran Emas,Multazam dan Hijir Ismail. Lakaran di atas kertas putih dengan marker pen dakwat hitam. Lakaran di atas papan putih beserta penerangan dan di saat saya sedang menaip sekarang dia sedang sibuk mewarnakan pancuran emas untuk dicantumkan ke replika Kaabah yang telah dicat hitam ke atas sebuah kotak kecil.

Beberapa malam yang lalu sewaktu saya menidurkan mereka,kami membincangkan kerinduan suasana di Makkah dan Madinah lagi. Sengaja saya menduga dengan berkata kepada Afiqah dan Arif,”Tahun hadapan ibu dan ayah sahaja yang akan pergi. Kalau nak ikut juga kena kumpul duit sendiri. Tahun ini semua dapat pergi sebagai hadiah hari jadi dari ibu."

“Berapa kena bayar,Ibu?”

“Sekurang-kurangnya 6 ribu.”

Kedua-dua mereka mencongak ,mendarab dan membahagi jumlah yang perlu dikumpul sehari,sebulan dan seterusnya didarab dengan 18 bulan untuk mencukupkan jumlah tersebut pada hujung tahun hadapan.

Arif berkira-kira untuk menjual ais krim Malaysia yang pernah sekali sekala dibuatnya sendiri dan dibawa ke sekolah untuk dijaja pada rakan-rakannya. Ada perasa Milo dan ada juga perasa Ribena dan dijual 20 sen sebatang. Dia menghitung lagi jumlah yang perlu dijual untuk mendapat sekurang-kurangnya RM10 sehari untuk mendapat sekitar RM200 sebulan.

“Hari-hari jual ais krim? Ada ke orang nak beli?” saya menduga lagi.
“Apa kata jual lukisan,”cadang saya. Satu ketika permintaan terhadap koleksi lukisan kartunnya boleh tahan tinggi dan dia menjual hasil kerja tangannya sekitar 50 sen sehingga RM1.00 sehelai saiz A4. Lukisan tangan tersebut kemudiannya akan diwarnakan oleh para pembelinya,iaitu rakan sekolahnya.

Saya mengalih perhatian kepada Afiqah pula dan bertanyakan cara dia hendak mengumpul wang sebanyak itu. Kalau aset Arif merupakan koleksi lukisannya, ‘harta’ Afiqah pula adalah koleksi novelnya yang berjumlah melebihi 100 buah. Rakan sekolahnya sering ‘pinjam percuma’ dan ada juga ke tahap yang ‘memunya’. Banyak juga boleh dikumpul kalau dikenakan bayaran mengikut hari.

"Cuba fikirkan cara lain lagi untuk kumpulkan belanja ke sana.Buatlah perjanjian dengan adik beradik ayah( Adib ada 2 orang kakak dan 4 orang abang), setiap A dalam subjek diberi ganjaran dalam bentuk wang,tentukan jumlahnya. Tak boleh satu dua cara saja untuk dapatkan wang. Cuba fikir lagi!"

Kedua-duanya bertekad setiap bulan hasil keuntungan ‘perniagaan’ tersebut di simpan ke dalam akaun tabung haji masing-masing.

Tersenyum bahagia saya melihat mereka terdorong dan bersemangat mengumpul wang dan bertekad berkunjung ke Makkah dan Madinah lagi.

Friday, June 19, 2009

Perasaan Eksklusif Umrah Pertama

Terlalu banyak yang ingin dipindahkan dari catatan jurnal peribadi coretan tangan pengalaman perjalanan ke Tanah Suci ke blog. Tiada online langsung sepanjang di sana,hanya ‘online’ dan ber’chatting’ dengan Kekasih Yang Maha Pencipta. Dialog hati yang khusus untukNya sahaja.

Kini saya mengerti sepenuhnya mengapa ramai yang berulangkali ingin menjadi tetamuNya. Saya amat bersyukur diberi perasaan sebegini. Perasaan sebegini yang Allah serapkan dalam jiwa. Perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kosa kata yang biasa biasa dan kata sifat yang tiada dalam mana-mana kamus manusia.

Gembira,seronok,best,hebat,syahdu ,indah semuanya tidak menepati gambaran rasa. Malah,kata kata tersebut terlalu biasa.

Saya mengalami perasaan eksklusif yang dikurnia Ilahi kepada hambaNya.

Sekembalinya saya ke Malaysia,saya jadi suka untuk tidur walau kadangkala sukar untuk tidur. Bukan kerana kepenatan atau akibat tidak cukup tidur,tetapi kerana dalam tidur saya dapat mimpi yang amat indah.

Malam ketiga kembali ke Malaysia, saya bermimpi bersolat di Raudhah,kemudian menjingkit jingkit cuba melihat mimbar Rasulullah dan makam Saidatina Aishah. Tulisan,warna dan hiasan terukir jelas di mata saya.

Malam semalam saya bermimpi lagi.
Saya memasuki suatu bilik yang mempunyai jendela kayu usang namun apabila menjengah ke luar tingkap saya terpandang menara dan kubah hijau di makam Rasulullah. Kemudian azan berkumandang di dalam mimpi.

Setiap solat saya kini terpandang pintu Multazam,pancuran emas dan Kaabah.

Bagaimana boleh rasa seakan rindu sebegini ?
Saya katakan ‘seakan rindu’ kerana saya pasti ia lebih dari rindu.
Kalau boleh ingin saya katakan kepada setiap orang yang saya jumpa pengalaman dan perasaan ini.

Apa yang boleh saya sarankan ialah pasanglah niat dan berdoa dan PERGILAH KE SANA untuk merasai perasaan ekslusif ini! Subhanallah Alhamdullah Allahuakbar!
Coretan jurnal perjalanan saya akan dikongsi andai tergerak hati memindahkannya ke sini.

Nota: Baru pulang ke UiTM Segamat 14 Jun dan kini di Shah Alam sejak 17 Jun, mengikuti kursus 3hari di UiTM Malaysia,Shah Alam yang berakhir 4.30pm dan bersambung program ‘teambuilding’ mulai 8.30 pm tadi dan berakhir pada Ahad,21 Jun ini.

Dari meja di Bilik A3508D,UiTM Puncak Alam mengharapkan tidur saya nanti diiring mimpi di sana lagi.

Saturday, May 30, 2009

Pakaian Diriku

indahnya ketentuan
saat pakaian diriku disarungkan
13 tahun saling lengkap melengkapkan
kini di kota suci Makkah ikrar akan diraikan

tiada kata terbaik untuk pilihan hati
yang telah sebati dianugerahkan Ilahi

lalu kususun kata biasa biasa saja
namun lahir ikhlas dari jiwa

doaku, pakaian diriku tetap setia
kekal melindungku sampai syurga
hujan panas, dingin luruh ,berbunga bahagia

doaku, pakaian diriku dihiasi sulaman iman
bersama-sama melakar impian bertatah mutiara jaya
menuju hamparan akhirat melalui persinggahan dunia.

(Buat suamiku, Adib Lukman bin Ismail yang menjadi pakaian diriku dalam erti keseluruhannya. Terimalah kasihku, di ulangtahun pernikahan kita)

Hakcipta Nazhatulshima Nolan

Thursday, May 28, 2009

Kuasa Allah & Gerak Hati

29 Mei?30 Mei?1 Jun?6 Jun?

Ini adalah beberapa tarikh jangkaan saya bersalin menurut perkiraan doktor secara manual dan menerusi ultrasound.

Di saat terlintas di hati ingin bersama-sama Adib menunaikan umrah pertama kami, saya masih hamil.

Menurut rancangan asal, hanya Adib yang akan pergi bersama-sama keluarga kakak sulungnya dan keluarga abang bersama-sama ibunya pada bulan Mac 2009. Sebelum itu, terbit keraguaan sama ada dibenarkan mengerjakan umrah di usia kandungan 7 bulan. Sudah pasti tidak dibenarkan dalam trimester terakhir.

Rancangan berubah ke akhir bulan Mei. Pada saat itu ,saya turut berkata,sudah pasti tidak dapat saya ikut juga kerana baru sahaja melahirkan dan Adib pula akan membatalkan niatnya untuk menunaikan umrah bersama-sama ibunya.

Allah Maha Berkuasa.

Tidak 29 Mei! Bukan 30 Mei atau 1 Jun atau 6 Jun!

10 Februari jadi tarikh lahirnya dan kembali.Kisahnya boleh dibaca di sini.

3 hari selepas itu, berita kurniaan rezeki kenaikan pangkat menggerakkan hati untuk nekad menunaikankan umrah sekeluarga. Saya nekad. Sekiranya mengikut perkiraan, wang belum mencukupi untuk membolehkan kami berempat ke sana. Saya ikhlas memasang niat akan ke sana dan yakin Allah akan memberi rezeki apabila tiba masanya nanti. Syukur Alhamdulilah!

1 Jun 2009 kami sekeluarga dijangka berangkat pergi dan pulang semula pada 13 Jun 2009. Saya hanya berdoa,niat ikhlas menjadi nyata kerana akur Allah penentu segalanya.

Mohon dimaafkan segala keterlanjuran kata dan tingkah laku yang menyinggung rasa.
Mohon doakan kami selamat, sihat dan upaya untuk menyempurnakan ibadah umrah pertama kami.

Kaabah - Jauh & Dekat

setiap waktu ke arahnya
dari kejauhan
tanpa deria mata nyata

pertama kali terpandang
dari kejauhan
seperti ini









beberapa tahun yang lalu
sekadar dari
cermin tingkap
airmata berderai
sebak dada
menahan rasa sayu
mengenang saat
bisa dekat di situ

beberapa hari lagi
semakin hampir
saat menjadi
yang dilihat
dari kejauhan
dada berdebar
melepas rindu
nikmati waktu
jadi tetamuMu



insya ALLAH!

Monday, May 11, 2009

Puisi untuk Ibu - Kunjungan Semula

Saban hari di ruangan 'Feedjit Live Traffic Feed' di sebelah kanan blog ini akan tertera kunjungan yang mencari 'Puisi untuk Ibu' melalui pencarian google. Andai ini dapat dijadikan testimoni,maksudnya setiap hari ingatan terhadap seorang ibu itu tidak lekang dari ingatan anaknya. Sempena hari ibu, saya akan pautkan semula puisi yang saya cipta dua tahun lebih yang lalu.

Jemputlah ke pautan ini untuk membaca puisi Melayu dan di sini untuk membaca versi Inggeris.
Untuk makluman, ibu saya telah pun berkesempatan membaca puisi ini.

Tuesday, May 05, 2009

Sasaran Tercapai

Sasaran saya tercapai. Urusan pemeriksaan kertas telah berjaya saya selesaikan pada 30 April. Di hari cuti pekerja saya mengambil kesempatan mengemas rumah walaupun saya tahu saya perlu beri tumpuan kepada kerja yang lebih penting tetapi agak sukar memulakan kerja penyelidikan dalam keadaan rumah yang tidak terurus.Maklumlah saya tiada pembantu rumah.

Tugas di dewan peperiksaan sebagai Ketua Pengawas pula telah saya bereskan pada 3 Mei.

Tumpuan kepada penyelidikan kini dan saya menjangkakan sasaran kerja penyelidikan saya juga tercapai sebelum bertemu penyelia saya pada hari Jumaat ini.

Untuk sambungan kisah mengapa di entri sebelum ini,sila baca di sini.

Saya hanya mengambil masa rehat 5 minit sekarang sebelum menyambung kerja data analisis yang amat mengujakan.

Saturday, April 25, 2009

Laman Web & Peperiksaan

Laman web UiTM Johor akan dijadikan penanda aras kepada semua cawangan lain di seluruh Malaysia. Sepanjang 2 hari yang lalu, saya telah ditugaskan untuk mengikuti kursus Joomla 1.5 dan bertindak sebagai penulis buat Akademi Pengajian Bahasa. Kami ditunjukkan cara dan perkara asas yang penting untuk diletakkan ke dalam web. 2 hari belum mencukupi untuk menyelesaikan segala pemindahan maklumat yang ada. Perkara yang lebih mencabar ialah untuk mendapatkan maklumat setiap orang pensyarah dan juga gambar dan aktiviti. Maklumat kursus pula tidak terdapat dalam bentuk softcopy dan perlu ditaip semula. Setakat ini, perkara asas seperti maklumat setiap kod kursus yang ditawarkan dalam jabatan bahasa Inggeris, Mandarin dan Arab telah dapat disempurnakan. Direktori asas senarai pensyarah terkandung maklumat jawatan, nombor telefon dan alamat emel juga telah selesai ditaip. Kini saya perlu mendapatkan maklumbalas setiap pensyarah berkaitan biodata masing-masing yang telah saya emelkan template CVnya. Jam 5 petang semalam ,kursus pun berakhir dan saya pula mengatur langkah ke bilik gerakan peperiksaan.

Peperiksaan BEL311 tamat jam 5.45 pm dan bungkusan kertas peperiksaan tiba sekitar jam 6 petang dan saya pun mengambil bungkusan kertas yang perlu disemak dengan penuh teruja. Dua hari ini tumpuan saya beralih pula untuk menyemak dan menilai kertas peperiksaan 14 halaman soalan kefahaman dan esei. Eh,mana ada cuti walau Sabtu dan Ahad! Mesyuarat semakan akan diadakan untuk membincangkan segala permasalahan yang timbul pada Isnin pagi. Semuanya perlu selesai disemak dan markah perlu diisi, dicetak,disemak semula dan dihantar sebelum 1hb Mei ini. Saya sendiri mensasarkan semuanya selesai pada 29 April ini kerana 2 bungkusan kod kursus BEL120 pula menunggu untuk disemak pada hari tersebut.

Dalam masa 4 hari sahaja? Baiklah saya beredar dari skrin ini untuk memastikan kerja selesai selaras sasaran. Esok saja akan saya mulakan kerana memberi laluan kepada mata, minda dan tubuh beristirehat secukupnya sebelum memulakan tugasan. Tambahan lagi, jam 4 pagi nanti perlu menghantar Afiqah dan Arif ke sekolah pula. Mengapa? Tunggulah coretan saya seterusnya.

Thursday, April 23, 2009

Piala

"Ibu,pasukan adik dapat Johan bola sepak!"Arif sungguh teruja sambil memegang piala.
Beberapa hari kemudian, "Ibu, adik dapat Johan pertandingan Azan!"
"Adik nak masuk pertandingan banyak-banyak sebab nak lawan kakak yang dah banyak piala."

Arif memang suka bersaing dan sejak kecil,iaitu sejak usianya 2 tahun dia sering dapat tempat pertama dalam pertandingan mewarna dan berjaya memenangi pertandingan mewarna anjuran pihak MPH dan beberapa pertandingan lagi.

Afiqah pula selain deretan piala akademiknya(terbaik untuk beberapa subjek sejak tahun 1), dia pernah mendapat Johan 'Storytelling' peringkat SRAB negeri Johor semasa di tahun 3. Pada hujung minggu ini dia akan mewakili SRAB Segamat untuk pertandingan 'Public Speaking' peringkat negeri Johor.

Saya doakan dia dapat menambah koleksi piala emasnya dan yang lebih penting dia menjadi lebih yakin untuk berucap di hadapan khalayak ramai.

Wednesday, April 22, 2009

Berat Badan Berlebihan

Sekarang saya mempunyai masalah berat badan berlebihan yang paling berat di sepanjang umur hidup saya. Tidak pernah saya seberat ini walaupun ketika hamil. Sewaktu mengandung anak ketiga, saya akui saya banyak dinasihati doktor untuk tidak bergerak banyak untuk mengelakkan pendarahan berlaku. Akibatnya, setelah anak saya keluar, saya hanya kehilangan 3 kilo.

Berat ideal saya adalah di zaman saya di sekolah menengah. Sejak darjah 6 sehingga Tingkatan 4, saya merupakan pemain bola jaring sekolah. Latihan diadakan setiap minggu. Saya juga aktif berkawad dan menunggang basikal ke sekolah setiap hari selama 30 minit pergi balik sekolah kebangsaan dan 20 minit pergi balik sekolah agama.

Sewaktu di universiti, saya kurang aktif bersukan tetapi aktiviti beralih kepada seni silat dan juga kelab ‘hiking ‘ dan ‘camping’ yang masih memerlukan latihan untuk memanjat gunung dan berjogging selalu sebagai persediaan mendaki gunung.

Setelah berkahwin dan melahirkan anak pertama,berat semakin meningkat tetapi saya sering mengikuti kelas aerobik dan juga berenang dan masih lagi berada dalam tahap berat badan ideal.

Apabila mengandungkan anak kedua, berat badan meningkat lagi dan walaupun ada pendapat mengatakan menyusukan anak sepenuhnya dapat mengurangkan berat badan, ia tidak berlaku kepada saya. 4 tahun saya menyusukannya sepenuhnya tetapi berat badan saya tetap bertambah.

Saya sedari sejak berpindah ke Segamat, saya tidak memasukkan rutin bersenam dalam kehidupan seharian saya. Kehidupan seharian hanyalah ke kelas, ke pejabat dan kembali ke rumah dan kadangkala berkejar semula untuk mengikuti aktiviti pelajar di sebelah malam. Jadual yang padat dijadikan alasan.

Masalah saya yang paling besar ialah suami saya tidak kisah dengan keadaan saya yang semakin membesar. Seringkali apabila saya menyatakan kerisauan, dia akan membalas bahawa dia tidak pernah mengadu atau merungut dan mengatakan asal saya sihat sudah mencukupi baginya. Namun ahli keluarga saya sangat pentingkan penampilan. Setiap kali saya bertemu mereka, komen yang pertama mereka kepada saya ialah tentang bertambahnya saiz badan saya dan saya perlu buat sesuatu dan suami pula selalu mempertahankan saya dengan mengatakan dia hanya mengharapkan saya sihat sudah mencukupi.

Kini,berat badan saya di tahap berlebihan dan risiko gangguan kesihatan menyedarkan saya untuk mengawal keadaan ini. Saya telah memulakan rutin berjalan kaki sekeliling kawasan kampus serta mengawal diet saya.

Doakanlah saya kuat semangat untuk berusaha kembali ke berat badan yang ideal bagi ketinggian saya demi kesihatan.

Monday, April 20, 2009

Pesta Buku-Tanpamu Kutetap Bibliobankrupsi

Betapa saya menahan diri untuk tidak turutserta ke Pesta Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung minggu ini. Mengapa? Tanpa pesta buku sahaja,sejak Januari saya telah berbelanja membeli buku secara online dan secara langsung dan jumlahnya mencecah ke 4 angka RM.

Saya tidak mampu lagi untuk berbelanja walau hati meronta-ronta ingin ke sana,walau sekadar untuk melihat-lihat saya tidak percaya saya dapat menahan perasaan dari tidak membeli buku.

Keputusan ini harus dibuat untuk memastikan peruntukan saya untuk menunaikan suatu hajat mencukupi dan dapat dipenuhi. Hajat apa? Biarlah rahsia buat masa ini. Saya akan menyatakannya apabila tiba masanya nanti.

Saya hanya membaca kemeriahan pesta buku dengan penuh rasa cemburu, namun prioriti tetap prioriti.

Ya Allah,izinkanku sekeluarga menjadi tetamuMu!

Dr Jeniri Amir & Keajaiban Penulisan

Mendengar syarahan Dr Jeniri Amir,seorang penulis prolifik tentang penulisan memang amat mengujakan.

Kebolehannya menulis sebuah buku dalam masa 5 hari dan 86 halaman dalam masa 16 jam memang mengagumkan.

Beliau memulakan syarahan dengan menyenaraikan 7 kenikmatan sebagai seorang penulis,yang akan saya ringkaskan dengan kata kunci sahaja tanpa huraiannya ,iaitu:

1. Penemuan baru
2. Keseronokan dan kegilaan
3. Hasil penulisan selesai
4. Penerbitan buku dan tertera nama
5. Terima maklumbalas pembaca
6. Dikenali orang & memudahkan urusan
7. Wang

Beliau ternyata bukan sahaja berbakat menulis tetapi berupaya menyampaikan syarahan dengan penuh berkesan apabila fakta dan tips diselang selikan dengan anekdot dan lelucon membuatkan khalayak pendengar tidak kering gusi jadinya.

Setelah huraian kenikmatan seorang penulis berjaya menarik perhatian, beliau mengekalkan tarikan itu sehingga ke penghujung bicara dengan menyenaraikan langkah-langkah pasti untuk mencapai kenikmatan tersebut.

1. Kurangkan tidur
2. Bangun awal &terus menulis
3. Singkatkan masa menonton TV & berbual kosong
4. Kurangkan masa rehat tengahari
5. Tulis secara konsisten
6. Gunakan kaedah KJ
7. Jangan anggap menulis sebagai hobi
8. Jangan menunggu mood
9. Kurangkan kegiatan kurang penting
10. Sediakan tempat yang sesuai
11. Mesti minat membeli,menyimpan dan merujuk buku
12. Menulis
13. Gunakan hari Sabtu & Ahad
14. Tumpukan kepada bidang kepakaran
15. Berkunjung ke kedai buku
16. Pelajari semua ciri computer
17. Paling penting... “jika semua tidak dapat dilakukan, lupakan cita-cita menjadi penulis!”

Sebelum sesi soal jawab bermula , beliau menyatakan ciri-ciri rahsia sebuah buku yang baik.

Untuk mengetahui lebih lanjut rahsianya, eloklah berhubung langsung dengannya di alamat emel jamir@fss.unimas.my. Saya pasti beliau amat senang berkongsi 7 kenikmatan dan 17 langkah pasti serta rahsia isi buku yang baik dengan anda.
Secara peribadi, saya ingin sekali ketahui rahsia beliau menyudahkan sarjana kedoktorannya dan di masa yang sama boleh menulis sebanyak 9 buah buku. Pelbagai idea penulisan bercambah hasil mendengar penyampaian syarahan beliau.

Di sudut lain, kedua-dua penyelia Phd saya,iaitu Prof Dr Datin Hajibah Osman dan Prof Dr Hj Muhd Kamil Ibrahim, telah memberi amaran /nasihat supaya saya fokus dengan penyelidikan Phd saya dan seterusnya segera menyiapkannya. Kedua-dua mereka berjaya menyiapkan Phd mereka dalam masa yang singkat,iaitu sekitar 2 tahun & 2 tahun setengah.

Mungkin saya boleh aplikasikan 'langkah pasti' Dr Jeniri dalam hal ini juga. Ini yang tidak sempat saya tanyakan pada hari syarahan berlangsung.Namun,di zaman alam maya ini sudah pasti saya akan hubungi beliau melalui emelnya.

Doakanlah saya dapat menurut jejak mereka segera,ya? Insya-Allah!

Monday, April 13, 2009

Ujana Ilmu & Kutub Khanah Nisah Haron

Tawaran bermalam di rumah Nisah Haron diterima dengan penuh teruja.

Saya mengenali Nisah sejak 15 tahun lalu ketika kami sama-sama sedang mengikuti pengajian ijazah sarjanamuda masing-masing;saya di bidang TESL dan beliau jurusan undang-undang. Walau berlainan bidang kami bertemu ketika sama-sama menjadi AJK,seingat saya sebagai setiausaha pertandingan menulis esei sempena menyambut 25 tahun UKM dan juga program universiti yang lain. Kemudian kami mengikut haluan masing-masing sehingga bertemu kembali pada tahun 2006 ketika UiTM Johor menjemput beliau dalam Bengkel Penulisan Kreatif yang diadakan di UiTM Dungun. Saat itu,saya menemani beliau separuh jalan ketika beliau memandu ke sana dan kami berbual panjang.

Sejak pertemuan semula itu, kami seringkali bertemu di bengkel penulisan dan kebiasaannya saya sering menjadi pelanggan Ujana Ilmu Nisah yang setia. Selain itu, saya juga berurusan membeli secara online dan buku-buku pilihan akan diposkan dengan rapi sekali.

Jumaat malam yang lalu ,saya dijemput berhampiran tol Senawang oleh Nisah dan 4 puterinya. Sesampai di rumahnya,saya ditunjukkan bilik tamu yang telah disediakan. Saya lebih teruja melihat rak yang sarat dengan deretan buku-buku. Setelah meletakkan beg di bilik, pandangan saya lebih tertarik ke arah deretan buku.

Usai makan malam spageti hidangan Nisah,saya dibawa ke bilik kutub khanah peribadi Nisah dan bilik operasi Ujana Ilmu. Mabuk buku jadinya melihat pelbagai judul yang menjadi perhatian sambil saling bertukar pendapat tentang buku yang telah kami baca dan saranan beliau terhadap buku-buku yang patut dibaca. Kami bersembang buku hingga hampir jam 12 malam dan saya pula telah memilih hampir 20 judul (termasuk beberapa judul novel untuk kedua-dua anak saya) untuk dibawa pulang. Ada juga buku koleksi peribadi Nisah yang dipinjamkan kepada saya.

Malam itu saya tidak dapat lelapkan mata dengan nyenyak apabila dikelilingi buku-buku yang baru dipilih dan hanya tidur-tidur ayam . Sekitar jam 3 pagi, saya fikir perlunya saya untuk lelap seketika namun kerap tersedar dan akhirnya terjaga pada jam 5.30 sementara menanti Subuh.

Pastinya kunjungan ini bukanlah yang terakhir dan mungkin di lain waktu Afiqah akan turutserta menikmati ‘bufet buku pelbagai rasa’.

Terima kasih yang paling dalam dari saya buat Nisah Haron di atas jemputan dan layanan istimewa.

Lawatlah Ujana Ilmu untuk mendapatkan buku yang sukar didapati di pasaran mahupun yang ada di pasaran.

Wednesday, April 08, 2009

Penghujung Semester

44 hari bercuti telah berlalu
Kembali bertugas
Sisa 2 minggu terakhir kelas
Tumpuan kepada peperiksaan
Kertas ujian disemak dan diserahkan
Perbincangan kesilapan dibuat
Latihan esei diberikan
Menuntut waktu semakan pula
Markah perlu ditaip
Esok kelas terakhir
Peperiksaan menanti
Penghujung April ini

(entri terapi yang kaku)

Thursday, March 26, 2009

Rahsia 44 Hari

Saya tidak pasti sebelum ini mengapa tradisi berpantang 44 hari selepas bersalin diamalkan masyarakat Melayu. Menurut pembacaan saya dari buku ‘Ensiklopedia Perbidanan Melayu’ (Anisah Barakah,2007:196), ada rahsia di sebalik angka 44 di sudut ilmu dan tradisi Melayu.

Rahsia alam dan sifat kejadian manusia dilambangkan dengan angka 44 . Alam dikatakan mempunyai 4 penjuru dan setiap penjuru melambangkan unsur tanah, air, api dan angin. Dalam ilmu sufi,sifat kejadian manusia dilambangkan secara makrifat melalui keempat-empat unsur. Di setiap penjuru pula dibahagikan lagi kepada 44 dimensi dan di setiap dimensi dijaga pula oleh 44 malaikat dan mungkin inilah juga sebabnya kita sering mendengar lumrah masyarakat Melayu dahulu menyebut ‘selisih malaikat 44’ atau ‘simpang malaikat 44’.

Ilmu makrifat turut menyatakan perkaitan kejadian alam dan pergerakan cakerawala di mana 4 penjuru alam yang mengandungi 44 dimensi itu berhubung langsung dengan alam nyata. Kejadian manusia,berasal daripada tanah, bermula daripada perjalanan roh melalui 44 dimensi. Tanah ialah makam ketujuh daripada peringkat petala bumi. Justeru,deria rangsang manusia berkait rapat dengan pergolakan kejadian alam.
Proses kematian seseorang pula dikatakan bermula 44 hari sebelum kematiannya,iaitu dipercayai pintu dimensi telah terbuka dan ia menghubungkan alam nyata dan alam ghaib.

Dengan itu, konsep pemulihan seseorang perlu melalui pusingan yang sama dalam proses kejadian manusia,iaitu 44 hari sebagai waktu sempurna pulih sediakala.
Tempoh pantang bagi yang keguguran pula bergantung kepada usia kehamilan. Bagi yang keguguran di usia kandungan antara 2 minggu hingga 3 bulan,perlulah berpantang selama 30 hari. Di usia kandungan 4-5 bulan, pula berpantang selama 40 hari dan di usia kandungan 6 bulan dan ke atas , jumlah hari berpantang adalah 44 hari.
Ibu keguguran perlu elakkan makanan berangin seperti ubi keladi, rebung, sayur keladi, pucuk paku, pucuk ubi, serta terung. Makanan yang sejuk dan menjalar seperti labu, kangkung, kacang panjang, timun dan buah-buahan yang sejuk seperti betik, ciku, langsat,duku, macang,kuini, nangka, cempedak, pisang masak hijau, durian belanda dan tembikai madu juga harus dijauhi. Ikan yang berbisa seperti ikan berduri, terubuk, bawal hitam, tudung periuk, cencaru, tamban, sardine, pari dan makanan laut seperti udang, sotong,kerang, belacan, budu, cencaluk, ikan masin turut ditegah.

Menurut penulis lagi, walaupun petua pantang larang kelihatannya seperti tidak logik atau kejam, ada bukti yang menunjukkan ibu yang melanggar pantang larang ini mendapat alahan seperti sakit bentan urat, demam yang susah turun, rambut gugur, mudah sayu, alahan kulit dan cuaca serta mudah letih.

Rutin pemakanan adalah termasuk meminum jamu dan air ubat periuk yang mengandungi rempah herba akar kayu pelbagai. Pemakaian barut dan bengkung juga penting selepas perut dilumur kapur dan limau di bahagian perut dan disapu param seluruh badan. Urutan seluruh badan didahului sebelum pemakaian bengkung. Kaki perlu disarung stokin,dahi pula dilumur pilis dan rambut diikat kemas dan ketat. Memang buruk rupa dan baunya sewaktu berpantang,salah satu tujuannya dikatakan supaya suami tidak rasa teringin mendekati.

Itulah serba sedikit pantang larang yang dapat diamalkan,ada beberapa lagi perkara yang tidak saya coretkan di sini. Wallahualam!

Apapun, Ensiklopedia Perbidanan Melayu terbitan Utusan Publications ini harus dimiliki oleh semua wanita, khususnya yang sedang merancang untuk hamil,sedang hamil atau yang telah melahirkan. Ia mengandungi 8 bahagian merangkumi sejarah ilmu perbidanan, proses kehamilan,proses kehamilan, proses kelahiran, kaedah rawatan intensif,menyambut kelahiran bayi,ketidaksuburan dan keguguran dan disertakan glosari,senarai doa dan senarai tumbuhan dimuatkan dalam 343 halaman.

Tulisan ini adalah sempena hari ke-44 saya berpantang.

Selawat dan Doa

Disaat solat telah dapat saya tunaikan, hati menjadi tenang dengan beberapa amalan selawat dan doa berikut. Selain doa dan wirid selepas solat,saya suka amalkan, selawat tafrijiyah(11 kali), selawat tib dan ayat 1000 dinar(3 kali). Maksud ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut.

Selawat Tafrijiyah

“Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahkanlah rahmat dengan sempurnanya dan kurniakanlah kesejahteraan secukupnya ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w rahmat yang dengannya terbuka segala ikatan, hilang segala kesusahan, terlaksana segala hajat dan tercapai segala cita-cita dan dipohonkan kesudahan yang baik, diharapkan turun hujan dengan berkat wajah baginda yang mulia, dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas keluarga dan sahabat-sahabat baginda pada setiap gerakan mata dan hembusan nafas sebanyak bilangan benda yang ada dalam maklumanMu.”

Selawat Tib

"Ya Allah Ya Tuhan kami,limpahkanlah rahmat ke atas junjungan Nabi Muhammad yang dengannya dapat mengubati hati(yang kusut) dan menjadi penawar, menyihatkan badan (dari segala penyakit) yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pemandangan (mata) dan menyinarkannya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan sahabat baginda sekalian."

Ayat 1000 Dinar- Surah At-Talaq Ayat 2 & 3

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakinya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Sunday, March 15, 2009

Doktor Contoh

Walau saya menyuarakan rasa kurang senang dengan beberapa keadaan yang berlaku kepada saya secara peribadi di hospital di entri sebelum ini,saya terpanggil untuk mencoretkan tentang 2 orang doktor yang perlu dicontohi dan saya hargai. Dua orang doktor tersebut adalah Dr Nuribah Upawi dan Dr Irwan.

Saya hargai penjelasan berhemah Dr Nuribah ketika saya berada di dalam kerisauan. Ketika lawatan beliau di pagi Selasa,10 Feb,kami berdialog begini.

“Doktor, saya memang amat bersedia dengan cara-cara untuk bersalin kerana telah mengalaminya 2 kali. Walau saya tidak berputus harap, saya mohon penjelasan apa yang akan berlaku di saat keadaan bayi saya tidak dapat diselamatkan. Saya mahu bersedia dari segi mental. Boleh doktor tolong jelaskan?”
“Sama keadaannya seperti hendak melahirkan. Ada rasa rengat,mungkin singkat waktunya atau mungkin juga berlaku berhari-hari sebelum keluar semuanya. Ada juga yang tidak rasai sakit tetapi darah tumpah tiba-tiba dan diikuti keseluruhannya.”
“Ada ubat yang digunakan untuk mengeluarkan atau secara semulajadi?”
“Tiada ubat. Kita hanya tunggu.”
“Pernah kejadian begini berlaku dan kedua-dua ibu dan bayi selamat?”
“Ada juga,tetapi ibu tersebut perlu kurang bergerak dan tidak membuat sebarang kerja berat.”
“Tetapi dalam keadaan awak yang berbaring tetapi masih berlaku pendarahan,agak kritikal.”
“Jadi doktor,saya akan rasa sama seperti hendak bersalin?”

Doktor mengganguk.

“Terima kasih doktor. Saya hanya cuba menyiapkan diri saya supaya tahu bagaimana hadapi keadaan.”

Dialog ini berjaya membuat saya hadapi keadaan dengan tenang.

Kedua, Dr Irwan yang saya temui di sesi pertemuan susulan Khamis,12 Mac lalu.
“Doktor, boleh saya tahu puncanya?”
“Tak dapat dipastikan puncanya. Kalau nak tahu ,perlu dibuat post-mortem ke atas bayi. Lagipun, ini baru berlaku pertama kali. Puan pernah melahirkan 2 orang anak secara normal sebelum ini. Kita hanya akan melakukannya sekiranya ia berlaku berulang kali. Ia juga memerlukan pelbagai pemeriksaan dan melibatkan kos.”

“Apakah kemungkinan yang menjadikan penyebab?”
“Mungkin jangkitan virus sebab puan demam panas malam sebelumnya tetapi tak dapat nak dipastikan sepenuhnya.”
Ada beberapa perkara lagi yang disampaikan dengan penuh kesabaran walau disaat itu waktu telah menjejak jam 1 petang.

Merekalah doktor yang patut dicontohi dan saya gembira mereka masih wujud di hospital kerajaan.

Doktor yang tidak patut dicontohi ada saya coretkan di entri sebelumnya. Seorang ialah doktor yang tidak mahu memberikan pil untuk saya hentikan susu apabila saya memintanya.

Seorang lagi doktor pula,yang ditemui di sesi susulan sebelum ini hanya memeriksa saya kurang daripada 5 minit dan tidak memberi peluang saya bersoal jawab tentang keadaan kesihatan saya. Terpinga-pinga saya apabila diarahkan keluar selepas membuat pemeriksaan ultrasound.

Saya harap mereka akan berubah menjadi lebih professional.
(Saya telah membuat aduan secara lisan tentang perkara ini)

Thursday, March 12, 2009

Arif Nukman 10 Tahun

Arif dengan terujanya menagih janji saya menulis kisah ini sekembalinya daripada sekolah semalam petang. Peristiwa penting ini berlaku 10 tahun yang lalu.

Sepanjang kehamilan kedua ,saya begitu aktif sekali. Turun naik bas mini ke sekolah dari seksyen 17 ke 16 setiap hari. Di sebelah pagi mengurus rumah ,memasak,membasuh dan menjaga Afiqah yang berusia setahun lebih waktu itu.Di sebelah petang mengajar ke sekolah dan sebelah malam pula memenuhi permintaan kelas tambahan Bahasa Inggeris anak-anak jiran dan tidak dilupakan melayan suami tersayang. Pada hari Sabtu juga saya ke sekolah membuat kelas tambahan percuma, selain mengajar tarian tradisional(asyik) kepada pelajar kelab kebudayaan. Jadual memang sentiasa padat dan syukur saya tidak mengalami mabuk atau muntah-muntah dan sebarang komplikasi lain.

Menurut doktor, tarikh kelahirannya dijangka pada 11.3.99. Pada pagi itu,selesai solat Subuh dan bersarapan, saya mengajak Adib berjalan kaki di sekeliling kawasan perumahan di Seksyen 17 Shah Alam sebelum dia bergerak ke pejabatnya di Taman Teknologi Malaysia. Memang meletihkan dan saya rasakan itulah harinya lalu bercadang tidak ke sekolah pada petang itu dan saya telah bersedia untuk bersalin.

Selepas solat Zohor,saya terlalu letih dan tertidur sehingga jam 5 petang apabila perut saya terasa sangat lapar. Usai makan,terasa resa nak membuang air besar. Diikuti pula dengan sedikit pendarahan dan mulai terasa sakit pada jam 5.30 petang.
Airmata kesakitan mulai turun dan Afiqah minta saya mendukungnya di saat itu. Telefon pula tiada dan saya memohon bantuan jiran untuk menghubungi Adib tetapi tidak berjaya dihubungi. Tidak berapa lama kemudian Adib pun tiba dan saya terus dihantar ke hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Hujan renyai,kenderaan berderet dan saya pula alami rengat setiap 5 minit.
Sepanjang jalan berselang seli rentak rengat dan bacaan zikir. Beberapa kali saya rasakan seperti ingin melahirkan di dalam kenderaan sahaja tetapi berulang kali Adib meminta saya bersabar.

Kurang lebih jam 6.30,Proton Saga kami berada di ruangan kecemasan dan saya didudukkan di atas kerusi roda dan disorong ke dalam. Saya diminta jururawat untuk mengisi borang.
“Saya dah nak bersalin ni.”
Saya disuruh berbaring untuk diperiksa dengan nada yang agak kasar.
“Janganlah marah-marah, saya sakit ni.Cakap baik-baik tak boleh ke?”

Setelah berbaring dan melihat kepala Arif hampir keluar, barulah jururawat itu kelam kabut menyuruh saya duduk semula di kerusi roda dan menolak saya ke wad bersalin.
Di wad bersalin,saya dibaringkan di atas troli, tiada katil yang kosong, ada lebih kurang 7 orang lagi yang sedang mengalami sakit bersalin.Saya diletakkan di hujung kaki seorang ibu yang juga sedang mengerang kesakitan.

Seorang doktor wanita menghampiri saya dan saya meneran sebanyak 2 kali dan lahirlah Arif Nukman pada jam 6.46 petang. Sejurus keluar, Arif diletakkan ke dada saya. Saya terus menyuakan bibir kecilnya unuk menikmati titisan kolostrum yang penuh khasiat sambil doktor memutuskan tali pusatnya. Itulah saat yang amat bahagia sekali dan segala kesakitan telah lenyap. Saya menyimpan tekad untuk menyusukannya selama yang mungkin dan alhamdulilah Arif menyusu sepenuhnya selama 4 tahun tanpa sebarang campuran susu formula. Arif pun berhenti menyusu dalam keadaan terpaksa kerana saya diserang demam denggi dan terlalu lemah untuk menyusukannya.

6 tahun telah berlalu sejak kali terakhir Arif menyusu dan dia pula sudah terlupa bagaimana rasanya. Namun,dia masih rindu untuk merasa sedikit,...katanya!

Ibu doakan Arif Nukman menjadi anak yang soleh,taat pada Allah dan Rasulnya,berjaya di dunia dan akhirat. Amin!

Tuesday, March 10, 2009

Siaran Ulangan 9 & 10 Februari 2009

Saya cuba membiarkan kisah ini berlalu. Namun bagai siaran ulangan di kaca TV,ia masih lagi mendapat ranking tertinggi dalam khalayak minda ini. Saya cuba menukar ke siaran lain tetapi kisah ini juga yang tersiar. Ditambah pula setiap yang datang berkunjung akan bertanyakan apa sebabnya. Bagaimana ia berlaku? Mungkin mudah saja andai saya katakan telah tertulis skripnya di Loh Mahfuz begitu oleh Maha Pencipta. Noktah. Tidak mungkin begitu tata bicara saya terhadap tetamu yang menziarah?

Petang Isnin,9 Februari itu,saya rasa bisa satu badan dan suhu badan kian meningkat. Sedikit pendarahan juga berlaku tetapi menurut doktor ,saya perlu banyak berehat dan tidak banyak bergerak. Selepas solat Isyak masih lagi bisa-bisa badan dan semakin meningkat suhu badan saya. Cuti umum. Keputusan diambil untuk ke hospital Segamat sahaja. Dalam perjalanan ada perarakan perayaan Chap Goh Mei dan perjalanan terhenti sekitar 20 minit. Saya dalam kesakitan tetapi tiada apa yang dapat dilakukan kerana tersekat di antara kenderaan lain. Perjalanan ke hospital mengambil masa selama 45 minit.
Setibanya di hospital,saya ditolak dengan kerusi roda. Suhu diambil. Bacaan 39 Celsius. Saya ditahan dan di bawa ke wad 9. Diberi 2 biji Panadol untuk redakan demam.
Seorang doktor memeriksa keadaan saya dibantu seorang jururawat.
“Ada bukaan 2cm!”
“Dah nak keluar ni.”
Saya terkejut dengan penjelasan doktor.
Doktor menggunakan alat ultrasound untuk melihat keadaan bayi saya.
“Nampak keadaan bayi ok. Itu jantungnya. Masih berdegup seperti biasa.”
“Tapi ini ‘fresh blood’,nampaknya kena keluarkan ni.”
Masih tidak percaya dengan penerangan doktor, saya berkata,
“Nanti dulu doktor! Saya masih tidak berputus asa. Saya tengok keadaan bayi saya baik sahaja. Anak pertama saya dahulu,saya dah buka 4 cm semasa 7 bulan tetapi saya dapat bertahan dan dia lahir cukup 9 bulan.”
Doktor nasihatkan saya bertenang,berehat dan kurang bergerak.
Saya diletakkan berdekatan dengan kaunter jururawat. Ada7 katil lain di hadapan dan seiring katil saya.
Demam saya beransur reda. Namun mata saya tidak dapat lelap. Pertama,risaukan keadaan bayi saya. Kedua, bunyi deringan telefon bimbit para pesakit berbagai rentak dan irama bersilih ganti dengan deringan telefon di kaunter jururawat. Selewat jam 3 pagi,salah seorang pesakit membiarkan lagu Korea menjerit-jerit tidak terangkat,sekitar 5 kali kerana tuannya enak dibuai mimpi. Sebentar kemudian deringan irama poco-poco pula kedengaran dari telefon bimbit pesakit lain. Kesudahannya, saya tidak tidur sampai ke pagi dan rasa amat terganggu dan tertekan sekali.
Mulai jam 4.30 pagi saya telah mengalami rengat. Setiap 5 minit ia berulang. Saya cuba bertahan. Bisanya seluruh badan menahan daripada bergerak. Terasa juga pendarahan berlaku.

Apabila doktor datang memeriksa saya,saya merayu kepada doktor untuk berpindah ke wad kelas pertama kerana saya tidak dapat tidur dan bertenang. Tidak berjaya atas alasan memudahkan jururawat melihat saya.
Saya juga memohon untuk pindah keluar ke hospital swasta.
“Sekiranya saya tidak diberi sebarang rawatan,mengapa perlu saya terus di sini?”
Doktor tidak memberi kebenaran untuk saya keluar .

Apabila jururawat pelatih datang memeriksa sekitar jam 2 petang, degupan jantung bayi saya masih lagi kedengaran. Jam 3 petang saya masih rasakan tendangannya berkali-kali.

Waktu melawat merupakan kemuncak ‘ketenangan’ saya. Suasana di sekeliling bagai pesta. Pelawat berkunjung,bergurau senda. Ada sekumpulan kanak-kanak kecil berkejar-kejaran di dalam wad.
“Satu! Dua ! Tiga!” Beberapa kanak-kanak itu berlumba lari di hadapan saya,seorang pesakit yang dikatakan ‘kritikal’ ini.
Sekitar jam 8 malam, kesabaran saya mulai teruji apabila katil di hadapan saya masih lagi tetamunya bersembang ceria.

Saya memanggil seorang jururawat.
“Tolonglah saya. Bagaimana saya nak berehat dan bertenang dalam keadaan begini?”
“Tolonglah pindahkan saya sekarang!”rayu saya.
“Puan kena bertenang. Kalau stres,lagi banyak darah keluar.”jawabnya.
“Perhatikanlah keadaan sekeliling,macam mana saya dapat berehat dan bertenang? Saya tidak tidur sepanjang malam.”
“Saya bukannya cerewet mahu berpindah ke kelas satu. Saya tak kisah pun makanan saya berbeza menu atau cara hidangannya.”
“Nanti pengawal akan datang dan suruh mereka balik,”ujar jururawat itu.
“Awak tidak boleh ke tegur mereka? Dah 8.15pm sekarang,saya sangat stres ni.”
Saya memegang tangan jururawat yang hendak beredar dari sisi.
“Tolonglah bagi tahu mereka suruh senyap sikit.”

“Saya ada kes baru ni,”balas jururawat itu seperti saya ini menyusahkannya.
“Tunggulah sekejap,”rayu saya lagi sambil memegang erat tangannya sambil merasakan darah semakin deras mengalir.
“Saya perlu buang air kecil sekarang juga,di sini,tolonglah!”
Dalam hati saya menjerit-jerit,"Tolong diam!" Tetapi saya masih mampu bertahan dengan bacaan zikir.

Sekumpulan pelawat di hadapan saya barulah beransur keluar.

Sambil jururawat pelatih menyediakan segala kelengkapan saya sempat menghubungi Adib.

“Tolonglah cepat sikit datang! I dah sakit sangat ni!"

Kisah selanjutnya bersambung di sini.

Sunday, February 22, 2009

Takziah & Tahniah...Allah Ya Jabbar!

Saya sedang menekuni buku 99 Kecerdasan berasaskan Asmaul Husna karya Sulaiman Alkumayi sejak 1Februari. Sehari satu nama Allah saya hayati dan cuba fahami. Dan khasiat mengamalkan zikirnya saya coretkan dalam Facebook untuk dikongsi. Pada 9 Februari pembacaan saya terhenti kerana saya dimasukkan ke hospital dan keesokan harinya saya melahirkan dan kehilangan arwah Amina Nuraini.

Apabila saya menyambung pembacaan saya, maksud Al –Jabbar ialah Yang Kehendaknya Tidak Dapat Diingkari atau Yang Maha Pemaksa.
Saya teruskan lagi pembacaan saya ke halaman 76 dan tertera ayat-ayat berikut:
Tuhan memutuskan suatu hukum yang berlaku di seluruh alam raya ini, orang dapat menyingkap rahsia-rahsia keindahan cinta, dan pengetahuan, tetapi harganya adalah ketahanan,penderitaan dan kesabaran.

“Dan sesungguhnya, kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui yang (bersedia) berjihad dan bersabar di antara kamu,”[Muhammad,31]

Namun pada akhirnya,janji Tuhan adalah,
“...dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar,”[Al-Baqarah,155]

Ya Allah Ya Jabbar!

3 hari selepas pemergian arwah Amina Nuraini,iaitu pada 13 Februari 2009 merupakan hari ulangtahun saya yang ke-37. Sepanjang hari saya dikelilingi orang yang saya sayangi. Ibu, Mak , Abah,Adib ,Afiqah,Arif, beberapa makcik saudara saya( Khalah, Aunty Chik, Aunty dan Aunty Nozie) dan Mak Arah turut datang berkunjung menjelang tengahari. Mereka cuba menceriakan hari lahir saya. Pelbagai makanan yang dibawa dari Batu Pahat walau tidak kesemuanya dapat saya jamah kerana perlu berpantang. Mee bandung, coklat kek ‘Secret Recipe’, marble kek dan roti naik. Pada hari itu juga segala ubat-ubatan seperti jamu, param,pilis,barut berherba, kain bengkung tiba. Mereka juga memberikan saya beberapa hadiah seperti kain,kain tudung dan kerongsang.Di awal pagi, Hani pula telah menghantar sebuku kek keju.
Sepanjang hari ramai juga tetamu menziarahi saya.

Sekitar jam 5 petang, sewaktu sedang duduk minum petang dan bersembang di meja makan dikelilingi saudara mara,saya mendapat panggilan telefon daripada Prof Kamil, Pengarah UiTM Johor.

Mendengar keriuhan sewaktu saya menjawab telefon, Prof bersuara,
“Ada party ke?”
“ Tak adalah, saudara mara bawa makanan. Jemputlah datang makan.”
“Oh,saya di Shah Alam lagi.”
“Tak mengapa,sampai malam pun ada lagi,boleh datang,”saya membalas.

“....I nak berikan birthday present...satu perkhabaran gembira...your DM52 telah diluluskan!” [kenaikan pangkat ke Pensyarah Kanan]

Talian telefon kurang jelas dan seterusnya terputus. Syukur Alhamdulilah!

Saudara mara saya bersorakan dan mengucapkan tahniah dan saya pula mengalirkan airmata kesyukuran. Agak sukar untuk saya merasai kegembiraan sepenuhnya di saat itu.
Malam itu sekitar jam 9 malam Prof Kamil berkunjung bersama-sama Ain Maisarah dan suaminya . Afiqah amat gembira dengan kunjungan penulis kesayangannya.

Sepanjang minggu lalu, ada 2 ucapan yang saya terima-TAKZIAH di atas kehilangan anak ketiga dan diikuti TAHNIAH di atas kenaikan pangkat ke jawatan pensyarah kanan.

Sesungguhnya, Allah itu Al-Jabbar dan betapa Surah Muhammad ayat 31 dan Surah Al Baqarah ayat 155 yang dicoretkan tadi jadi nyata.
Setiap ucapan takziah yang diberi saya balas dengan kata-kata “Saya reda”.

Kemudian saya terbaca lagi di halaman 77,
“Ibnu Atha’, sahabat dekat al-Hallaj, menjelaskan keadaan reda seperti berikut:
“Ketika hati mengikuti apa yang dipilihkan Tuhan untuk manusia, dia mengetahui apa yang dipilihkan Tuhan untuk dirinya merupakan sebaik-baik pilihan, sehingga dia reda dan tidak merasa kesal.”

Doa dan Harapan di halaman 79 buku yang sama pula tertulis begini,

Ya Allah, Ya Jabbar, Yang KehendakNya tidak diingkari,
Apa pun kehendak-Mu,itulah yang terjadi.
Kami tidak berdaya mengelak darinya.
Wahai Yang Maha Pemaksa,
Berikan daku upaya bagi memahami apa yang Kau paksakan padaku.
Kerana tanpa bimbingan-Mu,
Daku tidak tahu,apa yang Kau
Paksakan padaku adalah terbaik.

Sunday, February 15, 2009

Hanya Allah Membalasnya

Setinggi-tinggi penghargaan saya sekeluarga berikan kepada Ustaz Syazali Effendi kerana telah mengaturkan urusan solat jenazah dan menyebarkan maklumat tentang Arwah Amina Nuraini binti Adib Lukman di Masjid As-Syakirin,UiTM Johor pada jam 9 pagi,11 Februari 2009. Begitu juga kepada Ustaz Kamaruzzaman yang telah mengimamkan solat jenazah,Encik Mohd Albaihaqi yang telah mengiringi jenazah dari hospital ke masjid dan seterusnya ke tanah perkuburan di Batu Pahat untuk pengkebumian. Tidak dilupakan kepada mereka yang hadir ke solat jenazah.

Terima kasih juga kepada rakan taulan sahabat handai,para pelajar yang dikasihi yang menziarah di hospital dan di rumah,ucapan takziah melalui telefon, pesanan ringkas, emel,blog dan Facebook dan tidak ketinggalan entri
Kehilangan dalam blog Prof Dr Hj Muhd Kamil Ibrahim.

Tindakan dan doa anda semua memberi semangat dan kekuatan untuk saya hadapi dugaan ini. Semoga Allah membalasnya dengan berlipat ganda lagi.

Bengkak Payudara

Sebelum bergerak keluar daripada hospital, saya telah meminta doktor membekalkan saya pil untuk memberhentikan susu.

“Di usia 6 bulan, tiada susu lagi,”katanya.
“Tapi doktor, saya dapat merasakan denyutannya sekitar payudara sejak tiga bulan usia kandungan lagi” saya cuba meyakinkan doktor untuk memberikan pil tersebut.
Saya keluar hospital tanpa sebarang ubat-ubatan. Berjalan keluar daripada wad 9,berjalan ke lif, sehingga ke tempat kenderaan diletakkan. Sekitar 200 meter anggaran saya. Saya cuba menenangkan emak saya yang tidak berpuashati kerana saya terpaksa berjalan sejauh itu.

“Tak apalah Mak...boleh!”
********************************************************************************
Sudah 5 hari pemergian arwah. Sangkaan doktor tidak tepat. Sejak 3 hari yang lalu,saya mengalami bengkak payudara. Susu saya tidak berhenti –henti mengalir. Berdenyut-denyut kesakitan di bahagian belikat dan sekitar payudara. Tidak dapat melelapkan mata. Seakan berketul-ketul batu di dalam payudara saya. Saya dinasihatkan meletakkan sayur kobis untuk meredakan keadaan bengkak. Susu masih lagi mengalir.

Lalu saya meminta Adib mencari ubat menghentikan aliran susu.

Kini denyutan berkurangan walaupun aliran susu masih tidak berhenti-henti.

Di sisi lain, Arif,anak kedua saya yang menyusu badan sepenuhnya selama 4 tahun menyatakan suara hatinya.
“Ibu, adik nak rasa sikitlah. Dah lupa macam mana rasanya. Tapi ibu letak di dalam gelaslah.”

Malangnya saya telah pun menelan pil menghentikan susu. Dengan itu,susu tersebut tidak boleh diminum.

Hakikatnya, saya merindui bibir kecil menyentuh puting payudara saya yang sedang membengkak.

Wallahualam,pasti ada hikmah di sebalik ketentuan ini.

Bentan

Ia berlaku pada Khamis ,malam Jumaat ,12hb Februari yang lalu. Saya sedang memaksa diri saya untuk melelapkan mata. Bukan mudah untuk melupakan bayangan arwah Amina Nuraini.

Sewaktu menarik selimut tiba-tiba saya rasa seram sejuk dan menggigil. Ia berlaku dengan begitu mendadak. Tidak dapat dikawal. Adib sedang berada di bilik air saat itu. Saya memanggilnya apabila keadaan saya semakin menjadi-jadi sehingga menangis tersedu-sedu. Ibu dan Mak juga dipanggil ke dalam bilik untuk menenangkan keadaan saya.Saya beristighfar dan berzikir. Saya dinasihatkan disapu minyak panas seluruh badan. Saya juga diberikan air panas untuk memanaskan badan.

Ia adalah malam kedua arwah pergi. Saya tidak bersedia dengan segala ubatan kebiasaan wanita bersalin dan dalam tempoh berpantang.

Setelah bertanya kepada seorang bidan ,barulah kami ketahui ,inilah yang dinamakan BENTAN.

Saya sedari kini betapa pentingnya penjagaan rapi selepas bersalin apatah lagi dalam keadaan tanpa bayi di sisi. Memang tidak boleh dipandang remeh.

Wednesday, February 11, 2009

Doakan Ibu ke Syurga

“Doakan ibu ke syurga,ya?” sambil jari saya menyentuh lengannya.

Sejurus ayat ini keluar saya melihat di pinggir mata kanannya,ada sebutir air mata. Apakah saya berkhayal? Tidak ! Kenyataannya disahkan apabila berkali –kali saya bertanyakan Adib perkara ini yang sama-sama melihat perkara ajaib ini berlaku.

Bentuk fizikalnya telah jelas kelihatan, terutama sekali bibirnya yang mewarisi saya. Wajahnya seakan sedang nyenyak tidur. Kedua belah tangannya seperti dalam keadaan sedang solat. Tangan kanannya di atas tangan kirinya. Saya teliti kakinya pula. Sebelah kanan,cukup lima jari lengkap dengan kuku,halus sekali. Begitu juga kakinya di sebelah kiri. Saya tatap wajahnya sepuas-puas hati. Saya sentuh bibirnya. Saya kucup dahinya. Saya elus jari jemari halus kakinya. Saya usap seluruh tubuhnya.
Zahirnya kelihatan sungguh sempurna seperti bayi lain.

Saya cuba memegang dan mengangkat jarinya. Tidak berjaya saya mengubah kedudukan tangannya seperti dalam keadaan bersolat. Saya tahu tiada genggaman erat darinya. Bibirnya juga tidak bertindakbalas seperti menjamah titisan susu awal saya. Dahinya tidak berkerut apabila dikucup. Jari jemari kakinya tidak mengeliat apabila dielus.
“Sudah Puan?” keasyikan kami melihatnya dikejutkan oleh pertanyaan jururawat. Tiga kali di bertanyakan soalan yang sama.
Saya bertanyakan kepada Adib,
”Boleh dia tidur di sebelah untuk malam ini?”
“Boleh ambil gambarnya?”
Kedua-dua soalan yang saya sendiri tahu jawapannya.

Melihatnya timbul perasaan ketenangan di jiwa. Sama seperti maksud nama pertama yang telah saya rancangkan untuknya iaitu ‘Amina’. Amina juga membawa maksud kebenaran.
Ilham nama ini terbit ketika saya mendalami maksud 99 Asmaul Husna kira-kira seminggu lalu.

[Perkataan Al-Mukmin diambil daripada kata Amina.]

Ilham nama keduanya akan saya coretkan kemudian.

Kurang lebih jam 8.27pm saya meminta jururawat menyediakan kemudahan untuk saya membuang air kecil kerana saya tidak dapat bergerak banyak. Sakit seakan kontraksi sudah mulai terasa. Darah juga terasa mengalir lebih daripada biasa.
Jururawat pelatih muda kelihatan cemas tetapi seakan tidak mengerti apa yang sedang berlaku.
“Banyak darah keluar?” Tanya saya sungguh tenang. Darah dan air kecil saya berselang seli keluar . Meraka hanya mengangguk-angguk.
Saat saya rasakan darah keluar begitu deras dan banyak saya mengangguk-angguk dengan rasa penuh keredaan.
Saya bertanya lagi,”Nampak apa lagi?” Jururawat pelatih berdua itu teragak-agak menjawab soalan saya.

“Pernah bersalin ke?”
“Dah kahwin?”
Soal saya dengan penuh ketenangan.

Mendengar jawapan negatif mereka memberi saya kekuatan.
“Panggil doktor sekarang,baby dah nak keluar ni,”perintah saya.

Mereka masih terpinga-pinga dan menjawab,”Doktor tak ada.”

“Habis tu saya perlu tahan ke? Memang dah nak keluar dah,saya tahu!”
Pergerakan teragak-agak mereka memaksa saya berkata-kata,”Pernah sambut baby ke ni?”

Barulah mereka bergegas memanggil seorang jururawat terlatih.
Melihat keyakinannya, saya terus bertanya,”Macam mana? Boleh saya keluarkan sekarang?”
Sejurus dia mengangguk saya tidak lagi menahannya keluar.
“Perlukah saya meneran?”
“Biarkan dia keluar secara semulajadi dan kalau perlu teran sedikit” balas jururawat terlatih.
Di sekeliling saya bertambah lagi jururawat pelatih. Sekitar 7 orang kesemuanya.
Terdengar bisikan seorang jururawat pelatih berbisik pada rakannya.
“Nasib baik tak balik cepat”
“Tengoklah dan belajar”saya berkata.

Reaksi bingung mereka menggambarkan kepelikan ketenangan saya mungkin.

Dia keluar masih di dalam ‘sarung’ bersama-sama air mentuban dan uri.
Saya meminta jururawat terlatih bernama Safura itu membawanya untuk saya lihat.
Kelihatan seperti di dalam belon,nampak bayangan rambutnya dan tangannya dan selebihnya masih diliputi darah.
Saya dibenarkan melihatnya kembali setelah ‘sarung’ itu dipecahkan dan bayi dibersihkan.

Di saat saya membayangkan kematian saya melahirkannya di entri sebelum ini, dia pula yang meninggalkan saya.

Ibu redha pemergianmu sayang.
Jam 8.47 malam,10 Februari 2009.