Wednesday, July 25, 2007

Hati Seorang Ibu Berkerjaya

Walaupun waktu berjumpa guru-guru kelas Afiqah dan Arif sepatutnya bermula jam 8.30 pagi, saya dan Adib terpaksa ke sekolah mereka setengah jam lebih awal. Jam 9 pagi saya perlu bergerak ke UiTM Pahang untuk kursus Pembantu Minggu Mesra Mahasiswa pada 26 Jun yang lalu. Tidak mungkin saya ketinggalan untuk mendengar perkembangan Arif dan Afiqah daripada guru-guru mereka.

Oleh kerana masih awal dan guru -guru mereka belum bergerak ke kelas, kami berjumpa di bilik guru sahaja. Syukur alhamdulilah, Arif mendapat tempat kedua kali ini dan Afiqah pula tempat keempat. Arif ketinggalan sedikit markah untuk subjek Bahasa Arab manakala Afiqah pula subjek hafalan Al-Quran.

Kepada Afiqah dan Arif,
Ibu doakan untuk peperiksaan akhir tahun nanti kedua-dua anak ibu mendapat keputusan yang terbaik. Insya Allah!

Sekolah mereka mengamalkan sistem bersepadu, iaitu menggabungkan subjek sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Markah mereka pula adalah gabungan keduanya termasuk ujian bulanan serta peperiksaan pertengahan tahun.

Minggu hadapan bermulalah ujian bulanan mereka yang seterusnya. Setakat ini, saya dan Adib hanya mengajar mereka sendiri dan tidak turut serta dalam sesi hantar menghantar mereka ke kelas tambahan atau pusat tuisyen.

Inilah satu-satunya waktu saya dapat meluangkan masa bersama-sama mereka. Saya bimbang waktu itu akan berlalu di dalam kesibukan dan tiba-tiba mereka sudah membesar.

Kedua-dua Adib dan saya dibesarkan oleh ibu yang menjadi surirumah sepenuh masa. Kadangkala saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap diri saya sendiri sehingga terlupa bahawa keadaan saya yang bekerja sepenuh masa tidak dapat dibandingkan dengan keadaan ibu kami sebagai seorang surirumah. Seringkali saya meneka-neka perasaan anak-anak saya apabila mereka pulang ke sekolah tanpa saya menyambut mereka dan kadangkala berpergian berhari-hari. Saya sering juga bertanya secara langsung kepada mereka. Saya tidak mahu mereka terasa diabaikan. Lalu, setiap waktu yang terluang akan dihabiskan bersama-sama.

Tuesday, July 24, 2007

Projek Tadika Hidup Kembali

Usai kelas jam 10 malam,saya kembali ke Kolej Baiduri dan menuju ke bilik bacaannya di mana pertemuan latihan pertama diadakan. Seminggu yang lalu, lebih kurang 40 orang pelajar berkumpul , berminat untuk menyertai projek 'Baiduri English Speaking College' yang pernah dilancarkan 3 tahun yang lalu, ketika saya baru jejakkan kaki di UiTM Johor. Selama satu semester, setiap minggu petang Jumaat,Julai hingga Oktober 2004 saya bersama-sama sekumpulan pelajar yang telah saya latih sebagai fasilitator menyumbang tenaga di Sekolah Tadika Agama Jementah. Pelbagai aktiviti menyemarakkan penggunaan bahasa Inggeris di kolej juga dianjurkan. Sedikit demi sedikit api semaraknya malap dan hampir terpadam. Setiap semester saya mencari-cari kumpulan pelajar yang berminat untuk meneruskannya,tanpa paksaan, kerana saya tidak suka bekerja dengan orang yang rasa terpaksa tetapi rasa amat gembira apabila bekerja dengan orang yang berminat. Alhamdulilah, beberapa jam yang lalu saya telah meluangkan sejam masa saya untuk melatih mereka mengendalikan program yang akan bermula 6 Ogos ini. Mereka diajar beberapa nyanyian yang mudah dan beberapa panduan untuk berhadapan dengan kanak-kanak tadika.

Wednesday, July 18, 2007

Sekolah Ikan - Pulau Aur (Memori 17Jun)

"Ibu! Ibu! Ada sekolah ikan!" Arif bersuara dengan terujanya dalam keadaan basah kuyup sambil peralatan 'snorkeling' disangkut di kepalanya.

"Sekolah ikan?" (Emm...terjemahan langsung???)
"Cantik ibu,ada bandar ikan," tambah Arif lagi.

Afiqah yang berdiri bersebelahannya turut menunjukkan reaksi yang amat teruja dan mengajak saya untuk turut serta.

Ombak menyapa mesra tepian pantai. Laut biru kehijauan memanggil-manggil.

"Nanti bila ibu sudah habis sesi, ibu akan turut serta."

Kali terakhir ber'snorkeling' lebih kurang 10 tahun yang lalu. Namun saya tidak melepaskan peluang keemasan ini. Semua peralatan telah disewa. Jaket keselamatan telah disarung, lengkap dengan alatan 'snorkeling.

Adib, Afiqah dan Arif tidak sabar-sabar menarik saya ke tengah walaupun saya masih belum selesa dengan alat pernafasan dan belum begitu yakin untuk ke tempat yang dalam. Arif yang sebelum ini kurang berani nampak sungguh yakin sekali. Ketiga-tiga mereka menarik saya untuk menyaksikan keindahan batu karang dan ikan pelbagai warna. Masya Allah, indahnya!

Di saat itu terlintas pula di hati,seronoknya andai dapat menyelam ke dasar laut dan bukan sekadar di permukaan.

Thursday, July 12, 2007

Beratnya Mata

Terasa sungguh berat mataku untuk meneruskan penulisan ini. Namun, setelah setahun berlalu, maka terciptalah satu lagi blog bahasa Inggeris, khusus untuk pelajar dan kepada sesiapa yang ingin mengetahui cara mengajar dan refleksi tentang pengajaranku. Lawatilah http://pnshima.blogspot.com/

Tuesday, July 10, 2007

Kelancaran menulis terganggu seketika. Tercari kata-kata untuk diluahkan. Ingin saja saya menangguh penulisan ini tetapi saya telah terlalu lama tidak menulis dan juga melawat blog rakan-rakan. Lalu, saya hanya menulis apa sahaja yang
terlintas di fikiran di saat jari jemari ini mengetuk dan tersengguk-sengguk berhenti dan mencari kata-kata yang melintas lalu.

Hari ini semester baru telah bermula. Wajah dan nama baru saya temui. Kisah sepanjang cuti semester terlalu banyak dikongsi namun saya tidak berani berjanji untuk tuliskan kesemuanya.

Pelbagai episod menarik yang ingin saya rakamkan di sini. Nantikanlah entri seterusnya.