Monday, June 11, 2007

Awana Kijal - destinasi percutian keluarga

dari selatan ke utara
kini saya ke timur pula
akhirnya saya bercuti jua
bersama-sama keluarga


Sesampai di pintu gerbang masuk , terpampang iklan Awana Kijal Golf, Spa & Beach Resort, Kemaman, Terengganu. Melihatkan gambarnya Arif pun bersuara,"Ayah boleh main golf, ibu pergi ke spa dan adik dan kakak mandi di pantai".

Ternyata iklannya bukan indah khabar dari rupa. Kami amat berpuashati dengan destinasi percutian yang dipilih oleh Kak Hai, iaitu kakak Adib, yang bercuti bersama-sama suaminya, Aidi, tiga orang anak-anaknya dan ibu mertua saya. Mereka bergerak daripada Kuala Lumpur manakala saya sekeluarga daripada Segamat pada pagi Khamis yang lalu.

Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini dan memenuhi citarasa setiap ahli keluarga.

Sebaik sahaja mendaftar masuk hotel, Arif dan Afiqah sudah amat teruja untuk berenang dan bermain di kolam renang bersama-sama sepupu mereka, Ameer Rashid, sebaya Arif dan Ameera Najihah, setahun lebih tua daripada Afiqah.

Daripada jendela bilik hotel, saya dapat melihat permainan catur gergasi dan permainan 'ular dan tangga'. di kelilingi taman permainan dan berlatarkan pantai yang indah. Perjalanan 3 jam ternyata tidak meletihkan kami semua kerana beberapa minit kemudian kami semua turun ke bawah untuk melakukan aktiviti yang ada.

Saya bermain catur gergasi bersama-sama Arif tetapi gerakannya disambung oleh ayahnya yang amat suka menewaskan saya. Seterusnya mereka bermain bola di tepi pantai, diikuti mandi di kolam renang, sementara Adib dan Aidi pula ke 'driving range'. Saya pula memilih untuk berendam di bilik hotel dengan air panas sambil menonton televisyen. Saya amat menggemari rekabentuk bilik mandinya yang mempunyai tingkap yang boleh dibuka supaya dapat menonton televisyen. Sungguh menenangkan.

Keesokannya selepas Subuh, saya bersama-sama anak-anak dan anak buah ke tepi pantai untuk melihat keindahan terbitnya matahari. Kami bermain-main di tepi pantai lebih kurang sejam lamanya sebelum menikmati sarapan pagi.

10 minit ke jam 9 pagi ,saya, Afiqah dan Najihah mengayuh keluar daripada kawasan hotel manakala Rashid dan Arif hanya bermain basikal dalam kawasan hotel. Adib, Aidi dan Haziq(anak sulung ,15, mereka) bermain golf.

Niat untuk ke spa tidak diteruskan kerana melihatkan harganya yang agak mahal, hanya 45 mint refleksologi berjumlah RM90 manakala 1 jam urut seluruh badan pula mencecah RM 250, yang terendah. Tambahan pula belum tentu lagi kesannya. Saya memilih untuk melupakannya sahaja.

Lalu saya melayan kerenah anak-anak,mengayuh basikal, bermain congkak , mewarna, mandi di tepi pantai, membina istana pasir dan semua aktiviti bersama-sama mereka. Bukannya mereka sahaja yang teruja, saya juga seperti kanak-kanak juga , teruja dengan segala aktiviti yang ada.

Sekiranya berpeluang, destinasi ini memang sesuai untuk keluarga, terutama sekali bagi suami yang 'kaki golf', walau mungkin ada yang tidak menggemarinya kerana perlu berjalan sahaja (walking course).

Gambarnya akan diupload kemudian.

2 comments:

SitiNur said...

Wahhh... saya juga mengidamkan masa bersantai di spa juga. Bilalah agaknya tu?

Ada seorang kawan yang mengesyorkan satu tempat spa yang mengenakan harga berpatutan di daerah Lembah Kelang. Lebih kurang RM200 untuk bermacam jenis mandian, lulur, sauna, manikur dan pedikur... termasuk hidangan snek secara berterusan (free flow). Boleh berada di situ dari pagi hingga petang!

Harapnya berkesempatan memanjakan diri selepas bersalin nanti di situ. Shima nak join? ;)

Nazhatulshima Nolan said...

Maaf Sitinur. Lambat sungguh saya balas komen. Menarik juga cadangan ke spa untuk memanjakan diri. Nanti saya hubungi SitiNur.