Tuesday, March 10, 2009

Siaran Ulangan 9 & 10 Februari 2009

Saya cuba membiarkan kisah ini berlalu. Namun bagai siaran ulangan di kaca TV,ia masih lagi mendapat ranking tertinggi dalam khalayak minda ini. Saya cuba menukar ke siaran lain tetapi kisah ini juga yang tersiar. Ditambah pula setiap yang datang berkunjung akan bertanyakan apa sebabnya. Bagaimana ia berlaku? Mungkin mudah saja andai saya katakan telah tertulis skripnya di Loh Mahfuz begitu oleh Maha Pencipta. Noktah. Tidak mungkin begitu tata bicara saya terhadap tetamu yang menziarah?

Petang Isnin,9 Februari itu,saya rasa bisa satu badan dan suhu badan kian meningkat. Sedikit pendarahan juga berlaku tetapi menurut doktor ,saya perlu banyak berehat dan tidak banyak bergerak. Selepas solat Isyak masih lagi bisa-bisa badan dan semakin meningkat suhu badan saya. Cuti umum. Keputusan diambil untuk ke hospital Segamat sahaja. Dalam perjalanan ada perarakan perayaan Chap Goh Mei dan perjalanan terhenti sekitar 20 minit. Saya dalam kesakitan tetapi tiada apa yang dapat dilakukan kerana tersekat di antara kenderaan lain. Perjalanan ke hospital mengambil masa selama 45 minit.
Setibanya di hospital,saya ditolak dengan kerusi roda. Suhu diambil. Bacaan 39 Celsius. Saya ditahan dan di bawa ke wad 9. Diberi 2 biji Panadol untuk redakan demam.
Seorang doktor memeriksa keadaan saya dibantu seorang jururawat.
“Ada bukaan 2cm!”
“Dah nak keluar ni.”
Saya terkejut dengan penjelasan doktor.
Doktor menggunakan alat ultrasound untuk melihat keadaan bayi saya.
“Nampak keadaan bayi ok. Itu jantungnya. Masih berdegup seperti biasa.”
“Tapi ini ‘fresh blood’,nampaknya kena keluarkan ni.”
Masih tidak percaya dengan penerangan doktor, saya berkata,
“Nanti dulu doktor! Saya masih tidak berputus asa. Saya tengok keadaan bayi saya baik sahaja. Anak pertama saya dahulu,saya dah buka 4 cm semasa 7 bulan tetapi saya dapat bertahan dan dia lahir cukup 9 bulan.”
Doktor nasihatkan saya bertenang,berehat dan kurang bergerak.
Saya diletakkan berdekatan dengan kaunter jururawat. Ada7 katil lain di hadapan dan seiring katil saya.
Demam saya beransur reda. Namun mata saya tidak dapat lelap. Pertama,risaukan keadaan bayi saya. Kedua, bunyi deringan telefon bimbit para pesakit berbagai rentak dan irama bersilih ganti dengan deringan telefon di kaunter jururawat. Selewat jam 3 pagi,salah seorang pesakit membiarkan lagu Korea menjerit-jerit tidak terangkat,sekitar 5 kali kerana tuannya enak dibuai mimpi. Sebentar kemudian deringan irama poco-poco pula kedengaran dari telefon bimbit pesakit lain. Kesudahannya, saya tidak tidur sampai ke pagi dan rasa amat terganggu dan tertekan sekali.
Mulai jam 4.30 pagi saya telah mengalami rengat. Setiap 5 minit ia berulang. Saya cuba bertahan. Bisanya seluruh badan menahan daripada bergerak. Terasa juga pendarahan berlaku.

Apabila doktor datang memeriksa saya,saya merayu kepada doktor untuk berpindah ke wad kelas pertama kerana saya tidak dapat tidur dan bertenang. Tidak berjaya atas alasan memudahkan jururawat melihat saya.
Saya juga memohon untuk pindah keluar ke hospital swasta.
“Sekiranya saya tidak diberi sebarang rawatan,mengapa perlu saya terus di sini?”
Doktor tidak memberi kebenaran untuk saya keluar .

Apabila jururawat pelatih datang memeriksa sekitar jam 2 petang, degupan jantung bayi saya masih lagi kedengaran. Jam 3 petang saya masih rasakan tendangannya berkali-kali.

Waktu melawat merupakan kemuncak ‘ketenangan’ saya. Suasana di sekeliling bagai pesta. Pelawat berkunjung,bergurau senda. Ada sekumpulan kanak-kanak kecil berkejar-kejaran di dalam wad.
“Satu! Dua ! Tiga!” Beberapa kanak-kanak itu berlumba lari di hadapan saya,seorang pesakit yang dikatakan ‘kritikal’ ini.
Sekitar jam 8 malam, kesabaran saya mulai teruji apabila katil di hadapan saya masih lagi tetamunya bersembang ceria.

Saya memanggil seorang jururawat.
“Tolonglah saya. Bagaimana saya nak berehat dan bertenang dalam keadaan begini?”
“Tolonglah pindahkan saya sekarang!”rayu saya.
“Puan kena bertenang. Kalau stres,lagi banyak darah keluar.”jawabnya.
“Perhatikanlah keadaan sekeliling,macam mana saya dapat berehat dan bertenang? Saya tidak tidur sepanjang malam.”
“Saya bukannya cerewet mahu berpindah ke kelas satu. Saya tak kisah pun makanan saya berbeza menu atau cara hidangannya.”
“Nanti pengawal akan datang dan suruh mereka balik,”ujar jururawat itu.
“Awak tidak boleh ke tegur mereka? Dah 8.15pm sekarang,saya sangat stres ni.”
Saya memegang tangan jururawat yang hendak beredar dari sisi.
“Tolonglah bagi tahu mereka suruh senyap sikit.”

“Saya ada kes baru ni,”balas jururawat itu seperti saya ini menyusahkannya.
“Tunggulah sekejap,”rayu saya lagi sambil memegang erat tangannya sambil merasakan darah semakin deras mengalir.
“Saya perlu buang air kecil sekarang juga,di sini,tolonglah!”
Dalam hati saya menjerit-jerit,"Tolong diam!" Tetapi saya masih mampu bertahan dengan bacaan zikir.

Sekumpulan pelawat di hadapan saya barulah beransur keluar.

Sambil jururawat pelatih menyediakan segala kelengkapan saya sempat menghubungi Adib.

“Tolonglah cepat sikit datang! I dah sakit sangat ni!"

Kisah selanjutnya bersambung di sini.

4 comments:

TSYA'Z (~_^) said...

sabar ye puan.....
mana tahu satu hari nanti puan akan dapat pengantinya...nsyaAllah

chenta mati said...

rasa nak menangis baca dugaan ni mdm.. semoga mdm tabah menempuh dugaan ni.

naimisa said...

insyaAllah, anak itu akan mendoakan ibunya....

semoga puan tabah dan diganti dgn zuriat lain yg baik...

im said...

Salam,

Apalah saja yang dapat menghilangkan bayangan dan ingatan ini..mungkin tidak ada.

Ketiga-tiga anak saya lahir di hospital segamat. Yg ke2, operate ketika suami tidak ada di Malaysia. Ketika itu saya agak kritikal, bila di tolak ke bilik bedah rasa macam dlm drama...betul ke ni berlaku pada saya. Bila di bedah, susah nak bergerak, nurse memang tak layan bila saya nak bangun dari katil dan berjalan ke bilik air. Seksa yg amat..takde bantuan. Saya minta tolong..mereka kata buat sendiri.

Dlm kes shima memang tak patut mereka biarkan begitu. Kalau saya pun akan makan hati juga...tapi nak camne...layanan baik hanya boleh dapat dari jururawat pelatih sahaja.

Wassalam.