Monday, December 26, 2016

Sebelum Embo

Entah kali ke berapa dia berulang-alik ke tandas. Dia mahu pastikan dia tidak akan rasa perlu ke tandas lagi.
Dia juga tidak pasti sama ada kelakuannya itu faktor fizikal atau 'psikologi'?
Adakah dia mahu melengah-lengahkan waktu?
Masih ada secebis harapan yang tersimpan. Dalam diam dia mengharapkan keajaiban. Tidak mustahil apabila dibuat imbasan nanti,semuanya tiba-tiba lenyap dan tidak berbekas lagi.
Tiada lagi AVM di bahagian otaknya.
Setiap kali sebelum dia bertemu pakar bius,skripnya begitu menggerunkan. Skrip risikonya masih mengundang kerisauan meskipun telah diperdengarkan berulang-kali. Tidak menurunkan darjah ketakutannya. Masih mengecutkan perutnya. Pada saat itu,dia tidak berpeluang bertemu atau berbicara dengan sesiapa yang pernah membuat kaedah yang sama sepertinya. Tiada seorang pun! Jauh sekali yang mengalami AVM sepertinya.
Siapakah yang dapat memahami apa yang dilaluinya? Tidak mungkin ada pada waktu itu.
Oh pembetulan!
Ada seorang sahaja yang baru ditemuinya. Sepanjang 3 Kali,dia keluar masuk wad neurosurgeri, anak gadis itu masih terbaring di katil itu. 16 tahun usianya. Dia telah berada di dalam keadaan koma sejak 2 bulan. Satu-satunya pesakit AVM yang pertama kali ditemuinya hanya dapat dilihat dan disentuh dan hanya dapat berbicara secara sehala.
(Susulan kisah anak gadis ini akan dikongsi lagi pada 6 dan 7 Januari nanti)

No comments: