Monday, January 02, 2017

Detik Berlalu Perlahan

Dia sepatutnya berehat. Tidur lena di ruangan ICU itu.
Segala yang dilaluinya sepanjang hari berputar-putar di minda. Tidak berjaya dia memadamkan segala yang bermain di ruang fikirannya. Dia mahu melelapkan mata. Mindanya terlalu peka kepada keadaan sekeliling.

Dia terkenangkan bagaimana agaknya kepalanya dibotakkan. Kemudian ditandakan bahagian yang akan dibedah.Sebelah atas kiri.

Adakah seperti dalam siri Grey's Anatomy yang amat digemarinya?

Namun dia tidak dapat menyaksikan apa yang berlaku. Dia teringatkan penerangan doktor.

Yang pasti, di dalam kepalanya itu sudah ada sekeping besi dan skru, Di bahagian belahan pula,ada deretan 'stapler bullet'. Nanti apabila balutan telah dibuka,dia mahu menghitung jumlahnya berapa. Ada satu atau dua di bahagian dahi. Ringan sungguh kepalanya. Tiada lagi seurat rambut.

Ah betapa dia mahu melihat wajahnya tanpa rambut itu!

Di hadapan katilnya ada seorang jururawat menunggu. Dia masih gagal melelapkan mata. Segala yang berlaku diperhatikan dan dirakam catat oleh mindanya yang begitu celik sekali.

Di hadapannya ada seorang pesakit yang sedang tenat. Dia menghitung katil-katil yang bertentangan. Tiada yang sedar. Tidak lama kemudian, katil di hadapannya agak ramai yang kunjungi. Ada tangisan. Ada pelukan. Ada perbualan berbisik. Ada esakan. Ya,ada kematian di katil hadapan itu.





No comments: