Saturday, December 23, 2006

Bila Hujan Tak Berhenti-henti Bertemu Bumi












Rancangan bercuti terpaksa ditunda lantaran kedua-dua jalan keluar daripada UiTM Johor tidak dapat dilalui sejak hari Rabu, 20hb Disember 2006.

Lebih kurang tiga minit memandu ke arah Jementah/Tangkak atau lebih dikenali sebagai Durian Batu oleh penduduk tempatan telah dibanjiri air.





Begitu juga dengan jalan yang menghala ke arah bandar Segamat. Lebih kurang 2 minit memandu daripada pintu gerbang UiTM Johor, jalanraya tidak dapat dilalui juga.



Kami sekeluarga cuba memandu melalui jalan pintas di Bukit Tunggal untuk ke pekan Jementah. Jalan kampung yang melalui ladang kelapa sawit dan getah itu tidak juga berjaya kami tembusi kerana telah dinaiki air.

Ada rumah yang telah tinggal bumbung sahaja. Ada juga yang masih terselamat. Ada yang mengeluarkan jaring dan mengambil peluang untuk menangkap ikan. Beberapa buah lori berderetan, sedang berkira-kira untuk mengharungi air atau sebaliknya. Tiada yang berani melepasi kerana paras air sudah meningkat.

21hb Disember 2006

Hujan masih belum jemu bertemu bumi. Kebanyakan warga UiTM tidak dapat bertugas kerana tidak dapat menembusi jalan keluar daripada rumah masing-masing. Ramai yang berada di Balai Polis Jementah untuk membuat laporan dan mendapat cuti bencana alam. Bagi warga UiTM yang tinggal dalam UiTM seperti saya pula terperangkap di dalam.

Rakan-rakan yang tinggal di Taman Bunga Raya ,Gemereh, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Mereka ketiadaan elektrik dan air dan tidak dapat bergerak ke arah bandar Segamat atau ke arah UiTM.

Mereka yang tinggal di Kg Jawa, hanya tinggal sehelai sepinggang. Air mencecah ke bumbung. Adib cuba menghubungi rakannya yang tinggal di sana tapi tidak berjaya. Jafri,rakan sejabatan,juga Koordinator Perhubungan Korporat dan Media yang cuba balik ke Labis juga terkandas di bandar Segamat dan terpaksa diselamatkan oleh bot tentera. Sempat juga saya mendengar laporannya di Radio Johor tengaharinya. Berita lain yang diterima, kereta beberapa orang rakan sudah dimasuki air keseluruhannya dan ada rakan-rakan yang terpaksa duduk di tingkat dua rumah mereka.

Bekalan makanan hampir kehabisan di rumah saya. Saya dan suami cuba ke Jementah melalui jalan pintas di Bukit Tunggal. Hujan masih renyai tetapi kami berjaya melalui jalan tersebut dan selamat sampai ke pasar Jementah. Kami membeli segala keperluan makanan dan selamat pulang semula ke UiTM.

Kami cuba memandu ke arah bandar Segamat melalui jalan Batu Anam. Kami ke Jalan Genuang. Ya Allah, ramainya orang, seakan sedang memancing. Terkejut saya melihatkan begitu ramai yang mengambil kesempatan mengambil barang-barang yang terapung-apung, dan ada juga yang mengambil barang- barang yang masih berada di dalam kedai serbanika tersebut. Ada yang tanpa segan silu mengangkut segala barangan ke dalam lori dengan alasan kalau tidak diambil akan hanyut dibawa arus juga. Ada yang agak teragak-agak dan tidak pasti sama ada untuk meneruskan niat mereka. Tidak kurang juga seperti saya yang merakam perbuatan mereka dengan telefon bimbit masing-masing. Yang menjadi kesedihan saya adalah melihat gelagat anak-anak muda sebangsa saya dan saya kira seagama saya yang tanpa segan silu, sambil bergelak ketawa mengambil tin-tin air yang haram diminumnya.


Dalam rintik-rintik hujan, saya sekeluarga berjalan menyaksikan keadaan jalan di hadapan kami. Persis keadaan seusai tsunami. Hibanya terasa, mata saya bergenang.

Berita jam 8 malam itu menunjukkan senario yang serupa.

Syukur Alhamdulilah saya sekeluarga masih ada tempat berteduh, pakaian dan makanan secukupnya walaupun tidak dapat bergerak ke mana-mana. Bila terkenangkan rakan-rakan yang lain, tidak dapat saya bayangkan keadaan mereka.

Panggilan telefon dan SMS dari sanak saudara dan pelajar UiTM menghujani saya untuk bertanya khabar. Saya cuba untuk menulis di blog tetapi tidak berjaya membuka internet.

Kini hujan telah pun berhenti. Namun air masih belum surut lagi.

Tuesday, December 19, 2006

Tidak dapat dibendung lagi

Hujan tidak jemu-jemu bertemu bumi. Persis mindaku tak henti -henti mengolah bait-bait kata atau memaparkan rakaman episod-episod bersilih ganti antara puisi, cerpen dan novel atau setakat luahan hati. Bagaikan sedang bercinta hingga tak lalu makan jadinya. Setiap perbualanku dengan sesiapa sahaja membuahkan idea yang kukira dapat dijadikan cerita. Ya Allah, aku jadi bimbang pula. Kenapa? Aku tidak rela semuanya melintas lalu tanpa digunakan. Aku tidak rela anganku digelar 'hangat-hangat tahi ayam'. Lalu inilah dia,tidak dapat dibendung lagi . Kutulis sahaja. Perlukah kutakut dengan keinginan diri yang begitu tinggi. Aku sedar seakan 'tamak' diriku ini. Semuanya ingin diselusuri lantaran pintu sedarku telah diketuk, membawaku keluar menyaksikan dari kaca mata yang memandangku lalu berkata anugerah Illahi usah dipersiakan. Haruskah aku berundur semata-mata pengecut dilabel 'semuanya ingin dilakukan dan akhirnya satu pun tidak menjadi'? Tentu sekali bukan ini yang kucari. Buat masa ini, yang tidak dapat dibendung telah diluahkan sebahagiannya.

Ada juga yang berpendapat, hentikan sahaja penulisanku di blog ini. Menulislah untuk diterbitkan. Usah buang masaku. Entah kenapa, tidak dapat kuhentikannya buat masa ini. Apakah sebenarnya tarikan menulis di blog? Sudah tentu sekali bukan untuk pulangan wangnya. Lalu apa?

Saturday, December 09, 2006

Seminggu sebelum penerbangan


1 Disember 2006.
Arif yang menetapkan tarikh ini untuk berkhatan. Perancangan asalnya, dia ingin melakukannya bersama-sama sepupunya, Ameer Rashid yang seusia dengannya, iaitu 7 tahun juga pada tarikh yang sama.
Saya melihat dengan mata saya sendiri bagaimana doktor melakukannya. Arif masih boleh tersenyum. Tak sangka dia tidak menitiskan air mata dan masih boleh memandang saya. Kuat juga semangatnya rupanya.
Saya menyaksikan segala-galanya sambil memegang tangan kanannya dan berkata, “Apabila rasa sakit, pegang tangan ibu kuat-kuat.”

Keesokannya apabila balutan perlu dibuka, saya rasa agak ngeri juga. Arif masih sahaja kelihatan tabah sehingga tiba saat terakhir, balutan itu agak terlekat barulah air matanya keluar sedikit walaupun masih lagi dalam keadaan tersenyum.




Melihatkan keadaannya saya tidak jadi meneruskan perjalanan saya ke utara bersama-sama Minea.

Saya ambil cuti selama seminggu walaupun saya tidak ke mana-mana dan walaupun saya tinggal di dalam kawasan kampus UiTM. Saya menjadi surirumah sepenuh masa. Memasak, membasuh , mengemas, memasak lagi, membasuh lagi dan mengemas lagi. Sampai malam tak henti-henti. Tetapi yang seronoknya, saya tak perlu berkejar ke pejabat dan memikirkan hal-hal kerja atau di tempat kerja berkejar pula memikirkan nak masak apa. Saya hanya ‘bermalas-malasan’, menonton televisyen, DVD( sempat menonton Bilut, bagus sekali filem ini,nanti saya ulas), melayan anak, vakum rumah, masak masakan kegemaran anak (kali ini menu Arif), makanan yang hanya dia boleh makan. Saya kira inilah kali pertama saya berpeluang bercuti ‘bermalas-malasan’ sejak tiga tahun bekerja di UiTM Johor kerana sebelum ini setiap kali cuti semester, sentiasa ada tugasan lain menanti.

Rabu petang, saya tidak dapat bertahan lagi. Untuk kali terakhir, saya membawa Minea ke Batu Pahat bersama-sama Afiqah dan Arif kerana Adib masih perlu bekerja.

Khamis petang kami bergerak ke Pontian ke rumah kakak sulung Adib dan destinasi seterusnya ke Tanjung Piai.

Jumaat petang,8 Disember kembali semula ke UiTM. Saya menerima ucapan TAHNIAH melalui SMS dan juga kata-kata bahawa saya layak menerimanya. Ini memang satu kejutan kerana saya difahamkan sebelum ini tiada siapa di bahagian saya yang akan menerima’nya’. Menurut rakan saya, pengumuman dibuat melalui emel ke semua staf UiTM. Syukur Alhamdulilah, walaupun saya masih belum baca sendiri pengumuman ini.

Minea, saya dan Afiqah bersiar-siar di sekitar UiTM sambil merakamkan gambar untuk kenang-kenangan.

Penerbangannya berlepas jam 12.55 pagi, 10 Disember 2006. Saya hentikan di sini. Minea masih belum tidur lagi. Saya akan luangkan sedikit masa lagi.

Berlibur Di Kota Singa

Keletihan menyemak kertas dan memasukkan markah masih lagi terasa pada 27 November 2006. Betapa saya ingin menggantikan waktu tidur dan berehat saya setelah selesai segalanya. Jam 10.00 malam saya melayari internet untuk menyemak jadual waktu tren ke Singapura. Ekspres Senandung Malam menunjukkan ada 2 lagi tempat kosong untuk tempat tidur. Saya perlukan itu. Jadual menunjukkan tren akan sampai di Singapura jam 8 pagi. Dapatlah mungkin saya melelapkan mata seketika sebelum bersiar-siar di Kota Singa pada siang harinya. Saya juga sedar anak angkat saya, Minea sudah tentu ingin berbual-bual dengan saya di sepanjang jalan nanti tetapi saya telah memberi amaran sekiranya ingin berjalan pada siangnya , saya amat perlukan sedikit masa berehat. Tren bergerak lebih kurang pada jam 3 pagi dan saya berjaya lelap sekitar jam 4 pagi tetapi telah dikejutkan sekitar jam 5.30 pagi oleh teriakan pekerja KTMB apabila perlu mengisi borang imigresen. Saya dimaklumkan tidak perlu turun dari tren kerana pegawai imegresen akan naik ke dalam tren untuk memeriksa. Lega saya mendengarnya .
Namun begitu situasi Minea tidak mengizinkan. Pegawai imigresen meminta ‘borang ketibaan’ Minea yang sepatutnya berada bersama-sama paspotnya. Saya tidak begitu faham pada awalnya.
“Ibu!” Minea memanggil saya apabila disoal oleh pegawai tersebut.
Pegawai tersebut bertanya, “Borang ketibaannya mana?”
“Borang yang bagaimana?” saya menjawab dengan soalan.
Dengan nada yang tinggi, beliau menjawab, “Borang yang diisi apabila dia sampai ke Malaysia.”
Saya agak terkejut dengan nadanya tetapi dengan tenang cuba bertanya Minea. Minea membalas dalam ketidakpastian bahawa dia tidak menyimpannya. Pegawai tersebut masih dalam nada suara tingginya cuba menerangkan tentang borang tersebut berulangkali.
Saya sungguh tak faham kenapa dia perlu marah, lalu saya terus sahaja mencelah dan bersuara, “Baiklah, borang itu memang tak ada sekarang. Apa yang boleh kami lakukan?”
“ Cik perlu turun dari tren dan isi borang baru untuknya,” dia membalas.
“Terima kasih, kami turun sekarang, ”saya bergerak pantas dan tersenyum meninggalkannya sambil terfikir di dalam hati ,”Kenapalah dia membuang masa bersoal jawab dengan kami sedangkan perkara itu boleh diselesaikan dengan mudah?”

Saya dan Minea memang menjadi perhatian ramai. Maklumlah seorang gadis Eropah dan seorang wanita Melayu bertudung berjalan bersama-sama.

Sebetulnya setibanya kami di Tanjung Pagar, kami masih belum tahu arah tujuan kami. Kami memang sengaja tidak merancang atau menempah hotel atau mengikuti mana-mana program pelancong. Hanya berbekal sebuah bag galas seorang satu, lagak kami seakan-akan peserta Explorace atau Amazing Race. Bermulalah pengembaraan kami.

Sambungan kisah ini boleh dibaca di blog bahasa Inggeris saya, Through My Eyes. Jemput ke sana.