Monday, May 28, 2007

Catur

Sebelum 2005, saya tidak pernah main catur. Apatah lagi memasuki kejohanan catur. Bagaimanapun, saya belajar bermain catur dan berlatih untuk mewakili UiTM Johor pada tahun itu. Namun, saya terpaksa membatalkannya kerana perlu mengiringi pelajar ke pertandingan debat. Begitu juga pada tahun 2006, setelah berlatih , perlu ikuti kursus pula. Setelah dua tahun gagal untuk mewakili UiTM Johor untuk kejohanan catur antara kampus UiTM, tahun ini dapat juga bertanding.

Kini, saya berada di UiTM Perlis. Untuk peserta amatur seperti saya, agak berdebar juga tetapi tidaklah begitu analitikal seperti peserta lain. Ini pertandingan pertama saya. Saya buat yang terbaik dan berniat untuk menang walau lawannya adalah peserta yang dikira kuat. Namun tidak berjaya, gagal di tangan tuan rumah, iaitu peserta UiTM Perlis.

Saya akui, pada tahun ini saya kurang berlatih.

Setakat di sini dulu, saya perlu berlatih sekarang.

Monday, May 21, 2007

Hari Ibu dan Guru

dakwat merah dan angka
diganti angka dan abjad
tamatlah sudah
buat tika ini

hari ibu
hari guru
kedua-duanya hariku
kubiarkan berlalu
demi memenuhi
amanatku sebagai
ibu dan guru
tak upaya mencatat kata
yang lahir dari jiwa
namun ku
terkenang kisah lalu

13 Mei 2007

di hari ibu
kubaca surat-suratmu
nukilanmu 17 tahun lalu
saat pertama kali kita terpisah
jauh beribu batu
tergenang airmataku

masih terlipat
dalam sampulnya
berserta tarikh
dan waktunya

isinya?
kisah
keluarga
tentang adik
tentang atuk
tentang makcik
tentang sepupu
tentang jiran
juga teman rapatku

mukadimah
dan penutup
warkahmu
iramanya senada

mengingatkanku
“Jangan lupa solat,
jaga diri, belajar bersungguh-sungguh,
Mak akan sentiasa doakan kejayaan.”

16 Mei 2007
di hari guru
kuterima ‘sms’
dari insan
yang mengingati
yang menghargai
ada yang pernah kuajar
hampir 10 tahun yang lalu
pelbagai peringkatnya
sekolah rendah
sekolah menengah
pelajar diploma
pelajar ijazah
ada juga
pelajar dewasa

terharu
walau bergelar
pensyarah kini
ku masih guru
di hati mereka
terharu

Wednesday, May 09, 2007

ANTARA TUNTUTAN TUGAS, KELUARGA DAN KEHENDAK HATI

HAJAT HAMPIR TERKUBUR

Hajat untuk ke Pesta Buku 2007 hampir saja terkubur. Bas UiTM Johor bergerak ke Pesta Buku pada jam 8.30 pagi, 3hb Mei 2007. Mustahil untuk saya turutserta bas tersebut. Pertama, pada hari yang sama saya perlu lengkapkan urusan memasukkan markah untuk 2 kelas BEL490. Saya tidak mempunyai banyak waktu untuk menanda lebih kurang 60 skrip jawapan. Hanya 3 hari bersengkang mata,itupun nasib baik ada cuti umum pada Hari Pekerja dan tambahan satu hari lagi. Setelah tamat urusan, saya pun memandu sendiri ke Kuala Lumpur pada jam 6 petang. Lebih kurang jam 8 malam berhenti seketika di Seremban dan meneruskan perjalanan selepas solat dan menyegarkan mata yang amat mengantuk. Makan malam di hotel telah pun bermula. Tidak mengapalah, saya pun terlalu letih untuk memikirkan makan malam.

TERSILAP LORONG
Gembiranya hati bila terpandang petunjuk arah ke PWTC. Malangnya, terlewat untuk mengambil lorong kiri dan motor di sebelah kiri kenderaan saya pula terlalu laju untuk saya segera pintas masuk ke lorong itu. Lalu berpusing-pusing seketika mencari jalan ke PWTC. Lama sungguh tidak memandu dalam keadaan kenderaan yang banyak di malam hari dan berseorangan pula. Akhirnya, terpandang Seri Pacific. Oh, sudah berubah nama rupanya. Hampir jam 10 malam dan rakan sebilik saya sudah lama berehat di bilik yang dikongsi bersama.

TIDUR TAK LENA
Letihnya saya, hanya Allah sahaja yang tahu tetapi mungkin terlalu penat saya hanya dapat melelapkan mata pada jam 2 pagi. Seusai solat Subuh saya ingin menyambung berehat tetapi gagal juga melelapkan mata. Tak sabar nak ke Pesta Buku yang hanya akan dibuka pada jam 10 pagi.

ALAH MEMBELI
Tumpuan pertama saya adalah buku-buku dari luar negara. Sambil membuat pemilihan buku untuk perpustakaan, saya jumpa 3 buah buku yang berkenan di hati walau pun tidak berapa berkenan di poket. RM280 melayang setelah diskaun 15%. Gerai seterusnya adalah DBP, beberapa naskhah edisi lalu dan terkini Dewan Sastera dan Dewan Pelajar menjadi pilihan dan juga sebuah Tesaurus Bahasa Melayu.RM100 ( Em mungkin selepas ini saya perlu melanggan sahaja, lebih mudah) Destinasi seterusnya adalah gerai PTS. Perjalanan ke sana saya ‘diganggu’ dengan penjual kaset dan buku kanak-kanak. Mereka kelihatan marah apabila saya menjawab dalam bahasa Inggeris yang saya tidak berminat dan saya boleh memilih sendiri apa yang saya mahu beli. Ah, melengahkan saya sahaja…Masa saya suntuk sangat.

Lega rasanya bila terpandang gerai PTS. Kelihatan lambaian dan senyuman mesra Puan Ainon. Saya tidak dapat berlama di sana,hanya membeli beberapa novel untuk Afiqah dan Arif. 5 buah kesemuanya.

CINTA HAKIKI
Sebelum beredar ,yang paling mengujakan adalah ‘Teaser’ Koleksi Puisi Terindah sudah berada di tangan saya. Salah satu puisi saya, ‘Cinta Hakiki’ telah terpilih untuk dimuatkan dalam terbitan edaran percuma ini. Genap 2 bulan lalu puisi tersebut saya cipta ,kini telah tersusun indah di kertas merah jambu pekat. Alhamdulilah! (Saya akan imbas dan paparkan di sini kemudian)

DESTINASI ACARA KELUARGA
Masa begitu mencemburui saya. Perlu bergegas ke hotel untuk 'check out' sebelum jam 2 petang dan makan tengahari sebelum 2.30 petang. Mujur mereka menanti saya. Sebetulnya saya tidak mahu berhenti di mana-mana dalam perjalanan nanti. Jam 3.00 petang saya ke parkir kereta untuk meneruskan destinasi. Perlu mengisi minyak pula. Saya telah berjanji untuk menjemput Adib, Afiqah dan Arif di Tangkak pada jam 5 petang untuk ke Pontian. Banyak juga kenderaan. 5. 30 petang barulah saya tiba dan meneruskan perjalanan ke Pontian. Leganya rasa. Kini Adib yang memandu dan sampai di rumah kakak sulung Adib lebih kurang jam 8 malam.

ATURCARA DI PONTIAN
Selepas Solat Isyak, bacaan tahlil arwah.
Usai tahlil, saya bersama-sama kakak ipar, biras dan anak saudara Adib membuat persiapan terakhir, iaitu mencucuk bunga telur dan bunga manggar untuk majlis menjemput menantu anak saudara Adib yang sulung, pada Sabtu,5hb Mei. Hampir jam 2 pagi baru melelapkan mata.

Selepas Solat Subuh,sarapan dan menggosok pakaian, saya pula mendandan dan menyolek 7 orang anak buah, termasuk Afiqah, anak saya sendiri, untuk majlil Khatam Al-Quran pagi itu. Mereka sedondon berbaju kurung hijau dan bertudung putih dan 5 orang lagi anak buah lelaki, termasuk Arif, juga berbaju Melayu hijau siap bersamping dan bersongkok. Kesemuanya juga mengiringi kedua mempelai sewaktu perarakan masuk ke rumah untuk acara persandingan pada jam 12 tengahari. Tetamu terakhir tiba sewaktu kami sedang berkemas-kemas.

KERTAS PEPERIKSAAN MENANTI
Ahad pagi kami bertolak pulang ke Segamat dan singgah seketika di rumah Uda, abang Adib yang kedua. Sesampai di UiTM Johor, saya terus ke bilik gerakan peperiksaan untuk mengambil 3 bungkusan kertas jawapan yang perlu dinilai.

2 bungkusan baru sahaja siap dinilai. Maka inilah ganjarannya. Menulis di blog. 2 kelas ini perlu saya hantarkan markahnya hari ini juga dan 1 bungkusan lagi pada hari Sabtu.
Sudah merdekakah saya? Oh tidak ! Satu lagi tugasan, iaitu menjadi Ketua Pengawas peperiksaan pada pagi Ahad ini di Dewan Besar.

ULANGKAJI PEPERIKSAAN
Sejak hari Isnin, Arif perlu membuat persediaan untuk menjawab peperiksaan subjek agama. Saya tahu Arif amat liat untuk membaca kitab. Ahad malam dia perlu bersedia untuk subjek Tauhid.

“Ibu, bacakanlah!” pintanya.
“Arif cuba hafal 20 sifat wajib Allah, mesti keluar soalan ini,” saya membalas.
“ Kemudian 4 sifat wajib Rasul”.
“Lepas ini, ibu akan soal”.
Arif akur walaupun nampak amat berat. Saya mengubah strategi. Saya libatkan Afiqah.
“Kakak soal adik. Bila adik dapat jawab, dia dapat 20 sen, bila dia tidak dapat jawab , kakak yang dapat 20 sen.”
Nampaknya, Arif lebih bersemangat untuk menjawab dan menghafal.

Isnin tengahari, Arif pulang dengan senyuman.
“Boleh jawab?”
“Ada soalan yang ibu tanya semalam?”
“Ada,” sambil tersengih-sengih.

Isnin malam, persediaan untuk subjek Ibadat dan Sirah pula. Kali ini tiada upah lagi.
“Arif baca Rukun Tayamum, dll lagi…”

Dia pulang dengan senyuman lagi.

Namun saya hanya berdoa jawapannya tepat meskipun dapat menjawab.

Peperiksaan Afiqah hanya bermula minggu hadapan.

Begitulah adanya - antara tugas, keluarga dan kehendak hati.
( Tidak dilupakan tanggungjawab terhadap suami tercinta)
Cabaran wanita berkerjaya dan berkeluarga, perlu dikendong dan dikejar bersama-sama supaya tiada yang keciciran.