Sunday, February 22, 2009

Takziah & Tahniah...Allah Ya Jabbar!

Saya sedang menekuni buku 99 Kecerdasan berasaskan Asmaul Husna karya Sulaiman Alkumayi sejak 1Februari. Sehari satu nama Allah saya hayati dan cuba fahami. Dan khasiat mengamalkan zikirnya saya coretkan dalam Facebook untuk dikongsi. Pada 9 Februari pembacaan saya terhenti kerana saya dimasukkan ke hospital dan keesokan harinya saya melahirkan dan kehilangan arwah Amina Nuraini.

Apabila saya menyambung pembacaan saya, maksud Al –Jabbar ialah Yang Kehendaknya Tidak Dapat Diingkari atau Yang Maha Pemaksa.
Saya teruskan lagi pembacaan saya ke halaman 76 dan tertera ayat-ayat berikut:
Tuhan memutuskan suatu hukum yang berlaku di seluruh alam raya ini, orang dapat menyingkap rahsia-rahsia keindahan cinta, dan pengetahuan, tetapi harganya adalah ketahanan,penderitaan dan kesabaran.

“Dan sesungguhnya, kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui yang (bersedia) berjihad dan bersabar di antara kamu,”[Muhammad,31]

Namun pada akhirnya,janji Tuhan adalah,
“...dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar,”[Al-Baqarah,155]

Ya Allah Ya Jabbar!

3 hari selepas pemergian arwah Amina Nuraini,iaitu pada 13 Februari 2009 merupakan hari ulangtahun saya yang ke-37. Sepanjang hari saya dikelilingi orang yang saya sayangi. Ibu, Mak , Abah,Adib ,Afiqah,Arif, beberapa makcik saudara saya( Khalah, Aunty Chik, Aunty dan Aunty Nozie) dan Mak Arah turut datang berkunjung menjelang tengahari. Mereka cuba menceriakan hari lahir saya. Pelbagai makanan yang dibawa dari Batu Pahat walau tidak kesemuanya dapat saya jamah kerana perlu berpantang. Mee bandung, coklat kek ‘Secret Recipe’, marble kek dan roti naik. Pada hari itu juga segala ubat-ubatan seperti jamu, param,pilis,barut berherba, kain bengkung tiba. Mereka juga memberikan saya beberapa hadiah seperti kain,kain tudung dan kerongsang.Di awal pagi, Hani pula telah menghantar sebuku kek keju.
Sepanjang hari ramai juga tetamu menziarahi saya.

Sekitar jam 5 petang, sewaktu sedang duduk minum petang dan bersembang di meja makan dikelilingi saudara mara,saya mendapat panggilan telefon daripada Prof Kamil, Pengarah UiTM Johor.

Mendengar keriuhan sewaktu saya menjawab telefon, Prof bersuara,
“Ada party ke?”
“ Tak adalah, saudara mara bawa makanan. Jemputlah datang makan.”
“Oh,saya di Shah Alam lagi.”
“Tak mengapa,sampai malam pun ada lagi,boleh datang,”saya membalas.

“....I nak berikan birthday present...satu perkhabaran gembira...your DM52 telah diluluskan!” [kenaikan pangkat ke Pensyarah Kanan]

Talian telefon kurang jelas dan seterusnya terputus. Syukur Alhamdulilah!

Saudara mara saya bersorakan dan mengucapkan tahniah dan saya pula mengalirkan airmata kesyukuran. Agak sukar untuk saya merasai kegembiraan sepenuhnya di saat itu.
Malam itu sekitar jam 9 malam Prof Kamil berkunjung bersama-sama Ain Maisarah dan suaminya . Afiqah amat gembira dengan kunjungan penulis kesayangannya.

Sepanjang minggu lalu, ada 2 ucapan yang saya terima-TAKZIAH di atas kehilangan anak ketiga dan diikuti TAHNIAH di atas kenaikan pangkat ke jawatan pensyarah kanan.

Sesungguhnya, Allah itu Al-Jabbar dan betapa Surah Muhammad ayat 31 dan Surah Al Baqarah ayat 155 yang dicoretkan tadi jadi nyata.
Setiap ucapan takziah yang diberi saya balas dengan kata-kata “Saya reda”.

Kemudian saya terbaca lagi di halaman 77,
“Ibnu Atha’, sahabat dekat al-Hallaj, menjelaskan keadaan reda seperti berikut:
“Ketika hati mengikuti apa yang dipilihkan Tuhan untuk manusia, dia mengetahui apa yang dipilihkan Tuhan untuk dirinya merupakan sebaik-baik pilihan, sehingga dia reda dan tidak merasa kesal.”

Doa dan Harapan di halaman 79 buku yang sama pula tertulis begini,

Ya Allah, Ya Jabbar, Yang KehendakNya tidak diingkari,
Apa pun kehendak-Mu,itulah yang terjadi.
Kami tidak berdaya mengelak darinya.
Wahai Yang Maha Pemaksa,
Berikan daku upaya bagi memahami apa yang Kau paksakan padaku.
Kerana tanpa bimbingan-Mu,
Daku tidak tahu,apa yang Kau
Paksakan padaku adalah terbaik.

Sunday, February 15, 2009

Hanya Allah Membalasnya

Setinggi-tinggi penghargaan saya sekeluarga berikan kepada Ustaz Syazali Effendi kerana telah mengaturkan urusan solat jenazah dan menyebarkan maklumat tentang Arwah Amina Nuraini binti Adib Lukman di Masjid As-Syakirin,UiTM Johor pada jam 9 pagi,11 Februari 2009. Begitu juga kepada Ustaz Kamaruzzaman yang telah mengimamkan solat jenazah,Encik Mohd Albaihaqi yang telah mengiringi jenazah dari hospital ke masjid dan seterusnya ke tanah perkuburan di Batu Pahat untuk pengkebumian. Tidak dilupakan kepada mereka yang hadir ke solat jenazah.

Terima kasih juga kepada rakan taulan sahabat handai,para pelajar yang dikasihi yang menziarah di hospital dan di rumah,ucapan takziah melalui telefon, pesanan ringkas, emel,blog dan Facebook dan tidak ketinggalan entri
Kehilangan dalam blog Prof Dr Hj Muhd Kamil Ibrahim.

Tindakan dan doa anda semua memberi semangat dan kekuatan untuk saya hadapi dugaan ini. Semoga Allah membalasnya dengan berlipat ganda lagi.

Bengkak Payudara

Sebelum bergerak keluar daripada hospital, saya telah meminta doktor membekalkan saya pil untuk memberhentikan susu.

“Di usia 6 bulan, tiada susu lagi,”katanya.
“Tapi doktor, saya dapat merasakan denyutannya sekitar payudara sejak tiga bulan usia kandungan lagi” saya cuba meyakinkan doktor untuk memberikan pil tersebut.
Saya keluar hospital tanpa sebarang ubat-ubatan. Berjalan keluar daripada wad 9,berjalan ke lif, sehingga ke tempat kenderaan diletakkan. Sekitar 200 meter anggaran saya. Saya cuba menenangkan emak saya yang tidak berpuashati kerana saya terpaksa berjalan sejauh itu.

“Tak apalah Mak...boleh!”
********************************************************************************
Sudah 5 hari pemergian arwah. Sangkaan doktor tidak tepat. Sejak 3 hari yang lalu,saya mengalami bengkak payudara. Susu saya tidak berhenti –henti mengalir. Berdenyut-denyut kesakitan di bahagian belikat dan sekitar payudara. Tidak dapat melelapkan mata. Seakan berketul-ketul batu di dalam payudara saya. Saya dinasihatkan meletakkan sayur kobis untuk meredakan keadaan bengkak. Susu masih lagi mengalir.

Lalu saya meminta Adib mencari ubat menghentikan aliran susu.

Kini denyutan berkurangan walaupun aliran susu masih tidak berhenti-henti.

Di sisi lain, Arif,anak kedua saya yang menyusu badan sepenuhnya selama 4 tahun menyatakan suara hatinya.
“Ibu, adik nak rasa sikitlah. Dah lupa macam mana rasanya. Tapi ibu letak di dalam gelaslah.”

Malangnya saya telah pun menelan pil menghentikan susu. Dengan itu,susu tersebut tidak boleh diminum.

Hakikatnya, saya merindui bibir kecil menyentuh puting payudara saya yang sedang membengkak.

Wallahualam,pasti ada hikmah di sebalik ketentuan ini.

Bentan

Ia berlaku pada Khamis ,malam Jumaat ,12hb Februari yang lalu. Saya sedang memaksa diri saya untuk melelapkan mata. Bukan mudah untuk melupakan bayangan arwah Amina Nuraini.

Sewaktu menarik selimut tiba-tiba saya rasa seram sejuk dan menggigil. Ia berlaku dengan begitu mendadak. Tidak dapat dikawal. Adib sedang berada di bilik air saat itu. Saya memanggilnya apabila keadaan saya semakin menjadi-jadi sehingga menangis tersedu-sedu. Ibu dan Mak juga dipanggil ke dalam bilik untuk menenangkan keadaan saya.Saya beristighfar dan berzikir. Saya dinasihatkan disapu minyak panas seluruh badan. Saya juga diberikan air panas untuk memanaskan badan.

Ia adalah malam kedua arwah pergi. Saya tidak bersedia dengan segala ubatan kebiasaan wanita bersalin dan dalam tempoh berpantang.

Setelah bertanya kepada seorang bidan ,barulah kami ketahui ,inilah yang dinamakan BENTAN.

Saya sedari kini betapa pentingnya penjagaan rapi selepas bersalin apatah lagi dalam keadaan tanpa bayi di sisi. Memang tidak boleh dipandang remeh.

Wednesday, February 11, 2009

Doakan Ibu ke Syurga

“Doakan ibu ke syurga,ya?” sambil jari saya menyentuh lengannya.

Sejurus ayat ini keluar saya melihat di pinggir mata kanannya,ada sebutir air mata. Apakah saya berkhayal? Tidak ! Kenyataannya disahkan apabila berkali –kali saya bertanyakan Adib perkara ini yang sama-sama melihat perkara ajaib ini berlaku.

Bentuk fizikalnya telah jelas kelihatan, terutama sekali bibirnya yang mewarisi saya. Wajahnya seakan sedang nyenyak tidur. Kedua belah tangannya seperti dalam keadaan sedang solat. Tangan kanannya di atas tangan kirinya. Saya teliti kakinya pula. Sebelah kanan,cukup lima jari lengkap dengan kuku,halus sekali. Begitu juga kakinya di sebelah kiri. Saya tatap wajahnya sepuas-puas hati. Saya sentuh bibirnya. Saya kucup dahinya. Saya elus jari jemari halus kakinya. Saya usap seluruh tubuhnya.
Zahirnya kelihatan sungguh sempurna seperti bayi lain.

Saya cuba memegang dan mengangkat jarinya. Tidak berjaya saya mengubah kedudukan tangannya seperti dalam keadaan bersolat. Saya tahu tiada genggaman erat darinya. Bibirnya juga tidak bertindakbalas seperti menjamah titisan susu awal saya. Dahinya tidak berkerut apabila dikucup. Jari jemari kakinya tidak mengeliat apabila dielus.
“Sudah Puan?” keasyikan kami melihatnya dikejutkan oleh pertanyaan jururawat. Tiga kali di bertanyakan soalan yang sama.
Saya bertanyakan kepada Adib,
”Boleh dia tidur di sebelah untuk malam ini?”
“Boleh ambil gambarnya?”
Kedua-dua soalan yang saya sendiri tahu jawapannya.

Melihatnya timbul perasaan ketenangan di jiwa. Sama seperti maksud nama pertama yang telah saya rancangkan untuknya iaitu ‘Amina’. Amina juga membawa maksud kebenaran.
Ilham nama ini terbit ketika saya mendalami maksud 99 Asmaul Husna kira-kira seminggu lalu.

[Perkataan Al-Mukmin diambil daripada kata Amina.]

Ilham nama keduanya akan saya coretkan kemudian.

Kurang lebih jam 8.27pm saya meminta jururawat menyediakan kemudahan untuk saya membuang air kecil kerana saya tidak dapat bergerak banyak. Sakit seakan kontraksi sudah mulai terasa. Darah juga terasa mengalir lebih daripada biasa.
Jururawat pelatih muda kelihatan cemas tetapi seakan tidak mengerti apa yang sedang berlaku.
“Banyak darah keluar?” Tanya saya sungguh tenang. Darah dan air kecil saya berselang seli keluar . Meraka hanya mengangguk-angguk.
Saat saya rasakan darah keluar begitu deras dan banyak saya mengangguk-angguk dengan rasa penuh keredaan.
Saya bertanya lagi,”Nampak apa lagi?” Jururawat pelatih berdua itu teragak-agak menjawab soalan saya.

“Pernah bersalin ke?”
“Dah kahwin?”
Soal saya dengan penuh ketenangan.

Mendengar jawapan negatif mereka memberi saya kekuatan.
“Panggil doktor sekarang,baby dah nak keluar ni,”perintah saya.

Mereka masih terpinga-pinga dan menjawab,”Doktor tak ada.”

“Habis tu saya perlu tahan ke? Memang dah nak keluar dah,saya tahu!”
Pergerakan teragak-agak mereka memaksa saya berkata-kata,”Pernah sambut baby ke ni?”

Barulah mereka bergegas memanggil seorang jururawat terlatih.
Melihat keyakinannya, saya terus bertanya,”Macam mana? Boleh saya keluarkan sekarang?”
Sejurus dia mengangguk saya tidak lagi menahannya keluar.
“Perlukah saya meneran?”
“Biarkan dia keluar secara semulajadi dan kalau perlu teran sedikit” balas jururawat terlatih.
Di sekeliling saya bertambah lagi jururawat pelatih. Sekitar 7 orang kesemuanya.
Terdengar bisikan seorang jururawat pelatih berbisik pada rakannya.
“Nasib baik tak balik cepat”
“Tengoklah dan belajar”saya berkata.

Reaksi bingung mereka menggambarkan kepelikan ketenangan saya mungkin.

Dia keluar masih di dalam ‘sarung’ bersama-sama air mentuban dan uri.
Saya meminta jururawat terlatih bernama Safura itu membawanya untuk saya lihat.
Kelihatan seperti di dalam belon,nampak bayangan rambutnya dan tangannya dan selebihnya masih diliputi darah.
Saya dibenarkan melihatnya kembali setelah ‘sarung’ itu dipecahkan dan bayi dibersihkan.

Di saat saya membayangkan kematian saya melahirkannya di entri sebelum ini, dia pula yang meninggalkan saya.

Ibu redha pemergianmu sayang.
Jam 8.47 malam,10 Februari 2009.

Sunday, February 08, 2009

Hidup atau Mati?

Ada 10 hari lagi kisah kembara saya di Australia yang ingin saya nukilkan di sini. Fokus berallih seketika apabila kelas bermula sejak akhir Disember dan kerja penyelidikan dan ditambah juga dengan dengan kesihatan yang menuntut saya lebih banyak berehat dan tidak terlalu lama duduk atau berdiri.

Namun kerinduan menulis menghasilkan puisi Rasa Rindu Rasa di entri sebelum ini.

Sepanjang minggu saya mendapat cuti sakit dan dinasihatkan banyak berehat. Walau saya tidak sihat,Alhamdulilah kandungan saya yang berusia 6 bulan kini berada dalam keadaan yang sihat. Bergerak aktif, dan menurut pemerhatian doktor,dalam keadaan yang baik - uri di atas,air ketuban yang banyak dan kedudukan bayi juga baik dan kemungkinan besar anak ketiga ini seorang perempuan. Terasa lega sedikit kerana saya amat risau sekiranya ada apa-apa yang tak kena dengan bayi dalam kandungan.

Apabila di dalam kesakitan,terlintas di hati saya tentang kematian. Sesungguhnya setiap kali saat hampir melahirkan, akan ada dua kemungkinan. Hakikat terus hidup atau sebaliknya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Perasaan akan hampirnya ajal membuatkan saya lebih teliti tentang apa yang saya lakukan dan katakan kerana saya percaya setiap perbuatan, percakapan dan perasaan saya merupakan 'pendidikan awal' kepada bayi di dalam kandungan.

Saya berdoa saya akan terus hidup untuk meneruskan tanggungjawab sebagai seorang ibu tetapi andai tertulis sebagai mati syahid, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.