Sunday, February 21, 2010

Kembali kepada Fitrah

Fitrah manusia itu sentiasa ingin membuat kebaikan.
Fitrah manusia itu ada sifat malu.
Fitrah manusia itu ingin jadi baik.

Lalu,
bila manusia membuat kejahatan,bukankah itu menongkah fitrahnya?
bila manusia hilang rasa malu,bukankah itu juga melanggar fitrah?
bila manusia bangga melakukan kejahatan,bukankah itu melawan fitrah?


Tetapi adakala...
Bila manusia ingin melakukan kebaikan,mereka dilabel hipokrit.
Bila tidak rasa malu, mereka akan dipuji berani melakukan sesuatu yang mengaibkan.
Bila melakukan kejahatan,dikatakan hebat kerana jujur kepada hawa nafsu sendiri.

Lalu,siapakah yang sebenarnya hipokrit?
Seorang yang telah menidakkan fitrah semulajadinya atau seorang yang menurut kata hati yang bertentang dengan fitrahnya?

Bila fitrah dinafikan,bukankah itu kezaliman pada diri?
Ya Allah,lindungilah aku dari menzalimi diriku sendiri!
Sesungguhnya aku selalu menzalimi diriku sendiri.
Berikan kekuatan untuk kembali kepada fitrahku.

Saturday, February 20, 2010

Tetap Terus Tulis

Sudah sekian lama hati terasa berat untuk menumpahkan kata-kata di sini. Saat ini hati saya digerakkan semula. Saya rasa terpanggil menulis kerana ada seorang rakan Facebook saya ketika bersembang dengannya beberapa jam lalu memberitahu saya bahawa dia menyuruh anaknya membaca blog saya untuk persediaan penulisannya untuk UPSR.

Tiba-tiba saya rasa malu kerana telah lama tidak kemaskini blog ini. Blog yang pada asalnya saya tulis kerana ingin melatih diri sendiri menulis Bahasa Melayu Tinggi dan juga sebagai wadah untuk ekspresi diri kini kian terpinggir.

Kesibukan bukanlah sebabnya. Saya juga tidak tahu kenapa hati terasa berat untuk menulis. Ada juga catatan yang hanya tinggal dalam simpanan draf dan tidak diterbitkan di sini.

Apabila saya membaca kenyataan asal tentang 'tidak tahu kenapa',saya cuba bertanya kembali kepada diri saya.

"Apakah benar?"

Sejujurnya saya ada jawapannya dan biarlah saya tidak menyatakannya di sini.
Ringkasnya,hanya berat hati untuk menulis di sini walau di wadah lain saya tetap menulis.

Saya tetap terus menulis...walau tidak di sini.

Terima kasih kepada yang setia membaca.