Paras air sudah melimpah ke jalanraya di bawah jambatan laluan keretapi pada 6:16pm.
[Dari Kerana Mata- Dari mata turun ke hati. Dari hati belum tentu dapat dilihat oleh mata kalau tidak diolah dalam tulisan dan bahasa yang dapat dijangkau mata hati pembacanya] - sejak 28.6.2006
Tuesday, December 03, 2013
Friday, September 20, 2013
Allah Sayang Kami
Satu persatu.
Seorang demi seorang ahli keluarga saya diuji.
Saya,Mak,Abah,Mak lagi; dan minggu lalu,Adib.
Adib,'orang kuat' yang menjaga kami semua, diuji juga minggu lalu. Suami saya diserang sakit jantung tanpa disedari. Tidak hairanlah sakit jantung itu dikatakan 'pembunuh senyap'. Saluran pembuluh darahnya di bahagian jantung 100% tersumbat. Dikesan apabila angiogram dilakukan oleh doktor. Syukur alhamdulilah prosedur 'ballooning' dan 'stenting' telah dilakukan sebelum serangan mengejut berlaku lagi. Menurut doktor pakar,serangan jantung itu telah berlaku 2 kali tanpa disedari dan Adib bertuah kerana dapat mengesannya awal.
Dalam diam,saya tersenyum dalam hati.Kekuatan muncul setelah menghayati kembali maksud ayat berikut.
Rujuk surah Al-Imran ayat 139.
Friday, September 06, 2013
Semester Diploma dan Ijazah Bertindan
Mulai minggu hadapan,jadual pengajaran pelajar diploma yang masih bersisa 3 minggu lagi akan bertindan dengan pengajaran pelajar ijazah. Syukur, saya rasa begitu bersemangat mahu memulakan pengajaran walaupun sebenarnya saya telah memulakan pengajaran sejak awal Jun yang lalu. Saya dapat rasakan aktiviti pengajaran dapat mempercepatkan proses pemulihan saya sepenuhnya. Ya, apabila mengajar, saya akan lupakan yang saya pernah lalui keadaan kurang sihat dan kurang upaya. Namun, hikmahnya sakit ialah saya dapat merasai bagaimana nikmat sihat yang ditarik semula dan membawa saya lebih dekat kepada yang Maha Penyembuh.
Untuk semester diploma yang sedang berlangsung, saya mengajar subjek 'English for Academic Purposes'. Oh,saya memang gemar mengajar subjek penulisan akademik! Mengingatkan saya tentang penulisan akademik saya sendiri. Tesis!
2 subjek seterusnya ialah 'Report Writing' dan 'Communication & Interpersonal Skills'.
Bersemangat dan berkobar-kobar untuk bertemu pelajar Isnin nanti. Semoga menjadi pemangkin dan bukan penghalang untuk saya menyudahkan tesis yang belum selesai. Semoga berkat ilmu yang akan dikongsi dan disampaikan dapat memudahkan saya dalam pengajian saya sendiri.
Saturday, August 31, 2013
Kumpulan Sokongan AVM di Malaysia
Tidak pernah dengar tentang AVM? Tercari-cari maklumat tentang AVM? Mahu berkongsi maklumat dan rasa? Hanya baca maklumat dari luar negara melalui internet? Tercari-cari sesiapa yang pernah mengalaminya atau sedang mengalaminya? Terasa tiada sesiapa yang fahami apa yang sedang dilalui? Rasa kecewa apabila orang lain cuba meneka-neka dan menyamakan sakit AVM dengan sakit lain dan berkata mereka fahami apa yang dilalui walau mereka tidak mengalaminya?
Saya telah menjalani kaedah rawatan 'embolization' pada 26 Disember 2012 sebelum menjalani pembedahan otak pada 2 Jan 2013.Saya mahu kumpulkan dan tubuhkan kumpulan sokongan kepada sesiapa yang berminat. Bolehlah tinggalkan nama dan alamat emel atau hubungi saya di sini. Segala maklumat tidak akan saya paparkan kepada umum tanpa izin. Akan saya simpan dan hubungi melalui emel atau nombor telefon yang diberi.Alhamdulilah saya semakin sihat kembali dengan izinNya.
Sunday, August 11, 2013
Peperiksaan Sebenar
Alhamdulilah apabila Ramadan telah dilalui dengan penuh penghayatan dan rasa syukur yang sukar digambarkan setelah dugaan demi dugaan ditempuhi. Ramadan tahun ini,walaupun tahun pertama tanpa anakanda Afiqah bersolat terawih di sisi di masjid setiap malam, saya tidak lagi rasa sakit sejak pembedahan di bahagian otak saya berjaya dilakukan. Terima kasih Tuhan yang telah menarik nikmat sihat seketika dan menggantikan dengan kelazatan beribadah setelah sembuh.
Persiapan saya hanya tertumpu kepada menghayati Ramadan setiap hari. Bahagia.
Sayu apabila Ramadan telah berlalu dan saya sedar saya sendiri perlu wujudkan dan kekalkan rasa itu di dalam diri. Setelah sebulan 'peperiksaan percubaan' dijalani, tibalah masanya untuk melalui peperiksaan sebenarnya setelah Syawal tiba dan diikuti dengan bulan-bulan seterusnya. Saya tidak sunyi diuji sepanjang Ramadan dengan keadaan kesihatan Mak dan Abah yang bergilir setiap minggu dimasukkan ke hospital Batu Pahat. Hujung minggu sepanjang Ramadan padat dengan aktiviti berulang-alik Segamat-Batu Pahat apabila Mak dan Abah ditahan untuk pemeriksaan di hospital. Pemeriksaan lanjutan saya yang dijadualkan 2 selama hari pada 5hb dan 6hb Ogos di HUKM juga perlu ditangguhkan kerana saya mahu berada di Hospital Batu Pahat bersama-sama Mak. Mak kekurangan gula dan Abah pula kekurangan darah. Kedua-duanya perlu menjaga pemakanan dan kesihatan masing-masing.
Ya,kesemua keadaan ini ibarat peperiksaan. Tidak perlu berkeluh-kesah tetapi sentiasa mencari hikmah tersirat. Markah ujian? Tidak perlu tahu berapa jumlahnya. Yakin sahaja Allah telah kurniakan segala yang terbaik buat hambaNya yang sabar sentiasa.
Monday, July 08, 2013
Proses Kembali ke Fitrah
Maka perjalanan kembali ke fitrah akan bermula dan saya rasa bahagia menanti kedatangannya kali ini dengan keadaan yang berbeza. Seakan-akan seorang bayi yang lahir di lewat usia.
Tuesday, July 02, 2013
6 bulan Lalu Saya Botak
Setelah 3 kali pembedahan ditangguhkan sejak November 2012 dan menanggung kesakitan terlalu sejak Oktober 2011,akhirnya pada 2.1.2013 saat yang cuba dielakkan tetapi perlu dilakukan berlaku juga. Pada Oktober 2011, saya berada di wad neuro di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Antara sedar dan tidak, saya melihat di dalam wad itu semua pesakit di dalam keadaan tidak sedar dan botak kepala mereka. Saya satu-satunya pesakit yang masih ada 'mahkota'.Pergerakan terbatas. Saya tidak dapat bayangkan bahawa saya akan menempuh keadaan yang sama. Takutnya bukan kepalang.Kini saat yang amat digeruni telah pun dilalui dan saya rasakan seakan mati hidup semula. Doktor pakar di HUKM Cheras menerangkan yang saya akan mengambil masa 2 hari untuk kembali sedar selepas pembedahan dilakukan.Apabila saya disorong masuk ke bilik pembedahan,saya menyimpan tekad di dalam hati dan memohon kepada Allah untuk sedar kembali secepat mungkin. Bukan 2 hari. Saya mahu sedar segera, dalam keadaan yang kembali normal. Saya masuk lebih kurang 9 lebih,hampir 10 pagi dan alhamdulilah, sedar kembali dan tidak lama kemudian saya dengar laungan azan Zohor. Alhamdulilah,saya masih hidup dan botak pada saat itu namun sekarang tidak lagi!
Friday, June 28, 2013
7 Tahun Lalu
Sempena ulangtahun ke-7 saya mula menulis entri di blog DKM,saya mahu menghidupkannya kembali. Terlalu lama saya hentikan penulisan saya di sini. Pelbagai alasan. Malam ini adalah waktu yang sesuai saya 'menegur' kembali sahabat lama saya ini. Entahkan ada pembacanya lagi entahkan tidak.
Saya tinggalkan seketika rakan Facebook yang telah membuatkan saya lupakan blog ini sejak sekian lamanya. Sebenarnya saya rindu menulis di sini.
Teramat rindu.
Saya masih menulis,walaupun tidak di sini. Terkini,cerpen saya Tidak Kalis Sayu yang saya kembangkan dari puisi saya Tak Kalis Sayu telah diterbitkan dalam Dewan Sastera bulan Mei 2013 dan ulasannya pula terbit dalam Dewan Sastera bulan Jun.
Alhamdulilah,akhirnya!
Subscribe to:
Posts (Atom)