Thursday, April 30, 2015

Bicara Awal Rejab



Rejab disambut dengan merenung ciptaan Ilahi. 

Setiap hari mereka berbicara kepada diriku tentang sesuatu.

Langit,awan,pokok,hujan, matahari terbit dan terbenam.

Semuanya menitipkan sesuatu kepadaku.

Subhanallah! Alhamdulilah! Allahu Akbar!

Saturday, April 25, 2015

Indahnya Kontras



Sesuatu yang bertentangan itu perlu dilihat bergandingan dan tidak terpisah.
Ada keharmonian dalam pertentangan apabila kita lebih memerhati dalam satu ruang.
Tidak perlu memihak kepada yang berlawanan dan berlainan kerana mereka tidak melihat sesuatu itu secara menyeluruh.
Hanya melihat di sudut pandangan masing-masing di mana mereka berada.
Lalu, persepsi pastinya berbeza.
Tetapi bagi mereka yang dapat melihat dalam satu kerangka dan kesatuan dapat melahirkan ketenangan dan keamanan di jiwa.

Saturday, April 18, 2015

Sudut Pandangan Menanti



10:03am kami bertiga tiba di sini. Calon sesi jam 8:00am masih belum selesai lagi ditemuduga. Sesak dengan para calon dan keluarga masing-masing. Jam 10:30 Afiqah dipanggil masuk untuk ujian lukisan serentak dengan calon lain. Ujian berlangsung selama sejam. Mereka dipanggil masuk secara rawak dan berkumpulan dalam 5 ke 6 orang. Temuduga bersambung semula tetapi tidak diketahui giliran masing-masing. 

Dalam penantian,saya 'menangkap' ilham yang datang disertakan doa anakanda Afiqah Nadzirah diberikan kelancaran berbicara menjawab soalan panel penemuduga. 

Friday, April 17, 2015

Musim Bunga di Segamat



Sejak saya menjadi 'penumpang' setiap hari ke tempat kerja,saya lebih dapat menangkap dan merakam keindahan Segamat. Setiap hari dalam perjalanan pergi dan pulang,aktiviti ini menjadi sesuatu yang mengujakan. Begitu banyak sudut menarik yang ada seni tersendiri. 

Bunga-bungaan yang berkembang membangkitkan rasa ria. Hal ini tidak dapat saya lakukan semasa saya menjadi pemandu. Sebagai pemandu, saya tidak dapat memerhati dengan teliti pemandangan di kiri kanan. Tumpuan hanya kepada jalan raya dan ke tempat yang dituju. Walaupun adakalanya terasa rimas tidak dapat berdikari memandu sendiri ke sana ke mari,saya diberikan kesempatan untuk menjadi pemerhati alam dan keadaan sekeliling di sepanjang jalan.

Di antara pemandangan yang saya nantikan ialah seperti di dalam gambar di atas. Keindahan bunga yang mekar sebegini dapat dilihat setelah berlakunya keadaan yang panas melampau diikuti  hujan lebat dan kemudian panas kembali. 

Ah... persis cuaca kehidupan sehari-hari itu sendiri. 

Syukur dengan lebatnya hujan dan teriknya matahari lalu menyerikan kehidupan kita sehari-hari. Alhamdulilah!

(Foto diambil pada 13.4.2015- menuju ke UiTM Johor, Segamat)

Sunday, April 12, 2015

Hanya yang Perlu

Dalam usaha untuk 'membuang' yang tidak perlu, saya rindukan saat-saat apabila perhatian saya dapat ditumpukan kepada sesuatu yang benar-benar penting dan perlu. Ada beberapa keadaan yang menuntut saya berbuat begitu. Keadaan yang amat saya rindukan ini kebiasaannya berlaku setelah saya melalui detik kesedihan,kesakitan dan kesusahan. Setelah bersabar melalui keadaan tersebut, seringkali ada khabar gembira dan ketenangan menyusul. Begitulah janji Allah. Lalu rasa sedih perlu dipilih dan disisih kepada sesuatu yang selayaknya dan bukan hanya menurut rasa dan hawa nafsu. Kita sebenarnya boleh memilih apa yang kita mahu rasakan. Bermula dangan kemahuan, tindakan akan mengikut kemahuan itu dan menghalang apa-apa yang tidak perlu. Dan sebenarnya,kita amat beruntung kerana panduan seorang Islam itu telah jelas dan nyata. Apabila tersasar, segera bertaubat,kembali memohon petunjuk dan hidayahNya.

Bukankah sekurang-kurangnya 17 kali sehari kita meminta?

Friday, April 10, 2015

Melukis Kata

Bercakap tentang sudah lama tidak melukis dengan kata-kata di entri yang sebelumnya, saya juga mahu mengejutkan diri sendiri. Lekanya saya dengan tugasan pengajaran dan membuat soalan peperiksaan sehingga tidak mengganjakkan jumlah perkataan dalam tesis sepanjang bulan Mac seperti yang dirancang. Saya telah membenarkan tugasan hakiki mendahului mengisi ruang. Malam ini saya mahu  kembali mengutip kembali segala yang bertaburan. Mengemaskan segala yang berselerakan. Mengisi yang masih lompang. Membuang yang tidak perlu.

Semoga tetap diberikan kekuatan, kesihatan dan kelancaran berfikir dan menulis sehingga tamat. Insya-Allah!

Tuesday, April 07, 2015

Merapi Puisi

Seperti selalu, dalam suasana mendesak dan tertekan, saya seringkali dapat menghasilkan puisi dalam masa yang singkat,iaitu dalam beberapa minit sahaja. Adakalanya tanpa penyuntingan,itulah juga yang terbit. Kebiasaannya lahir terus dari hati. Ada juga yang saya ketepikan dan kembali semula dengan sedikit perubahan. Apapun caranya, kini puisi ditulis kembali di saat perbualan mungkin tidak difahami.

Saya sudah lama tidak melukis namun tidak mendesak diri untuk melukis.
Biarlah saya melukis dengan kata-kata buat seketika.


Friday, April 03, 2015

Memaafkan dan Memohon Maaf

syaitan akan sentiasa berusaha 
menyesatkan kita dengan pelbagai cara. 
dengan mengeraskan hati untuk tidak memaafkan 
dan mengingatkan perkara yang menyakitkan hati 
sehingga berdegil untuk tidak memaafkan. 
untuk melawan rasa itu, 
kita perlu memaafkan 
atau memohon maaf.
dan sebaik-baik 
memaafkan
adalah
ikhlaskan rasa
di dalam hati
tanpa menyatakan maaf telah diberi
tanpa permohonan maaf pihak yang telah melukai...

Allah Maha Mengetahui!

nzshima-3.4.2015

Wednesday, April 01, 2015

April 1 Mencabar

Betapa hari ini amat mencabar buat saya. Sehinggakan saya telah diuji kesabaran dan gagal mengawal diri. Tidak dapat bersuara mengatakan sesuatu dan dengan menahan rasa begitu membuatkan saya hanya dapat mengalirkan air mata dan rasa begitu sesak di dalam dada. Segala yang disuarakan tidak kena dan apabila berdiam pula,dengan mengalirkan air mata juga turut menjadi kemarahan. Cuba untuk mengeraskan hati dan untuk jadi tidak peduli tetapi gagal lagi.

Ya Allah! Ya Allah! Ujian kesabaran ini memilukan. Suara hatiku didengari dan satu petunjuk didatangkan di dalam hati yang masih terasa hiba. Segera bermuhasabah diri. Berkata-kata dalam hati. Memujuk diri.Senyum. Syukur. Solat. Kembali kepadaNya.