Tuesday, January 28, 2014

Temujanji Doktor

Genap 3 kali pada bulan ini saya ke hospital untuk bertemu doktor berbeza. Alhamdulilah perubahan positif meskipun saya tidak lagi 100% seperti dahulu,saya fokuskan kepada keutamaan untuk membuat sesuatu yang mampu dan upaya dan tidak memudaratkan.

Saya sudah boleh berjalan jauh diiringi suami dari tempat letak kereta ke tempat temujanji. Boleh jalan seorang diri,menaiki dan menuruni tangga. Ya,saya rindukan waktu berdikari saya. Pun begitu, 'dimanjakan' dan sentiasa ditemani agak seronok juga rupanya.

Semester untuk pelajar ijazah sarjanamuda pun baru berakhir dan segala urusan pemarkahan pelajar telah saya sempurnakan.

Kini,saya ada lebih kurang 1 bulan untuk 'berehat' dari mengajar semasa pelajar bercuti.

Namun saya masih ada tugasan membuat soalan peperiksaan menanti.

Begitu juga temujanji dengan tesis sendiri yang masih belum tamat lagi.

Selamat malam. Saya mohon berehat dahulu. Sekadar menumpahkan kata-kata yang sarat di fikiran.

Rindu berblog.

Tuesday, January 07, 2014

Sebak

Tidak dapat mengawal rasa pilu. Panggilan telefon yang kelmarin
dibuat kepada ibu arwah membuatkan airmata mengalir laju. Rasa seperti ada sesuatu tersekat di dada. Cuba menahan daripada menangis. Gagal. Lidah jadi kelu untuk meneruskan bicara. Orang yang mempunyai sakit serupa seperti saya pertama kali saya temui secara bersemuka dalam keadaan dia telah koma telah pergi tidak kembali lagi setahun yang lalu. Ya,setahun yang lalu di saat saya disorong keluar dari ruang ICU HUKM setelah menjalani pembedahan otak,seorang gadis berusia 16 tahun dibawa masuk.
Minggu ini 2 kali saya pergi ke hospital untuk temujanji susulan. Isnin lalu di HUKM untuk menjalani MRI dan pagi tadi pula ke Hospital Sultanah Aminah,Johor Bahru. Alhamdulilah!

Di sebalik sebak dan linangan airmata,ada suatu tekad yang tersimpan.

Tuesday, December 03, 2013

Paras air sudah melimpah ke jalanraya di bawah jambatan laluan keretapi pada 6:16pm.

Paras air Sungai Segamat pada 6:07pm.

6pm melintasi jambatan.

11:10am,saya cuti kecemasan hari ini. Paras air meningkat walau hujan sudah teduh.

5:38am,3 Dis 2013,kali kedua melintasi jambatan ini daripada rumah. Jiran tetangga telah keluar mulai jam 4 pagi.

Merakam Hujan dan Paras Air

Catatan 'blog on the go'.

Friday, September 20, 2013

Allah Sayang Kami

Satu persatu.
Seorang demi seorang ahli keluarga saya diuji.
Saya,Mak,Abah,Mak lagi; dan minggu lalu,Adib.
Adib,'orang kuat' yang menjaga kami semua, diuji juga minggu lalu.
Suami saya diserang sakit jantung tanpa disedari. Tidak hairanlah sakit jantung itu dikatakan 'pembunuh senyap'. Saluran pembuluh darahnya di bahagian jantung 100% tersumbat. Dikesan apabila angiogram dilakukan oleh doktor.
Syukur alhamdulilah prosedur 'ballooning' dan 'stenting' telah dilakukan sebelum serangan mengejut berlaku lagi. Menurut doktor pakar,serangan jantung itu telah berlaku 2 kali tanpa disedari dan Adib bertuah kerana dapat mengesannya awal.
Dalam diam,saya tersenyum dalam hati.Kekuatan muncul setelah menghayati kembali maksud ayat berikut.
Rujuk surah Al-Imran ayat 139.

Friday, September 06, 2013

Semester Diploma dan Ijazah Bertindan

Mulai minggu hadapan,jadual pengajaran pelajar diploma yang masih bersisa 3 minggu lagi akan bertindan dengan pengajaran pelajar ijazah. Syukur, saya rasa begitu bersemangat mahu memulakan pengajaran walaupun sebenarnya saya telah memulakan pengajaran sejak awal Jun yang lalu.
Saya dapat rasakan aktiviti pengajaran dapat mempercepatkan proses pemulihan saya sepenuhnya.
Ya, apabila mengajar, saya akan lupakan yang saya pernah lalui keadaan kurang sihat dan kurang upaya.
Namun, hikmahnya sakit ialah saya dapat merasai bagaimana nikmat sihat yang ditarik semula dan membawa saya lebih dekat kepada yang Maha Penyembuh.
Untuk semester diploma yang sedang berlangsung, saya mengajar subjek 'English for Academic Purposes'.
Oh,saya memang gemar mengajar subjek penulisan akademik! Mengingatkan saya tentang penulisan akademik saya sendiri. Tesis!
2 subjek seterusnya ialah 'Report Writing' dan 'Communication & Interpersonal Skills'.
Bersemangat dan berkobar-kobar untuk bertemu pelajar Isnin nanti. Semoga menjadi pemangkin dan bukan penghalang untuk saya menyudahkan tesis yang belum selesai.
Semoga berkat ilmu yang akan dikongsi dan disampaikan dapat memudahkan saya dalam pengajian saya sendiri.

Saturday, August 31, 2013

Kumpulan Sokongan AVM di Malaysia

Tidak pernah dengar tentang AVM? Tercari-cari maklumat tentang AVM? Mahu berkongsi maklumat dan rasa? Hanya baca maklumat dari luar negara melalui internet? Tercari-cari sesiapa yang pernah mengalaminya atau sedang mengalaminya? Terasa tiada sesiapa yang fahami apa yang sedang dilalui? Rasa kecewa apabila orang lain cuba meneka-neka dan menyamakan sakit AVM dengan sakit lain dan berkata mereka fahami apa yang dilalui walau mereka tidak mengalaminya?
Saya telah menjalani kaedah rawatan 'embolization' pada 26 Disember 2012 sebelum menjalani pembedahan otak pada 2 Jan 2013.
Saya mahu kumpulkan dan tubuhkan kumpulan sokongan kepada sesiapa yang berminat. Bolehlah tinggalkan nama dan alamat emel atau hubungi saya di sini. Segala maklumat tidak akan saya paparkan kepada umum tanpa izin. Akan saya simpan dan hubungi melalui emel atau nombor telefon yang diberi.
Alhamdulilah saya semakin sihat kembali dengan izinNya.

Sunday, August 11, 2013

Peperiksaan Sebenar

Alhamdulilah apabila Ramadan telah dilalui dengan penuh penghayatan dan rasa syukur yang sukar digambarkan setelah dugaan demi dugaan ditempuhi. Ramadan tahun ini,walaupun tahun pertama tanpa anakanda Afiqah bersolat terawih di sisi di masjid setiap malam, saya tidak lagi rasa sakit sejak pembedahan di bahagian otak saya berjaya dilakukan. Terima kasih Tuhan yang telah menarik nikmat sihat seketika dan menggantikan dengan kelazatan beribadah setelah sembuh.
Persiapan saya hanya tertumpu kepada menghayati Ramadan setiap hari.
Bahagia.
Sayu apabila Ramadan telah berlalu dan saya sedar saya sendiri perlu wujudkan dan kekalkan rasa itu di dalam diri. Setelah sebulan 'peperiksaan percubaan' dijalani, tibalah masanya untuk melalui peperiksaan sebenarnya setelah Syawal tiba dan diikuti dengan bulan-bulan seterusnya.
Saya tidak sunyi diuji sepanjang Ramadan dengan keadaan kesihatan Mak dan Abah yang bergilir setiap minggu dimasukkan ke hospital Batu Pahat. Hujung minggu sepanjang Ramadan padat dengan aktiviti berulang-alik Segamat-Batu Pahat apabila Mak dan Abah ditahan untuk pemeriksaan di hospital.
Pemeriksaan lanjutan saya yang dijadualkan 2 selama hari pada 5hb dan 6hb Ogos di HUKM juga perlu ditangguhkan kerana saya mahu berada di Hospital Batu Pahat bersama-sama Mak. Mak kekurangan gula dan Abah pula kekurangan darah. Kedua-duanya perlu menjaga pemakanan dan kesihatan masing-masing.
Ya,kesemua keadaan ini ibarat peperiksaan. Tidak perlu berkeluh-kesah tetapi sentiasa mencari hikmah tersirat. Markah ujian? Tidak perlu tahu berapa jumlahnya. Yakin sahaja Allah telah kurniakan segala yang terbaik buat hambaNya yang sabar sentiasa.

Monday, July 08, 2013

Proses Kembali ke Fitrah

Maka perjalanan kembali ke fitrah akan bermula dan saya rasa bahagia menanti kedatangannya kali ini dengan keadaan yang berbeza. Seakan-akan seorang bayi yang lahir di lewat usia.

Tuesday, July 02, 2013

6 bulan Lalu Saya Botak

Setelah 3 kali pembedahan ditangguhkan sejak November 2012 dan menanggung kesakitan terlalu sejak Oktober 2011,akhirnya pada 2.1.2013 saat yang cuba dielakkan tetapi perlu dilakukan berlaku juga.
Pada Oktober 2011, saya berada di wad neuro di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Antara sedar dan tidak, saya melihat di dalam wad itu semua pesakit di dalam keadaan tidak sedar dan botak kepala mereka. Saya satu-satunya pesakit yang masih ada 'mahkota'.Pergerakan terbatas.
Saya tidak dapat bayangkan bahawa saya akan menempuh keadaan yang sama. Takutnya bukan kepalang.Kini saat yang amat digeruni telah pun dilalui dan saya rasakan seakan mati hidup semula.
Doktor pakar di HUKM Cheras menerangkan yang saya akan mengambil masa 2 hari untuk kembali sedar selepas pembedahan dilakukan.Apabila saya disorong masuk ke bilik pembedahan,saya menyimpan tekad di dalam hati dan memohon kepada Allah untuk sedar kembali secepat mungkin. Bukan 2 hari. Saya mahu sedar segera, dalam keadaan yang kembali normal. Saya masuk lebih kurang 9 lebih,hampir 10 pagi dan alhamdulilah, sedar kembali dan tidak lama kemudian saya dengar laungan azan Zohor. Alhamdulilah,saya masih hidup dan botak pada saat itu namun sekarang tidak lagi!

Friday, June 28, 2013

7 Tahun Lalu

Sempena ulangtahun ke-7 saya mula menulis entri di blog DKM,saya mahu menghidupkannya kembali. Terlalu lama saya hentikan penulisan saya di sini. Pelbagai alasan. Malam ini adalah waktu yang sesuai saya 'menegur' kembali sahabat lama saya ini. Entahkan ada pembacanya lagi entahkan tidak.
Saya tinggalkan seketika rakan Facebook yang telah membuatkan saya lupakan blog ini sejak sekian lamanya. Sebenarnya saya rindu menulis di sini.
Teramat rindu.
Saya masih menulis,walaupun tidak di sini.
Terkini,cerpen saya Tidak Kalis Sayu yang saya kembangkan dari puisi saya Tak Kalis Sayu telah diterbitkan dalam Dewan Sastera bulan Mei 2013 dan ulasannya pula terbit dalam Dewan Sastera bulan Jun.
Alhamdulilah,akhirnya!

Thursday, July 19, 2012

AVM - Bak Bom Waktu

Bila-bila masa sahaja boleh berlaku.
Bila-bila saat sahaja saluran pembuluh darah di bahagian otak ini boleh pecah.
Bila-bila sahaja boleh pecah dan menyebabkan kematian.
Bila-bila masa sahaja.
NOKTAH!
Itu kata doktor.
Bukan satu doktor.
Bukan dua doktor.
Bukan tiga doktor.
Setiap doktor yang tahu tentang AVM kata begitu.
Tapi itu kata doktor.
Kata Tuhan?
Hanya Allah yang Maha Tahu!
Semoga pergiku di dalam keadaan yang siap sedia mengadapMu,pergiku di dalam keredaanMu,di dalam rahmatMu,di dalam keampunanMu. Insya Allah
Bukankah sebenarnya KITA SEMUA BAK BOM WAKTU itu?

Thursday, July 05, 2012

Apakah AVM (Arterio-venous malformation)?

Ketika mula-mula 'terserempak' dan 'berkenalan' dengannya,saya tidak begitu memahaminya.
Setelah mengalaminya sejak Oktober 2011, saya semakin memahami dan mengerti.
Banyak hikmah yang tersembunyi.
Anugerah khas yang terselit pesanan dan ingatan.
Bukti kasih sayang Yang Maha Pencipta kepada hambaNya. Syukur.
Saya terpilih mengalaminya.

Monday, July 02, 2012

Kembali Mengajar

Alhamdulilah,saya bekerja semula.
Saya berjaya melangkah ke kelas,di tingkat satu. Berjalan ke kelas dari bilik dan kembali dan begitu juga di sebelah petang. Berjalan dari bilik ke kelas di tingkat satu dan kembali.
Sendiri.
Tanpa dipimpin.
Apabila melangkah ke atas,terasa sedikit pusing apabila saya teruja dan cuba percepatkan langkah. Begitu juga saya terlebih aksi apabila cuba menggayakan ekspresi diri. Nampaknya saya belum boleh melangkah laju seperti dahulu.Perlu berhati-hati melangkah setelah 2 kali terjatuh kerana tidak dapat mengimbang diri.
Saya juga sudah boleh berdiri lama.
Teruja apabila di hadapan pelajar,2 jam di sebelah pagi dan 2 jam di sebelah petang, saya dapat semangat baharu dan lebih ceria.
Saya risau jika tiba-tiba terlupa apa yang hendak disampaikan atau diterangkan. Risau jika saya tidak dapat menulis dengan tepat.Huruf terbalik atau tulisan abjad terbalik. Ternyata masalah koordinasi sudah semakin pulih.
Saya juga dapat rasakan pertuturan saya sudah semakin lancar kembali.
Syukur,kepada Allah Yang Maha Berkehendak.

Sunday, July 01, 2012

Tidak Mahu Menangis

"Prof Kamil akan datang ke rumah jam 6:30pm nanti."
Adib memberitahu melalui telefon.
"Tolong jawab apa-apa yang ditanya dan ceritakan apa yang berlaku."
"Tidak Mahu Menangis ...lagi",saya menyambung.
Saya merujuk kepada sakit AVM yang dihidapi. Mulai diketahui pada Oktober tahun lalu,sebulan selepas pemergiannya ke Madinah.
Jumaat petang,29 Jun yang lalu,Prof Kamil sekeluarga berkunjung ke rumah. Selain sebagai penyelia bersama PhD saya,beliau juga jiran di sebelah rumah.
Saya dapat rasakan yang saya tidak akan dapat menahan diri untuk tidak menangis dan berpesan kepada Adib supaya bersuara.
Gagal.
Di saat beliau menasihatkan supaya saya tidak memikirkan tentang PhD dan perlu menjaga kesihatan saya,perasaan sebak tidak dapat dikawal lagi. Laju sahaja butiran air mata jatuh membasahi pipi.
Saya mahu siapkannya.
Mohon doakan saya.
Terima kasih.
P/S:Sebelum beredar,beliau menghulurkan 'Bersyukur Saat Diuji',karyanya yang terkini. Kelihatan nama Adib dan Shima berada di sana sini.:)

Saturday, June 30, 2012

Dari Kerana Mata...: Dari Kerana Mata

Dari Kerana Mata...: Dari Kerana Mata

Enam tahun yang lalu ianya bermula. Malam ini membuat kunjungan semula. Menulis di sini lagi? Insya Allah. Setelah sekian lama 'sahabat karib' ini ditinggalkan. Saya kembali lagi. Kerana rindu...