Thursday, March 26, 2009

Rahsia 44 Hari

Saya tidak pasti sebelum ini mengapa tradisi berpantang 44 hari selepas bersalin diamalkan masyarakat Melayu. Menurut pembacaan saya dari buku ‘Ensiklopedia Perbidanan Melayu’ (Anisah Barakah,2007:196), ada rahsia di sebalik angka 44 di sudut ilmu dan tradisi Melayu.

Rahsia alam dan sifat kejadian manusia dilambangkan dengan angka 44 . Alam dikatakan mempunyai 4 penjuru dan setiap penjuru melambangkan unsur tanah, air, api dan angin. Dalam ilmu sufi,sifat kejadian manusia dilambangkan secara makrifat melalui keempat-empat unsur. Di setiap penjuru pula dibahagikan lagi kepada 44 dimensi dan di setiap dimensi dijaga pula oleh 44 malaikat dan mungkin inilah juga sebabnya kita sering mendengar lumrah masyarakat Melayu dahulu menyebut ‘selisih malaikat 44’ atau ‘simpang malaikat 44’.

Ilmu makrifat turut menyatakan perkaitan kejadian alam dan pergerakan cakerawala di mana 4 penjuru alam yang mengandungi 44 dimensi itu berhubung langsung dengan alam nyata. Kejadian manusia,berasal daripada tanah, bermula daripada perjalanan roh melalui 44 dimensi. Tanah ialah makam ketujuh daripada peringkat petala bumi. Justeru,deria rangsang manusia berkait rapat dengan pergolakan kejadian alam.
Proses kematian seseorang pula dikatakan bermula 44 hari sebelum kematiannya,iaitu dipercayai pintu dimensi telah terbuka dan ia menghubungkan alam nyata dan alam ghaib.

Dengan itu, konsep pemulihan seseorang perlu melalui pusingan yang sama dalam proses kejadian manusia,iaitu 44 hari sebagai waktu sempurna pulih sediakala.
Tempoh pantang bagi yang keguguran pula bergantung kepada usia kehamilan. Bagi yang keguguran di usia kandungan antara 2 minggu hingga 3 bulan,perlulah berpantang selama 30 hari. Di usia kandungan 4-5 bulan, pula berpantang selama 40 hari dan di usia kandungan 6 bulan dan ke atas , jumlah hari berpantang adalah 44 hari.
Ibu keguguran perlu elakkan makanan berangin seperti ubi keladi, rebung, sayur keladi, pucuk paku, pucuk ubi, serta terung. Makanan yang sejuk dan menjalar seperti labu, kangkung, kacang panjang, timun dan buah-buahan yang sejuk seperti betik, ciku, langsat,duku, macang,kuini, nangka, cempedak, pisang masak hijau, durian belanda dan tembikai madu juga harus dijauhi. Ikan yang berbisa seperti ikan berduri, terubuk, bawal hitam, tudung periuk, cencaru, tamban, sardine, pari dan makanan laut seperti udang, sotong,kerang, belacan, budu, cencaluk, ikan masin turut ditegah.

Menurut penulis lagi, walaupun petua pantang larang kelihatannya seperti tidak logik atau kejam, ada bukti yang menunjukkan ibu yang melanggar pantang larang ini mendapat alahan seperti sakit bentan urat, demam yang susah turun, rambut gugur, mudah sayu, alahan kulit dan cuaca serta mudah letih.

Rutin pemakanan adalah termasuk meminum jamu dan air ubat periuk yang mengandungi rempah herba akar kayu pelbagai. Pemakaian barut dan bengkung juga penting selepas perut dilumur kapur dan limau di bahagian perut dan disapu param seluruh badan. Urutan seluruh badan didahului sebelum pemakaian bengkung. Kaki perlu disarung stokin,dahi pula dilumur pilis dan rambut diikat kemas dan ketat. Memang buruk rupa dan baunya sewaktu berpantang,salah satu tujuannya dikatakan supaya suami tidak rasa teringin mendekati.

Itulah serba sedikit pantang larang yang dapat diamalkan,ada beberapa lagi perkara yang tidak saya coretkan di sini. Wallahualam!

Apapun, Ensiklopedia Perbidanan Melayu terbitan Utusan Publications ini harus dimiliki oleh semua wanita, khususnya yang sedang merancang untuk hamil,sedang hamil atau yang telah melahirkan. Ia mengandungi 8 bahagian merangkumi sejarah ilmu perbidanan, proses kehamilan,proses kehamilan, proses kelahiran, kaedah rawatan intensif,menyambut kelahiran bayi,ketidaksuburan dan keguguran dan disertakan glosari,senarai doa dan senarai tumbuhan dimuatkan dalam 343 halaman.

Tulisan ini adalah sempena hari ke-44 saya berpantang.

Selawat dan Doa

Disaat solat telah dapat saya tunaikan, hati menjadi tenang dengan beberapa amalan selawat dan doa berikut. Selain doa dan wirid selepas solat,saya suka amalkan, selawat tafrijiyah(11 kali), selawat tib dan ayat 1000 dinar(3 kali). Maksud ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut.

Selawat Tafrijiyah

“Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahkanlah rahmat dengan sempurnanya dan kurniakanlah kesejahteraan secukupnya ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w rahmat yang dengannya terbuka segala ikatan, hilang segala kesusahan, terlaksana segala hajat dan tercapai segala cita-cita dan dipohonkan kesudahan yang baik, diharapkan turun hujan dengan berkat wajah baginda yang mulia, dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas keluarga dan sahabat-sahabat baginda pada setiap gerakan mata dan hembusan nafas sebanyak bilangan benda yang ada dalam maklumanMu.”

Selawat Tib

"Ya Allah Ya Tuhan kami,limpahkanlah rahmat ke atas junjungan Nabi Muhammad yang dengannya dapat mengubati hati(yang kusut) dan menjadi penawar, menyihatkan badan (dari segala penyakit) yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pemandangan (mata) dan menyinarkannya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan sahabat baginda sekalian."

Ayat 1000 Dinar- Surah At-Talaq Ayat 2 & 3

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakinya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Sunday, March 15, 2009

Doktor Contoh

Walau saya menyuarakan rasa kurang senang dengan beberapa keadaan yang berlaku kepada saya secara peribadi di hospital di entri sebelum ini,saya terpanggil untuk mencoretkan tentang 2 orang doktor yang perlu dicontohi dan saya hargai. Dua orang doktor tersebut adalah Dr Nuribah Upawi dan Dr Irwan.

Saya hargai penjelasan berhemah Dr Nuribah ketika saya berada di dalam kerisauan. Ketika lawatan beliau di pagi Selasa,10 Feb,kami berdialog begini.

“Doktor, saya memang amat bersedia dengan cara-cara untuk bersalin kerana telah mengalaminya 2 kali. Walau saya tidak berputus harap, saya mohon penjelasan apa yang akan berlaku di saat keadaan bayi saya tidak dapat diselamatkan. Saya mahu bersedia dari segi mental. Boleh doktor tolong jelaskan?”
“Sama keadaannya seperti hendak melahirkan. Ada rasa rengat,mungkin singkat waktunya atau mungkin juga berlaku berhari-hari sebelum keluar semuanya. Ada juga yang tidak rasai sakit tetapi darah tumpah tiba-tiba dan diikuti keseluruhannya.”
“Ada ubat yang digunakan untuk mengeluarkan atau secara semulajadi?”
“Tiada ubat. Kita hanya tunggu.”
“Pernah kejadian begini berlaku dan kedua-dua ibu dan bayi selamat?”
“Ada juga,tetapi ibu tersebut perlu kurang bergerak dan tidak membuat sebarang kerja berat.”
“Tetapi dalam keadaan awak yang berbaring tetapi masih berlaku pendarahan,agak kritikal.”
“Jadi doktor,saya akan rasa sama seperti hendak bersalin?”

Doktor mengganguk.

“Terima kasih doktor. Saya hanya cuba menyiapkan diri saya supaya tahu bagaimana hadapi keadaan.”

Dialog ini berjaya membuat saya hadapi keadaan dengan tenang.

Kedua, Dr Irwan yang saya temui di sesi pertemuan susulan Khamis,12 Mac lalu.
“Doktor, boleh saya tahu puncanya?”
“Tak dapat dipastikan puncanya. Kalau nak tahu ,perlu dibuat post-mortem ke atas bayi. Lagipun, ini baru berlaku pertama kali. Puan pernah melahirkan 2 orang anak secara normal sebelum ini. Kita hanya akan melakukannya sekiranya ia berlaku berulang kali. Ia juga memerlukan pelbagai pemeriksaan dan melibatkan kos.”

“Apakah kemungkinan yang menjadikan penyebab?”
“Mungkin jangkitan virus sebab puan demam panas malam sebelumnya tetapi tak dapat nak dipastikan sepenuhnya.”
Ada beberapa perkara lagi yang disampaikan dengan penuh kesabaran walau disaat itu waktu telah menjejak jam 1 petang.

Merekalah doktor yang patut dicontohi dan saya gembira mereka masih wujud di hospital kerajaan.

Doktor yang tidak patut dicontohi ada saya coretkan di entri sebelumnya. Seorang ialah doktor yang tidak mahu memberikan pil untuk saya hentikan susu apabila saya memintanya.

Seorang lagi doktor pula,yang ditemui di sesi susulan sebelum ini hanya memeriksa saya kurang daripada 5 minit dan tidak memberi peluang saya bersoal jawab tentang keadaan kesihatan saya. Terpinga-pinga saya apabila diarahkan keluar selepas membuat pemeriksaan ultrasound.

Saya harap mereka akan berubah menjadi lebih professional.
(Saya telah membuat aduan secara lisan tentang perkara ini)

Thursday, March 12, 2009

Arif Nukman 10 Tahun

Arif dengan terujanya menagih janji saya menulis kisah ini sekembalinya daripada sekolah semalam petang. Peristiwa penting ini berlaku 10 tahun yang lalu.

Sepanjang kehamilan kedua ,saya begitu aktif sekali. Turun naik bas mini ke sekolah dari seksyen 17 ke 16 setiap hari. Di sebelah pagi mengurus rumah ,memasak,membasuh dan menjaga Afiqah yang berusia setahun lebih waktu itu.Di sebelah petang mengajar ke sekolah dan sebelah malam pula memenuhi permintaan kelas tambahan Bahasa Inggeris anak-anak jiran dan tidak dilupakan melayan suami tersayang. Pada hari Sabtu juga saya ke sekolah membuat kelas tambahan percuma, selain mengajar tarian tradisional(asyik) kepada pelajar kelab kebudayaan. Jadual memang sentiasa padat dan syukur saya tidak mengalami mabuk atau muntah-muntah dan sebarang komplikasi lain.

Menurut doktor, tarikh kelahirannya dijangka pada 11.3.99. Pada pagi itu,selesai solat Subuh dan bersarapan, saya mengajak Adib berjalan kaki di sekeliling kawasan perumahan di Seksyen 17 Shah Alam sebelum dia bergerak ke pejabatnya di Taman Teknologi Malaysia. Memang meletihkan dan saya rasakan itulah harinya lalu bercadang tidak ke sekolah pada petang itu dan saya telah bersedia untuk bersalin.

Selepas solat Zohor,saya terlalu letih dan tertidur sehingga jam 5 petang apabila perut saya terasa sangat lapar. Usai makan,terasa resa nak membuang air besar. Diikuti pula dengan sedikit pendarahan dan mulai terasa sakit pada jam 5.30 petang.
Airmata kesakitan mulai turun dan Afiqah minta saya mendukungnya di saat itu. Telefon pula tiada dan saya memohon bantuan jiran untuk menghubungi Adib tetapi tidak berjaya dihubungi. Tidak berapa lama kemudian Adib pun tiba dan saya terus dihantar ke hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Hujan renyai,kenderaan berderet dan saya pula alami rengat setiap 5 minit.
Sepanjang jalan berselang seli rentak rengat dan bacaan zikir. Beberapa kali saya rasakan seperti ingin melahirkan di dalam kenderaan sahaja tetapi berulang kali Adib meminta saya bersabar.

Kurang lebih jam 6.30,Proton Saga kami berada di ruangan kecemasan dan saya didudukkan di atas kerusi roda dan disorong ke dalam. Saya diminta jururawat untuk mengisi borang.
“Saya dah nak bersalin ni.”
Saya disuruh berbaring untuk diperiksa dengan nada yang agak kasar.
“Janganlah marah-marah, saya sakit ni.Cakap baik-baik tak boleh ke?”

Setelah berbaring dan melihat kepala Arif hampir keluar, barulah jururawat itu kelam kabut menyuruh saya duduk semula di kerusi roda dan menolak saya ke wad bersalin.
Di wad bersalin,saya dibaringkan di atas troli, tiada katil yang kosong, ada lebih kurang 7 orang lagi yang sedang mengalami sakit bersalin.Saya diletakkan di hujung kaki seorang ibu yang juga sedang mengerang kesakitan.

Seorang doktor wanita menghampiri saya dan saya meneran sebanyak 2 kali dan lahirlah Arif Nukman pada jam 6.46 petang. Sejurus keluar, Arif diletakkan ke dada saya. Saya terus menyuakan bibir kecilnya unuk menikmati titisan kolostrum yang penuh khasiat sambil doktor memutuskan tali pusatnya. Itulah saat yang amat bahagia sekali dan segala kesakitan telah lenyap. Saya menyimpan tekad untuk menyusukannya selama yang mungkin dan alhamdulilah Arif menyusu sepenuhnya selama 4 tahun tanpa sebarang campuran susu formula. Arif pun berhenti menyusu dalam keadaan terpaksa kerana saya diserang demam denggi dan terlalu lemah untuk menyusukannya.

6 tahun telah berlalu sejak kali terakhir Arif menyusu dan dia pula sudah terlupa bagaimana rasanya. Namun,dia masih rindu untuk merasa sedikit,...katanya!

Ibu doakan Arif Nukman menjadi anak yang soleh,taat pada Allah dan Rasulnya,berjaya di dunia dan akhirat. Amin!

Tuesday, March 10, 2009

Siaran Ulangan 9 & 10 Februari 2009

Saya cuba membiarkan kisah ini berlalu. Namun bagai siaran ulangan di kaca TV,ia masih lagi mendapat ranking tertinggi dalam khalayak minda ini. Saya cuba menukar ke siaran lain tetapi kisah ini juga yang tersiar. Ditambah pula setiap yang datang berkunjung akan bertanyakan apa sebabnya. Bagaimana ia berlaku? Mungkin mudah saja andai saya katakan telah tertulis skripnya di Loh Mahfuz begitu oleh Maha Pencipta. Noktah. Tidak mungkin begitu tata bicara saya terhadap tetamu yang menziarah?

Petang Isnin,9 Februari itu,saya rasa bisa satu badan dan suhu badan kian meningkat. Sedikit pendarahan juga berlaku tetapi menurut doktor ,saya perlu banyak berehat dan tidak banyak bergerak. Selepas solat Isyak masih lagi bisa-bisa badan dan semakin meningkat suhu badan saya. Cuti umum. Keputusan diambil untuk ke hospital Segamat sahaja. Dalam perjalanan ada perarakan perayaan Chap Goh Mei dan perjalanan terhenti sekitar 20 minit. Saya dalam kesakitan tetapi tiada apa yang dapat dilakukan kerana tersekat di antara kenderaan lain. Perjalanan ke hospital mengambil masa selama 45 minit.
Setibanya di hospital,saya ditolak dengan kerusi roda. Suhu diambil. Bacaan 39 Celsius. Saya ditahan dan di bawa ke wad 9. Diberi 2 biji Panadol untuk redakan demam.
Seorang doktor memeriksa keadaan saya dibantu seorang jururawat.
“Ada bukaan 2cm!”
“Dah nak keluar ni.”
Saya terkejut dengan penjelasan doktor.
Doktor menggunakan alat ultrasound untuk melihat keadaan bayi saya.
“Nampak keadaan bayi ok. Itu jantungnya. Masih berdegup seperti biasa.”
“Tapi ini ‘fresh blood’,nampaknya kena keluarkan ni.”
Masih tidak percaya dengan penerangan doktor, saya berkata,
“Nanti dulu doktor! Saya masih tidak berputus asa. Saya tengok keadaan bayi saya baik sahaja. Anak pertama saya dahulu,saya dah buka 4 cm semasa 7 bulan tetapi saya dapat bertahan dan dia lahir cukup 9 bulan.”
Doktor nasihatkan saya bertenang,berehat dan kurang bergerak.
Saya diletakkan berdekatan dengan kaunter jururawat. Ada7 katil lain di hadapan dan seiring katil saya.
Demam saya beransur reda. Namun mata saya tidak dapat lelap. Pertama,risaukan keadaan bayi saya. Kedua, bunyi deringan telefon bimbit para pesakit berbagai rentak dan irama bersilih ganti dengan deringan telefon di kaunter jururawat. Selewat jam 3 pagi,salah seorang pesakit membiarkan lagu Korea menjerit-jerit tidak terangkat,sekitar 5 kali kerana tuannya enak dibuai mimpi. Sebentar kemudian deringan irama poco-poco pula kedengaran dari telefon bimbit pesakit lain. Kesudahannya, saya tidak tidur sampai ke pagi dan rasa amat terganggu dan tertekan sekali.
Mulai jam 4.30 pagi saya telah mengalami rengat. Setiap 5 minit ia berulang. Saya cuba bertahan. Bisanya seluruh badan menahan daripada bergerak. Terasa juga pendarahan berlaku.

Apabila doktor datang memeriksa saya,saya merayu kepada doktor untuk berpindah ke wad kelas pertama kerana saya tidak dapat tidur dan bertenang. Tidak berjaya atas alasan memudahkan jururawat melihat saya.
Saya juga memohon untuk pindah keluar ke hospital swasta.
“Sekiranya saya tidak diberi sebarang rawatan,mengapa perlu saya terus di sini?”
Doktor tidak memberi kebenaran untuk saya keluar .

Apabila jururawat pelatih datang memeriksa sekitar jam 2 petang, degupan jantung bayi saya masih lagi kedengaran. Jam 3 petang saya masih rasakan tendangannya berkali-kali.

Waktu melawat merupakan kemuncak ‘ketenangan’ saya. Suasana di sekeliling bagai pesta. Pelawat berkunjung,bergurau senda. Ada sekumpulan kanak-kanak kecil berkejar-kejaran di dalam wad.
“Satu! Dua ! Tiga!” Beberapa kanak-kanak itu berlumba lari di hadapan saya,seorang pesakit yang dikatakan ‘kritikal’ ini.
Sekitar jam 8 malam, kesabaran saya mulai teruji apabila katil di hadapan saya masih lagi tetamunya bersembang ceria.

Saya memanggil seorang jururawat.
“Tolonglah saya. Bagaimana saya nak berehat dan bertenang dalam keadaan begini?”
“Tolonglah pindahkan saya sekarang!”rayu saya.
“Puan kena bertenang. Kalau stres,lagi banyak darah keluar.”jawabnya.
“Perhatikanlah keadaan sekeliling,macam mana saya dapat berehat dan bertenang? Saya tidak tidur sepanjang malam.”
“Saya bukannya cerewet mahu berpindah ke kelas satu. Saya tak kisah pun makanan saya berbeza menu atau cara hidangannya.”
“Nanti pengawal akan datang dan suruh mereka balik,”ujar jururawat itu.
“Awak tidak boleh ke tegur mereka? Dah 8.15pm sekarang,saya sangat stres ni.”
Saya memegang tangan jururawat yang hendak beredar dari sisi.
“Tolonglah bagi tahu mereka suruh senyap sikit.”

“Saya ada kes baru ni,”balas jururawat itu seperti saya ini menyusahkannya.
“Tunggulah sekejap,”rayu saya lagi sambil memegang erat tangannya sambil merasakan darah semakin deras mengalir.
“Saya perlu buang air kecil sekarang juga,di sini,tolonglah!”
Dalam hati saya menjerit-jerit,"Tolong diam!" Tetapi saya masih mampu bertahan dengan bacaan zikir.

Sekumpulan pelawat di hadapan saya barulah beransur keluar.

Sambil jururawat pelatih menyediakan segala kelengkapan saya sempat menghubungi Adib.

“Tolonglah cepat sikit datang! I dah sakit sangat ni!"

Kisah selanjutnya bersambung di sini.

Sunday, February 22, 2009

Takziah & Tahniah...Allah Ya Jabbar!

Saya sedang menekuni buku 99 Kecerdasan berasaskan Asmaul Husna karya Sulaiman Alkumayi sejak 1Februari. Sehari satu nama Allah saya hayati dan cuba fahami. Dan khasiat mengamalkan zikirnya saya coretkan dalam Facebook untuk dikongsi. Pada 9 Februari pembacaan saya terhenti kerana saya dimasukkan ke hospital dan keesokan harinya saya melahirkan dan kehilangan arwah Amina Nuraini.

Apabila saya menyambung pembacaan saya, maksud Al –Jabbar ialah Yang Kehendaknya Tidak Dapat Diingkari atau Yang Maha Pemaksa.
Saya teruskan lagi pembacaan saya ke halaman 76 dan tertera ayat-ayat berikut:
Tuhan memutuskan suatu hukum yang berlaku di seluruh alam raya ini, orang dapat menyingkap rahsia-rahsia keindahan cinta, dan pengetahuan, tetapi harganya adalah ketahanan,penderitaan dan kesabaran.

“Dan sesungguhnya, kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui yang (bersedia) berjihad dan bersabar di antara kamu,”[Muhammad,31]

Namun pada akhirnya,janji Tuhan adalah,
“...dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar,”[Al-Baqarah,155]

Ya Allah Ya Jabbar!

3 hari selepas pemergian arwah Amina Nuraini,iaitu pada 13 Februari 2009 merupakan hari ulangtahun saya yang ke-37. Sepanjang hari saya dikelilingi orang yang saya sayangi. Ibu, Mak , Abah,Adib ,Afiqah,Arif, beberapa makcik saudara saya( Khalah, Aunty Chik, Aunty dan Aunty Nozie) dan Mak Arah turut datang berkunjung menjelang tengahari. Mereka cuba menceriakan hari lahir saya. Pelbagai makanan yang dibawa dari Batu Pahat walau tidak kesemuanya dapat saya jamah kerana perlu berpantang. Mee bandung, coklat kek ‘Secret Recipe’, marble kek dan roti naik. Pada hari itu juga segala ubat-ubatan seperti jamu, param,pilis,barut berherba, kain bengkung tiba. Mereka juga memberikan saya beberapa hadiah seperti kain,kain tudung dan kerongsang.Di awal pagi, Hani pula telah menghantar sebuku kek keju.
Sepanjang hari ramai juga tetamu menziarahi saya.

Sekitar jam 5 petang, sewaktu sedang duduk minum petang dan bersembang di meja makan dikelilingi saudara mara,saya mendapat panggilan telefon daripada Prof Kamil, Pengarah UiTM Johor.

Mendengar keriuhan sewaktu saya menjawab telefon, Prof bersuara,
“Ada party ke?”
“ Tak adalah, saudara mara bawa makanan. Jemputlah datang makan.”
“Oh,saya di Shah Alam lagi.”
“Tak mengapa,sampai malam pun ada lagi,boleh datang,”saya membalas.

“....I nak berikan birthday present...satu perkhabaran gembira...your DM52 telah diluluskan!” [kenaikan pangkat ke Pensyarah Kanan]

Talian telefon kurang jelas dan seterusnya terputus. Syukur Alhamdulilah!

Saudara mara saya bersorakan dan mengucapkan tahniah dan saya pula mengalirkan airmata kesyukuran. Agak sukar untuk saya merasai kegembiraan sepenuhnya di saat itu.
Malam itu sekitar jam 9 malam Prof Kamil berkunjung bersama-sama Ain Maisarah dan suaminya . Afiqah amat gembira dengan kunjungan penulis kesayangannya.

Sepanjang minggu lalu, ada 2 ucapan yang saya terima-TAKZIAH di atas kehilangan anak ketiga dan diikuti TAHNIAH di atas kenaikan pangkat ke jawatan pensyarah kanan.

Sesungguhnya, Allah itu Al-Jabbar dan betapa Surah Muhammad ayat 31 dan Surah Al Baqarah ayat 155 yang dicoretkan tadi jadi nyata.
Setiap ucapan takziah yang diberi saya balas dengan kata-kata “Saya reda”.

Kemudian saya terbaca lagi di halaman 77,
“Ibnu Atha’, sahabat dekat al-Hallaj, menjelaskan keadaan reda seperti berikut:
“Ketika hati mengikuti apa yang dipilihkan Tuhan untuk manusia, dia mengetahui apa yang dipilihkan Tuhan untuk dirinya merupakan sebaik-baik pilihan, sehingga dia reda dan tidak merasa kesal.”

Doa dan Harapan di halaman 79 buku yang sama pula tertulis begini,

Ya Allah, Ya Jabbar, Yang KehendakNya tidak diingkari,
Apa pun kehendak-Mu,itulah yang terjadi.
Kami tidak berdaya mengelak darinya.
Wahai Yang Maha Pemaksa,
Berikan daku upaya bagi memahami apa yang Kau paksakan padaku.
Kerana tanpa bimbingan-Mu,
Daku tidak tahu,apa yang Kau
Paksakan padaku adalah terbaik.

Sunday, February 15, 2009

Hanya Allah Membalasnya

Setinggi-tinggi penghargaan saya sekeluarga berikan kepada Ustaz Syazali Effendi kerana telah mengaturkan urusan solat jenazah dan menyebarkan maklumat tentang Arwah Amina Nuraini binti Adib Lukman di Masjid As-Syakirin,UiTM Johor pada jam 9 pagi,11 Februari 2009. Begitu juga kepada Ustaz Kamaruzzaman yang telah mengimamkan solat jenazah,Encik Mohd Albaihaqi yang telah mengiringi jenazah dari hospital ke masjid dan seterusnya ke tanah perkuburan di Batu Pahat untuk pengkebumian. Tidak dilupakan kepada mereka yang hadir ke solat jenazah.

Terima kasih juga kepada rakan taulan sahabat handai,para pelajar yang dikasihi yang menziarah di hospital dan di rumah,ucapan takziah melalui telefon, pesanan ringkas, emel,blog dan Facebook dan tidak ketinggalan entri
Kehilangan dalam blog Prof Dr Hj Muhd Kamil Ibrahim.

Tindakan dan doa anda semua memberi semangat dan kekuatan untuk saya hadapi dugaan ini. Semoga Allah membalasnya dengan berlipat ganda lagi.

Bengkak Payudara

Sebelum bergerak keluar daripada hospital, saya telah meminta doktor membekalkan saya pil untuk memberhentikan susu.

“Di usia 6 bulan, tiada susu lagi,”katanya.
“Tapi doktor, saya dapat merasakan denyutannya sekitar payudara sejak tiga bulan usia kandungan lagi” saya cuba meyakinkan doktor untuk memberikan pil tersebut.
Saya keluar hospital tanpa sebarang ubat-ubatan. Berjalan keluar daripada wad 9,berjalan ke lif, sehingga ke tempat kenderaan diletakkan. Sekitar 200 meter anggaran saya. Saya cuba menenangkan emak saya yang tidak berpuashati kerana saya terpaksa berjalan sejauh itu.

“Tak apalah Mak...boleh!”
********************************************************************************
Sudah 5 hari pemergian arwah. Sangkaan doktor tidak tepat. Sejak 3 hari yang lalu,saya mengalami bengkak payudara. Susu saya tidak berhenti –henti mengalir. Berdenyut-denyut kesakitan di bahagian belikat dan sekitar payudara. Tidak dapat melelapkan mata. Seakan berketul-ketul batu di dalam payudara saya. Saya dinasihatkan meletakkan sayur kobis untuk meredakan keadaan bengkak. Susu masih lagi mengalir.

Lalu saya meminta Adib mencari ubat menghentikan aliran susu.

Kini denyutan berkurangan walaupun aliran susu masih tidak berhenti-henti.

Di sisi lain, Arif,anak kedua saya yang menyusu badan sepenuhnya selama 4 tahun menyatakan suara hatinya.
“Ibu, adik nak rasa sikitlah. Dah lupa macam mana rasanya. Tapi ibu letak di dalam gelaslah.”

Malangnya saya telah pun menelan pil menghentikan susu. Dengan itu,susu tersebut tidak boleh diminum.

Hakikatnya, saya merindui bibir kecil menyentuh puting payudara saya yang sedang membengkak.

Wallahualam,pasti ada hikmah di sebalik ketentuan ini.

Bentan

Ia berlaku pada Khamis ,malam Jumaat ,12hb Februari yang lalu. Saya sedang memaksa diri saya untuk melelapkan mata. Bukan mudah untuk melupakan bayangan arwah Amina Nuraini.

Sewaktu menarik selimut tiba-tiba saya rasa seram sejuk dan menggigil. Ia berlaku dengan begitu mendadak. Tidak dapat dikawal. Adib sedang berada di bilik air saat itu. Saya memanggilnya apabila keadaan saya semakin menjadi-jadi sehingga menangis tersedu-sedu. Ibu dan Mak juga dipanggil ke dalam bilik untuk menenangkan keadaan saya.Saya beristighfar dan berzikir. Saya dinasihatkan disapu minyak panas seluruh badan. Saya juga diberikan air panas untuk memanaskan badan.

Ia adalah malam kedua arwah pergi. Saya tidak bersedia dengan segala ubatan kebiasaan wanita bersalin dan dalam tempoh berpantang.

Setelah bertanya kepada seorang bidan ,barulah kami ketahui ,inilah yang dinamakan BENTAN.

Saya sedari kini betapa pentingnya penjagaan rapi selepas bersalin apatah lagi dalam keadaan tanpa bayi di sisi. Memang tidak boleh dipandang remeh.

Wednesday, February 11, 2009

Doakan Ibu ke Syurga

“Doakan ibu ke syurga,ya?” sambil jari saya menyentuh lengannya.

Sejurus ayat ini keluar saya melihat di pinggir mata kanannya,ada sebutir air mata. Apakah saya berkhayal? Tidak ! Kenyataannya disahkan apabila berkali –kali saya bertanyakan Adib perkara ini yang sama-sama melihat perkara ajaib ini berlaku.

Bentuk fizikalnya telah jelas kelihatan, terutama sekali bibirnya yang mewarisi saya. Wajahnya seakan sedang nyenyak tidur. Kedua belah tangannya seperti dalam keadaan sedang solat. Tangan kanannya di atas tangan kirinya. Saya teliti kakinya pula. Sebelah kanan,cukup lima jari lengkap dengan kuku,halus sekali. Begitu juga kakinya di sebelah kiri. Saya tatap wajahnya sepuas-puas hati. Saya sentuh bibirnya. Saya kucup dahinya. Saya elus jari jemari halus kakinya. Saya usap seluruh tubuhnya.
Zahirnya kelihatan sungguh sempurna seperti bayi lain.

Saya cuba memegang dan mengangkat jarinya. Tidak berjaya saya mengubah kedudukan tangannya seperti dalam keadaan bersolat. Saya tahu tiada genggaman erat darinya. Bibirnya juga tidak bertindakbalas seperti menjamah titisan susu awal saya. Dahinya tidak berkerut apabila dikucup. Jari jemari kakinya tidak mengeliat apabila dielus.
“Sudah Puan?” keasyikan kami melihatnya dikejutkan oleh pertanyaan jururawat. Tiga kali di bertanyakan soalan yang sama.
Saya bertanyakan kepada Adib,
”Boleh dia tidur di sebelah untuk malam ini?”
“Boleh ambil gambarnya?”
Kedua-dua soalan yang saya sendiri tahu jawapannya.

Melihatnya timbul perasaan ketenangan di jiwa. Sama seperti maksud nama pertama yang telah saya rancangkan untuknya iaitu ‘Amina’. Amina juga membawa maksud kebenaran.
Ilham nama ini terbit ketika saya mendalami maksud 99 Asmaul Husna kira-kira seminggu lalu.

[Perkataan Al-Mukmin diambil daripada kata Amina.]

Ilham nama keduanya akan saya coretkan kemudian.

Kurang lebih jam 8.27pm saya meminta jururawat menyediakan kemudahan untuk saya membuang air kecil kerana saya tidak dapat bergerak banyak. Sakit seakan kontraksi sudah mulai terasa. Darah juga terasa mengalir lebih daripada biasa.
Jururawat pelatih muda kelihatan cemas tetapi seakan tidak mengerti apa yang sedang berlaku.
“Banyak darah keluar?” Tanya saya sungguh tenang. Darah dan air kecil saya berselang seli keluar . Meraka hanya mengangguk-angguk.
Saat saya rasakan darah keluar begitu deras dan banyak saya mengangguk-angguk dengan rasa penuh keredaan.
Saya bertanya lagi,”Nampak apa lagi?” Jururawat pelatih berdua itu teragak-agak menjawab soalan saya.

“Pernah bersalin ke?”
“Dah kahwin?”
Soal saya dengan penuh ketenangan.

Mendengar jawapan negatif mereka memberi saya kekuatan.
“Panggil doktor sekarang,baby dah nak keluar ni,”perintah saya.

Mereka masih terpinga-pinga dan menjawab,”Doktor tak ada.”

“Habis tu saya perlu tahan ke? Memang dah nak keluar dah,saya tahu!”
Pergerakan teragak-agak mereka memaksa saya berkata-kata,”Pernah sambut baby ke ni?”

Barulah mereka bergegas memanggil seorang jururawat terlatih.
Melihat keyakinannya, saya terus bertanya,”Macam mana? Boleh saya keluarkan sekarang?”
Sejurus dia mengangguk saya tidak lagi menahannya keluar.
“Perlukah saya meneran?”
“Biarkan dia keluar secara semulajadi dan kalau perlu teran sedikit” balas jururawat terlatih.
Di sekeliling saya bertambah lagi jururawat pelatih. Sekitar 7 orang kesemuanya.
Terdengar bisikan seorang jururawat pelatih berbisik pada rakannya.
“Nasib baik tak balik cepat”
“Tengoklah dan belajar”saya berkata.

Reaksi bingung mereka menggambarkan kepelikan ketenangan saya mungkin.

Dia keluar masih di dalam ‘sarung’ bersama-sama air mentuban dan uri.
Saya meminta jururawat terlatih bernama Safura itu membawanya untuk saya lihat.
Kelihatan seperti di dalam belon,nampak bayangan rambutnya dan tangannya dan selebihnya masih diliputi darah.
Saya dibenarkan melihatnya kembali setelah ‘sarung’ itu dipecahkan dan bayi dibersihkan.

Di saat saya membayangkan kematian saya melahirkannya di entri sebelum ini, dia pula yang meninggalkan saya.

Ibu redha pemergianmu sayang.
Jam 8.47 malam,10 Februari 2009.

Sunday, February 08, 2009

Hidup atau Mati?

Ada 10 hari lagi kisah kembara saya di Australia yang ingin saya nukilkan di sini. Fokus berallih seketika apabila kelas bermula sejak akhir Disember dan kerja penyelidikan dan ditambah juga dengan dengan kesihatan yang menuntut saya lebih banyak berehat dan tidak terlalu lama duduk atau berdiri.

Namun kerinduan menulis menghasilkan puisi Rasa Rindu Rasa di entri sebelum ini.

Sepanjang minggu saya mendapat cuti sakit dan dinasihatkan banyak berehat. Walau saya tidak sihat,Alhamdulilah kandungan saya yang berusia 6 bulan kini berada dalam keadaan yang sihat. Bergerak aktif, dan menurut pemerhatian doktor,dalam keadaan yang baik - uri di atas,air ketuban yang banyak dan kedudukan bayi juga baik dan kemungkinan besar anak ketiga ini seorang perempuan. Terasa lega sedikit kerana saya amat risau sekiranya ada apa-apa yang tak kena dengan bayi dalam kandungan.

Apabila di dalam kesakitan,terlintas di hati saya tentang kematian. Sesungguhnya setiap kali saat hampir melahirkan, akan ada dua kemungkinan. Hakikat terus hidup atau sebaliknya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Perasaan akan hampirnya ajal membuatkan saya lebih teliti tentang apa yang saya lakukan dan katakan kerana saya percaya setiap perbuatan, percakapan dan perasaan saya merupakan 'pendidikan awal' kepada bayi di dalam kandungan.

Saya berdoa saya akan terus hidup untuk meneruskan tanggungjawab sebagai seorang ibu tetapi andai tertulis sebagai mati syahid, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.

Sunday, December 07, 2008

Australia-Hari Ketujuh( 7.12.2008)



Afiqah sedang diajar Kamal cara menembak tepat ke sasaran.
Cubaan pertama terus mengena.



Arif turut diberi peluang menembak sasaran.



Inilah mangsa mereka.

Saturday, December 06, 2008

Australia-Hari Keenam (6.12.2008)



Afiqah berlatarkan Sydney Opera House



Arif juga tidak ketinggalan merakam aksi di hadapan Sydney Opera House



Tidak lengkap rasanya kunjungan ke bumi kangaroo tanpa menyentuh binatang ini secara langsung




Beruang koala ini masih saja nyenyak tidur walau gambarnya dirakam oleh beratus-ratus pengunjung mungkin

Friday, December 05, 2008

Australia-Hari Kelima(5.12.2008)



Afiqah dan Arif lebih gemar menghabiskan masa di El-Jannah daripada melawat ke tempat lain.

Australia -Hari Keempat(4.12.2008)

Inilah sebahagian daripada lembu ternakan di El-Jannah. Terselit seekor kambing biri-biri yang menyangka ia juga adalah lembu.



Adib telah bersedia dengan topi 'cowboy'(yee...ha..) untuk memberi makan pada sekawan lembu ternakan mereka.



Afiqah dan Arif ditugaskan membawa anak-anak kambing ini meragut rumput. Tidak mudah bagai disangka. Mereka terkejar-kejar memegang tali dan cuba mengawal anak-anak kambing yang nakal ini.


Thursday, December 04, 2008

Australia -Hari Ketiga(3.12.2008)

Hari ketiga ,selesai urusan di ladang,kami bergerak ke Blue Mountains sekitar jam 10 pagi. Inilah tempat pelancongan yang pertama dibawa oleh Jameela.




Kedua ibubapa Jameela, Mr dan Mrs Turner atau digelar juga sebagai Ma dan Pa masih lagi menganut agama Kristian dan Jameela juga masih lagi dipanggil Linda oleh ibubapanya.




Setelah selesai lawatan,kami beredar ke kawasan perkelahan berdekatan.

Sebelum makan bekalan yang dibawa, kami menunaikan solat Zohor/Asar di tengah padang di kawasan perkelahan tersebut.

Solat di tengah padang memang menjadi kebiasaan di waktu berkelah. Kami juga tidak bersusah-susah mengenakan telekung kerana sememangnya telah berpakaian menutup aurat ,jadi tidak menjadi kepayahan untuk menunuaikan solat di mana-mana saja.
Mungkin di Malaysia ia menjadi suatu kelainan kerana tersedia surau di mana-mana,berserta telekung dan sejadah.

Namun saya memang telah terbiasa dengan kebiasaan mereka yang menunaikan solat di kawasan awam dengan pakaian sedia ada (kerana kami semua lengkap menutup aurat)

Australia-Hari Kedua(2.12.2008)

Saya tidak membuat sebarang perancangan untuk lawatan ke kawasan pelancongan. Saya hanya ingin keluarga saya merasai suasana kehidupan yang pernah saya alami 17 tahun lalu. Pengalaman menguruskan kuda dan binatang ternakan lain tidak dapat dirasai dengan lawatan ke kawasan pelancongan.

Pada hari kedua kami masih lagi menghabiskan masa di ladang.
Pada sebelah malamnya, Adib mengikut Kamal,anak sulung dan Humza, anak bongsu mereka memburu arnab dan musang di sekitar kawasan rumah. Arnab yang diburu menjadi hidangan kucing peliharaan mereka.

Malam itu juga saya mendapat satu berita.

Selepas makan malam,saya meminta buku direktori untuk menjejaki seorang guru yang pernah mengajar saya di Kingsgrove High School. Namanya Mrs Judith Falconer.
Semasa di tingkatan 4 & 5 saya tidak berpeluang mengambil subjek Pendidikan Seni Lukis walaupun amat meminatinya kerana ‘terpaksa’ mengikuti jurusan Sains. Semasa di Year 12,saya mengambil peluang keemasan untuk memilih subjek Seni Tampak. Kami diminta untuk membuat satu kerja seni ‘major’ dan di sanalah saya telah menghasilkan lukisan terbesar saya. Sewaktu proses menyudahkan projek ini, saya terkena cengkering lalu terpaksa tinggal di rumah. Mrs Falconer,yang kebetulan duduk berdekatan dengan rumah saya sering berkunjung menghantar tugasan dan lukisan saya ke rumah supaya saya dapat menyiapkannya. Dia menyedari minat saya dan memberikan galakan. Hasilnya lukisan saya dipamerkan di salah sebuah bank di Sydney tetapi saya meminta lukisan itu semula kerana ia mempunyai nilai sentimental bagi saya.

Malam itu saya menyelak direktori dan berjaya mendapat nombor telefon rumahnya.
“May I speak to Mrs Falconer please?”

“Who’s this speaking?” agak serius nada suaranya.

“I’m Shima Nolan(semasa di sana saya terpaksa memendekkan nama saya kerana mereka sukar hendak menyebut nama penuh saya), from Malaysia, used to be her student 17 years ago.” Balas saya dengan teruja walau agak terkejut dengan nada serius suaminya.

“Well Shima,I’ve got bad news for you” “She passed away a few weeks ago, due to breast cancer. “

“I’m so sorry to hear that.”Jawab saya tersekat-sekat sambil menahan dari airmata bercucuran.

Seingat saya Mrs Falconer mungkin dalam lingkungan lewat 40-an usianya kini.

“I’m sure she would be happy to know that you still remember her.” Suaminya membalas.

Saya kehilangan kata-kata. Rancangan untuk bertemu dengannya tidak dapat ditunaikan.
Terkilan!

Australia-Hari Pertama (1.12.2008)

LAPANGAN KAPAL TERBANG KINGSFORD SMITH,SYDNEY,AUSTRALIA

Waktu ketibaan di lapangan terbang Kingsford Smith Sydney lebih awal daripada yang saya maklumkan pada Jameela. Jameela,ibu angkat saya,asal orang Australia yang telah 30 tahun memeluk Islam, berjanji untuk berjumpa saya pada jam 1ptg waktu Sydney. Namun kami tiba 3 jam lebih awal.

Walau agak kepenatan 8 jam penerbangan tanpa henti KL –Sydney, Arif dan Afiqah kelihatan amat teruja ketika sampai. Saya melihat sekitar kawasan lapangan terbang dan mengenang kembali kenangan silam. Ada juga persamaan.

Sekitar jam 1ptg,saya terpandang kelibatnya dari jarak sekitar 100 meter,tercari-carikan saya. Penampilan pakaiannya masih seperti dulu, kemeja lengan panjang ,seluar panjang dan bertudung.

“Jameela” saya menegurnya.

Sebaik terpandang saya, kami saling meluru dan berdakapan erat dengan mata bergenang tanda gembira.

Perjalanan ke Razorback dipenuhi dengan perbualan antara saya dan Jameela manakala Adib, Afiqah dan Arif sekali sekala mencelah apabila disoal. Kami singgah di Camden kerana Jameela perlu ke bank dan mendapatkan bread rolls.

Bercakap berdasarkan pengalaman lampau saya menyampaikan kepada Adib, Afiqah dan Arif,
“ Makan tengahari di sini bukan nasi seperti di Malaysia. “


EL-JANNAH,MOUNT HERCULES ROAD,RAZORBACK

Saat tiba di Razorback saya cuba menjejaki kenangan lalu. Tercari-cari imej yang tersimpan dalam kotak kenangan untuk dipadankan dengan imej terkini. Padanan ditemui walau ada perubahan .

Lantas saya bersuara memberi penerangan kepada Afiqah dan Arif, “ Ibu pernah menunggang kuda sehingga ke jalan ini, berbasikal di sekitar jalan itu, melihat sekawan lembu dan kambing biri-biri di sini, melihat pemandangan indah di sini”. Lagak seakan pemandu pelancong.

El-Jannah terkini tidak lagi di Rotherwood Road tetapi di Mount Hercules Road.
Pemandangan kawasan keluasan ladang sekitar 200 ekar memang imej yang tidak pernah tersimpan. Tanah ini mereka baru terokai sejak 10 tahun yang lalu. Jameela menunjukkan permulaan kawasan ladangnya yang dipenuhi dengan 40 ekor lembu,diikuti 4 ekor unta, 20 ekor kuda. Menyusur masuk ke laluan utama yang dipagari pintu otomatik, kami melalui reban ayam,jumlahnya sekitar 10 ekor , termasuk ayam belanda dan beberapa ekor burung merak.

Perlahan-lahan Toyoto Land Cruiser pacuan 4 roda yang dipandu Jameela mendekati kawasan rumah ini.




Saya rasa sungguh terharu. Rumah bagai istana ini belum siap sepenuhnya. Mereka bertungkus lumus menyiapkannya salah satu bilik di tingkat bawah selama seminggu. Satu bilik khas untuk kami sekeluarga mereka sediakan sedangkan mereka masih lagi tinggal di kabin sementara yang telah dihuni sejak 10 tahun yang lalu.
Pendek kata, kamilah yang merasmikan rumah itu.

Jangkaan saya tepat sekali. Sampai di rumahnya bread rolls yang dibeli tadi menjadi hidangan makanan tengahari beserta salmon dalam tin berlapiskan salad dan mayonis.

Acara seterusnya-mandi ,solat,berehat.
Sementara itu, Jameela sibuk menyiapkan bilik kami dengan memindah masukkan perabot seperti katil,cadar,almari dan segala keperluan. Ringkasnya, mengalahkan hotel bertaraf lima bintang.

Petang itu, Afiqah dan Arif, yang amat menyenangi binatang, diberi tugasan memberi makan kucing,ayam dan memberi susu kepada anak kambing.

Maka bermulalah pengalaman mereka hidup di ladang.

Wednesday, December 03, 2008

Terbit matahari di El-Jannah



Solat Subuh perlu ditunaikan seawal 3:52am.

Matahari terbit dirakam pada jam 5:40am ,3.12.2008

Tuesday, December 02, 2008

Hari Kedua di El-Jannah



Lawatan sekitar kawasan seluas 200 ekar milik keluarga angkat saya.
Kelihatan Adib, Afiqah dan Arif teruja.

Rakaman pada 7.34pm,2.12.2008.