Walaupun waktu berjumpa guru-guru kelas Afiqah dan Arif sepatutnya bermula jam 8.30 pagi, saya dan Adib terpaksa ke sekolah mereka setengah jam lebih awal. Jam 9 pagi saya perlu bergerak ke UiTM Pahang untuk kursus Pembantu Minggu Mesra Mahasiswa pada 26 Jun yang lalu. Tidak mungkin saya ketinggalan untuk mendengar perkembangan Arif dan Afiqah daripada guru-guru mereka.
Oleh kerana masih awal dan guru -guru mereka belum bergerak ke kelas, kami berjumpa di bilik guru sahaja. Syukur alhamdulilah, Arif mendapat tempat kedua kali ini dan Afiqah pula tempat keempat. Arif ketinggalan sedikit markah untuk subjek Bahasa Arab manakala Afiqah pula subjek hafalan Al-Quran.
Kepada Afiqah dan Arif,
Ibu doakan untuk peperiksaan akhir tahun nanti kedua-dua anak ibu mendapat keputusan yang terbaik. Insya Allah!
Sekolah mereka mengamalkan sistem bersepadu, iaitu menggabungkan subjek sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Markah mereka pula adalah gabungan keduanya termasuk ujian bulanan serta peperiksaan pertengahan tahun.
Minggu hadapan bermulalah ujian bulanan mereka yang seterusnya. Setakat ini, saya dan Adib hanya mengajar mereka sendiri dan tidak turut serta dalam sesi hantar menghantar mereka ke kelas tambahan atau pusat tuisyen.
Inilah satu-satunya waktu saya dapat meluangkan masa bersama-sama mereka. Saya bimbang waktu itu akan berlalu di dalam kesibukan dan tiba-tiba mereka sudah membesar.
Kedua-dua Adib dan saya dibesarkan oleh ibu yang menjadi surirumah sepenuh masa. Kadangkala saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap diri saya sendiri sehingga terlupa bahawa keadaan saya yang bekerja sepenuh masa tidak dapat dibandingkan dengan keadaan ibu kami sebagai seorang surirumah. Seringkali saya meneka-neka perasaan anak-anak saya apabila mereka pulang ke sekolah tanpa saya menyambut mereka dan kadangkala berpergian berhari-hari. Saya sering juga bertanya secara langsung kepada mereka. Saya tidak mahu mereka terasa diabaikan. Lalu, setiap waktu yang terluang akan dihabiskan bersama-sama.
2 comments:
Salam Shima...
OD tabik pada Shima. Begini rasanya bila menjadi seorang ibu. Anak-anak tidak boleh diabaikan tetapi dalam masa yang sama, tanggungjawab lain terpaksa dipikul demi masa depan anak-anak juga. OD yakin mereka faham, pengorbanan yang terpaksa Shima lakukan demi kesejahteraan mereka di kemudian hari. OD yakin mereka faham kerana dari cerita Shima, mereka anak yang baik.
Harapannya begitulah Opah De. Mereka faham dan tak terasa diabaikan. Cuma kadang-kadang Shima rasa dia orang 'bosan'/rimas juga kerana Shima selalu suka cium dan peluk mereka seperti mereka masih bayi lagi. Asal terlama sikit cium dan peluk mereka,dah nak lari-lari. Bila macam ni, teringin nak ada 'baby' lagi.
Opah De bila pula?
Post a Comment