30 Januari 1941 lahirlah putera sulung Haji Nani bin Taib dan Hajah Zaharah binti Abdullah yang diberi nama Nolan.
Abah...
Sempena hari ulang tahun yang ke-67
Ucapan ditutur melalui telefon
Imbasan tentang Abah ingin dirakam di sini walau mungkin saja Abah tak mungkin membacanya. Saya cuba mengenang kisah abah. Pekerjaannya, hobinya,dan serba sedikit sifatnya.
Setiap kali sewaktu saya mengisi pekerjaan bapa, pekerjaan Abah sering menjadi tanda tanya. Beilip namanya atau ejaan dalam bahasa Inggerisnya 'Bailiff'. Seringkali guru-guru menyangka Abah bekerja di mahkamah. Abah bertugas di Majlis Bandaran Daerah Batu Pahat atau kemudiannya dikenali sebagai Majlis Daerah Batu Pahat Barat. Tugas Abah yang saya ingati ialah menhantar surat saman kepada mereka yang tidak membayar cukai. Abah ada pakaian seragamnya, yang adakalanya diseterika oleh saya.
Abah juga mewakili tenis sehingga pernah ke Manila untuk perlawanan tersebut. Bolasepak pun Abah main juga. Kelab Batu Pahat seringkali tempat Abah meluang masa bermain tenis dan juga 'billiard'.
Selain itu, saya tahu juga Abah gemar menyanyi,walaupun tidak pernah saya lihat dia menyanyi di khalayak ramai tetapi pernah saya lihat gambarnya bermain gitar. Koleksi lagu Inggeris irama 50-an,60-an dan 70-an sering kedengaran. Malah sehingga kini dia masih lagi meminati mendengar muzik. Selain lagu Inggeris, lagu Indonesia juga menjadi kegemarannya.
Sejak saya kecil lagi Abah memang sangat menggemari kereta. Pelbagai jenama kereta menjadi koleksi, kegemarannya menambah aksesori kereta yang seringkali didapati apabila kami sekeluarga berkunjung ke Singapura setiap hujung minggu. Peralatan radio, speaker dan pelbagai aksesori menjadi 'kegilaannya' yang sering mengundang 'jelingan' dan 'masam mencuka' emak,tetapi dapat diredakan sedikit, dengan kunjungan ke pusat membeli belah di Yaohan dan Isetan pada tahun 80-an yang masih belum wujud di Malaysia pada waktu itu. Sekadar mencuci mata.
Abah, saya kira, memang suka memandu; dan saya masih ingat lagi bagaimana dia sering memandu ke Johor Bahru, ke Kuala Lumpur, ke Singapura. Kadangkala balik hari. Kadangkala membawa ibu saudara saya dengan urusannya, sebagai seorang wakil rakyat.
Abah boleh dikatakan dalam kategori seorang yang pendiam dan hanya akan rancak berbual dengan orang yang pandai berbual dengannya. Di kalangan keluarga, Abah memang terkenal dengan 'kesilapan' memilih kata apabila berbicara sehingga sering menjadi bahan gurauan.
Anak saudaranya menggelarnya Ayah Long,sepupunya memanggil 'Bong' dan dia juga dikenali dengan nama 'Keno'. Anak-anak saya pula memanggilnya 'Grandbah'.
Abah mempunyai lima orang adik perempuan, Nahidah(Cik), Nailah(Nellie), Nadiah (Noni),Narimah(Netty),Noziah(Nozie) dan seorang adik lelaki tetapi telah meninggal dunia sejak kecil, bernama Norman. Nama dalam kurungan adalah nama panggilan mereka sehingga kini.(Kebaratan sungguh nenek saya itu...)
Sepanjang hidup Abah sejak lahir adalah di Batu Pahat sahaja. Berkahwin dengan emak, Ungku Hamidah Ungku Abdullah,lahir di Segamat tetapi membesar di Johor Bahru, sejak 30 Ogos 1967.
Itulah serba ringkas rakaman kisah Abah.
3 comments:
totally impress..
Seorang Abah ibarat lilin menyinari keluarga yg dibinanya...
Terima kasih Normi.
Maaf lama tak berkunjung dan membalas tag yang amat menarik untu dijawab.
well,itulah abah ku...apa yg dikatakan leh kakak ku ini adalah benar...sejak aku di lahirkan didunia ini abah mmg suku bertukar kereta...wlaupun kadang2 tue mak masam muka atau marah tapi abah pandai redakan kemarahan mak...itulah abah kesayanganku...
Post a Comment