Wednesday, February 11, 2009

Doakan Ibu ke Syurga

“Doakan ibu ke syurga,ya?” sambil jari saya menyentuh lengannya.

Sejurus ayat ini keluar saya melihat di pinggir mata kanannya,ada sebutir air mata. Apakah saya berkhayal? Tidak ! Kenyataannya disahkan apabila berkali –kali saya bertanyakan Adib perkara ini yang sama-sama melihat perkara ajaib ini berlaku.

Bentuk fizikalnya telah jelas kelihatan, terutama sekali bibirnya yang mewarisi saya. Wajahnya seakan sedang nyenyak tidur. Kedua belah tangannya seperti dalam keadaan sedang solat. Tangan kanannya di atas tangan kirinya. Saya teliti kakinya pula. Sebelah kanan,cukup lima jari lengkap dengan kuku,halus sekali. Begitu juga kakinya di sebelah kiri. Saya tatap wajahnya sepuas-puas hati. Saya sentuh bibirnya. Saya kucup dahinya. Saya elus jari jemari halus kakinya. Saya usap seluruh tubuhnya.
Zahirnya kelihatan sungguh sempurna seperti bayi lain.

Saya cuba memegang dan mengangkat jarinya. Tidak berjaya saya mengubah kedudukan tangannya seperti dalam keadaan bersolat. Saya tahu tiada genggaman erat darinya. Bibirnya juga tidak bertindakbalas seperti menjamah titisan susu awal saya. Dahinya tidak berkerut apabila dikucup. Jari jemari kakinya tidak mengeliat apabila dielus.
“Sudah Puan?” keasyikan kami melihatnya dikejutkan oleh pertanyaan jururawat. Tiga kali di bertanyakan soalan yang sama.
Saya bertanyakan kepada Adib,
”Boleh dia tidur di sebelah untuk malam ini?”
“Boleh ambil gambarnya?”
Kedua-dua soalan yang saya sendiri tahu jawapannya.

Melihatnya timbul perasaan ketenangan di jiwa. Sama seperti maksud nama pertama yang telah saya rancangkan untuknya iaitu ‘Amina’. Amina juga membawa maksud kebenaran.
Ilham nama ini terbit ketika saya mendalami maksud 99 Asmaul Husna kira-kira seminggu lalu.

[Perkataan Al-Mukmin diambil daripada kata Amina.]

Ilham nama keduanya akan saya coretkan kemudian.

Kurang lebih jam 8.27pm saya meminta jururawat menyediakan kemudahan untuk saya membuang air kecil kerana saya tidak dapat bergerak banyak. Sakit seakan kontraksi sudah mulai terasa. Darah juga terasa mengalir lebih daripada biasa.
Jururawat pelatih muda kelihatan cemas tetapi seakan tidak mengerti apa yang sedang berlaku.
“Banyak darah keluar?” Tanya saya sungguh tenang. Darah dan air kecil saya berselang seli keluar . Meraka hanya mengangguk-angguk.
Saat saya rasakan darah keluar begitu deras dan banyak saya mengangguk-angguk dengan rasa penuh keredaan.
Saya bertanya lagi,”Nampak apa lagi?” Jururawat pelatih berdua itu teragak-agak menjawab soalan saya.

“Pernah bersalin ke?”
“Dah kahwin?”
Soal saya dengan penuh ketenangan.

Mendengar jawapan negatif mereka memberi saya kekuatan.
“Panggil doktor sekarang,baby dah nak keluar ni,”perintah saya.

Mereka masih terpinga-pinga dan menjawab,”Doktor tak ada.”

“Habis tu saya perlu tahan ke? Memang dah nak keluar dah,saya tahu!”
Pergerakan teragak-agak mereka memaksa saya berkata-kata,”Pernah sambut baby ke ni?”

Barulah mereka bergegas memanggil seorang jururawat terlatih.
Melihat keyakinannya, saya terus bertanya,”Macam mana? Boleh saya keluarkan sekarang?”
Sejurus dia mengangguk saya tidak lagi menahannya keluar.
“Perlukah saya meneran?”
“Biarkan dia keluar secara semulajadi dan kalau perlu teran sedikit” balas jururawat terlatih.
Di sekeliling saya bertambah lagi jururawat pelatih. Sekitar 7 orang kesemuanya.
Terdengar bisikan seorang jururawat pelatih berbisik pada rakannya.
“Nasib baik tak balik cepat”
“Tengoklah dan belajar”saya berkata.

Reaksi bingung mereka menggambarkan kepelikan ketenangan saya mungkin.

Dia keluar masih di dalam ‘sarung’ bersama-sama air mentuban dan uri.
Saya meminta jururawat terlatih bernama Safura itu membawanya untuk saya lihat.
Kelihatan seperti di dalam belon,nampak bayangan rambutnya dan tangannya dan selebihnya masih diliputi darah.
Saya dibenarkan melihatnya kembali setelah ‘sarung’ itu dipecahkan dan bayi dibersihkan.

Di saat saya membayangkan kematian saya melahirkannya di entri sebelum ini, dia pula yang meninggalkan saya.

Ibu redha pemergianmu sayang.
Jam 8.47 malam,10 Februari 2009.

12 comments:

Ekin said...

salam madam...

saat saya pergi ke rumah madam tempoh hari, saya dah rasa semacam. tapi saya tak adalah bayangkan apa-apa. cuma saya pelik sebab daripada nada suara madam, kedengaran sedang menahan kesakitan yang amat.

saya simpati dan ucapkan takziah atas kehilangan yang tak diduga ni.
saya tak pernahlah mengandung...apatah lagi melahirkan anak. saya cuma tahu makna kehilangan saja.

apa-apa pun, saya harap madam sabar dengan dugaan ni... insyaAllah...dia akan tunggu di tepi pintu syurga dengan air kauthar.

-shikin-

im said...

Shima,

Sebagai seorang ibu saya juga dapatkan rasakan kehilangan itu.

Walaupun gambarnya tidak ada, saya percaya, dia tetap lekat di ingatan dan di kaca mata ibunya buat selamanya.

takziah.

fatmah said...

Puan, terkejut saya membaca cerita puan. Harap puan sihat dan tabah sekarang. Saya doakan semoga kehilangan ini akan digantikan dengan sesuatu yang lebih bermakna. Mungkin ini adalah salah satu dugaan dalam hidup. Salam Takziah... Pua, semoga puan cepat recover dan meneruskan hari-hari dlm hidup seperti dlu, ceria, bersemangat dan sabar.

INTAN RH said...

Salam Puan,
Pemergian dia ada rahmat dan nikmatnya untuk puan dan suami.

Anonymous said...

9 feb, saya juga kehilangan zuriat di dalam kandungan saya..saya redhakan pemergiannya..Allah Maha mengetahui, dan Dia tahu yang kita mampu menghadapi dugaan dan ketentuannya.

Anonymous said...

Assalammualaikum Shima & Adib,

Takziah saya ucapkan atas pemergian insan yang dinantikan. Saya takkan mungkin akan dapat menyelami apa yang shima & keluarga rasai sekarang.

Saya doakan semoga shima sabar menghadapi dugaan Allah SWT. Anak adalah hak Allah. Kita juga adalah hak Allah. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui atas tiap-tiap kejadian. Insyaallah, ganjaran yang lebih besar menanti shima kelak.

-yamin-

FaRuHa said...

Salam Shima,

Hati nurani saya tersentuh ketika membaca enti ini. Arwah Amina pasti menunggu mama nya di singgah sana. Semoga Shima sentiasa tabah.

Salam perkenalan dari saya...hopping from MKI's blog

Rina said...

salam puan,

takziah buat puan sekeluarga. moga puan tabah menghadapi dugaan ini. ada rahmat di sebalik dugaan yg Allah berikan.

moga cepat sembuh.

g [y] t u said...

salam takziah puan. saya dapat merasakan apa yang puan sekeluarga rasakan. saya simpati terhadap puan.

bersabar la, kerna semua ini tentu ada hikmahnya.

saya doakan semoga roh anak puan dirahmati Allah. Amin! semoga puan dapat menempuhi segala ujian daripada-Nya.

-sya-

Anonymous said...

salam takziah buat puan sekeluarga...terkejut sy mndgr brita tntg khilangan byi puan
insyyaalah dia akan mnuggu puan d pintu syurga nanti... semoga puan akn menerima segalnya dgn redha

Ariff Budiman said...

Salam takziah dari saya.Kami pernah kehilangan anak ketika berumur 18 hari. Kemudian meninggal. Ramai rakan-rakan mengucapkan tahniah kepada kami. Saya faham sebab anak itulah yang akan menolong kami diakhirat kelak. Puan harap dapat bersabar sebab anak itu akan membahagiakan puan suami istari
http://warna-nostalgia.blogspot.com/

Nazhatulshima N said...

Shikin,
Terima kasih.Saya redha dan ingat lagi kata-kata saya tempohari tantang "Allah tidak akan membebani hambaNya lebih daripada yang mampu ditanggungnya".

Im,
Benar, bayangannya terlekat di ingatan. Terima kasih.

Fatmah,
Saya hargai ingatan dan ucapan yang diberikan. Terima kasih.

Intan RH,
SSaya juga doakannyabegitu. Terima kasih.

Melia,
Sudah tentu dapat merasai apa yang saya lalui. Terima kasih.

Yamin,
Saya hargai ucapan dan doa yang diberikan.

Faruha,
Salam perkenalan. Saya hanya meluahkan isi hati. Terima kasih.

Rina,
saya juga harapkan begitu. Terima kasih.

Anonymous,
Saya hanya menjangka anda salah seorang pelajar saya. Terima kasih.

Ariff Budiman,
Kata-kata tersebut memang menjadi penawar hati yang lara. Terima kasih.