Saya sedang menekuni buku 99 Kecerdasan berasaskan Asmaul Husna karya Sulaiman Alkumayi sejak 1Februari. Sehari satu nama Allah saya hayati dan cuba fahami. Dan khasiat mengamalkan zikirnya saya coretkan dalam Facebook untuk dikongsi. Pada 9 Februari pembacaan saya terhenti kerana saya dimasukkan ke hospital dan keesokan harinya saya melahirkan dan kehilangan arwah Amina Nuraini.
Apabila saya menyambung pembacaan saya, maksud Al –Jabbar ialah Yang Kehendaknya Tidak Dapat Diingkari atau Yang Maha Pemaksa.
Saya teruskan lagi pembacaan saya ke halaman 76 dan tertera ayat-ayat berikut:
Tuhan memutuskan suatu hukum yang berlaku di seluruh alam raya ini, orang dapat menyingkap rahsia-rahsia keindahan cinta, dan pengetahuan, tetapi harganya adalah ketahanan,penderitaan dan kesabaran.
“Dan sesungguhnya, kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui yang (bersedia) berjihad dan bersabar di antara kamu,”[Muhammad,31]
Namun pada akhirnya,janji Tuhan adalah,
“...dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar,”[Al-Baqarah,155]
Ya Allah Ya Jabbar!
3 hari selepas pemergian arwah Amina Nuraini,iaitu pada 13 Februari 2009 merupakan hari ulangtahun saya yang ke-37. Sepanjang hari saya dikelilingi orang yang saya sayangi. Ibu, Mak , Abah,Adib ,Afiqah,Arif, beberapa makcik saudara saya( Khalah, Aunty Chik, Aunty dan Aunty Nozie) dan Mak Arah turut datang berkunjung menjelang tengahari. Mereka cuba menceriakan hari lahir saya. Pelbagai makanan yang dibawa dari Batu Pahat walau tidak kesemuanya dapat saya jamah kerana perlu berpantang. Mee bandung, coklat kek ‘Secret Recipe’, marble kek dan roti naik. Pada hari itu juga segala ubat-ubatan seperti jamu, param,pilis,barut berherba, kain bengkung tiba. Mereka juga memberikan saya beberapa hadiah seperti kain,kain tudung dan kerongsang.Di awal pagi, Hani pula telah menghantar sebuku kek keju.
Sepanjang hari ramai juga tetamu menziarahi saya.
Sekitar jam 5 petang, sewaktu sedang duduk minum petang dan bersembang di meja makan dikelilingi saudara mara,saya mendapat panggilan telefon daripada Prof Kamil, Pengarah UiTM Johor.
Mendengar keriuhan sewaktu saya menjawab telefon, Prof bersuara,
“Ada party ke?”
“ Tak adalah, saudara mara bawa makanan. Jemputlah datang makan.”
“Oh,saya di Shah Alam lagi.”
“Tak mengapa,sampai malam pun ada lagi,boleh datang,”saya membalas.
“....I nak berikan birthday present...satu perkhabaran gembira...your DM52 telah diluluskan!” [kenaikan pangkat ke Pensyarah Kanan]
Talian telefon kurang jelas dan seterusnya terputus. Syukur Alhamdulilah!
Saudara mara saya bersorakan dan mengucapkan tahniah dan saya pula mengalirkan airmata kesyukuran. Agak sukar untuk saya merasai kegembiraan sepenuhnya di saat itu.
Malam itu sekitar jam 9 malam Prof Kamil berkunjung bersama-sama Ain Maisarah dan suaminya . Afiqah amat gembira dengan kunjungan penulis kesayangannya.
Sepanjang minggu lalu, ada 2 ucapan yang saya terima-TAKZIAH di atas kehilangan anak ketiga dan diikuti TAHNIAH di atas kenaikan pangkat ke jawatan pensyarah kanan.
Sesungguhnya, Allah itu Al-Jabbar dan betapa Surah Muhammad ayat 31 dan Surah Al Baqarah ayat 155 yang dicoretkan tadi jadi nyata.
Setiap ucapan takziah yang diberi saya balas dengan kata-kata “Saya reda”.
Kemudian saya terbaca lagi di halaman 77,
“Ibnu Atha’, sahabat dekat al-Hallaj, menjelaskan keadaan reda seperti berikut:
“Ketika hati mengikuti apa yang dipilihkan Tuhan untuk manusia, dia mengetahui apa yang dipilihkan Tuhan untuk dirinya merupakan sebaik-baik pilihan, sehingga dia reda dan tidak merasa kesal.”
Doa dan Harapan di halaman 79 buku yang sama pula tertulis begini,
Ya Allah, Ya Jabbar, Yang KehendakNya tidak diingkari,
Apa pun kehendak-Mu,itulah yang terjadi.
Kami tidak berdaya mengelak darinya.
Wahai Yang Maha Pemaksa,
Berikan daku upaya bagi memahami apa yang Kau paksakan padaku.
Kerana tanpa bimbingan-Mu,
Daku tidak tahu,apa yang Kau
Paksakan padaku adalah terbaik.
10 comments:
Allah memberi ujian kepada seseorang itu ada hikmahnya. Dalam sedih dia bagi kita berita gembira. Dalam kegembiraan itu yang pasti dia menyuruh kita bersyukur kepadanya. Hidup kita umpama pusingan roda. Kadang-kadang diatas dan kadang-kadang dibawah.
Tahniah! :)
Salam.
Tahniah... Tiadalah ALLAH jadikan kesukaran, melainkan padanya ada keringanan...
Tahniah kak shima...semoga kak shima lebih tabah dalam menjalani kehidupan...
Salam,
Tahniah Kak Shima. Izinkan sy linkkan blog akak di blog sy boleh?
TQ.
Shima,
Tahniah daripada Pak Lang kerana kenaikkan pangkat ke DM52. Bernarlah apa yang dikatakan, setiap kedukaan diiringi dengan kebaikkan. Harap telah terima Kumpulan Puisi saya.
Salam..dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan takziah di atas pemergian anakanda tersayang dan tahniah kerana mendapat kenaikan pangkat. Terima kasih kerana sudi mengunjugi blog saya. Cuma saya berminat untuk membeli buku tersebut. Boleh berikan saya nama buku dan penerbit jika tiada halangan. Thanks
Tahniah Kak Shima... Allah itu Maha Mengetahui. Bersabarlah.
Ariff Budiman,
Semoga kita sentiasa menjadi umatnya yang bersyukur selalu.
SitiNur,
Terima kasih!
Hisham,
Terima kasih,bahawasanya janji Allah itu benar.
Aina& Alya(Yus),
Terima kasih!
Nor Fadzlina,
Terima kasih. Boleh saja tiada masalah!
Pak Lang,
Terima kasih! Saya telah menerimanya. Puisinya indah belaka. Membakar semangat saya.
Bakry,
Terima kasih. Buku tersebut adalah terbitan PTS,karya Sulaiman Kumayi,asalnya terbitan Indonesia. Tajuknya seperti di Santapan Minda Terkini saya. Saya beli melalui rakan saya, Nisah Haron. Mungkin ada juga di pasaran. Nanti saya emel nombor Nisah Haron.
Nurzea,
Terima kasih! Akak doakan Nurzea juga akan segera sampai ke 'sini'.Insya Allah!
Post a Comment