Sunday, August 23, 2009

Demam Cacar Air, Novel & Lukisan

Ia lebih dikenali sebagai cengkering atau chicken pox.

Hampir seminggu Afiqah mengalaminya. Kini gelembung-gelembung air ada yang sudah pecah dan kering. Ada juga yang masih belum pecah. Sudah tentu amat merengsakan. Beberapa malam saya membenarkannya tidur di kamar saya. Seluruh tubuh dan juga mukanya penuh dilitupi kesan cengkering. Saya menyuruhnya banyak berehat. Dia banyak berdiam diri. Menjawab hanya apabila ditanya. Tidak rancak berbual. Menahan kerengsaan dengan penuh kesabaran. Walau dia pernah diberikan suntikan imunisasi semasa kecil,nampaknya dia masih tidak dapat elak dari mengalaminya.

Para gurunya termasuk guru besarnya di sekolah amat mengambil berat keadaan Afiqah. Diperturunkan kepadanya pelbagai petua. Minum air kelapa muda. Jangan makan kicap,jangan makan telur. Di rumah tidak boleh goreng menggoreng.(Dah terbuat pula). Ada juga yang memesan letakkan losyen calamine setebal-tebalnya. Saya dapat maklumat pula elok jangan diletakkan sehingga sudah keluar semuanya. Jangan mandi. Cari daun semambu dan sebagainya.

Saya memberikannya sebuah novel untuk dibaca. Tawaran yang dapat menceriakan harinya. Cepat sahaja dia menamatkan novel karya Tere Liye setebal 388 halaman yang masih belum saya mulakan pembacaan. Sudah sekian lama dia tidak menguliti novel kerana sibuk membuat persediaan UPSR. Sejak akhir-akhir ini,(sebelum ini dia agak santai sahaja),saya nampak kesungguhannya membuat ulangkaji, membuat latihan dan menjawab soalan. Tanpa disuruh atau diarah, dia tekun menelaah. Saya memang tidak menghantarnya ke kelas tuisyen. Apa-apa yang tidak difahami saya menyuruhnya rujuk pada gurunya,atau apabila di rumah pada ayahnya atau saya sendiri dan akhir-akhir ini kakak sepupunya yang tinggal sekali. Moga kejayaan cemerlang miliknya jua.
Mohon doakan kesihatan Afiqah pulih segera supaya selesa menduduki peperiksaan UPSR 2 minggu lagi.

Saya memang cakna dengan apa yang dirasainya. Pernah saya alaminya ketika berumur 18 tahun.

“Mak,Shima dah pernah kena chicken pox?”panggilan telefon jarak jauh Sydney-Batu Pahat dibuat untuk mendapat kepastian segera sejarah kesihatan saya. Hati kecil memohon jawapan positif. Mak mengatakan saya pernah mengalaminya ketika kecil.

Anak keluarga angkat saya di Nowra,Kim ,sedang mengalami sakit demam cacar waktu itu. Saya dinasihatkan tidak pergi jika belum pernah mengalaminya. Namun jawapan Mak yang melegakan hati memungkinkan saya berangkat ke sana. Justeru program pertukaran singkat selama 2 minggu di rumah keluarga angkat di Nowra dapat diteruskan. Sepanjang 2 minggu,saya dibawa ke Snowy Mountain untuk melihat dan menyentuh salji buat pertama kali selain ke ladang haiwan dan menyentuh kangaroo. Saya teruja.

Suka menjadi duka. Saya tetap mengalaminya. Tiada petua seperti di sini tetapi saya dikuarantin di dalam bilik sendiri sahaja. Ubat demam diberikan bapa angkat , seorang doktor perubatan. Klinik di rumahnya di sebelah bilik tidur saya. Rasa terasing. Makan minum,pinggan mangkuk,pakaian untuk dicuci dan biik air tidak dibenarkan bercampur dengan ahli keluarga yang lain. Selera makan pun tiada kerana dalam tekak pun ada. Sayunya rasa sakit di perantauan. Dunia saya hanya di dalam bilik. Ketika kesemua ahli keluarga ke rumah desa di Razorback saya tinggal sendirian di rumah kota di Sydney.

Hati terubat dengan kunjungan mendiang Judith Falconer,guru lukisan kesayangan saya yang membawa ke rumah tugasan sekolah saya. Saat iu saya perlu melengkapkan ‘art major work’ saya, iaitu lukisan untuk dinilai dalam peperiksaan Australian High School Certificate. Kerengsaan saya dapat dilalaikan dengan tangan saya memegang berus sambil cat akrilik disapukan di kanvas untuk mewarnakan bahagian bunga-bunga liar Australia di lukisan itu. Sungguh menenangkan. Setiap kali memandang lukisan yang pernah dipamerkan di Westpac Bank, NSW,Australia yang kini beralih di dinding rumah saya , pelbagai kenangan menerjah.

5 comments:

Ekin said...

salam madam!
saya dah baca dah perfect. memang perfect la madam... Saya tak puas baca buku tu. Tak puas hati kalau tak habiskan cepat.
Thank you sebab rekomen buku ni!

have a nice day!

p/s: saya dah post review pasal perfect kat blog saya. singgah la ye!

Melihat Kesunyataan said...

Rupanya Shima juga berbakat dalam lukisan. Biasanya bakat seni lukis boleh memperkayakan bakat dalam penulisan, terutamanya dalam sajak.

Anonymous said...

Salam..
Moga Fiqah dan Ibu tabah hadapi dugaan ini. Matangnya Fiqah menahan sakit! InsyaAllah cepatlah baik tu. Amiiin.

Selalu berkata begini kepada Michiko:
Kalau kuat menangis, lambat baik sakit tu.

Hehehe. Ayat tak larat nak pujuk anak menangis.

Selamat maju jaya untuk, Fiqah. Buatlah Ibu bangga, ya! :)

Nazhatulshima N said...

Syikin,
Cuba baca Paradise pula. Saya lebih suka Paradise dari Perfect.

Pak Lang,
Saya impikan untuk satukan kesemuanya dalam satu,seperti karya Prof Dr Siti Zainon Ismail dan juga Khadijah Hashim.

Ira,
Terima kasih untuk doa buat Afiqah. Sudah beransur pulih kini.

Anonymous said...

Alhamdulillah...