Saturday, May 30, 2015

Hitam Putih Kami



Dua keping gambar ini adalah antara yang masih ada apabila kebanyakan gambar telah hancur bersalut lumpur banjir 4 tahun lalu. Di sebelah kiri, sewaktu Adib menanti saat untuk melafazkan akad dan di sebelah kanan,sewaktu saya sedang membuka penutup pena untuk menandatangani perjanjian ikatan kami.

Ya,itulah saat 'Hitam Putih Kami' 19 tahun yang lalu pada 30.5.1996

Syukur Alhamdulilah!

Saturday, May 23, 2015

Cinematographer & Editor



Perkembangan terkini Arif Nukman di Auckland.

Nampaknya nama Arif telah 'dihilangkan' Nukman di New Zealand. Seperti juga keadaan nama saya yang telah disingkatkan menjadi Shima Nolan sahaja semasa bersekolah di Sydney satu ketika dahulu.

Saya juga terkenangkan bagaimana saya dahulu sering membuat tugasan melukis poster dan banner acara dan kini Arif diminta untuk mereka cipta tiket dan poster untuk acara Aorere Film Academy. Mereka berjaya mendapat tempat kedua dalam Rialto 48 Film Competition Auckland Heats di mana Arif berperanan sebagai cinematographer dan editor.

Berikut adalah rekabentuk ciptaan  Arif Nukman yang ditampal di sekeliling sekolahnya di Auckland. 




Bezanya dahulu saya lukis sendiri dan warnakan sendiri banner,poster dan flyers untuk pelbagai acara sekolah dan universiti, kini Arif menggunakan komputer.  Kecenderungan yang serupa saya.

Selain itu, dia juga telah turutserta dalam acara larian dan terkini terpilih dalam sukan hoki yang baru diceburinya. Semasa di Malaysia, Arif pernah mewakili sekolah dalam permainan bola sepak Untuk acara sukan, Arif mewarisi ayahnya yang aktif mewakili sekolah.

Di samping itu, Arif turut membantu merekacipta poster untuk kumpulan lain.


Hasil filem pendek Arif dan ahli kumpulannya adalah Man Bunz Behind the Rock

Tiketnya turut direka Arif. Tayangan pada 3 Julai 2015 nanti.

Oh betapa saya mahu turut hadir menyaksikannya. 

Semoga berjaya anakku!







Monday, May 18, 2015

Surat Tawaran Diterima/Ditolak

Debaran sejak 18 April setelah melalui proses temuduga terjawab sudah melalui semakan melalui laman maya pada 6 Mei 2015 yang lalu. Setelah tawaran diterima,surat tawaran pula dapat dicetak pada hari Jumaat,8 Mei. Mudah sekali zaman ini maklumat diterima di hujung jari dan tidak perlu menunggu lama menanti posmen mengirim berita.

Kursus pilihan pertamanya diterima. Hanya sedikit terkejut dengan lokasi yang ditawarkan nun jauh di Sarawak sana. Walaupun berhasrat untuk mendapat tempat di Shah Alam, tawaran ke Samarahan diterima akhirnya setelah berfikir dan berbincang.

Menariknya tawaran ini ialah 'lompatan' terus ke program sarjanamuda tanpa melalui matrikulasi,program asasi, program diploma atau tingkatan 6.


Selain itu, tawaran kedua juga diterima pada minggu lalu.

Pada hari ini,sepatutnya Afiqah mendaftar untuk tawaran Ausmat untuk persediaan mengikuti kursus Perubatan di INTEC Shah Alam.  Setahun setengah di sini dan selebihnya di Australia.

Tawaran ini telah ditolak setelah menimbangkan beberapa faktor.


Sekiranya diterima tawaran ini,Afiqah akan belajar dan menginap di tempat yang sama saya belajar dan menginap 24 tahun yang lalu meskipun berbeza program dan kursus. 3 tahun lamanya saya di sana mengikuti program Matrikulasi TESL 2 tahun dan 1 tahun ijazah pertama sebelum meneruskan pengajian ke UKM.

Ya,itu cerita saya yang telah berlalu.

Kini, saya memberikan sepenuh kebebasan kepada Afiqah untuk memilih perjalanan kerjayanya sendiri. Agak teruja kerana saya pernah satu ketika memilih kerjaya ini sebagai salah satu cita-cita pilihan semasa di sekolah.

Syukur Alhamdulilah.

Tahniah buat Anakanda Afiqah Nadzirah!

Bakal ARKITEK Insya-Allah!

Semoga anakanda berjaya cemerlang di dunia akhirat.

http://nazhatulshima.blogspot.com/2015/04/sudut-pandangan-menanti.html

Monday, May 04, 2015

Jendela Kamar Ilham



   Ruang waktu menulis. 
                                  Serupa jodoh. 
   Kita boleh mencarinya dan memperuntukkan waktu 
              buatnya dan memaksanya hadir.

   Adakalanya ia hadir umpama rezeki 
                    dalam permintaan doa waktu Dhuha 
                                 yang datang dengan tidak disangka-sangka 
                                             dan kita hanya perlu percaya
    permohonan kita diterima.

"Sesungguhnya waktu Dhuha itu Dhuha Mu,
kecantikannya,kecantikan Mu,
keindahannya,keindahan Mu,
kekuatannya,kekuatan Mu,
kekuasaannya,kekuasaan Mu,
perlindungannya,perlindungan Mu.
Ya Allah
Jika rezeki masih di langit,turunkanlah,
jika di bumi, keluarkanlah,
jika sukar, permudahkanlah,
jika haram, sucikanlah,
jika jauh dekatkanlah.
Berkat waktu Dhuha,
kecantikan Mu,keindahan Mu,kekuatan Mu dan kekuasaan Mu 
Limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan
kepada hamba-hambaMu yang soleh."

Friday, May 01, 2015

Peluang dan Peringatan

dugaan hebat itu peluang

dugaan dahsyat itu peringatan

Persediaan
ke negara abadi yang pasti

hanya saatnya tidak diketahui.

nzshima- 1.5.2015