Saturday, December 15, 2007

Blogging di PTK

Pengucapan awam saya memilih tajuk blog.
Saya ceritakan bagaimana blog membuatkan saya lebih mengenali diri saya. Bagaimana ia menjadi terapi. Bagaimana saya sedar saya dapat menulis puisi. Bagaimana ia dapat menjadikan kesibukan saya lebih mudah dihadapi.

Saya kisahkan bagaimana blog menemukan saya dengan rakan lama yang telah 15 tahun terpisah. Bagaimana Anders, dari Norway mencari Zetty dan ‘menggoogle’ namanya lalu terjumpa saya. Akhirnya saya dan Zetty bertemu semula baru-baru ini. Bagaimana Julia dari Itali yang ‘menggoogle ‘ nama Katia, juga asal dari Itali dan terjumpa blog saya. Lalu saya menghubungkan mereka melalui emel. Katia kini menetap di Australia manakala Julia kini di London. Mereka semua adalah sahabat sewaktu kami sama-sama menjadi pelajar pertukaran dan menetap di Australia selama setahun.
(Pengalaman di sana banyak di tulis dalam blog Through My Eyes saya)

Pembentangan penulisan tugasan individu juga saya memilih tajuk blog. Saya menjelaskan potensi blog sebagai alat untuk belajar dan mengajar.

Hasilan saya tunjukkan bagaimana mudahnya membina blog. Sebagai kelainan, saya buat demonstrasi membina blog dalam masa 7 minit. Semudah 1,2,3.

Pengajaran berinovasi saya bentangkan bagaimana boleh gunakan blog dalam pengajaran. Saya tunjukkan bagaimana saya gunakan blog sebagai refleksi pengajaran dan bagaimana mendapat maklumbalas segera tentang pengajaran saya.

Cadangan penyelidikan, hampir saja buat tajuk blog tetapi telah saya ubah ke tajuk yang lebih berkaitan dengan pengajian Phd saya. Sambil menyelam minum air. Agar mudah buat persediaan pembentangan proposal pada Februari nanti

Sehinggakan rakan sekumpulan saya ramai yang berminat untuk membina blog mereka selepas mendengar pembentangan saya.

Sengaja saya memilih tajuk yang dekat di hati saya dan saya pasti tiada yang akan memilih tajuk ini. Tepat sangkaan saya.

Untuk rakan sekumpulan saya, andai singgah ke mari, jangan lupa tinggalkan jejak.

Wednesday, December 12, 2007

Tetamu ...andainya sudi.

Akhirnya berjaya setelah beberapa kali mencuba meletakkan 'Feedjit'. Teruja.

Hasilnya,dapat melihat tetamu berkunjung.
Membuat saya tertanya-tanya
ada yang dari Indonesia
bagaimana dapat link ke blog saya
ada yang baca Puisi untuk Ibu
ada yang baca Puisi cinta Islami
membuat saya ingin berpuisi lagi
membuat saya ingin mengenali
membuat saya ingin berkunjung balas
membuat saya ingin mereka tinggalkan jejak
...andainya sudi

Tuesday, December 11, 2007

PTK (Penilaian Tahap Kecekapan)

Kini berkampung di Intekma Resort Shah Alam selama seminggu untuk kursus PTK. Seronok berjumpa pensyarah dan staf yang saya kenali sewaktu saya pelajar matrikulasi PPP/ITM 16 tahun yang lalu. Saya amat aktif sebagai pemimpin pelajar dahulu,lalu kami saling mengimbau kenangan lalu sewaktu saya menganjurkan pelbagai program.

Aktiviti terkini yang lain boleh baca di blog Through My Eyes

Kadangkala,ada perkara saya lebih selesa menulis dalam Bahasa Inggeris dan ada perkara yang lain,lebih selesa dalam Bahasa Melayu. Saya kira kebanyakan pembaca mungkin juga begitu.

Maafkanlah

Maaf, andai mungkin saja berkali-kali kembali ke halaman ini atau berkali-kali melihat sama ada komen yang diberi di entri sebelumnya masih saja tidak berbalas-balas. Diharap tidak menyinggung perasaan, terutama sekali OD, Sitinur, Mya Marja dan lain-lain pemberi komen di entri yang terdahulu.

Sunday, October 28, 2007

Ralatnya

Ralatnya. Pada waktu ini saya dijangka sudah berada di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat.

“Masuk pintu hadapan sebagai VIP,”pesan sepupu saya.
“Abang Pit di atas pentas dengan VVIP”.
“TMS dapat sekolah terbaik,terpilih sebagai sekolah…itu,ini…”

Sepupu saya bercerita secara rinci apa yang akan berlaku pada hari ini.
Saya pun tak begitu hiraukan siapa yang merasmikannya. Seorang menteri. Saya lebih teruja untuk turutserta majlis ini. Apa yang terbayang ialah kenangan di sekolah rendah. Sekolah yang telah banyak berjasa kepada saya. Tempat di mana asas pendidikan saya dipupuk. Pelbagai nostalgia.Baca entri sebelum ini.

Seawal Subuh saya telah bersiap-siap. Pesan sepupu saya pakai baju kuning keemasan. Saya berbaju kurung coklat keemasan dan bertudung kuning untuk menepati tema Jubli Emas.

Dalam perjalanan ke sana, selepas jambatan berhampiran UiTM, ada jalan batu longgar, iaitu jalan yang sedang dibaiki dan masih belum ditar. Stering kereta saya tiba-tiba di luar kawalan. Ke kiri dan ke kanan. Tekan brek. Kereta menghala ke seberang jalan dan berjaya dihentikan. Mujur tiada kereta dari arah hadapan. Cemas seketika. Bergerak semula dengan perlahan di atas batu kerikil. Setelah melepasi jalan tidak bertar,keadaan kereta saya kurang stabil. Bergerak ke bahu jalan dan berhenti. Pancit rupanya dan tayar telah keluar sedikit dari rim. Telefon Adib dan ke Gemereh untuk ke kedai tayar Salleh. Malangnya tidak dibuka. Adib cuba hubungi telefon bimbitnya berkali-kali tiada jawapan. Setelah beberapa kali mendail, ada jawapan tetapi rupa-rupanya nombornya silap.

“Kita pergi selepas I habis periksa”. Adib bersuara.
“Pukul 11 pagi peperiksaan tamat, majlis pun dah selesai”,jawab saya.

Sampai ke rumah, Adib bersiap-siap untuk ke dewan peperiksaan.
Saya telefon mak, sms sepupu, sms makcik supaya mereka tidak risau menunggu saya yang tidak kunjung tiba.

Perbualan di telefon dengan mak petang semalam.
“ TMS ada buat sambutan 50 tahun esok di Dewan Jubli Intan.” Mak memulakan cerita.
“Tak tahu pun.”
“Apa acaranya?”
“Mak tak tahu sangat,kalau nak tahu telefon Abang Pit , dia terlibat.”
“Dah 50 tahun ,Mak, cepatnya”

25 tahun yang lalu,saya berada di Darjah 4 ketika TMS menyambut Jubli Peraknya. Dato’ Khalil Yaakob yang datang ke sekolah saya. Masih jelas di ruang mata. Malah masih banyak kenangan daripada Darjah Satu sehingga Darjah Enam yang masih kekal di ingatan saya.

Walau rasa kesal menyelinap di hati kerana tidak dapat hadir ke majlis ini, saya reda dan mungkin ada hikmah di sebaliknya.

25 tahun akan datang sekolah saya akan menyambut 75 tahun pula dan entah saya masih ada umurnya .

Sekilas pandang kenangan di SRK Tengku Mariam.

Sahabat berbilang bangsa yang menjadi saingan belajar.
Ira Seriwati Abdul Rahman, Suhaila Salleh, Ida Suzani Ismail, Maslynnawati Ahmad, Nazlin Tamat, Sufinaliza Rafida Saadon, Abrizah Abdul Rahman, Khoo June Lyn, Michele Yeo, Audrey Murugaya, Christine Lim,Teo Shu Pay dan Tan Nee Ping.

Kenangan manis.
Top 5 kedudukan dalam kelas sepanjang 6 tahun.
2 kali mendapat hadiah terbaik, dalam top 5 kedudukan keseluruhan darjah (3 kelas) sepanjang 6 tahun.
Pengawas sekolah daripada Darjah 4 hingga 6.
Dalam kumpulan koir sekolah,bahagian soprano, daripada Darjah 4 hingga 6.
(Naib Juara daerah Batu Pahat)
Mewakili sekolah untuk bola jaring peringkat daerah Batu Pahat. ( Naib juara)
Ahli persembahan tarian asyik & tradisional sekolah. ( Semasa Hari Guru & Hari Penyampaian Hadiah)
Ahli nyanyian nasyid.

Guru-guru yang masih diingati(guru kelas)
Darjah 1 Mrs Tan ( Guru Matematik)
Darjah 2 Puan Noraini ( Guru Bahasa Melayu)
Darjah 3 Cikgu Salim ( Guru Sains)
Darjah 4 Puan Kamaliah ( Guru Bahasa Inggeris)
Darjah 5 Mrs Lam ( Guru Bahasa Inggeris)
Darjah 6 Miss Chua Meow Ching (Guru Besar/Guru Matematik)

Guru lain yang diingati
Cik Latifah (Guru Bahasa Melayu)
Puan Fatimah (Guru jahitan)
Puan Halina ( Guru Bahasa Melayu)
Cik Aminah (Guru bola jaring),mungkin sekarang dah Puan.
Cikgu Tahir(Guru Muzik)

Nostalgia permainan boleh dibaca di sini.

Ini sekadar catatan ringkas untuk merakam imbasan kenangan.
Sudah tentunya setiap satu ada episodnya sendiri. Insya Allah dikongsi di lain entri.

Friday, October 26, 2007

Jejak Kasih cara Google

Beberapa hari yang lalu, saya ‘google’ nama beberapa sahabat lama dan berjaya hubungi 2 rakan lama, sepasang saudara kembar yang kini menetap di Kuantan. Zaeinah bertugas di RTM Pahang dan Zaeidah pula di pejabat Kerajaan Negeri Pahang. Pada mulanya saya hanya menghantar sms dan akhirnya kami berbual melalui telefon. Kami bertukar pelbagai cerita setelah berbelas tahun tidak bersua. Zaeidah sudah mempunyai 5 orang cahaya mata dan Zaeinah pula 6 orang. Dia juga mempunyai sepasang kembar. Seronok mendengar rakan beranak ramai. Sudah pasti saya nak lagi. Akan bersambung Insya Allah ditakdirkan ada rezeki.

Wednesday, October 24, 2007

Dia Datang Lagi

Kami sekeluarga menerima kunjungannya sejak Isnin lalu
Arif menerima kunjungannya pada hari Isnin
Adib dan Afiqah menghadapinya pada hari Selasa
Saya sendiri mengawasnya pada hari Selasa
Khamis satu lagi
7 November 500 orang perlu diawasi
Adib pada hari Ahad
Baru 2
Ada 3 lagi untuknya
Semuanya akan berlanjutan sehingga awal November

Saya akan menilainya bermula 30 Oktober
Dalam masa 7 hari perlu diselesaikan segalanya

Siapakah dia?

Friday, October 12, 2007

Raya Di Mana Tahun Ini?

“Raya di mana tahun ini?”

Soalan yang kerap kali bermain di bibir setiap kali penghujung Ramadan.

Dengan senyuman, saya akan mengulang jawapan yang sama setiap tahun, (berbanding dengan orang lain yang sering berebut giliran)

“Batu Pahat.”

Selama 11 tahun perkahwinan, malam 1 Syawal di rumah saya sehingga petang raya pertama barulah bergerak ke kampong Adib yang terletak hanya 25 minit daripada bandar Batu Pahat. Pada hari raya ketiga kami akan ke Batu Pahat semula. Seterusnya bergantung kepada jumlah cuti yang kami ambil, kami akan terus berziarah atau pulang semula ke rumah.

Semua abang dan kakak Adib akan berkumpul pada petang raya pertama. Kebiasaannya pada hari raya kedua, Adib 7 beradik,(ada 4 orang Adib lagi dan 2 orang Adibah) berserta isteri dan suami,dan anak-anak akan beraya serentak ke rumah nenek, pakcik dan makcik saudara mereka. Lebih kurang 40 orang kesemuanya. Kami bergerak menaiki kereta dari satu rumah ke satu rumah seperti kumpulan marhaban. Malah memang kami marhaban sekali dan setiap kunjungan hanya lebih kurang 10 ke 15 minit sahaja diakhiri dengan selawat ke atas Nabi SAW dan di rumah yang terakhir akan dibaca doa penutup.

Berbeza dengan ziarah di sebelah saya, paling kurang sekitar 30 minit setiap rumah. Kunjungan ke rumah makcik saya lebih lama dan kami akan bersembang panjang bertukar cerita atau mengimbau kisah lalu.

Begitulah sambutan raya saya secara umumnya.
Secara rincinya?

Di entri seterusnya.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI & MAAF ZAHIR BATIN kepada semua pengunjung blog ini.

Thursday, October 11, 2007

Rahsia Masakan

Ramai yang pelik bagaimana saya dapat masak setiap hari walaupun sibuk bekerja.

Ramadan tahun ini boleh dikira sebelah tangan sahaja kami berbuka puasa di luar dan tanpa masakan saya. Kebiasaannya, sering kali membeli atau berbuka puasa di luar sahaja pada tahun tahun yang sudah. Namun tahun ini, hanya berbuka di luar di atas jemputan pelajar dan sekali lagi di hotel atas jemputan juga. Sekali di rumah saya di Batu Pahat dan sekali lagi di rumah Adib di kampong.

"Oh,tidak! Saya bukanlah 'superwoman'."

Sudah semestinya penghargaan perlu diberikan kepada suami saya, Adib yang rajin membantu menyediakan bahan seperti bawang yang telah dikupas dan bahan mentah seperti ikan, ayam, udang dan sotong yang telah siap disiang sementara menunggu saat saya pulang dari kerja setiap petang untuk memasak menu utama. Nasi juga telah siap dimasak. Afiqah dan Arif pula akan membantu menghidang atau menyediakan air. Setiap hari menu berubah mengikut kegemaran masing-masing, seperti restoran layaknya.

Alhamdulilah berkat bekerjasama, setiap hari dapatlah mereka merasa masakan saya.

Sepatah kata Afiqah,"Berkat makan masakan ibu!"

Harapan saya, dapatlah berkekalan ke bulan-bulan yang seterusnya.

Sesungguhnya berbagai amalan baik yang dibuat pada bulan Ramadan terhenti bila hadirnya Syawal.

Saya bertekad untuk teruskan amalan baik yang lain juga.

Wednesday, October 10, 2007

Travelog Haji

...."Tabung Haji bawa kita pada waktu malam, tetapi waktu yang afdal adalah waktu Dhuha. Ia dikatakan tidak selamat, bahaya dan orang bersesak-sesak dengan mereka yang besar, gagah dan ganas. Apa pendapat kamu?"....
...Kami benar-benar takut. Air mata saya mengalir selebat-lebatnya. Ia tidak terkawal. Ia doa yang paling khusyuk yang pernah dilafazkan kepada pencipta. Seumur hidup, inilah saat seluruh tubuh dan perasaan menyerah nasib dan takdir bulat-bulat kepadanya. Mata Roza, Kak Mie dan Azlina kemerah-merahan, merasai betapa kami bakal melalui perjuangan yang cukup besar...(petikan halaman 148-149 Travelog Haji)


Pertama kali mendengar kisah ini secara lisan oleh penulis pada 8 bulan yang lalu di ruang tamu rumahnya di Kondo Kemuncak. Beliau bercerita selama 2 jam tanpa henti. Adib dan saya khusyuk mendengar. Penceritaannya disertakan dengan aksi. Beliau akan bangun berdiri dan bergerak . Bukan itu sahaja, beliau turut melakarkan laluannya di kertas.Sesekali mata saya akan bergenang, hati saya tersentuh mendengar kisah Jamratul Aqabah. Kisah yang sama dibacakan dengan penuh penghayatan oleh penulis di Majlis Pelancaran Travelog Haji di Dewan Annexe, UiTM Shah Alam 9 Oktober yang lalu. Kesannya masih sama. Sebak hati mendengar kisah ini dan kelihatan beberapa penonton lain tunduk dan cuba menyeka air mata yang bercucuran. Betapa saya disedarkan tiada yang mustahil apabila kita berserah kepadaNya. Inilah ramuan utama dalam penulisan beliau. Nilai motivasi yang tinggi bukan sekadar kata-kata ‘pelaris’, ianya kenyataan. Doa,usaha dan tawakal kepadaNya. Insya Allah segalanya dipermudahkan dan diperkenankan olehNya.

Kebanyakan kisah dalam Travelog Haji ini telah saya dengar secara lisan atau baca di blog beliau. Justeru itu saya adalah antara orang yang menyokong penuh apabila beliau ingin membukukannya.

Kelainan yang terdapat dalam penulisan beliau ialah keberanian untuk mengakui kejahilan dalam beberapa perkara dan keikhlasan untuk berkongsi ilmu. Secara peribadi, saya kira ramai yang mempunyai pengalaman yang sama tetapi tidak didedahkan kerana sifat malu dan rasa kekurangan ilmu.

Setiap bab dalam Travelog Haji hanyalah beberapa halaman dan boleh dibaca sekitar 2 hingga 3 minit. Saya pula suka membaca bab-bab tertentu dan mengulang baca. Antara bab-bab kegemaran saya adalah seperti berikut:Jamratul Aqabah, Hajar Aswad, Maal Hijrah di Mekah, Khatam al-Quran,Tuhan Lebih Mengetahui dan Dua Jam di Raudah.

Saya turut menghadiahkan senaskhah Travelog Haji ini kepada emak saya. Baginya yang telah berkunjung ke sana 11 tahun yang lalu, apa yang dibacanya mengimbau kenangan peribadinya sendiri.

Bagi diri saya pula,bercampur baur di antara keinginan dan ketakutan.

Bagaimana dengan anda? Ingin dapatkan buku ini?
Boleh emelkan nama dan alamat kepada saya atau hubungi penulisnya secara terus di blognya.
Harga senaskah RM26, terbitan PTS

Saturday, October 06, 2007

Pendakian ke Puncak 1

Dalam usahaku untuk mendaki ke puncak,aku masih lagi menggalas pelbagai bagasi. Pendakian ku agak perlahan. Masakan dapat kusegerakan seandainya kedua-dua tangan dan bahuku sarat. Kunekad untuk melepaskan dua beg yang kugalas. Keputusan untuk melepaskannya telah kukhabarkan secara lisan. Untuk beg yang pertama,telah diperkenankan untuk kulepaskan. Harus kutulis tentang niatku itu sahaja. Akan kugalas sehingga penghujung tahun ini.

Namun, untuk beg yang kedua, kudiminta untuk memikirkan semula. Kudinasihati untuk meneruskannya sahaja.

Yang pasti, dengan melafazkan niat yang pertama itu, kurasakan agak ringan sedikit.

Tuesday, October 02, 2007

Bersyukur atas KetentuanNya

Beberapa minggu kebelakangan ini,saya mendengar kisah pertelingkahan,perselisihan faham,perpisahan dalam rumahtangga. Saya kira,tidak perlulah saya rincikan kisah mereka. Puncanya pelbagai untuk setiap kisah. Dari pengamatan mata kasar, ada yang agak remeh isunya. Punca sebenar wallahuallam. Namun beberapa rumusan yang dapat saya kongsi.
1. Ketidaksedaran peranan dan tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
2. Campurtangan pihak ketiga yang memberi nasihat berpandukan emosi dan tidak berlandaskan hukum.

Seringkali saya menjadi pendengar. Kebanyakan mereka keliru. Tidak seharusnya begitu seandainya asas hukum Islam menjadi paksi.

Memang manusia tidak dilahirkan sempurna. Setiap pasangan harus saling lengkap melengkapi. Bersyukurlah dengan apa yang telah ditentukanNya.

Ini juga ingatan buat diri saya sendiri!

Thursday, September 13, 2007

Menjelang 1 Ramadan

Sunyi.

Lebih kurang jam 4.45petang kedengaran jeritan sekumpulan pelajar lelaki, meneriakkan “Balik…kampung…oh..oh balik kampung”.

Cuti awal Ramadan bersambungan sehingga ke hujung minggu.

Setelah selesai membuat persiapan kelas hari Ahad, akhirnya saya sampai ke rumah hampir jam 7malam.

Menu telah dirangka di minda. Namun, saya minta pandangan Afiqah.

“Tom yam atau Ayam Masak Merah Ambo Rojak (Resipi Istimewa keluarga)?”

“Ambo Rojak.” jawab Afiqah.

Singsing lengan.
Kosek beras.
Tanak nasi.
Kupas bawang.
Tumbuk bawang dan lada.
Perah asam jawa.
Goreng ayam.
Masuk bawang dan lada.
Perahan asam jawa.
Kicap Masin
Kicap Manis
Garam
Gula.

7.30pm, makanan kegemaran sekeluarga siap dihidang.

1 Ramadan – Maghrib , Isyak dan Tarawih dilaksanakan di rumah sahaja.

Azam Ramadan kali ini, semoga dapat habiskan 30 juzuk Al-Quran.

InsyaAllah.

Tuesday, September 11, 2007

Puteri Baiduri Menyumbang Bakti

Program yang berlangsung selama 4 minggu , 3 hari ( Isnin, Selasa dan Rabu) seminggu berakhir pada 10 September yang lalu.

Ucapan saya berikan seringkas mungkin, selaku penasihat program. Maklumlah, kanak-kanak 5 dan 6 tahun sudah pastinya resah mendengar ucapan panjang berjela. Namun saya masih perlu membuka ucapan saya dengan Yang Berbahagia…, Yang Berusaha…. Dihormati…., Yang Dikasihi…., Yang Diraikan….

Apa akan berlaku seandainya saya memberi ucapan tidak mengikut kebiasaan? Untuk acara formal, mungkin tidak. Saya hanya fikirkan kanak-kanak itu , yang rata-rata tidak sabar-sabar untuk membuat persembahan mereka.

Selepas ucapan saya , ada 2 ucapan lagi. Wakil PPD dan Timbalan Pengarah HEP ,UiTM Johor. Wakil PPD sempat berkias untuk memanjangkan program ini ke sekolah lain di sekitar Segamat. Emmm….

Akhirnya, 35 orang murid tadika membuat persembahan bersama-sama fasilitator, seramai 38 orang , kesemuanya penghuni Kolej Baiduri.

Program ini saya telah mulakan 3 tahun yang lalu. Saya melatih beberapa orang pelajar kolej Baiduri untuk menjadi fasilitator. Dalam bentuk nyanyian, murid tadika ini didedahkan dengan beberapa frasa sapaan dan perkataan berserta maksud doa-doa harian dalam bentuk nyanyian. Ketika itu, program berlangsung selama 8 minggu setiap petang Jumaat.

Kanak-kanak memang cepat dapat sekiranya diajar dalam bentuk nyanyian.

Pada tahun ini, program perlu ditamatkan sebelum Ramadan dan sebelum peperiksaan bermula. Secara kasarnya , objektif program tercapai. Murid mendapat pendedahan,pelajar saya dapat pengalaman mengendalikan kanak-kanak. Secara peribadi, ada beberapa perkara yang perlu ditambahbaik untuk program seterusnya. Saya perlu berikan banyak latihan kepada pelajar saya sendiri, terutama sekali dari segi sebutan perkataan dan bagaimana untuk mengawal kanak-kanak yang aktif belaka. Sudah pastinya ini akan menuntut lebih masa di pihak saya. Adakah saya mampu?

Walau bagaimanapun, inilah sumbangan saya untuk komuniti dan pengalaman berharga buat pelajar saya yang tidak dapat ditemui di bilik kuliah.

Sunday, September 09, 2007

Saya Penyanyi?

Acara spontan seterusnya, saya mengajak Adib ke ‘club house’ kerana teringin untuk berkaraoke. Walaupun hanya ada seorang wanita sahaja yang sedang berkaraoke di dewan, saya menyewa satu bilik khas untuk kami berdua, RM20 sejam. Lalu saya pun menyanyi sepuas-puas hati selama 2 jam lamanya untuk suami tercinta.

Antara lagu-lagu nyanyian saya:
Elegi Sepi- Azharina
Antara Anyir & Jakarta- Sheila Majid
Biarkanlah – Kris Dayanti
Mencintaimu- Kris Dayanti
Hati ini Telah Dilukai – Kris Dayanti
Careless Whisper – George Michael
La Isla Bonita – Madonna
It Must have Been Love – Roxette
I Wish I Could Fly – Roxette
Foolish Beat – Debbie Gibson
Feelings – The Platters

Adib pula, lagu Sailing & Judy, Judy, Judy.

Kami berduet:
Jangan Ada Dusta – Broery & Dewi Yull
Doa Buat Kekasih – Ramli Sarip & Khatijah Ibrahim (2 kali)

Sudah lama saya tidak menyanyi lama-lama begini. Kebiasaannya, saya menyanyi di rumah saya di Batu Pahat, bersama-sama mak dan abah. Adib kurang gemar menyanyi. Tetapi saya tidak menyanyi di khalayak ramai kecuali semuanya wanita. Semasa di sekolah pula, sejak sekolah rendah sehingga menengah saya ahli koir dan menyanyi bahagian soprano. Tetapi saya tidak pernah menyanyi secara solo. Malu…dan rasanya tak sedap nyanyi seorang diri.

Cuma akhir-akhir ini di acara Pewani, adalah saya menyanyi sikit-sikit secara solo dan saya akui tidaklah sedap manapun, adalah lari sana sini.

Sebaik keluar dari bilik, wanita tadi bersuara,

“Sedap suara. Penyanyi ke? Esok ada pertandingan. Masuklah!”

Hah! ?
Saya tergelak sambil berkata, “Tak adalah, suka-suka je.”

Saya pun bertanya Adib, “Betul ke sedap?”

Adib mengiyakan.

Wallahuallam.

Yang pasti, saya rasa amat relaks malam itu.

Keletihan Tahap Maksima

Tak penat ke?

Soalan yang amat popular sepanjang semester ini.
Untuk mengetahui mengapa ramai yang mengajukan soalan ini kepada saya, anda harus membaca entri-entri saya yang terdahulu.

Sepanjang perjalanan ke Shah Alam minggu lalu, saya terasa keletihan yang teramat sangat. Syukur kerana kali ini saya sebagai penumpang dan Adib yang memandu. Niat untuk ke Bursa Malaysia untuk kajian penyelidikan saya dibatalkan kerana suhu badan saya agak panas.

Kebiasaannya di Shah Alam saya akan menginap di kolej-kolej kediaman UiTM. Nampaknya minggu lepas semuanya penuh. Pilihan kedua,hotel. Penuh juga. Hampir dua jam kami berulang alik mencari hotel, sehinggakan yang 5 bintang juga penuh kesemuanya. Hotel UiTM, Intekma Resort, De Palma Inn, Concorde, Blue Wave, Quality semuanya hampa.

Ada apa di Shah Alam?

Pilihan terakhir ,agak jauh sedikit,kami ke Glenmarie. Ada kosong tetapi jam 5 petang baru boleh daftar masuk. Kami makan tengahari dahulu memandangkan Adib ada temujanji golf jam 2 petang.

Saya telefon Holiday Inn, Glenmarie sekali lagi. Hampir jam 2. Ada pula kekosongan, lalu berpatah balik dan daftar masuk.

2 jam pertama di bilik hotel,saya cuba berehat sambil membaca. Melihatkan iklan spa, hati berkira-kira untuk ke sana.

Pilihan pertama. Berehat dan bersantai di spa sambil berurut..
Pilihan kedua. Berehat di bilik sambil membaca dan badan masih lagi sakit-
sakit.

Akhirnya saya nekad untuk memanjakan diri dan memberi ganjaran kepada diri sendiri kerana telah berminggu-minggu bekerja tanpa rehat dan cuti.

Ternyata tidak menghampakan.

Berjakuzi, mandi stim, berurut aromaterapi, hidangan makan dan minum tanpa had, berinternet semuanya berjumlah RM148++ dan tiada had masa., sehingga jam 12 malam. Namun saya di sana sekitar 4 jam.

Adib sudah pun menanti saya di bilik hotel.

Acara seterusnya…baca di entri berikutnya

Wednesday, September 05, 2007

Sampan - air jernih & Pondok usang - air terjun

Sehingga ke hari ini saya masih teringatkan mimpi yang saya alami minggu lalu. Seakan-akan memaksa saya untuk memindahkan imej-imej indah dalam mimpi ke bentuk tulisan. Saya ceritakan kepada suami saya. Masih lagi kekal bermain-main di ruangan mata. Saya khabarkan ke Afiqah dan Arif. Berkali-kali. Mereka memang suka mendengar mimpi saya.
“Ibu, sambunglah lagi,” pinta Arif.
“Macam mana ibu nak sambung? Mimpi ibu sampai situ sahaja. Bukannya ibu reka mimpi ibu”.

Mimpinya begini…

Saya sedang mendayung sampan. Rasanya penumpangnya Arif dan Afiqah. Di sekeliling saya sungguh sesak dengan sampan lain. Keadaannya seperti di jeti Ulu Tembeling. Saya cuba mendayung di antara sampan lain, ke kawasan yang tiada sampan dan bergerak menghala ke kanan. Lega. Tiada sampan lain. Peliknya, airnya bukanlah seperti di Ulu Tembeling. Saya pernah ke sana pada tahun 1993. Airnya seakan teh susu. Air dalam mimpi saya sungguh jernih sekali. Warnanya seperti air di sekitar kepulauan. Sampan dapat bergerak laju, seakan menuruni jeram pula,tetapi tidak berbatu. Saya cuba ingati, adakah saya di atas rakit? Tidak, masih sampan. Saya telah bergerak jauh dan terhenti di suatu tempat persinggahan yang terdapat dua pintu. Ini yang peliknya. Tandas? Kedua anak saya ingin ke tandas. Saya menoleh ke belakang sampan. Eh, bagaimana harus berpatah balik semula sedangkan saya menuruni jeram? Kami semua turun dari sampan ke tempat seperti pelantar. Sewaktu memijakkan kaki,pelantar seakan bergerak ke bawah dan saya jumpa jalan keluar. Saya cuba mengingati apa yang terjadi selepas itu. Setakat ini saja yang saya ingat. Mungkinkah ada maksudnya? Saya pun tak pasti. Yang pasti, imej sampan dan air jernih kerap menghantui saya.

Tiba-tiba saya teringatkan satu lagi mimpi yang pernah saya alami lama dahulu tetapi masih kekal di ingatan.

Suasananya di hutan,sejuk, hijau mata memandang. Saya menghampiri sebuah rumah atau lebih sesuai dipanggil pondok yang amat usang, tak berpenghuni, tetapi saya masuk ke dalam pondok buruk itu. Saya terus ke pintu belakang pondok itu yang terbuka luas. Apa yang saya lihat dan dengar adalah keindahan dan deruan air terjun dari pintu belakang pondok buruk itu. Segarnya terasa. Mimpi saya tamat di situ tetapi imejnya kekal hingga kini. Mungkinkah juga ada pembaca yang pandai menafsir mimpi?

Monday, September 03, 2007

Cuti-Merdeka

10 minggu berulang alik Segamat Shah Alam sejak penghujung Jun, 31 Ogos 2007 memberi makna ‘merdeka’ yang berbeza bagi saya sekeluarga.
Inilah satu satunya minggu (hari) kelas Phd tiada.

Nikmatnya berehat.
Namun, sawang di sekeliling rumah menyakitkan mata.
Lalu, bervakum dan mengemaslah kami sekeluarga.

Rindunya dapur.
Lalu, menu masakan ibarat menyambut hari raya puasa.
Nasi impit, kuah lode dan ayam ambo rojak kegemaran sekeluarga.

Membaca dan membuat kajian tidak dilupa.
Di antara rancangan televisyen yang menarik perhatian,
Buku dan pen sentiasa di tangan.

Kini,
Sisa sisa waktu yang ada
Kemaskini blog jadi agenda.
Namun saya tidak dapat berlama
Bacaan berkaitan kajian agenda utama.

Tuesday, August 14, 2007

Pemetakan di Minda

Minda saya seakan dipetak-petakkan dengan pelbagai perkara sepanjang hari ini dan juga sepanjang sebulan yang lalu. Kelas seperti biasa. Selepas kelas , ke tadika agama Jementah untuk projek Bahasa Inggeris. Kelas gantian setelah cuti sakit 2 hari minggu lalu. (Kisah bagaimana saya jatuh sakit ada saya coretkan dalam blog Through My Eyes saya.) Diikuti mesyuarat program Mitek (Minggu Terbuka Kolej). Ada satu lagi perkara yang perlu diselesaikan. Mengapalah susahnya saya untuk mengatakan tidak? Semuanya nak buat.

Ruang di antaranya, keinginan membaca yang membuak-buak di antara buku-buku dan artikel kajian bidang yang perlu saya fokuskan. Di saat ini, terlintas di minda alangkah bagusnya andai saya belajar sepenuh masa. Tumpuan seluruhnya kepada pembacaan dan penulisan. Tidak perlu memetakkan ruangan di minda dengan pelbagai aktiviti dan tanggungjawab.

Kedua-dua penyelia saya memberi saya ruang untuk membuat pilihan sendiri tetapi perlu segera fokus kerana kertas proposal asal saya masih tidak fokus, boleh buat beberapa Phd dalam kertas cadangan tersebut.

Semakin banyak pembacaan, semakin rambang mata . Semuanya kelihatan menarik. Namun saya perlu membuat pilihan yang bijak dan segera.

Perlu baca, baca dan baca!

‘Mataku Berterusan Kelaparan’ datang lagi!

(Kebetulan fenomena ini berlaku pada bulan Ogos juga pada tahun lalu apabila terciptanya puisi ini. Rujuk entri Puisi,Ogos 2006)