Saturday, April 12, 2008

Menggapai Bintang



Saya menerima maklumat melalui emel tentang kehadiran Dr Sheikh Muszaphar Shukor akan berada di Pesta Buku melalui emel oleh MPH.

Terlintas di fikiran,"Mesti Arif suka dapat bertemu dengannya."

Sebaik sampai ke PWTC,laluan di antara gerai buku memang sungguh sesak. Pergerakan perlahan dan seterusnya bertembung dengan Syed Munawar yang sedang membuat liputan untuk RTM. Kedengaran teriakan di sebelah kiri dan kelihatan Dr SMS sedang dikerumuni pengunjung.

Setiap pengunjung yang ingin bertemu dan mendapatkan autografnya perlu membeli buku beliau 'Reaching for the Stars'. Saya terus membeli dan berjalan bersama-sama Arif , Afiqah dan Adib menuju ke arahnya.

"Siapa nama?" tanya beliau kepada Arif sambil menandatangani poster dan buku.
Arif membalas tersipu-sipu. Saya menyampuk, "Dia nak jadi angkasawan."
Beliau membalas, "Semoga menjadi doktor atau angkasawan."

Adib sempat mengambil gambar saya dan Arif bersama-sama tetapi dalam keadaan tergesa-gesa kami perlu segera berlalu. Oleh kerana Afiqah tidak berkesempatan mengambil gambar, kami beratur untuk kali kedua. Beliau sedar buku dan poster telah ditandatangani lalu saya pun pantas mencelah, "Nak ambil gambar sahaja."

Bukunya sempat saya khatamkan semasa perjalanan pulang dari KL ke Segamat. Beberapa kali sebak membaca ketika saat kematian arwah adiknya di ceritakan oleh beberapa ahli keluarganya.

Arif tidak sabar-sabar ingin menunjukkan gambarnya bersama Dr SMS kepada rakan-rakan dan guru-gurunya di sekolah.

Pesta Buku 2008



Afiqah dan Arif bergambar kenangan dengan Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said

Latarbelakang 'Wirabukit' memang sungguh menarik perhatian saya.

Hampir saja tidak berpeluang ke pesta buku pada tahun ini. Kebiasaannya,dua tahun berturutan sebelumnya saya telah mengikuti jawatankuasa pemilihan buku membuat pemilihan untuk perpustakaan UiTM Johor.

Tahun ini saya mengambil keputusan untuk tidak turutserta kerana pada minggu tersebut saya masih perlu jalankan kelas serta membuat penilaian terakhir kelas pengucapan awam.

Tambahan pula, saya ingin membawa Afiqah dan Arif merasai suasana pesta buku.

Monday, February 18, 2008

Damai Laut




Keindahan
matahari terbenam
sempat dirakam
Februari 2007
sewaktu pembentangan
konferens antarabangsa

Damai kelihatan
hanya dapat dilihat
dari anjung

(entri demonstrasi 'upload' imej kepada pelajar saya)

Wednesday, February 13, 2008

Terima Kasih Ibu

...kerana pengorbananmu melahirkanku pada jam 5.45 pagi tanggal 13 Februari 1972

kata-kataku tidak layak menggambarkan rasa syukurku padamu
tiada perbuatan juga yang dapat membalas jasamu
aku hanya bisa mendoakanmu dari kejauhan
semoga segala dosamu diampunkan
segala amalanmu diterima
ibu sihat sentiasa
bahagia selalu
terus doakanku
jadi anak solehah
yang sentiasa ingat
untuk doa buatmu
kembali

Amin!

Sunday, February 10, 2008

Lukisan kesayangan

Sewaktu operasi pembukaan kotak-kotak, terjumpa koleksi lukisan kesayangan yang telah berumur lebih kurang 23 tahun. Afiqah bersuara," Kakak simpan ya ibu?"
"Simpan elok-elok, tengok ibu simpan, sampai 23 tahun, ada lagi."

Saya sering mendapat markah tertinggi untuk subjek pendidikan seni dan sering menyertai pertandingan. Markah tertinggi yang didapati adalah 95 % dan pencapaian tertinggi adalah Pertandingan Lukisan Kanak-Kanak Antarabangsa pada tahun 1988 dan mendapat pingat gangsa. Lukisan yang dilukis untuk pertandingan itu adalah gambar suasana hari raya dan dihantar ke Jepun untuk dinilai. Walaupun tiada salinannya, saya masih ingat lagi apa yang saya lukiskan. Ada lagi pertandingan di pelbagai peringkat yang saya sertai dan menangi.

Saya memang bercita-cita menjadi seorang pelukis.
(Masih lagi bercita-cita membuka sebuah galeri satu hari nanti)

Namun, apabila di tingkatan 4 dan memasuki jurusan Sains, subjek lukisan terpaksa saya lupakan kerana pada masa itu pilihan subjek ditentukan pihak sekolah.

Apabila mengikuti program pertukaran pelajar di Australia, saya mengambil peluang mengikuti subjek 'Visual Arts'. Terhasillah lukisan terbeasar saya.

Sewaktu mengikuti pengajian sarjanamuda TESL, saya pernah bekerja keras mengumpul wang, mencari duit sendiri, untuk mengikuti kelas lukisan dengan seorang pelukis terkenal. Kemudian minat terhanyut dengan komitmen pengajian dan lain-lain.

Ketika mengajar sebagai guru bahasa Inggeris di SMK Sekyen 16 Shah Alam, saya merasa bersyukur kerana diberi peluang untuk mengajar subjek pendidikan seni untuk pelajar tingkatan 1 & 2. Terubat juga kerinduan melukis kerana saya sering mendemonstrasikan teknik melukis dan mewarna.

Semasa mengikuti pengajian sarjana, saya tertarik dengan seni lukis di gelas (stained glass painting)lalu mengikuti kursus sehingga dapat membuka sendiri kelas lukisan secara kecil-kecilan.

Kini, kurang sekali melukis.
Namun impian yang satu lagi ini masih belum lagi terkubur.

Saturday, February 09, 2008

Apabila Stor Dikemas...

kotak–kotak dibuka
asalnya ingin mencari
buku bank
yang akhirnya ditemui

bukan hanya itu dijumpai

apabila kotak-kotak dibuka
pelbagai nostalgia terusik

kad laporan 1977
sekolah tadika Grace
saya 5 tahun
kad laporan 1979-1984
SRK Tengku Mariam
kad laporan 1985-1989
SMK Temenggong Ibrahim
tempat pertama
di tingkatan Satu
rekod dakwat merah
mulai kelihatan
pada Add Maths dan Kimia
di tingkatan 4 Sains Akaun
ditemui juga
sijil kemenangan pertandingan
tulisan seni khat
peringkat negeri Johor
surat-surat teman lama

Australian High School Diary 1990
tertera serba ringkas
kisah nyata bagai mimpi
pertama kali …
menunggang kuda
menyentuh salji
meluncur ski
meluncur kasut roda ais
berucap di ratusan khalayak
pelbagai bangsa
dari berpuluh negara
bicara tentang Malaysia
tentang bezanya budaya
bezanya hidup di sana
bagai duta Malaysia
berkurung Johor bertudung
memang asing sekali rasanya
melukis lukisan terbesar
seumur hidup
merakam rasa pengalaman
dipamerkan di bank di sana
bertajuk
‘I’ on Australia
memerah susu lembu
memandikan kuda
menanam pohon epal dan pir
membuat pagar di rumah desa
dilamar seorang doktor
ah… semuanya bakal
jadi ramuan novel remaja
atau jibunsyi juga

Diari 1996
tertera kisah tahun akhir
pengajian sarjanamuda TESL
saat bergelar isteri
saat disahkan positif
bakal menimang cahaya mata
saat terasa
tendangan pertama
Afiqah Nadzirah
saat lahirnya
tesis projek kreatif

semuanya bermula
isteri, ibu dan graduan

Friday, February 01, 2008

Amalan Terbaik Budaya Kita

Hari ini merupakan Hari Kualiti peringkat UiTM Johor.

Tahun lalu saya menerima Anugerah Khidmat Cemerlang dari Naib Canselor,Prof Dato' Seri Dr Ibrahim Abu Shah. Tahun lalu saya menyertai pertandingan koir antara bahagian dan mewakili para pensyarah. Namun kami tidak berjaya mendapat tempat.

Tahun ini tiada anugerah khidmat cemerlang untuk saya. Namun dapat JOHAN untuk pertandingan koir antara bahagian yang diadakan pada 24.1.2007 yang lalu.

Yang manisnya,untuk salah satu lagu gubahan, lirik lagu koir tersebut, sayalah penciptanya dan lagunya digubah oleh Encik James Kunaratnam.

Proses kreatif penciptaan lirik tersebut bermula apabila menerima emel tentang pertandingan koir pada 7hb Januari 2008. Pada pagi tersebut ada mesyuarat jabatan Akademi Pengajian Bahasa. Saya bertanya kepada Encik James tentang pertandingan tersebut sama ada dia akan mengetuai kumpulan koir kami lagi. Saya menawar diri mencipta liriknya.

Jadual pada hari Isnin tersebut agak padat juga,di sebelah pagi ada mesyuarat jabatan. 2 petang hingga 6 petang berlangsungnya kelas dan di sebelah malamnya berlangsung Mesyuarat Pegawai Pembangunan Pelajar bermula jam 9 malam sehingga 12.30 malam.

Mata saya telah agak berat apabila pulang ke rumah tetapi minda teringat cogan kata hari kualiti. Saya telah berbaring di katil dan bersedia untuk melelapkan mata apabila tiba-tiba kata-kata mencurah-curah untuk disusun. Ya, dalam lebih kurang 10 minit, tersusunlah lirik lagu berikut dan siap tercipta pada jam 1 pagi 8.1.2008.

AMALAN TERBAIK BUDAYA KITA

Amalan terbaik budaya kita
Marilah kita bersatu hati
Langkah diorak bekerjasama
Azam tingkatkan produktiviti

Amalan terbaik budaya kita
Biasakanlah biar sebati
Tolong menolong ikhlas sesama
Semoga usaha diberkati

Amalan buruk dilenyap saja
Usah disimpan di dalam diri
Kasih mengasih sesama kita
Fitnah memfitnah jauh sekali

Amalan terbaik budaya kita
Setiap bidang di puncak jaya
UiTM Johor jadi ternama
Tanda amalan kita diterima

Hakcipta Lirik oleh Nazhatulshima Nolan

Pada jam 3.45ptg, 8.1.2008, saya emelkan lirik tersebut kepada penggubah lagunya, Encik James Kunaratnam, seorang pensyarah bahasa Inggeris juga. Rentak yang diciptanya agak rancak dan memang sedap didengar dan didendangkan. Walaupun saya tidak dapat menghadiri sesi latihannya,di saat akhir, dapat juga menyertainya. Bila dikenang semula,saya menyertai koir sejak berumur 10 tahun lagi. Tak sangka pula akan menyertainya sehingga bekerja.

P/S: Ada sesiapa yang inginkan bantuan saya mencipta lirik?

Thursday, January 31, 2008

Tentang Dia -Prof Dr Muhd Kamil bersama Astro

Saya sedang mengajar sewaktu menerima pesanan ringkas dari Adib. Dijemput makan tengahari serta akan diwawancara oleh pihak Astro di rumah Pengarah.

Sebaik sampai di rumahnya, Adib baru saja selesai diwawancara. Menurutnya, ia berlaku secara spontan dan sepatutnya dia hanya sekadar 'berlakon' bermain golf bersama-sama Pengarah tetapi akhirnya ditemuramah juga kerana Adib sering 'menjelajah' golf bersama-samanya dan dia mengkisahkan pengalamannya, iaitu perubahan Prof Kamil selepas kembali menunaikan haji.

Saya tidak pasti apakah yang akan ditanya kepada saya. Tiada skrip. Secara spontan jua. Perbualan dimulakan sebelum penggambaran dimulakan dan apabila saya telah mula bercerita, pihak Astro terus sahaja meminta saya memasangkan mikrofon dan memulakan rakaman. Soalan pertama ialah bila saya mula mengenali Prof Kamil.

Saya mengenali Prof sewaktu di Shah Alam, ketika beliau memegang jawatan Ketua Pusat Pembelajaran Jarak Jauh atau dikenali sekarang sebagai InEd. Namun setakat mengenali nama, wajah dan jawatannya. (Mungkin saja beliau sendiri tidak ingat)

Saya juga membaca buku karyanya Phd Kecil Tapi Signifikan yang telah menambahkan berkobarnya saya untuk memulakan pengajian Phd saya pula.

Entah bila bermulanya,tetapi Adib telah menjadi 'golf buddy' Prof Kamil dan saya mengenali beliau melalui suami saya. Justeru, Adiblah yang lebih rapat dengannya. Namun kami sering juga berbalas kunjungan, iaitu kami ke rumahnya dan mereka(Prof Kamil dan Kak Roza) ke rumah kami.

Soalan seterusnya lebih kepada Prof sebagai Penyelia Phd saya. Saya bersyukur kerana beliau telah memberi motivasi dan inspirasi kepada saya memulakan pengajian Phd saya dan seterusnya menjadi salah seorang penyelia Phd saya. Kajian Phd saya merupakan satu penyelidikan interdisiplin, iaitu di antara pengajian bahasa,bidang perakaunan dan pendidikan.

Sekembalinya Prof daripada mengerjakan haji beliau menghadiahkan saya senaskhah Al-Quran kecil yang mudah untuk dibawa dan yang lebih pentingnya untuk dibaca. Kami melawatnya di rumah sewaktu saya baru sahaja balik dari pembentangan konferens di Perak setahun yang lalu. Di antara hidangan kurma dan air zam zam, beliau menceritakan pengalamannya lebih kurang 2 jam tanpa henti. Penuh perasaan, beserta aksi, beserta lakaran dan kata-kata doanya yang menyentuh jiwa sehingga air mata saya tergenang. Diceritakan bagaimana doa kepada Allah itu adalah suatu yang amat berkuasa. Mendengar pengalamannya membuat saya merasakan betapa Allah akan makbulkan permintaan hambanya seandainya kita minta kepadanya.

Prof sering berkongsi pengalaman dan menyarankan kepada saya supaya bangun dan sembahyang malam dan berdoa untuk permudahkan pengajian Phd saya serta dalam urusan yang lain juga.

Saya juga ditanya tentang apa yang sering ditulis oleh beliau di dalam blog memandangkan saya juga adalah salah seorang rakan bloggernya.

Soalan terakhir meminta saya memikirkan keistimewaan beliau. Saya dapati banyak yang ingin saya katakan tetapi yang terkeluar semasa itu ialah tentang tabiat semasanya sebagai seorang pengarah yang mengucapkan hari lahir kepada setiap orang stafnya di UiTM Johor pada setiap hari melalui emel dan 'bcc' kepada semua staf. Tabiat ini saya kira, akan membuat mereka rasa sangat dihargai.

Selesai perbualan, saya dapati banyak lagi ingin saya katakan tetapi tidak dikatakan atau yang saya rancang untuk katakan tetapi tidak katakan. Maklumlah secara spontan.

(Kenyataan berikut saya tidak dapat nyatakan semasa perbualan)
Secara ringkasnya,Prof memang seorang yang 'pandai' dalam pelbagai segi dan suka menjadi yang terbaik dan lain dari yang lain dalam kebanyakan perkara. Dia pandai memberi motivasi dengan kata-kata cabaran dan gurauan.

Paling saya syukuri, secara tidak langsung beliau dapat mengajak suami saya berubah ke arah kebaikan. Begitu juga dengan diri saya. Alhamdulilah! Allah sajalah yang akan membalasnya dengan kebaikan jua. Terima kasih seikhlasnya jua dari saya!

Wednesday, January 30, 2008

Abah 67

30 Januari 1941 lahirlah putera sulung Haji Nani bin Taib dan Hajah Zaharah binti Abdullah yang diberi nama Nolan.

Abah...
Sempena hari ulang tahun yang ke-67
Ucapan ditutur melalui telefon

Imbasan tentang Abah ingin dirakam di sini walau mungkin saja Abah tak mungkin membacanya. Saya cuba mengenang kisah abah. Pekerjaannya, hobinya,dan serba sedikit sifatnya.

Setiap kali sewaktu saya mengisi pekerjaan bapa, pekerjaan Abah sering menjadi tanda tanya. Beilip namanya atau ejaan dalam bahasa Inggerisnya 'Bailiff'. Seringkali guru-guru menyangka Abah bekerja di mahkamah. Abah bertugas di Majlis Bandaran Daerah Batu Pahat atau kemudiannya dikenali sebagai Majlis Daerah Batu Pahat Barat. Tugas Abah yang saya ingati ialah menhantar surat saman kepada mereka yang tidak membayar cukai. Abah ada pakaian seragamnya, yang adakalanya diseterika oleh saya.

Abah juga mewakili tenis sehingga pernah ke Manila untuk perlawanan tersebut. Bolasepak pun Abah main juga. Kelab Batu Pahat seringkali tempat Abah meluang masa bermain tenis dan juga 'billiard'.

Selain itu, saya tahu juga Abah gemar menyanyi,walaupun tidak pernah saya lihat dia menyanyi di khalayak ramai tetapi pernah saya lihat gambarnya bermain gitar. Koleksi lagu Inggeris irama 50-an,60-an dan 70-an sering kedengaran. Malah sehingga kini dia masih lagi meminati mendengar muzik. Selain lagu Inggeris, lagu Indonesia juga menjadi kegemarannya.

Sejak saya kecil lagi Abah memang sangat menggemari kereta. Pelbagai jenama kereta menjadi koleksi, kegemarannya menambah aksesori kereta yang seringkali didapati apabila kami sekeluarga berkunjung ke Singapura setiap hujung minggu. Peralatan radio, speaker dan pelbagai aksesori menjadi 'kegilaannya' yang sering mengundang 'jelingan' dan 'masam mencuka' emak,tetapi dapat diredakan sedikit, dengan kunjungan ke pusat membeli belah di Yaohan dan Isetan pada tahun 80-an yang masih belum wujud di Malaysia pada waktu itu. Sekadar mencuci mata.

Abah, saya kira, memang suka memandu; dan saya masih ingat lagi bagaimana dia sering memandu ke Johor Bahru, ke Kuala Lumpur, ke Singapura. Kadangkala balik hari. Kadangkala membawa ibu saudara saya dengan urusannya, sebagai seorang wakil rakyat.

Abah boleh dikatakan dalam kategori seorang yang pendiam dan hanya akan rancak berbual dengan orang yang pandai berbual dengannya. Di kalangan keluarga, Abah memang terkenal dengan 'kesilapan' memilih kata apabila berbicara sehingga sering menjadi bahan gurauan.

Anak saudaranya menggelarnya Ayah Long,sepupunya memanggil 'Bong' dan dia juga dikenali dengan nama 'Keno'. Anak-anak saya pula memanggilnya 'Grandbah'.

Abah mempunyai lima orang adik perempuan, Nahidah(Cik), Nailah(Nellie), Nadiah (Noni),Narimah(Netty),Noziah(Nozie) dan seorang adik lelaki tetapi telah meninggal dunia sejak kecil, bernama Norman. Nama dalam kurungan adalah nama panggilan mereka sehingga kini.(Kebaratan sungguh nenek saya itu...)

Sepanjang hidup Abah sejak lahir adalah di Batu Pahat sahaja. Berkahwin dengan emak, Ungku Hamidah Ungku Abdullah,lahir di Segamat tetapi membesar di Johor Bahru, sejak 30 Ogos 1967.

Itulah serba ringkas rakaman kisah Abah.

Tuesday, January 29, 2008

Bersinar Bagai Matahari

"Ayah nak bersinar bagai matahari."
"Macam mana kakak, ceritakan pada ibu."

Afiqah mengulang cerita yang telah disampaikan kepada ayahnya kepada saya.
Ustaz kata,bila seseorang sedang dalam perjalanan ke masjid, wajahnya akan bersinar bagai bintang. Bila dia sedang mengambil wuduk, wajahnya akan bersinar bagai bulan. Bila dia telah berada di masjid sebelum azan, wajahnya akan bersinar bagai matahari.

Monday, January 21, 2008

Kertas Kerja

Percaya atau tidak, saya cukup suka membuat kertas kerja. Sepanjang minggu ini, saya telah diminta untuk menyediakan beberapa kertas kerja untuk 4 pihak yang berbeza untuk program yang berbeza Tiada masalah,saya suka.

Saya memang suka merancang dan merangka, terutama sekali program yang lain dari biasa. Saya tahu kebanyakan orang suka berdiam diri walau ada idea yang bernas kerana langkah seterusnya ialah untuk membuat kertas kerja. Ya, itulah hakikatnya,kata-kata sahaja tidak berguna. Perlu ada hitam putihnya. (Sehitam latarbelakang blog saya dan seputik aksaranya.)

Apa yang ingin dilaksanakan?
Mengapa ingin dilaksanakan?
Siapa yang terlibat?
Apa yang diperlukan?
Di mana akan diadakan?
Berapa jumlah kewangan yang diperlukan?
Secara ringkasnya, soalan tersebut perlu dijawab di dalam kertas kerja.

Perlukan khidmat saya?
( Alahai, bagaikan kelapangan sangat saya menawarkan diri...)

Friday, January 18, 2008

Kisah di sebalik Angka 2

Sesi persekolahan tahun ini telah masuk minggu yang ke-2.
Begitu pantas masa berlalu, kini Afiqah berada di Tahun 5. Setiap Jumaat petang dan Sabtu pagi dia perlu ke kelas tambahan anjuran sekolah, sebagai persediaan UPSR. Afiqah tidak pernah saya hantar ke kelas tuisyen. Namun dia seronok dengan kelas tambahan ini.
Pernah saya menduga," Tak payah pergi ke kelas,ya?"
"Ikut ibu ke Shah Alam untuk kelas Phd setiap Sabtu."

Afiqah tetap berkeras untuk ke sekolah.

2 minggu sebelum ini sibuk mencari baju berwarna biru untuk anak saya yang ke-2, Arif.
Arif tak sabar-sabar memulakan sesi persekolahan tahun ini. Sepanjang tahun 2 pada tahun lalu,dia hanya digelar pengawas muda, iaitu dalam latihan. Kini di Tahun 3 telah menjadi pengawas dan perlu menukar pakaian seragam berwarna biru,talileher merah beserta 'vest'. Paling susah hendak mencari baju Melayu biru ,iaitu pakaian seragamnya pada setiap hari Jumaat. Setelah pergi ke 4 kedai, barulah jumpa.

Ke-2 2 nya kini menjadi pengawas sekolah
Afiqah telah menjadi pengawas sekolah sejak tahun 3, iaitu selama 2 tahun.

Peperiksaan akhir tahun lalu, 2 2 dapat kedudukan yang ke-2.
Mereka menyuarakan ketidakpuasan di hati apabila mendapat keputusan.
Saya hanya tersenyum mendengar rungutan mereka kerana tidak berjaya mendapat tempat pertama. Alhamdulilah,nampaknya masing-masing mempunyai motivasi diri.

Ke-2 2 kami,saya dan suami juga sedang belajar dan bekerja.

Oh! Sudah hampir jam 2. Eloklah saya berhenti dan solat Zohor dulu.

Sekianlah di sebalik kisah angka 2.

Friday, January 11, 2008

Sambutan Maal Hijrah

Doa akhir tahun di rumah sahaja. Doa awal tahun di Masjid As-Syakirin, di UiTM diikuti solat Maghrib berjemaah. Namun selesai solat, ke kelas malam yang diadakan setiap Rabu jam 8.

Jam 10,Perjumpaan Perdana antara Pegawai Pembangunan Pelajar dengan semua penghuni Kolej Baiduri. Ucapan ringkas diberi. Pengisian dikongsi tentang hati yang baik, seperti entri sebelumnya. Saya kira,pelbagai masalah timbul berpunca dari hati.

Saya nyatakan hasrat di hati. Kita bergilir membaca setiap juzuk Al-Quran mengikut 'wing'. Ada 11 'wing' semuanya. Katalah setiap wing baca 2 atau 3 juzuk seminggu. Satu semester ,Insya Allah khatamlah seluruh penghuni Baiduri. Saya katakan lagi, bacaan ini dibacakan di sistem siaraya kolej. Bacaan Al-Quran, terjemahan Bahasa Melayunya serta terjemahan bahasa Inggerisnya.

Bukan berhenti setakat Ramadhan. Di awal tahun Hijrah ini eloklah kita mulakan. Program yang tidak perlukan bajet yang tinggi. Hanya beberapa minit bergilir-gilir setiap hari. Satu program yang mudah dilaksanakan saya kira. Di akhir semester,Insya Allah boleh diadakan Majlis Khatam Al-Quran seluruh penghuni Baiduri. Semoga termakbul niat di hati.

Pagi 1 Muharram di rumah sahaja.

Di sebelah petang menunaikan jemputan ke rumah Pengarah UiTM Johor/Penyelia Phd/Rakan Blogger/Rakan segolf Adib.

Wednesday, January 09, 2008

Soal Hijrah Hati

"Satu hari akan datang di mana harta dan anak-anak tidak dapat menolong kecuali hati yang baik."
Dato Dr Fatimah Elzahra bersuara di saluran Oasis dalam rancangan Ar-Rayyan.
(Saya tidak menangkap firman Allah surah mana dan mohon bantuan pembaca yang tahu tolong maklumkan saya) Intipati kata-katanya diteruskan di sini.

"Ada 3 jenis hati,iaitu hati yang baik, hati yang sakit dan hati yang mati."

Hati yang baik itu penuh kasih sayang kepada Allah.
Hati yang sakit itu mempunyai perasaan dengki, riak dan takbur.
Hati yang mati pula hati yang telah tertutup.

Hasad dengki pula menghapuskan kebajikan seperti air menghapuskan api.

Untuk mendapat hati yang baik dan suci, kita perlu rujuk sabda Rasulullah SAW,yang menggariskan 4 perkara iaitu:

1. Baca dan faham Al-Quran
2. Hadir majlis ilmu
3. Ingat mati
4. Pilih sahabat yang baik

Dalam sehari semalam pula sekurang-kurangnya kita meminta sebanyak 17 kali setiap kali Al-Fatihah untuk ditunjukkan jalan yang benar dan jawapannya bermula dari ayat pertama Surah Al-Baqarah.

Untuk setiap perkara yang baik, perlulah bersyukur manakala setiap dugaan dan cabaran perlulah bersabar dan reda.

Beramal soleh dengan solah sekusyuknya.
Tolong orang dan tidak mementingkan diri sendiri.
Beriman kepada Al-Quran dan kitab yang sebelumnya.
Yakin adanya akhirat.

Kata-katanya sungguh mengesankan.

Ya Allah,
aku mohon hatiku
tidak dibolak balikkan
dan tidak sakit atau tertutup mati.
aku mohon,

Hijrah hatiku ke arah kebaikan.

Aku mohon seluruh keluargaku
dan sahabat handaiku juga begitu.
Amin!

SALAM MAAL HIJRAH!

Tuesday, January 08, 2008

Beralih Tumpuan

Penulisan blog lebih tertumpu di sini berikutan kelas telah bermula dan saya menggunakan blog dalam pengajaran saya.

Persediaan proposal juga menjadi prioriti.

7.1.2008

Malam ini pula mesyuarat semua Pegawai Pembangunan Pelajar bersama Timbalan HEP, PM Zaludin Sulaiman diadakan di Bilik Mesyuarat Utama. Seperti biasa,mesyuarat yang bermula 9 malam berakhir selepas 12 malam.

Tuesday, January 01, 2008

1.1.2008

Di Johor,tarikh ini bukan cuti umum. Kelas berlangsung seperti biasa.

Seperti kebiasaan, setiap permulaan semester akan bermulalah juga mesyuarat dan perjumpaan sama ada dia antara pelajar dan pihak pengurusan. Hari ini tidak terkecuali.

Di sebelah malam,jam 9, mesyuarat di antara Pegawai Pembangunan Pelajar dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Baiduri diadakan di bilik bacaan. Perbincangan berkisar aktiviti sepanjang semester.

Friday, December 28, 2007

Antara Tahlil dan Takbir, Riadah dan Rehat

Genap dua tahun Hijrah yang lalu, kembalinya arwah Ismail Mahadi ke rahmatullah. Waktu hampir takbir Aidil Adha bergema, deringan telefon bimbit disambut lalu menghantar berita kepulangannya. Al-Fatihah!

Seminggu yang lalu, hampir kesemuanya berkumpul.

Laungan azan Maghrib oleh anakandaku Arif Nukman. Berjemaahlah kami sekeluarga diikuti takbir dan tahlil arwah. Hanya Uda (abang Adib yang kedua) dan Kak Hai sekeluarga yang tiada bersama. 5 beradik Adib, bersama-sama keluarga dan emak memenuhi ruang tamu yang sering bertukar ruang solat bila tiba waktunya dan ruang tidur bila tiba malamnya. Ia juga menjadi ruang santai menonton televisyen, berbual-bual, bergurau senda dan ruang belajar ilmu agama sewaktu hayat arwahnya.

Betapa saya amat merindui saat santapan rohani itu dihidangkan.

Selesai solat Isya’ berjemaah, saya sekeluarga ke bandar Batu Pahat pula menziarahi emak dan abah. Sesampai di sana, emak sedang menyiapkan masakan rasmi raya. Keesokan harinya kami bergerak semula ke kampung untuk meneruskan rancangan sekeluarga untuk ke Port Dickson.

Hanya Kak Hai sekeluarga yang bergerak dari Kuala Lumpur. Setibanya di Ilham Resort, pakaian renang ditukar, kolam renang menjadi tumpuan. Hampir 2 jam di kolam renang, kami kembali ke bilik untuk solat Maghrib berjemaah diikuti tahlil dan takbir raya lagi.

Keesokannya, seawal 8 pagi, kami semua menuju ke kolam renang lagi. Keluarga kami yang berjumlah 35 orang kesemuanya memenuhi kolam renang tersebut (Kurang 5 orang, iaitu Uda suami isteri dan 3 orang puterinya). Bermulalah permainan di dalam air. Perlawanan di antara pasukan semua makcik pakcik dan anak-anak saudara. Bertukar pula ke pasukan antara semua perempuan dan semua lelaki dan ada pula pasukan bercampur kesemuanya. Hampir 2 jam juga berendam di kolam.

Di sebelah petang, kami ulang permainan serupa.

Malam pula acara barbeku dan diikuti acara ‘boling kelapa’ bersasarkan botol air, kelolaan abang Ham(abang Adib yang ketiga). Setiap orang mempunyai 3 peluang meleret kelapa tua ke sasaran botol disusun ala bola pin boling, untuk pelbagai kategori umur. Gamat juga bilik apartmen hotel dibuatnya. Ada juga ganjaran hamper untuk para pemenang.

Saya turutserta setiap acara, bukan sekadar pemerhati. Bermain dan bersantai dengan sesungguhnya. Bila direnung semula, saya terfikir sayalah satu-satunya dalam keluarga anak kelahiran 70-an. Adib adalah adik yang bongsu dan kesemua kakak dan abangnya kelahiran tahun 60-an, manakala anak-anak mereka pula generasi 80/ 90-an. Kadangkala saya berada di lingkungan aktiviti pakcik makciknya dan ada waktunya saya melayan kerenah anak-anak buahnya. Afiqah dan Arif, masing-masing ada kelompok mereka sendiri.

Begitulah adanya kisahku, di antara majlis tahlil dan takbir raya berselangkan riadah dan rehat jua.

Saturday, December 15, 2007

Blogging di PTK

Pengucapan awam saya memilih tajuk blog.
Saya ceritakan bagaimana blog membuatkan saya lebih mengenali diri saya. Bagaimana ia menjadi terapi. Bagaimana saya sedar saya dapat menulis puisi. Bagaimana ia dapat menjadikan kesibukan saya lebih mudah dihadapi.

Saya kisahkan bagaimana blog menemukan saya dengan rakan lama yang telah 15 tahun terpisah. Bagaimana Anders, dari Norway mencari Zetty dan ‘menggoogle’ namanya lalu terjumpa saya. Akhirnya saya dan Zetty bertemu semula baru-baru ini. Bagaimana Julia dari Itali yang ‘menggoogle ‘ nama Katia, juga asal dari Itali dan terjumpa blog saya. Lalu saya menghubungkan mereka melalui emel. Katia kini menetap di Australia manakala Julia kini di London. Mereka semua adalah sahabat sewaktu kami sama-sama menjadi pelajar pertukaran dan menetap di Australia selama setahun.
(Pengalaman di sana banyak di tulis dalam blog Through My Eyes saya)

Pembentangan penulisan tugasan individu juga saya memilih tajuk blog. Saya menjelaskan potensi blog sebagai alat untuk belajar dan mengajar.

Hasilan saya tunjukkan bagaimana mudahnya membina blog. Sebagai kelainan, saya buat demonstrasi membina blog dalam masa 7 minit. Semudah 1,2,3.

Pengajaran berinovasi saya bentangkan bagaimana boleh gunakan blog dalam pengajaran. Saya tunjukkan bagaimana saya gunakan blog sebagai refleksi pengajaran dan bagaimana mendapat maklumbalas segera tentang pengajaran saya.

Cadangan penyelidikan, hampir saja buat tajuk blog tetapi telah saya ubah ke tajuk yang lebih berkaitan dengan pengajian Phd saya. Sambil menyelam minum air. Agar mudah buat persediaan pembentangan proposal pada Februari nanti

Sehinggakan rakan sekumpulan saya ramai yang berminat untuk membina blog mereka selepas mendengar pembentangan saya.

Sengaja saya memilih tajuk yang dekat di hati saya dan saya pasti tiada yang akan memilih tajuk ini. Tepat sangkaan saya.

Untuk rakan sekumpulan saya, andai singgah ke mari, jangan lupa tinggalkan jejak.

Wednesday, December 12, 2007

Tetamu ...andainya sudi.

Akhirnya berjaya setelah beberapa kali mencuba meletakkan 'Feedjit'. Teruja.

Hasilnya,dapat melihat tetamu berkunjung.
Membuat saya tertanya-tanya
ada yang dari Indonesia
bagaimana dapat link ke blog saya
ada yang baca Puisi untuk Ibu
ada yang baca Puisi cinta Islami
membuat saya ingin berpuisi lagi
membuat saya ingin mengenali
membuat saya ingin berkunjung balas
membuat saya ingin mereka tinggalkan jejak
...andainya sudi