Tuesday, July 18, 2006

Kisah 5 hari Tak Menulis

Diam tak diam dah 5 hari saya tak menulis. Terfikir semula apa yang saya lakukan sepanjang waktu ini sehingga tidak meluangkan masa untuk blog saya. Waktu saya banyak dipenuhi dengan kelas, mesyuarat,kertas kerja ,kemaskini bajet,persediaan mengajar dan persediaan Modul 2.

Rabu, 12 Julai
Jadual terkini menunjukkan Amahah Tugas Akademik(ATA) mencecah 24 jam seminggu. Jumlah keseluruhan 7 kelas akan diajar. 5 kelas pelajar bahagian 1 ,Diploma yang kesemuanya berjumlah antara 35 ke 39 orang sekelas. Kursus yang diajar BEL100 (Introductory English). 2 kelas lagi kelas Ijazah Pemasaran, kursus BEL 490 (Speech Communication). Subjek yang sama diajar semester lepas. Alhamdulilah,persediaan mengajar lebih kepada penambahbaikan. Kandungan kursus BEL100 sudah lekat di kepala sehingga halaman topik tertentu dalam buku Grammar telah terhafal. Memang kegemaran saya mengajar Tatabahasa Bahasa Inggeris. Hanya timbul kebimbangan bagaimana harus saya susun strategi menyemak esei untuk 7 kelas. Kebiasaannya saya akan memberi tugasan berkumpulan dan mereka diajar teknik menilai dan pemberian markah dan cara memberi komen. Penilaian akan dibuat selepas setiap kumpulan membuat pembentangan. Mereka mungkin akan mahir memberi markah dan komen tetapi sewaktu peperiksaan masih lagi perlu menjawab secara individu. Adakah teknik ini terbukti berkesan,masih perlu dibuat kajian. Setakat ini ianya hanya andaian berdasarkan pengalaman dan teori pembelajaran.

2 ptg, Mesyuarat Kelab Penulisan Kreatif. Ada rakan yang telah membaca blog ini dan memberi komen. Terima kasih. Semuanya menyuntik semangat saya untuk terus menulis. Perbincangan mesyuarat berkisar aktiviti Bengkel Penulisan Kreatif yang diadakan di Hotel UiTM Dungun.

3ptg, Mesyuarat Akademik UiTM Johor pula. Ucapan oleh Pemangku Pengarah, Pro Madya Dr Omar Samat. Dewan kuliah agak riuh dek kata-kata Dr Omar yang penuh dengan kiasan dan analoginya.

9mlm, Mesyuarat JPK Kolej Baiduri bersama Pegawai Pembangunan Pelajar. Perbincangan meliputi aktiviti kolej. Saya mengingatkan JPK supaya hidupkan semula program ‘English Speaking College’ yang telah dilancarkan 2 tahun sebelum ini. Di entri yang lain akan saya ceritakan projek ‘bayi’ saya ini.

Khamis,13 Julai
Kelas pagi, 8- 10 dan 10-12, BEL100 dan seterusnya 2-4pm BEL 490. Selepas 6 jam kelas, ke bilik semula untuk membuat persediaan mengajar kelas hari Jumaat.

10 mlm,sempat menjengah seketika aktiviti Kelab Debat & Pidato UiTM Johor membuat ‘mock debate’ dan ‘public speaking’ yang diadakan berhampiran Kolej Baiduri. Niatnya hanya ingin meninjau, tapi dijemput oleh Fatmah, Presiden Kelab untuk memberi sepatah dua kata. Oh ya,saya juga menjadi penasihat kepada kelab ini.

Jumaat,14 Julai
Kelas sejak 8 pagi hingga 12. Kemudian mesyuarat seketika dengan 2 penasihat debat yang lain,diikuti mesyuarat bersama Ati, juga penyelaras Modul 2, membincangkan persiapan yang perlu dilakukan. Niat untuk pulang awal tidak dapat juga ditunaikan. Hampir jam 6 petang baru beredar dari pejabat dan balik ke Kolej Baiduri. Kalau nak dikira tugas masih belum selesai, tapi saya tinggalkan seketika. Kini masa bersama keluarga. Makan malam di Pernu, Melaka. Pertama kali menjejak kaki ke sana dan menjamah ikan bakar serta hidangan masakan laut yang lain. Teringat seperti di Muara,Kelang yang selalu dikunjungi ketika menetap di Shah Alam dulu. Makan malam ini sempena menyambut hari ulang tahun Adib pada 6 Julai yang lalu tapi kami terlalu sibuk pada hari tersebut. Susah juga nak belanja dia makan kerana dia mengutamakan jemputan bermain golf dari jemputan isteri nak meraikan majlis harijadi. Alhamdulilah,akhirnya pergi juga.

Sabtu,15 Julai
Tak habis-habis dengan mesyuarat. 10 pagi mesyuarat bersama Ati,Modul 2 lagi. 11 pagi dengan AJK Kelab Debat dan Pidato. Berbincang tentang aktviti sepanjang semester. Jam 1 selesai mesyuarat ,sambung buat persediaan untuk kelas hari Isnin. Jam 3 baru balik ke rumah. Adib sudah pun bergerak ke Shah Alam menghadiri kelas ePJJnya jam 11pagi.

Niatnya untuk memulakan perjalanan ke Batu Pahat jam 4 petang. Terpaksa ditangguhkan kerana saya kurang senang berjalan dengan keadaan rumah tidak berkemas. Pinggan mangkuk dicuci, baju diangkat,buku-buku bertempiaran ,yang kebanyakannya kerja Arif Nukman semuanya diselesaikan dahulu.

Akhirnya jam 6 petang memandulah saya ke Batu Pahat bersama –sama Afiqah, Arif dan Minea,anak angkat saya dari Finland yang sudah 6 bulan di sini.Perjalanan selama lebih kurang 1 jam setengah ini memang sentiasa ditunggu oleh anak-anak saya kerana inilah masanya mereka dapat berinteraksi bersama ibunya. Minea terutamanya amat menyenangi waktu Afiqah dan Arif terlena kerana dia dapat berbual panjang dengan saya.

Sebulan lebih tak menjenguk mak dan abah. Kalau tak pergi juga minggu ini, entah bilalah lagi. Setiap hujung minggu saya bermula 22 Julai akan diisi dengan berbagai aktiviti sehingga September nanti.

Ahad,16 Julai
Abah berikan beberapa helaian fotostat kisah atuk dari buku sejarah Pejuang Terbilang Johor. Sungguh tak sangka Atuk Sor,(emak abah) atau Hajah Zaharah Abdullah merupakan wanita pertama yang sama-sama menentang Malayan Union bersama-sama Dato’ Onn pada 1946 dan menjadi jurucakap kepada ahli parlimen Inggeris. Pada 26 Februari 2006 , abah mewakili Atuk untuk menerima watikah pengiktirafan. Semangat untuk mengkaji kisah Atuk berkobar-kobar pula. Selama ini dengar cerita Atuk secara lisan sahaja. Beliau pula meninggal dunia semasa saya berumur 5 tahun. Memori bersama Atuk yang paling segar di ingatan ialah perjalanan ke Pulau Pinang. Tak sangka penglibatan Atuk agak penting. Beranganlah pulak nak buat novel sejarah ni. Setakat ini sayalah satu-satunya cucu yang terlibat dalam bidang pendidikan seperti Atuk. Politik??? Em…mungkin tidak. Atuk Ayah pulak banyak terlibat dalam bidang kesenian. Masih terbayang semasa kecil,kumpulan ghazal selalu berkunjung ke rumah atuk buat persembahan. Atuk Ayah juga telah meninggal dunia pada tahun yang sama ,1977 malah lebih dulu 44 hari dari Atuk Sor. Kata orang, sehidup sematilah ni.

Isnin,17 Julai
Kelas 6 jam lagi hari ni. 10-12, 2-4 & 4-6ptg. Malam,9-10 perjumpaan dengan pelajar diploma bahagian 1 yang menetap di Kolej Baiduri.

Beginilah kehidupan saya sebagai seorang pensyarah,8 pagi hingga 6 petang menghadap kelas dan tugasan lain. 6 petang hingga 8 pagi pula bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Pelajar di samping sebagai ibu dan isteri ketika di rumah.

Mungkin kedengaran memenatkan tetapi saya rasa gembira dan sebaik mungkin mengawal perasaan saya supaya terus gembira dan bersemangat kerana saya rasa perasaan gembira dan bersemangat amat penting . Kalau hati tak gembira dengan keadaan begini saya rasa tenaga akan dihabiskan dengan memikirkan keadaan yang melemahkan kita. Saya percaya akal boleh mempengaruhi kita untuk menjalankan sesuatu di luar jangkaan. Dengan izin Allah juga dikurniakan kesihatan dan kudrat untuk melakukannya.

Akhir sekali,azam saya ialah agar penulisan blog saya ini tidak terhenti.

Bila dibaca semula entri ini seakan tidak lancar pula bahasa saya kali ini. Apa komen rakan-rakan sekalian?

7 comments:

ufukhati said...

Puan,

Hari-hari yang cukup sibuk untuk Puan. Bagi saya kesibukan membuatkan kita lebih kreatif. Buktinya : Puan dapat menulis panjang dan lancar.

Nazhatulshima N said...

Mungkin ada kebenarannya. Alasan tiada masa bukanlah alasan yang kukuh lagi. Jika keinginan nak menulis datang, seperti tidak dapat ditahan-tahan lagi,macam tak boleh berhenti pula. Sampai tak boleh tidur dibuatnya. Terima kasih kerana berkunjung ke sini lagi.

ufukhati said...

Puan,

Kembali lagi ke blog Puan.
Terima kasih atas perhatian Puan. Saya tulis puisi dalam entri "Book Revisited - The Private Life of Mona Lisa" sebagai prakata sahaja. Saya pun tak pandai sangat, BI saya masih tak mantap. Hanya saya berani menulis. Saya mengharapkan teguran dan bimbingan.

Jika Puan suka sila lihat "comment" saya untuk blog : novemberskypoetry.blogspot.com
milik Christine Klocek-Lim, Pennsylvania US dan beliau juga ada memberi komen terhadap puisi saya dalam "comment" blognya.

Terima kasih Puan.

Anonymous said...

Tahniah Puan.
Selamat datang ke dunia blog. Tak sangka puan juga dapat menulis dalam bahasa ibunda kita dengan lancar sekalipun lama tidak diasah penanya.

Wah, keturunan pejuang rupanya. Aset yg mahal utnuk dijadikan novel sejarah!

Anonymous said...

Salam Shima,

Shima boleh cuba menulis novel sejarah, kalau nak bahan2 bacaan bagaimana nak menulis novel sejarah(tulisan Saleeh Rahamad, Dr Abdullah Zakaria dll), Ani boleh pinjamkan..Ani baru balik dari Bengkel Penulisan Novel Sejarah Johor. Cubalah..

Noraini Ismail

Nazhatulshima N said...

Terima kasih Ani,
Terkilan juga tak dapat ikuti bengkel ini tapi tugas sebagai fasilitator & penyelaras Modul 2 perlu diselesaikan. Bantuan Ani sangat dialu-alukan. Harap dapat berkongsi ilmu supaya niat dan cita-cita Shima dapat dilaksanakan. Sokongan Ani amat dihargai.

Nazhatulshima N said...

Terima kasih Yazid,
Saya pernah beri respon pada komen Yazid hari tu. Entah kenapa tak terpapar pula. Rasa janggal pula saya guna Bahasa Melayu dengan Yazid.(harap orang lain yang baca tak salah faham kerana kebiasaannya saya bertutur dalam Bahasa Inggeris sahaja dengan pelajar dan bekas pelajar saya)

Kini, tibalah masanya saya perlukan bimbingan bekas pelajar saya. Memang niat di hati nak buat novel sejarah tentang arwah datuk & nenek saya. Insya Allah dengan sokongan dan bantuan semua dan diri saya sendiri.