Pesanan ringkas diterima pada 9 Julai 2009 ,12:28pm dari JPK blok Baiduri berbunyi begini
“Puan..malam ni ada perjumpaan ppp bersama pelajar di court badminton baiduri pada pukul 9 malam..Kehadiran puan sangat dialu-alukan.”
Setiap permulaan semester memang telah menjadi kelaziman akan ada perjumpaan di antara PPP dan penghuni kolej dan saya tidak terkecuali dari memberikan sepatah dua kata. Kebiasaannya pelajar diingatkan tentang peraturan tetapi sejujurnya saya kurang gemar mengingatkan mereka tentang peraturan. Pada saya peraturan telah ditampal di pintu setiap bilik,biarlah mereka baca sendiri dan fahami dan turuti.
Selepas solat Maghrib pada malam itu saya mohon pada Allah diberikan ilham untuk memilih isi apa yang hendak disampaikan kepada siswi Baiduri. Dengan niat sambil memegang Al-Quran saya membuka di halaman yang Allah telah gerakkan hati dan tangan saya untuk membukanya. Surah Al-Mursalaat(Surah ke-77) iaitu Makhluk-makhluk yang Dihantarkan Untuk Melaksanakan Tugasnya. Saya hayati maksudnya. Ya,inilah yang Allah ingin saya sampaikan.
Malam itu saya pun berbicara.
“Saya mohon maaf kerana pada semester lalu saya tidak dapat sama turutserta program kolej dan juga bertemu disebabkan kesihatan saya. Saya mengandung anak ketiga dan tidak dibenarkan banyak bergerak . Di satu ketika saya rasakan diri saya amat hampir pada kematian. Tetapi sebaliknya anak di dalam kandungan saya yang berusia 6 bulan yang pergi pada bulan Februari yang lalu. Di saat itu,saya sedar Allah Yang Maha Berkehendak dan tiada siapa yang dapat menghalangnya walau sesaat. Apakah malam ini kita telah bersedia sekiranya ajal kita tiba?”
Sunyi tiada jawapan.
“Hampir 12 semester saya di sini dan pada malam ini yang mungkin jadi malam terakhir saya bercakap,saya tidak akan sampaikan kata-kata biasa dari saya sahaja. Saya akan sampaikan kata-kata Allah,dari Al-Quran yang telah digerakkan olehNya untuk disampaikan .”
Lalu saya bacakan 50 maksud ayat Al-Mursalaat. Saya hanya berikan peringatan,tiada paksaan. Selebihnya kuasa Allah yang akan memberikan Hidayah dan Petunjuk.
Akhir ucapan saya minta mereka rujuk Al-Quran.
*********************************************************************************
Saya perhatikan ramai orang takut melanggar undang-undang manusia,peraturan universti dan juga undang-undang negara. Dalam hati kecil saya berbisik, sering tidak disuarakan, peraturan Maha Penciptalah yang patut difikirkan dan diikuti. Saya kira sekiranya ini dipatuhi, yang lain menjadi amat mudah.
Para pelajar merungut apabila ditegur tentang sahsiah rupadiri. Bertanya secara terperinci pakaian bagaimana yang boleh dan tidak boleh dipakai. Tidak puashati apabila ditegur para Pegawai Keselamatan. Siswi merungut perlu memakai pakaian berlengan panjang.Undang-undang UiTM ketat.
Berbaloikah kita memperjudikan muda hanya sekali atau ingin menurut fesyen terkini untuk menikmati persinggahan yang tidak abadi?
Seringkali saya mendengar,apabila hendak melaksanakan perintah Allah,menutup aurat contohnya, perlulah terbit dari hati yang ikhlas dan bukan kerana dipaksa atau ikut kawan dan sebagainya.
Amboi sombongnya hendak menurut perintah Allah.
Cuba bayangkan sekiranya pensyarah memberi tugasan atau bos memberi arahan bertugas. Bagaimana tindakan kita? Atau lebih besar lagi mendapat arahan dari Perdana Menteri atau Yang Dipertuan Agong?
Adakah kita akan berkata “Belum terbuka hati lagi nak buat assignment atau belum sampai seru lagi nak ikut arahan?”
Logiknya tidak mengapalah tidak mengikut perintah manusia,bukan begitu? Sama tarafnya. Pembetulan, ada bezanya. Kajilah sendiri apa bezanya.
Perintah Allah dan ajaran Rasulullah,panduan dari Al-Quran dan Hadis,bagaimana?
Sempena bulan Ramadan ini saya dengan rasa rendah diri menyeru pertama sekali kepada diri saya sendiri untuk menghayati maksud al-Quran. Saya akui walau telah khatam Al-Quran berkali-kali, maksud keseluruhan setiap surah dan Al-Quran sendiri tidak saya kuasai isi kandungannya. Walau pernah tamat membaca terjemahanannya tetapi masih tidak mencukupi. Azam saya ialah untuk mengulang baca maksudnya,hayati dan amalkan. Ditambah satu lagi, disampaikan.
Saya berdoa sesiapa yang membaca entri ini,termasuklah saya sendiri diberikan petunjuk dan hidayah dari Allah dan mati kekal dalam iman.
Siapalah saya untuk bicara begini?
Khalifah Allah- tanggungjawab yang telah diberikan pada setiap manusia tanpa mengira siapa.
2 comments:
Alhamdulillah, Shima. Kata-kata yang amat meninggalkan kesan.
Saya sendiri belum khatam terjemahan Al-Quran. Sengaja saya suruh suami hadiahi saya tafsir Al-Quran agar lebih bersemangat membacanya. Saya sudah mulakan membaca 10 ayat Al-quran beserta tafsirnya. Hanya 10 ayat sehari. MasyaAllah. Macam2 khazanah yg dapat digali!! Kini masuk Ramadhan saya berazam untuk membaca 10 ayat setiap kali solat fardhu, dan sudah pasti berserta tafsirnya. :)
Saya berdoa saya juga berani menyampaikan seperti Shima. :)
Ira,
Semoga kita sama-sama istiqamah mengkaji.
Saya mula membaca terjemahan (selain untuk peperiksaan sekolah agama)dalam bahasa Inggeris apabila berada di Australia 20 tahun lalu kerana banyak disoal jawab tentang Islam dalam bahasa Inggeris. Hadiah maskahwin juga Al-Quran terjemahan bahasa Inggeris. Kemudian berselang seli baca terjemahan Bahasa Melayu.
Post a Comment